Welcome To My Life...

Monday, August 8, 2016

Sempurna

Assalamualaikum.

Glory glory Manchester United! Tahniah buat pasukan kesayangan dan kegemaran sejak azali yang telah memenangi Perisai Komuniti untuk musim baru 2016/2017. 

Seminggu sebelum sepak mula Liga Perdana Inggeris, juara bertahan liga dan juara Piala FA berentap untuk memenangi trofi. Leicester City di bawah bimbingan Claudio Ranieri membawa misi besar mempertahankan kejuaraan liga dan membuktikan kisah dongeng mereka musim lalu bukanlah sekadar kehebatan semusim. Manchester United di bawah pengurus baru, Jose Mourinho, pula ingin mengembalikan kegerunan pasukan lawan selepas berbelanja besar dalam pasaran perpindahan pemain. 


Selepas menjaringkan gol terakhir untuk era Louis Van Gaal, Jesse Lingard menjaringkan gol pertama untuk era Jose Mourinho (tidak mengira perlawanan persahabatan). Larian solo Lingard sebelum meledak telah membuktikan kewajaran pemain muda ini tersenarai dalam kesebelasan utama berbanding Marcus Rashford dan Henrikh Mkhitaryan. Kesilapan hantaran ke belakang Marouane Fellaini yang perlahan disambar Jamie Vardy untuk menyamakan kedudukan. 


Ketika perlawanan menuju penentuan sepakan penalti (tiada masa tambahan), bintang veteran yang baru dibeli, Zlatan Ibrahimovic, menunjukkan sebab kenapa khidmatnya ditagih Mourinho. Penyerang terkenal yang telah beraksi bersama beberapa kelab besar [termasuk Barcelona, Inter Milan (di bawah Mourinho), AC Milan, dan Paris-Saint Germain] ini melonjak tinggi untuk menanduk hantaran silang Antonio Valencia. Jaringan tipikal Ibrahimovic. 


Satu lagi berita gembira selain kemenangan itu adalah pengesahan di laman web rasmi Manchester United bahawa Paul Pogba akan menyertai skuad bimbingan Mourinho. Pogba meninggalkan United sebagai pemain muda yang kecewa dan menyertai Juventus untuk menjuarai Serie A Itali selama beberapa musim berturut-turut. Kini dia kembali sebagai pemain bintang, salah seorang pemain tengah terbaik dunia yang masih muda, pemain dengan rekod perpindahan termahal dunia, dan gaji termahal dalam Liga Perdana Inggeris. #POGBACK

Lengkap sudah empat pemain yang ingin dibeli Mourinho dalam pasaran perpindahan kali ini. Seorang pertahanan (Eric Bailly) yang aksi semalam mengingatkan kepada legenda Nemanja Vidic (tonggak pertahanan United). Keras, laju, dan kental. Boleh melindungi David De Gea di gawang. Seorang pemain kreatif (Mkhitaryan) yang membawa sinar kepada jentera serangan United yang kurang ilham. Mkhitaryan memiliki rekod mencipta gol terbanyak antara liga-liga domestik utama Eropah musim lepas semasa beraksi untuk Borussia Dortmund.

Seorang penyerang (Ibrahimovic) yang menggerunkan barisan pertahanan lawan. Ibrahimovic telah menjaringkan banyak gol di semua kelab yang pernah diwakilinya termasuk puluhan gol semasa beraksi untuk PSG di Perancis. Fizikal Ibrahimovic juga akan membantu untuk menyudahkan hantaran-hantaran silang. Dan... pemain tengah yang dominan (Pogba) menjadi kepingan terakhir dalam perancangan Mourinho. Jentera tengah United memerlukan seorang jeneral.

Jentera serangan United dibarisi Wayne Rooney, Mkhitaryan, Ibrahimovic, Lingard, Anthony Martial, dan Pogba pasti menjadi mimpi ngeri buat semua pasukan. Jika tidak menjadi juara selepas berbelanja besar seperti ini, posisi Mourinho dalam bahaya.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif