Welcome To My Life...

Tuesday, January 23, 2018

Welcome Alexis

Assalamualaikum.

23 Januari 2018, awal pagi Selasa yang indah bagi peminat setia Manchester United di seluruh dunia.


Selepas seminggu lebih menanti pengumuman rasmi, akhirnya perpindahan Alexis Sanchez diumumkan oleh laman web dan laman media sosial rasmi kelab dengan video yang menarik. Khabar angin perpindahan Alexis Sanchez dari Arsenal ini sudah berlarutan sejak musim panas tahun lalu.

Sanchez dikhabarkan sudah bersetuju untuk menyertai Manchester City. Namun kelab Manchester United telah menghubungi kem Sanchez ketika jendela perpindahan Januari dibuka. Manchester City menolak untuk menyaingi kontrak yang ditawarkan oleh Manchester United.

Pep Guardiola terpaksa akur untuk tidak mendapatkan pemain Chile berusia 30 tahun ini dengan alasan 'kewangan' sedangkan Pep sudah 'menabur wang' untuk mendapatkan beberapa orang pemain pertahanan dengan harga yang jauh lebih tinggi.

Kesungguhan Manchester United meyakinkan Sanchez sementara dia juga meminati kelab ini di zaman remaja. Sanchez memilih untuk keluar dari Arsenal dengan apa cara sekali pun kerana sudah menanti kejuaraan liga terlalu lama sejak menyertai Arsenal dari Barcelona. 

Walaupun Manchester City sedang mendahului liga musim ini dengan jurang yang besar dengan baki 14 perlawanan, Sanchez tetap memilih kelab Manchester dengan tradisi yang lebih besar. Kehadiran Sanchez ini akan menguatkan Manchester United untuk saingan pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah yang akan bersambung bulan depan.

Sementara itu, Henrikh Mkhitaryan berpindah ke Arsenal sebagai ganti. Mkhitaryan yang berpindah ke Manchester United dari Borussia Dortmund semakin sukar mendapat tempat dalam pasukan utama. Perpindahan Mkhitaryan ini diharapkan dapat menyelamatkan kariernya untuk berada di kelab yang menghargai bakatnya.

Change is the only constant in life.

--------------

Kekalahan Liverpool kepada Swansea dalam aksi liga menambah keceriaan para peminat Manchester United. Liverpool memulakan perlawanan di tempat keempat, tiga mata di belakang Chelsea (tempat ketiga) dan enam mata di belakang United.

Kemenangan untuk Liverpool bermakna jumlah mata mereka akan sama dengan Chelsea semula. Liverpool sedang berada di kemuncak keyakinan dengan baru saja menghadiahkan kekalahan liga pertama untuk Manchester City di Anfield minggu lalu. Selain itu, pertahanan baru mereka yang dibeli dengan harga mahal, Virgil Van Dijk, membuat penampilan liga yang pertama.

Malang sekali, awal pagi tadi segalanya tidak menjadi buat Liverpool. Swansea bertahan habis-habisan dan satu jaringan tunggal oleh Alfie Mawson sudah cukup untuk Swansea di tangga terakhir liga mengutip tiga mata penuh.

Kekalahan ini bermakna Liverpool kekal di tangga keempat, di hadapan Tottenham Hotspurs dan masih di belakang dua kelab Manchester dan juga Chelsea. 

Glory glory Manchester United.



Saturday, January 20, 2018

Adat Permainan

Assalamualaikum.

Telah jauh kita berlari, sudah kita terbang tinggi, sudah puas kita bermimpi.

Hari ini mimpi kita musnah.

Kata orang: kalah dan menang itu adat permainan. Kalau kalah pun, biarlah melawan. Dan hari ini, skuad muda bola sepak Malaysia menunjukkan aksi membanggakan. Kita tewas, tapi kita paksa Korea Selatan berhempas pulas. Kita tak beri laluan mudah untuk mereka. Kita tak biarkan Korea Selatan memijak maruah kita.


Lihatlah Tan Cheng Hoe. Inilah barisan masa depan Malaysia. Haziq Nadzli di gawang. Dominic Tan, Irfan Zakaria, dan Adam Nor Azlin membentuk pertahanan bertiga. Matthew Davies dan Syazwan Andik selaku bek sayap mengapit gandingan Azam Azih dan Danial Amier. Safawi Rasid, Nik Akif Syahiran dan Akhyar Rashid membentuk tiga serangkai di bahagian serangan.

Malang bagi pasukan Malaysia, Korea Selatan hanya mengambil masa 15 saat dari sepak mula untuk mendahului. Satu rembatan lambung dari sebelah kiri menewaskan Haziq Nadzli, terkena tiang sebelum melantun masuk. 

Pujian wajar diberikan kepada pasukan Malaysia yang tidak bermain secara bertahan seperti ketika menentang Arab Saudi. Para pemain Malaysia mengatur gerak untuk mencari gol penyamaan. Dan statistik separuh masa menunjukkan Malaysia mendominasi penguasaan bola, sesuatu yang mengejutkan dan di luar jangkaan. Pasukan ini tidak langsung tunduk hormat kepada Korea Selatan. 


Babak kedua bersambung dan Malaysia bermula garang lagi. Kad kuning yang dilayangkan kepada Nik Akif Syahiran memaksa jurulatih Datuk Ong menggantikannya dengan wira Sukan SEA, N. Thanabalan. Percaturan seterusnya menyaksikan Akhyar Rashid digantikan dengan Hadi Fayyad. Tidak lama kemudian, Malaysia mendapat gol penyamaan.

Hantaran silang Safawi dari sebelah kanan singgah di antara penjaga gol dan barisan pertahanan Korea Selatan. Thanabalan yang meluru dari posisi onsaid menghulurkan kepalanya untuk menyambar bola tersebut. Korea Selatan tersentak. Thanabalan tidak pernah lupa pesan ayahnya, 'bila bola sampai, guna kepala dulu'. Satu lagi tandukan emas N. Thanabalan!

Nasib tidak menyebelahi pasukan Malaysia. Selepas tangkas menyelamatkan gawang Malaysia berkali-kali, Haziq Nadzli akhirnya tewas juga di lewat permainan. Han Seung-Gyu membelah pertahanan Malaysia, menggelecek Dominic Tan dan Haziq sebelum menolak bola ke gawang terbuka. Penamat yang tragik dan memilukan bagi skuad Malaysia yang beraksi cemerlang sepanjang permainan.

----------------


Statistik akhir permainan menunjukkan Malaysia 'berdiri sama tinggi' dengan Korea Selatan. Penguasaan bola hampir 50-50, jumlah percubaan yang sama (11, percubaan tepat 6-5), dan jumlah hantaran bola yang sama. Malaysia lupa mereka sedang menentang Korea Selatan dan bukannya Singapura!

Skuad ini adalah harapan masa depan negara. Beraksi cemerlang di peringkat lapan terbaik benua Asia bukanlah sesuatu yang mudah. Kita masih bermimpi satu hari nanti kita dapat bersaing di Piala Dunia. Kita berharap mereka akan terus meningkat dan mengharumkan nama Malaysia. Pasukan muda ini akan menjadi tonggak skuad senior yang ketika ini di bawah jurulatih Tan Cheng Hoe.

Hari ini mimpi kita musnah. Esok kita bermimpi lagi!

Keyboard off.




Thursday, January 18, 2018

Bermimpi Lagi

Assalamualaikum.

Kelmarin mimpi kita sudah jadi realiti. Hari ini kita bermimpi lagi.


Lawan skuad bola sepak untuk peringkat suku akhir Kejohanan AFC B-23 sudah diketahui. Malaysia selaku naib juara kumpulan C akan berdepan juara kumpulan D, Korea Selatan, yang menundukkan Australia 3-2 dalam perlawanan terakhir semalam.


Malaysia berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik dalam penampilan pertama di kejohanan ini yang baru memasuki edisi ketiga. Selepas Malaysia menjadi pasukan Asia Tenggara yang layak ke pusingan kalah mati, Vietnam mengikut jejak Malaysia dengan mengiringi Korea Selatan dari kumpulan D. Vietnam akan berdepan juara bertahan, Iraq, yang membelasah Malaysia 4-1 baru-baru ini.

Jika berhasrat untuk mara lebih jauh, pertahanan Malaysia perlu merantai pergerakan Lee Keun Ho. Para pemain Malaysia perlu lebih berani untuk mengawal bola. Bertahan sepanjang permainan bukanlah cara yang baik untuk menang, dan juga tidak bagus untuk kesihatan jantung penyokong di Malaysia.

Jika tiada kecederaan, Datuk Ong Kim Swee boleh menurunkan barisan terkuat seperti ketika mengalahkan Arab Saudi. Kogileswaran perlu dikekalkan sebagai penyerang. Datuk Ong juga perlu mengingatkan para pemainnya untuk menghantar bola dengan lebih kemas. Akhyar Rashid berhempas pulas mengejar hantaran laju tidak masuk akal yang jauh daripadanya. 

Malaysia ada peluang baik. Menewaskan Arab Saudi (naib juara edisi 2014) yang mustahil sudah jadi keajaiban. Korea Selatan tak kebal. Kalau pun kita tak berjaya, biarlah melawan dan berjuang habis-habisan. 

Ayuh kapten Adam dan rakan-rakan, langgar Korea Selatan!

Keyboard off



Tuesday, January 16, 2018

Sejarah Di Bumi Kunshan

Assalamualaikum.

Phenomenal result, heroic performance.

Hari ini mimpi sudah jadi realiti. Malaysia menewaskan Arab Saudi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mencipta sejarah mara ke suku akhir dalam penampilan pertama di Kejohanan AFC B-23 edisi ketiga. Selain itu, Malaysia juga menjadi pasukan pertama dari rantau Asia Tenggara yang mara ke pusingan kalah mati. 

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada skuad bola sepak Malaysia bimbingan Datuk Ong Kim Swee.


Malaysia 1-4 Iraq
Malaysia 1-1 Jordan

Datuk Ong mengekalkan barisan yang sama ketika menentang Jordan dengan hanya satu perubahan: Kogileswaran menggantikan Jafri Firdaus di bahagian serangan. Malaysia turun dengan 'misi mesti menang' selepas mensia-siakan beberapa peluang ketika menentang Jordan. Berbekalkan satu mata, sebarang keputusan selain menang akan menyingkirkan Malaysia. Arab Saudi dengan dua mata dari dua keputusan seri hanya perlu sekurang-kurangnya keputusan seri untuk layak. 

Haziq Nadzli kekal di gawang. Tiga pertahanan dalam formasi 3-4-3 ini ialah Dominic Tan, Irfan Zakaria, dan kapten Adam Nor Azlin. Matthew Davies dan Syazwan Andik selaku bek sayap. Azam Azih dan Danial Amier mengawal jentera tengah. Safawi Rasid dan Akhyar Rashid mengapit Kogileswaran di jentera serangan. 


Berdebar jantung melihat aksi para pemain Malaysia yang tidak mahu menang dengan cara mudah. Selepas jaringan tunggal Danial Amier yang berani meledak dalam kotak penalti lawan, Malaysia diserang bertubi-tubi dan terpaksa bertahan sehingga wisel terakhir.

Walaupun sesekali berjaya mengatur serangan, para pemain Malaysia gagal mencipta peluang berbahaya untuk menambah jaringan. Sebaliknya, benteng pertahanan Malaysia dihujani serangan bertali arus dari naib juara edisi 2014. Hanya disiplin dan kesungguhan yang dipersembahkan menjadi kunci kemenangan.


-----------------

Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua dan akan mengiringi Iraq ke pusingan suku akhir. Walaupun diundi dalam 'kumpulan maut' dengan Iraq (juara edisi 2014), Arab Saudi (naib juara edisi 2014) dan Jordan (tempat ketiga edisi 2014), Malaysia menafikan segala ramalan dengan persembahan berpasukan yang terpuji. 

Mara jauh dalam penampilan pertama. Siapa pun lawan Malaysia di peringkat suku akhir tidak penting lagi. Malaysia menjadi wakil Asia Tenggara pertama untuk berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik di benua Asia di peringkat umur bawah 23 tahun. Esok Vietnam berpeluang mengiringi Malaysia jika berjaya mengatasi Syria.

Terima kasih Danial Amier. Terima kasih semua pemain Harimau Malaysia. Kami seluruh rakyat Malaysia sangat bangga.

Hari ini kita menang. Hari ini kita merayakan hari bersejarah bola sepak negara. Kita ada mimpi besar untuk bersaing di peringkat dunia. Hari ini mimpi kita jadi realiti. Esok kita bermimpi lagi!

Malaysia boleh!



Back to Winning Way

Assalamualaikum.

Lama rasanya tak tulis entri baru. Sekarang sibuk dengan persediaan untuk peperiksaan penting big bang bagi pelajar perubatan tahun akhir: Final Professional Exam. Walau sibuk pun, tetap updated dengan perkembangan kelab kegemaran Manchester United.


Rivals' watch

Liverpool 4-3 Manchester City
Chelsea 0-0 Leicester
Bournemouth 2-1 Arsenal
Tottenham 4-0 Everton

Hanya dua daripada lima pencabar utama Manchester United dalam Big 6 mencatat kemenangan. Pertembungan sesama sendiri Liverpool dan Manchester City di Anfield menyaksikan kekalahan pertama untuk pasukan Pep Guardiola. Spurs mudah membenam cabaran Everton di Wembley. Chelsea mencatat satu lagi keputusan seri. Bournemouth mengejutkan Arsenal yang tempang beraksi tanpa Alexis Sanchez dan Mesut Ozil. 


Jose Mourinho tiada masalah menurunkan barisan terkuatnya dengan Henrikh Mkhitaryan tidak berada dalam skuad 18 pemain. David De Gea menjaga gawang di hadapan barisan Antonio Valencia, Phil Jones, Chris Smalling dan Luke Shaw. Paul Pogba dan Nemanja Matic melindungi pertahanan. Juan Mata, Jesse Lingard, dan Anthony Martial menyokong Romelu Lukaku sebagai penyerang tunggal.

Antonio Valencia yang baru pulih meledak gol pertama United dengan gol cantik. Valencia terkenal sebagai bek kanan yang sangat gemar membawa bola ke kaki kanannya tetapi melepaskan sepakan kencang dengan kaki kiri untuk gol tersebut. 

Gol kedua United menyaksikan kombinasi Perancis yang mantap antara Pogba-Martial. Vision Pogba begitu menakjubkan dengan mengetahui di mana Martial tanpa perlu melihat. Hantaran tepat itu dirembat Martial dari luar kotak penalti. 

Martial kemudian mencipta gol ketiga United. Hantaran lambung Martial dikawal dengan begitu cemerlang oleh Lukaku yang merembat dengan kaki kiri untuk memastikan kemenangan selesa. Gol yang sangat penting untuk meningkatkan keyakinan Lukaku.

------------

Minggu yang sangat baik untuk Manchester United. Para pemain beraksi cemerlang di tempat sendiri. Kemenangan awal pagi tadi bermakna mereka merapatkan jurang dengan pendahulu liga kepada 12 mata. United kini berada di tempat kedua, tiga mata di depan Liverpool dan Chelsea yang berkongsi tempat ketiga. 

Satu lagi berita baik bagi peminat Manchester United adalah perpindahan Alexis Sanchez dari Arsenal dengan Mkhitaryan berpindah ke Arsenal. Sanchez akan memakai jersi keramat nombor tujuh yang gagal diisi sejak Cristiano Ronaldo ke Real Madrid. Jersi keramat nombor tujuh sebelum ini turut dipakai oleh legenda seperti George Best, Bryan Robson, Eric Cantona dan David Beckham. 

Kemasukan Sanchez akan menguatkan Manchester United untuk terus mencabar Manchester City. Glory glory Manchester United.

Keyboard off



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif