Welcome To My Life...

Saturday, January 20, 2018

Adat Permainan

Assalamualaikum.

Telah jauh kita berlari, sudah kita terbang tinggi, sudah puas kita bermimpi.

Hari ini mimpi kita musnah.

Kata orang: kalah dan menang itu adat permainan. Kalau kalah pun, biarlah melawan. Dan hari ini, skuad muda bola sepak Malaysia menunjukkan aksi membanggakan. Kita tewas, tapi kita paksa Korea Selatan berhempas pulas. Kita tak beri laluan mudah untuk mereka. Kita tak biarkan Korea Selatan memijak maruah kita.


Lihatlah Tan Cheng Hoe. Inilah barisan masa depan Malaysia. Haziq Nadzli di gawang. Dominic Tan, Irfan Zakaria, dan Adam Nor Azlin membentuk pertahanan bertiga. Matthew Davies dan Syazwan Andik selaku bek sayap mengapit gandingan Azam Azih dan Danial Amier. Safawi Rasid, Nik Akif Syahiran dan Akhyar Rashid membentuk tiga serangkai di bahagian serangan.

Malang bagi pasukan Malaysia, Korea Selatan hanya mengambil masa 15 saat dari sepak mula untuk mendahului. Satu rembatan lambung dari sebelah kiri menewaskan Haziq Nadzli, terkena tiang sebelum melantun masuk. 

Pujian wajar diberikan kepada pasukan Malaysia yang tidak bermain secara bertahan seperti ketika menentang Arab Saudi. Para pemain Malaysia mengatur gerak untuk mencari gol penyamaan. Dan statistik separuh masa menunjukkan Malaysia mendominasi penguasaan bola, sesuatu yang mengejutkan dan di luar jangkaan. Pasukan ini tidak langsung tunduk hormat kepada Korea Selatan. 


Babak kedua bersambung dan Malaysia bermula garang lagi. Kad kuning yang dilayangkan kepada Nik Akif Syahiran memaksa jurulatih Datuk Ong menggantikannya dengan wira Sukan SEA, N. Thanabalan. Percaturan seterusnya menyaksikan Akhyar Rashid digantikan dengan Hadi Fayyad. Tidak lama kemudian, Malaysia mendapat gol penyamaan.

Hantaran silang Safawi dari sebelah kanan singgah di antara penjaga gol dan barisan pertahanan Korea Selatan. Thanabalan yang meluru dari posisi onsaid menghulurkan kepalanya untuk menyambar bola tersebut. Korea Selatan tersentak. Thanabalan tidak pernah lupa pesan ayahnya, 'bila bola sampai, guna kepala dulu'. Satu lagi tandukan emas N. Thanabalan!

Nasib tidak menyebelahi pasukan Malaysia. Selepas tangkas menyelamatkan gawang Malaysia berkali-kali, Haziq Nadzli akhirnya tewas juga di lewat permainan. Han Seung-Gyu membelah pertahanan Malaysia, menggelecek Dominic Tan dan Haziq sebelum menolak bola ke gawang terbuka. Penamat yang tragik dan memilukan bagi skuad Malaysia yang beraksi cemerlang sepanjang permainan.

----------------


Statistik akhir permainan menunjukkan Malaysia 'berdiri sama tinggi' dengan Korea Selatan. Penguasaan bola hampir 50-50, jumlah percubaan yang sama (11, percubaan tepat 6-5), dan jumlah hantaran bola yang sama. Malaysia lupa mereka sedang menentang Korea Selatan dan bukannya Singapura!

Skuad ini adalah harapan masa depan negara. Beraksi cemerlang di peringkat lapan terbaik benua Asia bukanlah sesuatu yang mudah. Kita masih bermimpi satu hari nanti kita dapat bersaing di Piala Dunia. Kita berharap mereka akan terus meningkat dan mengharumkan nama Malaysia. Pasukan muda ini akan menjadi tonggak skuad senior yang ketika ini di bawah jurulatih Tan Cheng Hoe.

Hari ini mimpi kita musnah. Esok kita bermimpi lagi!

Keyboard off.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif