Welcome To My Life...

Friday, August 19, 2016

Pasangan Perak

Assalamualaikum.


Apabila dua pasangan beregu badminton Malaysia layak ke final, Rio 2016 telah sah menjadi temasya Olimpik paling berjaya dalam sejarah penyertaan Malaysia. Dua lagi pingat dalam genggaman (emas atau perak) untuk menambah kepada pingat perak yang dimenangi Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam sukan terjun.

Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying memulakan aksi kumpulan dengan sasaran melangkah ke suku akhir dalam persaingan bersama pasangan Indonesia, Australia, dan Thailand. Dua kemenangan dan satu kekalahan (kepada Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir) membawa mereka ke pusingan seterusnya.

Peng Soon dan Liu Ying melangkah lebih jauh selepas menundukkan pasangan Poland, Robert Mateusiak/Nadiezda Zieba dengan kemenangan straight set. Menanti mereka di separuh akhir adalah beregu China yang menjadi halangan ke final. Beraksi tanpa gentar, beregu campuran negara ini mengejutkan pasangan China, Xu Chen/Ma Jin dengan kemenangan 21-12 dan 21-19.

Kejayaan itu sangat bersejarah kerana mereka menjadi pasangan beregu campuran pertama yang melayakkan diri ke final Sukan Olimpik. Sebelum ini, hanya beregu lelaki Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock yang pernah memenangi pingat perak di Atlanta 1996. 

Tewas kepada pasangan sama dari Indonesia di peringkat kumpulan, beregu Malaysia membawa misi balas dendam dan menggalas bebanan harapan besar seluruh rakyat Malaysia untuk melihat kilauan pingat emas pertama dalam sejarah aksi Sukan Olimpik dan mendengar lagu 'Negaraku' berkumandang di bumi Brazil.

Harapan itu terlalu berat untuk ditanggung menghadapi permainan hebat dari beregu Indonesia dan pasangan Malaysia tewas straight set 14-21 12-21. Pencapaian berdiri di atas podium tertinggi dunia itu wajar dipuji jika melihat sejarah kecederaan Liu Ying yang membuat pembedahan pada kedua-dua lututnya dalam tahun 2014. 

Liu Ying mengambil masa hampir setahun untuk kembali pulih dan memanjat ranking dunia dari ke-79 sehingga layak beraksi di Sukan Olimpik. Mereka membuktikan mereka mampu bersaing dengan pemain-pemain utama dunia dan hanya kemuncak prestasi beregu Indonesia yang menyekat kisah dongeng ini menjadi legenda zaman-berzaman.

Walaupun akhbar media arus perdana meletakkan tajuk tidak sepatutnya sebagai reaksi kepada kekalahan di final tersebut, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying. Rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan kalian!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif