Welcome To My Life...

Saturday, August 20, 2016

Satu Mata Yang Tak Kunjung Tiba


Hampir, sangat hampir. Hanya satu mata yang tidak kunjung tiba.

Pasangan beregu lelaki negara memberikan segala-galanya. Bangkit dari ketinggalan beberapa kali untuk mengharumkan nama Malaysia. Menggalas harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat pingat emas pertama di Sukan Olimpik, mereka tidak pernah menyerah kalah. Malah, mata akhir berada di tangan dua kali.

Tiada apa yang perlu dimalukan dan dikesalkan. Memulakan kempen Rio 2016 tanpa diletakkan harapan besar, gandingan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menewaskan pasangan beregu Jerman dan USA sebelum mengejutkan beregu Fu Haifeng/Zhang Nan (China) dalam pertarungan tiga set untuk memenangi kumpulan.

Menanti mereka di suku akhir adalah pasangan nombor satu dunia, Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong, dari Korea Selatan. Beraksi tanpa tekanan, mereka sekali lagi membuat kejutan dengan kemenangan rubber game untuk mara ke semi final. Kini peluang untuk pingat yang tidak dijangka sebelum Olimpik bermula sudah terhidang di depan mata.

Bukan calang-calang beregu menjadi halangan di separuh akhir. Pasangan nombor lima dunia, Chai Biao dan Hong Wei, menjadi pemisah antara beregu Malaysia dan final yang menjanjikan pingat yang pasti. Semangat juang yang tinggi membawa kemenangan untuk mereka, sekali lagi dengan permainan tiga set.

Tibalah detiknya perlawanan akhir dengan harapan seluruh rakyat Malaysia ditanggung di bahu kerana pasangan beregu campuran tewas kepada beregu Indonesia. Pasangan Fu Haifeng dan Zhang Nan yang ditundukkan di peringkat kumpulan hadir dengan misi balas dendam.

Set pertama, Goh dan Tan ketinggalan dari awal tetapi bangkit gagah berani untuk memenangi set itu 21-16. Kilauan emas seperti sudah terbayang di depan mata. Hanya satu set lagi untuk menaiki podium tertinggi dan lagu 'Negaraku' akan berkumandang megah di Rio buat kali pertama dalam temasya Olimpik.

Namun beregu China itu melebarkan jarak mata dan kedudukan yang terlalu jauh memaksa beregu negara melepaskan set tersebut, tewas 11-21. Buat kali keempat berturut-turut, Goh dan Tan bermain dalam set ketiga dalam perebutan pingat emas. Fu dan Zhang mendahului lagi di awal set ketiga dan terus mempertahankan sehingga lewat permainan barulah Goh dan Tan mendahului buat kali pertama 18-17 selepas memungut beberapa mata berturut-turut.

Semangat di kem Malaysia memuncak. Inikah detik emas yang dinanti-nantikan selama 16 edisi Sukan Olimpik? Beberapa mata kemudian, beregu Goh dan Tan memegang mata akhir untuk memenangi pingat emas pada kedudukan 20-19. Sayangnya peluang itu terlepas. Goh dan Tan kemudian mendapat peluang kedua pada kedudukan 21-20. Mata akhir yang jika disempurnakan bermakna pingat emas milik Malaysia.

Tiga mata berturut-turut untuk Fu dan Zhang bermakna Malaysia terpaksa menanti lagi. Pasangan China itu menang 16-21 21-11 dan 23-21 untuk Fu Haifeng berusia 32 tahun mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di London 2012, ketika itu bersama Cai Yun. Fu Haifeng menjadi satu-satunya pemain yang mengekalkan pingat emas beregu lelaki dalam dua Sukan Olimpik, bersama pasangan yang berbeza.

Goh dan Tan mengulangi pencapaian Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock di Atlanta (1996) selepas 20 tahun lamanya penantian Malaysia dalam acara beregu lelaki untuk melihat wakil di final. Kita harapkan kita tidak perlu menunggu 20 tahun lagi untuk sekali lagi mempunyai beregu merebut pingat emas.

Kita mahukan Goh dan Tan beraksi seperti ini tanpa menyerah kalah dengan mudah di Tokyo 2020 atau pelapis dengan semangat juang yang sama tinggi.

Pingat perak untuk beregu Malaysia!



Friday, August 19, 2016

Dungun ke Rio



Sebelum beregu campuran badminton, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying menghadiahkan pingat perak kedua negara di gelanggang badminton, seorang pelumba berbasikal trek terlebih dulu membanggakan kontinjen Malaysia di velodrom.

Dua kali gagal menaiki podium di Beijing 2008 dan London 2012, akhirnya Rio 2016 menjadi saksi semangat dan kesungguhan jaguh berbasikal negara membuahkan hasil yang manis. Susuk tubuhnya kecil berbanding pelumba-pelumba lain yang mempunyai kelebihan fizikal. Namun mereka tidak dapat menggentarkan Azizulhasni Awang atau juga dikenali sebagai Jijoe dan PocketRocketMan

Siapa sangka impian besar anak kelahiran Dungun ini untuk bersaing di pentas tertinggi menjadi kenyataan. Memulakan aksi pusingan pertama, Jijoe gagal menamatkan saingan di posisi yang melayakkannya secara automatik. Jijoe terpaksa melalui pusingan repechage. Perlumbaan seterusnya yang getir kerana hanya pemenang saja yang boleh layak ke separuh akhir, dan Jijoe tidak mengecewakan.

Pusingan separuh akhir. Dua perlumbaan. Dua belas peserta. Hanya tiga peserta teratas dalam setiap perlumbaan akan layak ke final. Dan sekali lagi, Jijoe berjaya menempatkan diri di tangga ketiga untuk menjadi enam peserta terbaik keirin Olimpik Rio 2016.

Masanya tiba untuk Jijoe cuba membutirkan pingat emas. Misi emas #TeamAzizul. #GoForGold. Lawannya bukan calang-calang. Pelumba sensasi pasukan Great Britain, Jason Kenny. Permulaan pertama dibatalkan kerana Kenny dan Jijoe memintas motor yang mendahului para peserta. Perlumbaan dimulakan semula.

Sekali lagi, perlumbaan dibatalkan selepas para pelumba mengekori motor di depan kerana pelumba Jerman pula tak sabar untuk memulakan pecutan. Tiada pelumba disingkirkan. Perlumbaan dimulakan untuk kali ketiga. Motor keluar dan pecutan lancar. Kenny berjaya melepaskan diri ketika Jijoe terperangkap. Jijoe berjaya keluar di pusingan terakhir untuk memecut dan mengutip pingat gangsa.

Satu perlumbaan yang hebat dan Jijoe beraksi cemerlang untuk menaiki podium Olimpik. Bendera Malaysia berkibar. Jika tidak kerana dua permulaan yang dibatalkan, Jijoe pasti mempunyai tenaga yang lebih untuk mencabar Kenny.

Apa pun, tahniah diucapkan kepada anak Melayu berasal dari Dungun, Terengganu, yang memukau penonton dengan saiz yang kecil tapi keazaman yang besar. Jijoe membuktikan tiada yang mustahil selagi ada kesungguhan di dada. Faktor fizikal bukan menghalang kerana jika ada kemahuan, pastilah ada jalan.

We Malaysians are proud of you, the Pocket Rocket Man.




Pasangan Perak

Assalamualaikum.


Apabila dua pasangan beregu badminton Malaysia layak ke final, Rio 2016 telah sah menjadi temasya Olimpik paling berjaya dalam sejarah penyertaan Malaysia. Dua lagi pingat dalam genggaman (emas atau perak) untuk menambah kepada pingat perak yang dimenangi Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam sukan terjun.

Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying memulakan aksi kumpulan dengan sasaran melangkah ke suku akhir dalam persaingan bersama pasangan Indonesia, Australia, dan Thailand. Dua kemenangan dan satu kekalahan (kepada Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir) membawa mereka ke pusingan seterusnya.

Peng Soon dan Liu Ying melangkah lebih jauh selepas menundukkan pasangan Poland, Robert Mateusiak/Nadiezda Zieba dengan kemenangan straight set. Menanti mereka di separuh akhir adalah beregu China yang menjadi halangan ke final. Beraksi tanpa gentar, beregu campuran negara ini mengejutkan pasangan China, Xu Chen/Ma Jin dengan kemenangan 21-12 dan 21-19.

Kejayaan itu sangat bersejarah kerana mereka menjadi pasangan beregu campuran pertama yang melayakkan diri ke final Sukan Olimpik. Sebelum ini, hanya beregu lelaki Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock yang pernah memenangi pingat perak di Atlanta 1996. 

Tewas kepada pasangan sama dari Indonesia di peringkat kumpulan, beregu Malaysia membawa misi balas dendam dan menggalas bebanan harapan besar seluruh rakyat Malaysia untuk melihat kilauan pingat emas pertama dalam sejarah aksi Sukan Olimpik dan mendengar lagu 'Negaraku' berkumandang di bumi Brazil.

Harapan itu terlalu berat untuk ditanggung menghadapi permainan hebat dari beregu Indonesia dan pasangan Malaysia tewas straight set 14-21 12-21. Pencapaian berdiri di atas podium tertinggi dunia itu wajar dipuji jika melihat sejarah kecederaan Liu Ying yang membuat pembedahan pada kedua-dua lututnya dalam tahun 2014. 

Liu Ying mengambil masa hampir setahun untuk kembali pulih dan memanjat ranking dunia dari ke-79 sehingga layak beraksi di Sukan Olimpik. Mereka membuktikan mereka mampu bersaing dengan pemain-pemain utama dunia dan hanya kemuncak prestasi beregu Indonesia yang menyekat kisah dongeng ini menjadi legenda zaman-berzaman.

Walaupun akhbar media arus perdana meletakkan tajuk tidak sepatutnya sebagai reaksi kepada kekalahan di final tersebut, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying. Rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan kalian!



Wednesday, August 10, 2016

Pogback

Assalamualaikum.

#POGBACK

Paul Pogba akhirnya kembali menjadi pemain Manchester United secara rasmi, untuk mengakhiri khabar angin yang telah berlarutan sejak musim perpindahan pemain dibuka. Satu berita yang dinanti-nantikan para peminat United. Bintang muda ini seperti sirih pulang ke gagang. Umpama pemain yang dipinjamkan empat musim ke Itali.

Pogba tidak pernah dibuang dari United. Sir Alex Ferguson terpaksa melepaskan Pogba pergi kerana ketamakan ejen yang mengendalikan pemain ini, Mino Raiola. Fergie sentiasa percaya dengan kebolehan Pogba tetapi tidak mahu tunduk kepada permintaan Raiola yang melampau. Pogba yang mahukan masa permainan untuk membuktikan kebolehannya berpindah ke kelab Juventus dalam liga Serie A dalam misi menjadi pemain terbaik dunia. Pogba berlalu pergi sebagai pemain muda yang penuh potensi.

Dan kini dia telah kembali. Pulang untuk menyudahkan urusan yang masih belum selesai. Misi merealisasikan mimpi yang tertangguh. Reputasinya kini lebih gah. Pemain termahal dunia dalam sejarah. Salah seorang pemain tengah terbaik dunia dalam usia yang masih muda. Manchester United sentiasa ada tempat istimewa dalam hatinya dan apabila Jose Mourinho menawarkan bahagian dalam projek revolusi, sukar untuk Pogba mengatakan 'tidak'.

Juventus melakukan yang terbaik untuk memastikan Pogba kekal di Itali. Namun tawaran wang yang diberikan United sukar ditolak. Para peminat Juve sangat kecewa dengan pilihan Pogba dan menganggap tindakan Pogba sebagai satu pengkhianatan kepada kelab yang telah mempercayai kebolehannya ketika dia masih mentah. Manchester United pula terpaksa membayar harga mahal. Pogba pergi dengan perpindahan percuma dan terpaksa dibawa pulang dengan rekod perpindahan dunia.

Paul Pogba adalah kepingan terakhir dalam susun suai perancangan Mourinho untuk membawa Manchester United kembali ke puncak keagungan seperti zaman Alex Ferguson. United berbelanja besar untuk membawa nama-nama hebat walaupun tidak dapat menawarkan aksi Liga Juara-Juara Eropah. Jentera tengah adalah masalah pengurus-pengurus yang mewarisi posisi Ferguson tetapi Pogba adalah jawapan kepada masalah itu. Adanya Pogba akan menjadikan serangan United lebih menakutkan.

Mampukah Manchester United menjuarai Liga Perdana Inggeris sekali lagi?

Semuanya akan terjawab tahun depan. Tetapi bayangannya akan dilihat apabila United membuka aksi liga menentang Bournemouth hari Ahad nanti. Glory glory!



Monday, August 8, 2016

Sempurna

Assalamualaikum.

Glory glory Manchester United! Tahniah buat pasukan kesayangan dan kegemaran sejak azali yang telah memenangi Perisai Komuniti untuk musim baru 2016/2017. 

Seminggu sebelum sepak mula Liga Perdana Inggeris, juara bertahan liga dan juara Piala FA berentap untuk memenangi trofi. Leicester City di bawah bimbingan Claudio Ranieri membawa misi besar mempertahankan kejuaraan liga dan membuktikan kisah dongeng mereka musim lalu bukanlah sekadar kehebatan semusim. Manchester United di bawah pengurus baru, Jose Mourinho, pula ingin mengembalikan kegerunan pasukan lawan selepas berbelanja besar dalam pasaran perpindahan pemain. 


Selepas menjaringkan gol terakhir untuk era Louis Van Gaal, Jesse Lingard menjaringkan gol pertama untuk era Jose Mourinho (tidak mengira perlawanan persahabatan). Larian solo Lingard sebelum meledak telah membuktikan kewajaran pemain muda ini tersenarai dalam kesebelasan utama berbanding Marcus Rashford dan Henrikh Mkhitaryan. Kesilapan hantaran ke belakang Marouane Fellaini yang perlahan disambar Jamie Vardy untuk menyamakan kedudukan. 


Ketika perlawanan menuju penentuan sepakan penalti (tiada masa tambahan), bintang veteran yang baru dibeli, Zlatan Ibrahimovic, menunjukkan sebab kenapa khidmatnya ditagih Mourinho. Penyerang terkenal yang telah beraksi bersama beberapa kelab besar [termasuk Barcelona, Inter Milan (di bawah Mourinho), AC Milan, dan Paris-Saint Germain] ini melonjak tinggi untuk menanduk hantaran silang Antonio Valencia. Jaringan tipikal Ibrahimovic. 


Satu lagi berita gembira selain kemenangan itu adalah pengesahan di laman web rasmi Manchester United bahawa Paul Pogba akan menyertai skuad bimbingan Mourinho. Pogba meninggalkan United sebagai pemain muda yang kecewa dan menyertai Juventus untuk menjuarai Serie A Itali selama beberapa musim berturut-turut. Kini dia kembali sebagai pemain bintang, salah seorang pemain tengah terbaik dunia yang masih muda, pemain dengan rekod perpindahan termahal dunia, dan gaji termahal dalam Liga Perdana Inggeris. #POGBACK

Lengkap sudah empat pemain yang ingin dibeli Mourinho dalam pasaran perpindahan kali ini. Seorang pertahanan (Eric Bailly) yang aksi semalam mengingatkan kepada legenda Nemanja Vidic (tonggak pertahanan United). Keras, laju, dan kental. Boleh melindungi David De Gea di gawang. Seorang pemain kreatif (Mkhitaryan) yang membawa sinar kepada jentera serangan United yang kurang ilham. Mkhitaryan memiliki rekod mencipta gol terbanyak antara liga-liga domestik utama Eropah musim lepas semasa beraksi untuk Borussia Dortmund.

Seorang penyerang (Ibrahimovic) yang menggerunkan barisan pertahanan lawan. Ibrahimovic telah menjaringkan banyak gol di semua kelab yang pernah diwakilinya termasuk puluhan gol semasa beraksi untuk PSG di Perancis. Fizikal Ibrahimovic juga akan membantu untuk menyudahkan hantaran-hantaran silang. Dan... pemain tengah yang dominan (Pogba) menjadi kepingan terakhir dalam perancangan Mourinho. Jentera tengah United memerlukan seorang jeneral.

Jentera serangan United dibarisi Wayne Rooney, Mkhitaryan, Ibrahimovic, Lingard, Anthony Martial, dan Pogba pasti menjadi mimpi ngeri buat semua pasukan. Jika tidak menjadi juara selepas berbelanja besar seperti ini, posisi Mourinho dalam bahaya.




Sunday, August 7, 2016

Mara

Assalamualaikum.

Jumaat, 5 Ogos 2016.

"Hooray!"

Tamat peperiksaan akhir semester enam. Bermakna tamatlah perjuangan tahun ketiga aku dalam pengajian bidang perubatan. Three years that i could say now, 'living to expectation'. Seperti yang selalu dimomokkan dan dikhabarkan sejak dulu, tak mudah jadi pelajar medik ni. Kena tahu bagaimana fungsi normal sistem badan manusia. Bak kata sorang pensyarah, "pengetahuan asas sistem badan inilah yang membezakan doktor dan orang awam yang membaca". Orang awam boleh tahu ilmu perubatan jika mereka membaca. Tapi seorang DOKTOR mengamalkan ilmu ini untuk mencari punca penyakit dan cuba merawat pesakit. Hanya Allah jualah yang menyembuhkan.

Bla bla bla.

Rasa macam tak percaya. Dah nak masuk tahun keempat. Dua tahun lagi sebelum aku mendapat gelaran yang diimpikan sejak kecik, "Dr. Nazif". Ada peperiksaan klinikal yang penting sebelum aku memasuki semester lapan. Satu lagi peperiksaan 'big bang'. Peperiksaan yang wajib dilepasi. Enam belas stesyen Objective Structured Clinical Examination (OSCE). Dijadualkan pada bulan Februari.

----------------------

Sementara itu, pada hari yang sama keputusan peperiksaan semester 10 diumumkan. Kejayaan lulus bermakna menamatkan ijazah sarjana muda perubatan yang membawa gelaran 'Medical Doctor'. Tahniah senior-senior termasuklah Dr. Ahmad Syahmie.

Selamat menjalani tempoh doktor pelatih (houseman officer) selama dua tahun dalam tempoh enam bulan atau setahun dari sekarang. Semoga menjadi doktor yang bermanfaat untuk ummah. 

I will follow in two years, no longer than that. InsyaAllah.



Saturday, August 6, 2016

Dua Tiga

Assalamualaikum.

6 Ogos 2016, hari yang sangat bermakna. Apa yang lebih bermakna dari hari penting dalam hidup kita diingati oleh insan yang tercinta? Terima kasih kepada famili yang terutama dan juga my dearest beloved WN sebab ingat hari lahir Muhammad Nazif.


Happy birthday to you, happy birthday to us!

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran buat bonda tersayang. Sekali lagi berkongsi tarikh lahir untuk tahun ke-23.
Hadiah dari bakal menantu 

Eh, ummi dapat hadiah jugak! Pandai ya WN ambik hati ummi. Nak anak teruna ummi kenalah menang hati ummi jugak. Bijak sungguh ^_^


Meaningful gift

Dan hadiah untuk doktor? Tak sangka ada jugak. Mula tu ingat tak ada hadiah apa tahun ni. Tapi alhamdulillah, surprise! Kejutan yang sangat comel dari si manis WN.

 Everything for me

Ya, mungkin hadiah ni tak mahal dan tidaklah penting bagi orang lain. Tapi ia segalanya bagi seorang lelaki ini. Sangat-sangat menghargai hadiah yang ringkas tetapi ikhlas. Sekarang baju kemeja ni dah jadi baju kesayangan. Dan ada jugak tali leher kesayangan. 

Alhamdulillah, syukur atas nikmat cinta yang Kau pinjamkan. Walau tak selamanya, tapi bagiku sudah segalanya.



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif