Welcome To My Life...

Saturday, December 30, 2017

Final Day GP

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, selesai jugak general practitioner posting atau bahasa mudahnya, di sebuah klinik swasta di Bandar Tasik Selatan. Seminggu saja posting di sini tapi dapat berkenalan dengan orang-orang yang hebat.

Oleh sebab posting cuma seminggu, penulis ambik keputusan untuk tak pulang ke Kedah dan buat di zon Tengah saja. Kebetulan rakan serumah di Seremban ni tahu satu klinik yang dia pernah pergi masa tahun kedua pengajian untuk GP posting.

Hari terakhir ni kami dapat layanan istimewa.



Jamuan sesi pagi. Spaghetti dengan dua jenis meatball (cheese dan carbonara). Memang sedap. Spaghetti penuh dengan seafood (udang dan sotong). Sampai tiga pusingan makan. 


Sambungan jamuan sesi petang. Piza Domino dua jenis. Tambah pulak kek batik yang Kak Diana buat. Memang makan sungguh-sungguh semalam. 


Lepas tamat waktu kerja untuk staf sesi pagi, penulis dan rakan bawa Kak Wana ni pergi jalan-jalan sebab kami rancang sesi karaoke. Pertama, kami ke kedai Kaki Gajet. Masa tengah belek-belek apa yang ada dalam kedai (tak ada niat pun nak beli), tiba-tiba Kak Wana cakap, "Ambik la apa korang nak. Akak belanja." 

Eh, betul ke ni?!

Kak Wana tak main-main. Walaupun dah berkali-kali menolak, Kak Wana tetap jugak nak belanja. Kata orang, rezeki jangan ditolak. Kami pun pilih headphone sorang satu. Harganya taklah sampai beratus ringgit (tapi mahal untuk penulis). Niat baik tu yang penting.

"Nanti korang tengok headphone ni, korang ingat akak." Allahu.

Lepas tu karaoke dengan Kak Wana dan Kak Ika. Gila-gila jugak mereka ni. Kak Wana 'tarik' sebijik macam Ella. 

----------------------------

Terima kasih untuk tunjuk ajar dari Dr Ragu dan juga pemilik klinik, Datin Seri yang tak lokek berkongsi ilmu untuk beli rumah dan kereta. Datin Seri memang seorang yang merendah diri dan penuh dengan pengalaman dan azimat. 

Terima kasih semua staf: Kak Wana, Kak Ika, Kak Diana, Kak Minah, dan Kak Pah yang memeriahkan suasana di klinik yang membuatkan lapan jam di klinik setiap hari tak terasa. Semoga bertemu lagi di masa depan. 

Keyboard off.



Friday, December 29, 2017

Ilmu Tukang Masak

Assalamualaikum.

Minggu ini penulis dan rakan serumah di Seremban menjalani General Practitioner posting di sebuah klinik swasta di Sungai Besi. Pada hari Ahad, penulis terlebih dulu ke rumah ibu bapa rakan serumah di Temerloh, Pahang.

Alhamdulillah, penulis mendapat sedikit ilmu baru dari ayah rakan tadi yang berpengalaman luas menjadi tukang masak untuk kenduri-kendara selama lebih dua puluh tahun. 

Pertama, bagaimana cara masak daging yang lembut. Daging perlu direbus sampai lembut sebelum garam dan asam dimasukkan. Jika garam dimasukkan ketika daging belum lembut, hasilnya daging akan keras. Garam pula sebaiknya menggunakan garam kasar berbanding garam halus kerana garam kasar kurang bahan pengawet. Kuantiti bahan masak pula bergantung pada kuantiti daging. Berapa banyak bawang, cili dan bahan-bahan lain untuk satu kawah. 

 Ayah rakan penulis juga ada berkongsi cara untuk mengelakkan telur pecah ketika direbus. Telur-telur ini perlu direndam air suam dulu sebelum dipindahkan ke air panas. Perubahan suhu yang tidak mendadak ini akan mengelakkan telur dari mudah pecah.

Ketiga, dia juga berkongsi cara untuk mengelakkan ayam hancur apabila dimasak rendang. Perkara ini dipelajari dari seorang tukang masak sebuah kedai di negeri Kelantan. Sebelum dibasuh, ayam mentah perlu direndam dalam air kapur sirih dulu.

Selain dapat upah, tukang masak kenduri ni juga dapat pelbagai jenis hadiah dari pihak tuan rumah, antaranya tuala. Ayah rakan penulis ini menolak beberapa jemputan memasak dari luar kawasan kerana tidak mahu mengganggu rezeki tukang masak di kawasan itu. 

Ilmu yang menarik untuk diamalkan.

Keyboard off.




Thursday, December 14, 2017

Pinjamkan Hatiku

Assalamualaikum.

Unik dalam tipikal. Filem romantik terbaru arahan Osman Ali dan terbitan Nuansa ini datang dengan idea segar walaupun jalan cerita masih klise.

Rating peribadi: 8.5/10

---------------------

PLOT CERITA

Penulis novel, Laila (Ayda Jebat), yang menghidap kanser/barah pulang ke kampungnya untuk menghabiskan sisa hidup bersama nenek sambil mengimbau kenangan semasa dia membesar. Baru saja sampai di kampung, Laila terlanggar seorang penunggang motorsikal di atas jambatan. Lelaki ini kemudiannya didedahkan sebagai Mat Kerengga/Naufal (Shaheizy Sam), budak nakal semasa zaman sekolah. Laila terkejut apabila mengetahui Naufal sudah berhenti merokok.

Laila mula jatuh cinta selepas Naufal menyelamatkannya daripada lemas. Cinta mula berputik di hati mereka dengan Naufal menunjukkan tempat-tempat penting dalam hidupnya. Konflik bermula apabila Dr. Hasnan (Farid Kamil) yang merawat Laila masuk meminang dan diterima ibu bapa Laila. Laila berterus terang tentang hal itu kepada sepupunya (Latifah). Laila pengsan ketika memberitahu hasrat Hasnan kepada Naufal. Laila dibawa ke hospital dan Hasnan memaklumkan penyakit barah Laila sudah merebak ke hati. 

Selepas mendapat penderma hati yang sesuai dan dibedah, Laila mencari Naufal yang ditunjuk oleh Hasnan sedang terlantar di unit rawatan rapi (ICU) kerana barah paru-paru sudah merebak ke jantung. Laila setia menjaga Naufal setiap hari. Satu hari, Hasnan memberitahu Mak Besah (mak Naufal) bahawa Naufal sudah tiada harapan dan Mak Besah mengambil keputusan membawa Naufal pulang ke rumah mereka walaupun tidak dipersetujui Laila. 

Mak Besah kemudian menemui Laila untuk memaklumkan Naufal telah meninggal dunia dan menyampaikan hajat Naufal supaya Laila terus gembira dalam hidup. Laila mengahwini Hasnan dan berpindah ke luar negara. Selepas setahun, Laila masih tak dapat melupakan Naufal. Laila menimbulkan kemarahan Hasnan apabila menceritakan kisah novelnya yang sangat mirip dengan kisah hidupnya. Laila menyatakan dia masih 'hidup dalam nafas-nafas rindu'. 

Hasnan mendedahkan satu rahsia bahawa penderma hati untuk Laila sebenarnya adalah Naufal. Selepas setahun berkahwin, Hasnan menceraikan Laila kerana tahu Laila masih sayangkan Naufal. Apabila pulang ke tanah air, Latifah menunjukkan tempat Arman (adik Naufal) busking di ibu kota. Arman membawa Laila dan Latifah ke rumah Mak Besar (mereka berpindah). Laila meminta izin Mak Besah untuk menziarahi kubur Naufal. 

Arman membawa Laila bertemu dengan tubuh Naufal sendiri yang sebenarnya masih hidup. Naufal sedang terbaring sayu di pondok sambil menyanyi lagu cinta dia dan Laila (rujuk bawah). Laila kemudian mengahwini Naufal. Semasa Laila hamil, keadaan Naufal semakin teruk. Naufal nazak dan meninggal dunia pada malam ketika Laila melahirkan anak mereka, Ahmad Nubhan. Filem ini ditamatkan dengan Laila Safitri menerbitkan novel 'Pinjamkan Hatiku' dan ternampak seorang peminat yang iras arwah suaminya (juga lakonan Shaheizy Sam).

-----------------------

LAGU CINTA

'Matamu, bersinar bagai pelangi
ingin kulukis wajahmu
buat peneman mimpi
Izinkan aku, pinjam hatimu
agar dapat kurasa
bagaimanakah cinta.'

Ada orang kritik kerana lagu ni diulang-ulang untuk babak-babak cinta dan juga sedih antara Laila dan Naufal. Secara peribadi, penulis suka dan tersentuh setiap kali lagu ni dimainkan. Walaupun ada unsur pengulangan, ia tetap relevan. Bagi pasangan bercinta, mereka ada lagu tema yang menjadi melodi dalam berkasih. 

----------------

Penulis rasa, permainan emosi berjaya menyentuh hati penonton dengan begitu baik. Babak paling sedih sudah tentu ketika Hasnan (Farid Kamil) melepaskan Laila kerana tidak mampu membuat Laila mencintainya. Betapa tulus cinta Hasnan yang sedar dia tak dapat membahagiakan Laila.

Ada beberapa perkara yang wajar dipuji. Satu, pemandangan dalam filem ini sangat cantik. Damai mata memandang. Sudut kamera juga memainkan peranan penting. Nada muzik pula 'lazat' di telinga. Penulis juga suka dengan elemen kekeluargaan dalam filem ini. Watak keluarga kecil Naufal meriah dengan adanya watak lucu Pak Ngah Din dan juga Tok Aki serta Tok Bunga. 

Ramai penonton yang mengatakan filem ini penuh dengan ayat-ayat 'manis'. Tak dapat dinafikan. Memang manis tahap boleh potong kaki. Antara madah yang penulis suka:

'Suara hati adalah lirik yang paling jujur.'

'Semua orang mati, tapi biarlah cinta menjadi roh yang hidup buat selamanya.'

'Aku tak singgah. Aku nak hidup dalam hati kau buat selamanya.'

Unsur cinta sejati dalam filem ini juga sangat menebal. Cinta Naufal pada Laila sehingga sanggup menderma hatinya dan melepaskan Laila untuk mengahwini Hasnan demi kebahagiaan Laila. Cinta tulus Laila untuk Naufal walaupun dia tahu Naufal sudah meninggal dunia. Cinta Hasnan untuk Laila sehingga sanggup mencuba sehabis daya untuk memikat Laila, dan sanggup menceraikan Laila bila dia tahu Laila tetap sayangkan Naufal.

Terima kasih Osman Ali. Terima kasih Laila dan Naufal. Kisah cinta 'Pinjamkan Hatiku' yang bukan biasa-biasa.




Wednesday, December 13, 2017

Durjana

Assalamualaikum.

Penulis kini sedang berada dalam posting Dermatologi yang berkenaan dengan penyakit kulit. Penulis dan ahli kumpulan kecil yang lain mengikut doktor pakar dan pegawai perubatan bergerak dari wad ke wad untuk melihat pesakit-pesakit yang dirujuk kerana menghadapi masalah berkaitan kulit.

Bukan saja di wad perubatan, malah di wad kanak-kanak juga....

----------------

Budak tu sangat menarik perhatian. Terlalu ramah. Dia berbual dengan mak seorang pesakit kanak-kanak di katil sebelah sambil cuba membuka plastik lauk yang dibeli. Kemudian dia berlari meminta pinggan dari jururawat. Riuh. 

Aku pun tak fokus dengan perbincangan doktor tentang seorang kanak-kanak dengan masalah kulit. Segera aku menghampiri katil budak tadi.

"Masuk sebab apa ni?" Saja berbasa-basi.

"Kena rogol."

What?! I didn't expect that coming. Caught off guard.

Nak percaya ke tak ni? Budak ni macam lelaki. Aku belek tiga empat lima kali untuk pastikan aku tak salah dengar sebentar tadi. Tak mungkin aku bermimpi di siang hari. Biar betul budak ni.

"Kena rogol?" Aku ulang semula. Dia angguk.

"Serius??" Aku cuba pastikan lagi. Dia angguk lagi.

Nampak macam budak lelaki ni.

"Nama apa?"

"Helena (bukan nama sebenar?"

"Siapa rogol?"

"Abang."

"Adik umur berapa?"

"9 tahun."

God, this is not right. Dia tenang pada usianya. Aku biarkan dia yang terus bersemangat untuk menikmati makanan. 

---------------

Round tamat dan para doktor bergerak pulang ke klinik. Sebelum keluar dari wad, aku sempat melihat bed-head ticket (BHT) budak tadi. Benarlah, dia tak menipu. Di awal BST lagi aku nampak ini kes polis. Aku baca sejarah pesakit yang diambil di unit kecemasan.

Vaginal penetration. Oral. Sodomy. Multiple times a day for the past two months

Abang atau binatang?

"A child's voice, however honest and true is meaningless to those who have forgotten how to listen." (petikan dari novel Harry Potter karya J.K. Rowling)

Mujurlah budak tadi berani untuk membuka mulut, dan mujur juga ibunya percaya. Abangnya yang durjana dah lari dari rumah. 

Moga adik tu selamat dunia dan akhirat. Dia masih muda, dan dia berhak untuk hidup normal seperti kanak-kanak lain.

Keyboard off.



Monday, December 11, 2017

Undian Maut

Assalamualaikum.

Petang tadi (waktu Malaysia), 16 pasukan yang masih tinggal telah diundi untuk merebut lapan slot terakhir. Peraturan undian boleh dibaca di sini.


Pasukan-pasukan yang menjadi naib juara kumpulan masing-masing (termasuk Real Madrid, Bayern Munich, dan Juventus) akan beraksi di tempat sendiri dalam perlawanan pertama. Semua juara kumpulan mendapat kelebihan untuk beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan kedua. Keputusan penuh undian:

Juventus (Itali) vs Tottenham Hotspurs (England)
Basel (Switzerland) vs Manchester City (England)
Porto (Portugal) vs Liverpool (England)
Sevilla (Sepanyol) vs Manchester United (England)
Real Madrid (Sepanyol) vs Paris Saint-Germain (Perancis)
Shakhtar Donetsk (Ukraine) vs AS Roma (Itali)
Chelsea (England) vs Barcelona (Sepanyol)
Bayern Munich (Jerman) vs Besiktas (Turki)

------------------

Perlawanan yang paling ditunggu-tunggu hasil undian ini pastilah pertembungan dua gergasi antara juara bertahan, Real Madrid dan pasukan yang digeruni, Paris Saint-Germain. Real yang sekadar di tempat kedua Kumpulan F kini perlu melepasi halangan sukar dalam undian maut.

Perlawanan menarik seterusnya adalah pertembungan Chelsea dan Barcelona. Undian ini boleh dianggap maut dan malang bagi Chelsea kerana Barca sedang berada di prestasi terbaik. Namun, statistik menunjukkan Lionel Messi tidak mempunyai rekod baik berdepan Chelsea. 

Perlawanan antara Juventus dan Tottenham juga pasti mencuri tumpuan. Pasukan berbelanja besar bimbingan Pep Guardiola, Manchester City, mendapat undian mudah. Begitu juga laluan mudah untuk Bayern Munich dan Manchester United. Perlawanan seimbang untuk Shakhtar Donetsk menentang Roma.

Aksi pusingan kalah mati ini hanya akan bersambung pada bulan Februari. Format timbal balas dengan pentingnya peraturan gol di tempat lawan. Lapan pasukan yang akan bersaing di suku akhir masih menjadi teka-teki.

Keyboard off.




Undian Pusingan Kedua

Assalamualaikum.

Dari 32 pasukan, hanya tinggal 16 saja untuk merebut gelaran Liga Juara-Juara Eropah musim 2017/2018. 


Balang 1 (pemenang kumpulan)
Manchester United (England)
Paris Saint-Germain (Perancis)
Roma (Itali)
Barcelona (Sepanyol)
Liverpool (England)
Manchester City (England)
Besiktas (Turki)
Tottenham Hotspurs (England)

Balang 2 (naib juara kumpulan)
Basel (Switzerland)
Bayern Munich (Jerman)
Chelsea (England)
Juventus (Itali)
Sevilla (Sepanyol)
Shakhtar Donetsk (Ukraine)
Porto (Portugal)
Real Madrid (Sepanyol)

Juventus, Real Madrid, Chelsea, dan Bayern Munich adalah antara pasukan kuat yang berada dalam balang kedua dan akan bertemu salah satu pemenang kumpulan. Terdapat dua peraturan penting sebagai had undian:

(1) Pasukan dari negara yang sama tidak akan bertemu sesama sendiri, bermakna Chelsea tidak akan bertemu mana-mana empat pemenang kumpulan dari England.

(2) Pasukan dari kumpulan yang sama tidak akan bertemu lagi di pusingan kedua, bermakna Chelsea tidak akan diundi bertemu Roma.

Ini bermakna hanya tinggal tiga kemungkinan untuk Chelsea iaitu PSG, Barcelona, dan Besiktas. 





Kalah Derby

Assalamualaikum.

It doesn't feel good to wake up in the morning after your favorite team lost in one of the biggest derby in the world, and perhaps the title-deciding match of the season.

Sebelum sepak mula perlawanan, Manchester United selaku tuan rumah berada lapan mata di belakang pasukan pelawat. Keputusan pencabar-pencabar lain menyaksikan hanya Tottenham mengutip tiga mata penuh. Arsenal dan Liverpool hanya mampu seri menentang lawan masing-masing. Chelsea pula tersungkur di gelanggang West Ham. Kemenangan akan merapatkan jurang dan memastikan perebutan kejuaraan terus rancak.

Manchester United turun tanpa bintang utama, Paul Pogba, yang memulakan hukuman digantung tiga perlawanan selepas menerima kad merah dalam kemenangan menentang Arsenal. Tanpa Pogba, misi United seperti mendaki gunung yang tinggi.

Keputusan akhir: Manchester United 1-2 Manchester City

Seperti dijangka, City mendominasi penguasaan bola. Namun, kemenangan City hanya berpunca dari kesilapan individu Romelu Lukaku. Gol pertama berpunca sepakan penjuru Kevin De Bruyne, Lukaku tertanduk bola ke arah gawang sendiri. Bola melantun dan David Silva bertindak paling pantas menewaskan David De Gea.

Manchester United berjaya mengikat kedudukan sebelum rehat menerusi penyudah tenang Marcus Rashford yang merembat padu ke penjuru bawah gawang selepas satu hantaran jauh dari rakan sepasukan. 

Gol kedua dan kemenangan City sekali lagi disebabkan oleh Lukaku. Dia cuba menyepak keluar bola dari sepakan percuma City tetapi terkena rakan sepasukan dan bola singgah di depan Nicolas Otamendi.

United tidak bernasib baik kerana pengadil berat sebelah kepada City. David Silva yang menerjah Ander Herrera dengan kasar tidak dilayangkan kad kuning. Dalam satu situasi yang lain dalam kotak penalti, Ander Herrera menerima kad kuning selepas dijatuhkan Otamendi. Herrera diberikan amaran untuk simulasi sedangkan ulang tayang jelas menunjukkan dia dikasari. 

Manchester City menghabiskan baki permainan dengan taktik membuang masa dan membawa bola ke penjuru padang. Taktik yang penakut dan tidak melambangkan falsafah tiki taka yang dilaungkan oleh Pep Guardiola.

Kemenangan City bermakna jurang dilebarkan menjadi 11 mata. Jika City konsisten dalam baki 22 perlawanan, mereka akan ditabalkan sebagai juara liga menggantikan Chelsea. Manchester United kini di tangga kedua liga dan terpaksa mengharapkan bencana besar menimpa pasukan City. Tuah City akan habis jua kerana pemain utama belum mengalami kecederaan.

Lupakan saja kekalahan semalam. Jalan dari sini hanya ke arah depan. Sasarkan kemenangan satu demi satu. City akan kehilangan tuah mereka dan pasti akan kalah. Namun, bila mereka kalah, Manchester United mesti mengambil peluang dan menang untuk terus mencabar kejuaraan liga domestik.

Keyboard off.




Saturday, December 9, 2017

AGT: Grand Final

Assalamualaikum.

Episod kesembilan, Grand Final.

Sembilan peserta akhir akan merebut hadiah utama 100,000 dolar Amerika Syarikat. Tiga peserta layak dari setiap sesi separuh akhir. Satu layak secara automatik setiap minggu (Pilihan Juri) dan dua layak setiap minggu menerusi undian penonton. Pilihan Juri bukan bermakna mereka yang terbaik.

Dua peserta terakhir yang mendapat undian terbanyak dari separuh akhir ketiga diumumkan sebelum aksi final bermula. Berikut adalah ulasan peserta yang membuat persembahan.

-------------------------------

1) Urban Crew (Filipina)
Persembahan pembukaan bertenaga dengan aksi akrobatik yang berani. Sangat tersusun. Koreografi yang cantik. Peningkatan berbanding aksi di episod separuh akhir. Aksi agak gila apabila melompat ke bawah pentas. Aksi-aksi berbahaya yang dilakukan menggerunkan para juri dan penonton. Menghiburkan, dan mendapat penghormatan berdiri dari juri. Rating 8.5/10.

Jay: "You guys definitely stepped it up. Almost flawless performance, but you guys blew me away. When you guys flipped off the stage, crazy."

Anggun: "My heart beats so fast. I was so afraid of you, but you know what, that was such a solid performance again. During the semi final, there were some mistakes but tonight you delivered."

David: "You know what, we keep getting asked this question like, 'what do you wanna tell the act so that they can shine?'. And we always wanna say they just need to do better than before. I don't know how you did it but you did better than you did before. It was just amazing. You're not only changing young kids' lives but you're changing your own lives right in front of us as we see it."

---------

2) Angela July (Indonesia, pilihan juri)
Latar belakang yang menarik ketika Angela menyanyikan lagu 'Skyfall' sambil bermain harp. Nada yang baik seperti biasa. Suara yang dinamik dan indah. Menunjukkan peningkatan berbanding persembahan yang lepas. Nada tinggi yang memukau. Rating 9/10.

David: "Angela, you know in your video package you said 'go big or go home'. And you chose to go big. Thank you so much for that great performance."

Jay: "Usually you show us more softer, more elegant side. But today you more charismatic. I love it. I think you showed us why you deserve to be here today."

Anggun: "First of all, that dress is commitment. That is one dress to die for. You know Angela, you are the true example of millions of people in this side of the world who have undeniable talent, but they have full-time job. You are stay at home mom which is the most important job in the world. I'm so happy that you're here. I'm so happy that your family supports you because otherwise we wouldn't have seen this magical moment that was really beautiful."

--------

3) Canion Shijirbat (Mongolia)
Tarian yang digabungkan dengan latar belakang digital. Pembikinan yang memakan masa. Sangat kreatif dan sangat berbakat. Persembahan lebih baik dari yang ditunjukkan di separuh akhir. Persembahan yang sangat bermakna baginya kerana dapat melamar isterinya di depan seluruh Asia. Persembahan ditamatkan dengan 'Will you marry me?'. Rating 9.5/10.

Jay: " You definitely stepped it up with your graphics, your creativity. And whether you win this competition or not, you should be proud of yourself. I think Mongolia should be proud of you and your wife should be proud of you because that was a great performance."

Anggun: "I want that kind of proposal, anytime. No, really. First of all, congratulations to you and your wife. Again, for me, you are showing another side of Mongolia. This is the modern side, the very talented side and congratulations. Your country must be very proud of you."

David: "You know i'm kind of known as the dream crusher and we've spent the last few months with this panel. Whether they say no or yes is very important. But what we say doesn't matter isn't it? The only thing that matter is that you got the yes from that fella back there. The most important yes of all! You did great, man! You made all the Mongolians proud. Thank you very much. David. The name is David."

------------------

4) The Sacred Riana (Indonesia)
Tidak mengecewakan walaupun persembahan kali ini sedikit mengambil masa. Riana memulakan persembahan dengan memindahkan corak bintang dari kertas yang dibakar ke tangan Anggun. Riana menyeru zombi yang keluar dari kotak. Riana masuk ke kotak tersebut, hilang, dan muncul semula di belakang juri. Persembahan yang unik dan menggerunkan. Rating 8/10.

Anggun: "Riana, I don't know what is it with me? Why? You have these two (Jay and David). One thing. Riana, that was spectacular. That was spectacular! Really. I'm still very much afraid of you. I'm super scared of you but I have to say. I'm becoming, you turn me into your absolute fan. It's a bit weird."

David: "Well you know, Riana. Throughout this whole process with Asia's Got Talent this season has become the one that everybody wants to see and everybody wants to watch. She becomes the most anticipated act of all the acts that we've seen over the last few months. Today, tonight, she did not disappoint. She killed it! Literally."

Jay: "After you know, watching your semis, I'm glad I came prepared today and I wore diaper. I mean, you are very unique and I was very entertained and frightened at the same time. Great job."

-----------------

5) Sobhi Shaker (Malaysia)
Satu lagi persembahan menarik dari ahli magik yang berasal dari Syria ini. Helah kad yang penuh dengan mesej penting dan besar. Sobhi menceritakan tentang mimpinya yang musnah dan bagaimana dia bangkit semula. Satu helah di mana Sobhi mencantumkan semula kad yang telah dikoyak. Sobhi terus konsisten dan antara peserta terbaik musim ini. Rating 9.5/10.

David: "You know Sobhi, obviously the message is just so profound and your life experience is so profound. You're a magician but you yourself are magic."

Jay: "Looking good, bro. I like the suit. But you know, I love talent. But I always like to stand behind someone who uses the talent for good. And I think that's you. So good job."

Anggun: "Sobhi, I think more than ever, we need artists, we need performers like you to convey this message of love and unity. Because we need that kind of reminder constantly in the world that we're living right now. I hope people vote massively for you. I really hope so."

------------

6) Neil Rey Garcia Llanes (Filipina)
Persembahan Neil juga lebih baik dari aksi separuh akhir. Persembahan beatbox penuh kelas. Sukar dipercayai bagaimana Neil bernafas. Memulakan aksi sebagai DJ yang berdepan masalah teknikal. Neil seterusnya menampilkan kombinasi 10 bunyi berbeza, lebih banyak dari sebelum ini. Lebih mengagumkan apabila Neil menambah koreografi tarian dalam persembahan. Rating 9.5/10.

Jay: "Mabuhay! Neil, I think you are definitely a natural-born performer. I think you have a long career ahead of you, bro. Good job."

Anggun: "Well, I still don't know how do you manage to breathe. It's almost as if you're an alien that you have more vocal cords than you know, other human beings. Really, that performance was something."

David: "I just have one word for you. It was so clever. It was so clever. I was so impressed. You said you gonna bring it. You brought it. You went from six to ten sounds. Bravo, man."

--------------- 

7) ADEM Dance Crew (Kyrgyzstan)
Memulakan persembahan ala robot di tempat kerja. Seterusnya mempamerkan kelenturan badan yang sukar dipercayai. Tiga orang ahli keluar meninggalkan seorang saja meneruskan persembahan solo dengan kelembutan. Penutup persembahan yang sentimental. Kurang rancak berbanding separuh akhir. Rating 8.5/10.

Jay: "Yeah I mean, each time you guys are so precise, so clean, so dope. This time around, you went for more sentimental ending. I thought that was great. I think you guys really brought it. Good job."

Anggun: "Yes, you know honestly, I'm one of those people who used to think that Kyrgyzstan is one of those discrete countries from over there, from somewhere. But now, thanks to you. I think of Kyrgyzstan as home of incredibly, insanely talented dancers. It's crazy what you can do. I mean, come on. You turn yourselves into human pretzels. It's crazy."

David: "You know, I've made a living hopefully with my heart. And you guys showed so much hearts out there. I love the story. It wasn't just the moves that are obviously insane and I don't know how you did them. But the heart of your story was so beautiful. So thank you for sharing. If I was sitting at home right now, I'd vote for you guys."

--------------

8) Feng E (Taiwan, pilihan juri)
Latar belakang yang menarik. Pilihan muzik yang catchy. Sangat tenang dan yakin pada usianya yang muda. Benar-benar bakat besar untuk masa depan. Menggunakan gitar akustik dan ukelele elektrik, Feng E memperlahankan rentak persembahan di tengah sebelum menamatkan persembahan dengan meningkatkan tempo. Peserta cilik yang hebat. Rating 9/10.

David: "Dude, I hate to interrupt but I showed your tape to John Mayer and he was blown away. And I wanna tell you. You're like Hendrix. In ten years, you're gonna be famous. Promise."

Jay: "Yo Feng E, you get better each time we see you. And you're a true testament to the saying 'the sky is the limit'. The sky really is the limit for you. Good job."

Anggun: "Feng E, such huge talent in such small package. We see that you had fun on stage and that is a true performer when we can feel that. So I think you were born to be a performer. You were born to be on that stage."

------------ 

9) DM-X Comvalenoz (Filipina, pilihan juri)
Cuba untuk membenci mereka tapi terpaksa mengakui persembahan mereka hebat sekali lagi. Latar belakang yang terang. Persembahan yang gila-gila, bertenaga, seksi, dan kelakar. Aksi mereka dengan lagu 'Despacito' sangat menghiburkan. Persembahan penutup yang terbaik. Walaupun bukan peserta kegemaran penulis, DMX tidak mengecewakan. Mereka mendapat sorakan padu penonton sebaik saja menamatkan persembahan. Rating 9.5/10.

Jay: "You know, it still amazes me that you rock the most prettiest, feminine dresses with armpit hair. And for me, I think you guys deserve to win the whole competition."

Anggun: "You know what, I was really looking forward to your performance because you never fail to impress me. I absolutely love the energy, I love the skill, I love the sexiness, I love the humour, I love everything. DMX, you rock my world!"

David: "I would say everything that my fellow judges have said. And then finally, I'm just so confused because I don't know whether I should hire you as my bodyguards or I should date you. I just don't know which. It was really, really spectacular!"

--------------------------------

Hebat-hebat belaka persembahan semua peserta di Grand Final. Keputusan sepenuhnya di tangan penonton dengan undian akan dibuka selama enam hari sehingga tengah malam hari Khamis waktu Singapura. Juri tiada bahagian langsung dalam penentuan juara.

Peserta dengan undian terbanyak akan bergelar juara Asia's Got Talent musim kedua dan membawa pulang hadiah utama 100,000 dolar Amerika Syarikat.

Ranking peribadi penulis:
1) Canon Shijirbat (Mongolia)
2) DM-X Comvalenoz (Filipina)
3) Sobhi Shaker (Malaysia)
4) Neil Rey Garcia Llanes (Filipina)
5) Angela July (Indonesia)
6) Feng E (Taiwan)
7) Urban Crew (Filipina)
8) The Sacred Riana (Indonesia)
9) ADEM Dance Crew (Kyrgyzstan)

Bagi penulis, persembahan Canion Shijirbat adalah bukti kebijaksanaan dan kreativiti satu bakat besar dari Mongolia. DM-X dengan gabungan beberapa makhluk gila-gila, Sobhi dengan magisnya, Neil dengan bakat beatbox. Canion sangat luar biasa.

Namun, kelihatan seperti The Sacred Riana hampir pasti menang. Video persembahan final Riana sudah melepasi dua juta tontonan, jauh meninggalkan jumlah tontonan peserta final yang lain. Riana mendapat sokongan padu penduduk Indonesia selain peminatnya yang lain di seluruh Asia.

Walaupun Sobhi tidak muncul juara musim kedua Asia's Got Talent, dia sudah menang di hati penulis. Begitu juga Canion dengan kreativiti yang berada di planet lain.

Keyboard off.




Thursday, December 7, 2017

UCL 17/18 #6

Assalamualaikum.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah untuk musim ini. Senarai penuh 16 pasukan yang layak ke pusingan kalah mati sudah diketahui. 

------------------------

KUMPULAN A
Manchester United 2-1 CSKA Moscow
Benfica 0-2 Basel

KUMPULAN B
Celtic 0-1 Anderlecht
Bayern 3-1 Paris Saint-Germain

KUMPULAN C
Roma 1-0 Qarabag
Chelsea 1-1 Atletico Madrid

KUMPULAN D
Olympiacos 0-2 Juventus
Barcelona 2-0 Sporting Lisbon

KUMPULAN E
Liverpool 7-0 Spartak Moscow
Maribor 1-1 Sevilla

KUMPULAN F
Shakhtar 2-1 Manchester City
Feyenoord 2-1 Napoli

KUMPULAN G
Porto 5-2 Monaco
Leipzig 1-2 Besiktas

KUMPULAN H
Tottenham 3-0 APOEL
Real Madrid 3-2 Dortmund

----------------------------------


Senarai pasukan yang layak dari setiap kumpulan:

A: Manchester United (England), Basel (Switzerland)
B: Paris Saint-Germain (Perancis), Bayern Munich (Jerman)
C: Roma (Itali), Chelsea (England)
D: Barcelona (Sepanyol), Juventus (Itali)
E: Liverpool (England), Sevilla (Sepanyol)
F: Manchester City (England), Shakhtar Donetsk (Ukraine)
G: Besiktas (Turki), Porto (Portugal)
H: Tottenham Hotspurs (England), Real Madrid (Sepanyol)

Buat kali pertama dalam sejarah, England akan memiliki lima wakil di peringkat kalah mati. Sepanyol mengikuti dengan tiga wakil, Itali dengan dua wakil, dan masing-masing satu dari Ukraine, Turki, Portugal, Perancis, Jerman, dan Switzerland.

Empat pasukan England memenangi kumpulan mereka, menunjukkan peningkatan kualiti Liga Perdana Inggeris. Empat lagi kumpulan dimenangi pasukan dari negara Perancis, Itali, Sepanyol, dan Turki. Chelsea (England) hampir memenangi Kumpulan C tetapi dipintas pada perlawanan terakhir. Chelsea pada pusingan kedua (enam belas terbaik) akan berdepan salah satu pemenang kumpulan, tetapi bukan dari negara yang sama. Bermakna kemungkinan lawan Chelsea ialah PSG, Roma, Besiktas, dan Barcelona.

------------------------------

Senarai pasukan yang turun ke Liga Europa dari setiap kumpulan:
A: CSKA Moscow (Rusia)
B: Celtic (Scotland)
C: Atletico Madrid (Sepanyol)
D: Sporting Lisbon (Portugal)
E: Spartak Moscow (Rusia)
F: Napoli (Itali)
G: Leipzig (Jerman)
H: Borussia Dortmund (Jerman)

Dua wakil Rusia dan dua wakil Jerman antara lapan pasukan yang akan meneruskan perjuangan dalam Liga Europa. Scotland, Portugal, Sepanyol, dan Itali masing-masing mempunyai satu wakil.

-------------------------

Undian untuk pusingan kalah mati akan dilakukan hari Isnin nanti. Tumpuan peminat seluruh dunia akan terarah pada Manchester derby pada hari Ahad antara dua kelab gergasi dunia ketika ini.

Keyboard off.




Monday, December 4, 2017

Coco

Assalamualaikum.

Entri ini bukan tentang King Coco yang dah ada anak pun sejak kontroversi dulu. Entri ini untuk mempromosi filem animasi Disney dan Pixar terbaru, Coco. Masih ditayangkan di pawagam.

Rating IMDb: 9/10
Rating penulis: 9.5/10

Filem ini tidak boleh dibandingkan dengan Moana, Zootopia atau Inside Out kerana mesej yang dibawa filem ini berbeza. Mesej yang sangat besar.

----------------------

Sebelum tayangan filem Coco dimulakan, terdapat satu filem pendek Disney yang terpaksa ditonton oleh semua penonton (sudah dimaklumkan semasa pembelian tiket di kaunter). Filem 'Frozen' (yang penulis tidak pernah tonton sebelum ini) untuk musim perayaan Krismas yang akan tiba tak lama lagi. Tentang Olaf yang cuba mencari tradisi keluarga untuk Anna dan Elsa. Menghiburkan dengan lirik yang berirama.

-----------------------

Filem Coco dimulakan dengan penceritaan satu kisah silam di mana seorang ahli muzik telah meninggalkan keluarganya demi mengejar impian. Isterinya yang ditinggalkan (Imelda) telah membina empayar pembuatan kasut yang dijadikan perniagaan keluarga. Imelda telah mengharamkan muzik kerana dianggap sebagai sumpahan yang dapat memusnahkan keluarga. Imelda mempunyai anak perempuan bernama Coco dan cucu bernama Abuelita. Ya, Coco bukanlah hero dalam filem ini (kanak-kanak lelaki), tetapi Coco ialah moyangnya!

Hero filem ini ialah Miguel, kanak-kanak yang meminati muzik walaupun muzik dibenci ahli keluarganya. Miguel sangat menyanjung Ernesto De La Cruz, ahli muzik Mexico yang terkenal. Semasa ingin menyertai satu pertandingan muzik, gitar Miguel telah dipecahkan oleh Abuelita. Miguel cuba mencuri gitar Ernesto dalam satu bangunan tetapi sesuatu yang aneh berlaku kepada Miguel. Dia dapat melihat alam kematian!

Miguel dapat melihat roh pak cik dan mak ciknya kerana Dia de Muertos (Hari Orang Mati) di mana roh orang yang telah mati kembali ke rumah keluarga (kepercayaan masyarakat Mexico). Miguel telah dibawa ke Alam Orang Mati menyeberangi jambatan. Dia telah bertemu Imelda (ibu Coco). Imelda tidak dapat menyeberangi jambatan kerana gambarnya tak berada di rumah keluarganya. Rupa-rupanya, gambar itu telah dibawa oleh Miguel di dalam poket seluar.

Miguel perlu mendapat keberkatan dari keluarganya untuk kembali ke dunia nyata. Imelda bersetuju memberikan keberkatan (melalui daun) dengan syarat Miguel berjanji tidak akan main muzik lagi. Miguel pura-pura bersetuju dan kembali ke dunia realiti. Namun dia mungkir syarat itu dengan berniat untuk terus bertanding dalam pertandingan. Miguel kembali ke depan Imelda sebaik saja menyentuh gitar Ernesto.

Miguel meminta keberkatan dari ahli keluarga lain (mak cik dan pak cik) tapi mereka semua takut kepada Imelda. Miguel lari dari keluarganya dan bertemu Hector, seorang lelaki yang juga tidak dapat menyeberangi jambatan kerana gambarnya tiada di dunia nyata. Imelda telah meminta Pepita, seekor haiwan pembantu roh untuk mengesan bau Miguel. Miguel pula berhasrat mendapatkan keberkatan moyangnya, Ernesto. Dia perlu memenangi pertandingan nyanyian untuk dapat bertemu Ernesto di istana.

Hector yang mengenali Ernesto bersetuju untuk membantu Miguel dengan syarat Miguel meletakkan gambarnya di dunia nyata. Mereka mencari gitar dan Hector menunjukkan kemampuannya bermain muzik dengan gitar Chicarron. Miguel melihat sendiri bagaimana roh Chicarron lenyap (kematian terakhir) kerana sudah tiada yang mengingatinya di dunia nyata. Itu sebabnya Hector mahu gambarnya dibawa pulang oleh Miguel.

Miguel lari kerana tak mahu membantu Hector. Imelda berjaya menjejak Miguel. Imelda menceritakan betapa dia pernah suka bernyanyi bersama suaminya (sebelum ditinggalkan) tapi Imelda mahu membina keluarga selepas kelahiran Coco. Miguel berjaya melarikan diri dari Imelda dan sampai ke istana Ernesto. Miguel berjaya memasuki parti selepas dibantu oleh pemenang pertandingan muzik.

Miguel dapat menemui Ernesto yang bangga kerana dia mempunyai cicit. Ketika Ernesto ingin memberi keberkatan dan menghantar Miguel pulang ke dunia nyata, tiba-tiba Hector muncul (melalui penyamaran). Memang Ernesto mengenali Hector. Terbongkar rahsia Ernesto telah meracuni Hector di hayatnya dulu apabila satu kata-kata Hector dikenali oleh Miguel sebagai dialog filem Ernesto. Dalam filem itu, watak antagonis telah meracun rakannya. Rupa-rupanya, Hector dibunuh kerana cuba untuk lari dari persembahan untuk pulang bertemu keluarga.

Ernesto mencuri buku lirik Hector. Ernesto hanya berkata 'kejayaan tak datang percuma'. Ernesto mengurung Miguel kerana tidak mahu reputasinya tercalar. Hector bertemu Miguel dalam kurungan dan menyatakan hasrat untuk balik bertemu anaknya, Coco.

PLOT TWIST YANG SANGAT HEBAT!

Rupa-rupanya, Miguel telah tersalah sangka selama ini. Moyangnya ialah Hector dan bukan Ernesto. Kepala moyangnya telah dikoyak dari gambar. Lagu 'Remember Me' yang dipopularkan oleh Ernesto sebenarnya dicipta oleh Hector ketika meninggalkan Coco untuk cita-citanya. Ketika dibunuh, Hector sebenarnya ingin pulang kerana rindukan Coco. Ernesto mencuri buku lagu dan juga gitar Hector (yang dilihat oleh Miguel dalam gambar).

Dante (anjing liar) telah mengesan Miguel dan Pepita membantu Miguel dan Hector keluar dari kurungan. Imelda masih marahkan Hector yang sebenarnya cuba balik sebelum dia dibunuh. Roh Hector hampir lenyap kerana Coco yang sudah tua hampir lupa padanya. Tidak ada siapa lagi di dunia yang mengingati Hector. Mereka mengejar Ernesto di konsertnya untuk mendapatkan gambar Hector yang disimpan dalam poket Ernesto. Imelda meminta gambar dari Ernesto dan memanggil Hector sebagai 'love of my life' (cinta sepanjang hayat).

Di atas pentas, Imelda menyanyi sambil Hector bermain gitar, ketika mereka dikejar pengawal keselamatan. Miguel hampir dihantar pulang dengan keberkatan Imelda sambil membawa gambar Hector, tapi disekat oleh Ernesto. Pengakuan Ernesto tentang dosanya dipancarkan ke depan semua penonton konsert. Miguel kemudian berjaya dihantar ke dunia nyata. Miguel pantas mencari Coco dan memainkan lagu Remember Me dengan gitarnya. Coco yang ada masalah ingatan dapat menyanyikan lagu itu bersama. Coco masih ingat tentang Hector. Coco mengeluarkan gambar kepala Hector yang disimpannya.

Rupa-rupanya, surat-surat Hector Rivera untuk anaknya, Coco, ada lirik-lirik lagu yang ditulisnya. Pada tahun berikutnya, roh Hector dapat menyeberang jambatan bersama roh anaknya yang telah meninggal dunia. Mereka kembali ke rumah keluarga pada Dia de Muertos.

Penamat yang indah.

"Remember me, though i have to say goodbye,
Remember me, don't let it make you cry."

 -------------------------------

Satu filem yang indah dan sesuai ditonton seisi keluarga.


Sunday, December 3, 2017

Batchmate Nikah

Assalamualaikum.

Semalam penulis berkesempatan ke Shah Alam untuk majlis persandingan rakan satu batch yang baru dinikahkan hari Jumaat lepas. Penulis sebenarnya terlupa langsung. Memandangkan rakan serumah (yang juga batchmates) dah ingatkan, penulis bergerak bersama mereka. Kami berempat dalam satu kereta.

Batchmates a.k.a housemates

Kenduri kahwin ini diadakan di Dewan Raja Muda Musa. Memang meriah dengan saiznya yang luas gila. Makanan juga sedap-sedap belaka. 

Bersama pengantin

Tahniah Fatin kerana memilih ikatan halal. Rasanya rakan batch pertama yang mendirikan rumah tangga sejak penulis berada di clinical school. Tak ada salahnya sebab kami pun dah berada di tahun terakhir pengajian.



Malu juga penulis bila melihat dua rakan berbangsa Cina datang ke kenduri dengan memakai baju Melayu. Penulis sendiri hanya memakai T-shirt. Semangat perpaduan dan rasa hormat mereka wajar dipuji. Insya-Allah kalau tiada halangan, penulis akan ke majlis perkahwinan mereka dengan memakai baju tradisional masyarakat Cina pula sebagai tanda hormat.

--------------------------------

Selepas kenyang dan sudah bergambar dengan pengantin, kami berempat dan dua orang lagi rakan serumah (datang dari program di Port Dickson) mengambil keputusan untuk bersiar-siar di Sunway Pyramid. Mereka rancang nak bermain luncur ais. Penulis tak minat sangat sebab tak berapa nak reti meluncur. 

Kemudian mereka nak bermain memanah pula. Tapi keputusan akhir adalah untuk bermain di Mission Q dalam permainan escape room. Kami akan cuba mencari jalan keluar dari satu bilik dengan menyelesaikan masalah. Mahal juga harganya untuk satu kepala.

Selepas solat Asar di surau, kami berenam pun memulakan misi (besar) untuk memecahkan rekod terpantas. Kami memilih bilik dengan kesukaran sederhana kerana masih baru dengan permainan ini. Masa maksimum sejam diberikan untuk keluar dari bilik.

Nyata kami tak ada idea betapa susahnya permainan escape room.

Masa terpantas adalah 25 minit dan masa ketiga terpantas untuk berada di carta adalah 40 minit. Hasrat untuk mencatat rekod dilupakan apabila menyedari sukarnya berada dalam bilik dengan tema seram itu.

Mission accomplished


Akhirnya, kami berjaya keluar selepas 58 minit, hanya dua minit saja sebelum masa tamat. Apa pun, kami tetap berjaya dengan enam otak. 

Tahniah rakan-rakan serumah. Ada rezeki nanti kita main lagi.




Glorious

Assalamualaikum.

Manchester United terpaksa menahan asakan bertubi-tubi dari meriam Arsenal dan David De Gea menampilkan aksi penjaga gol berkelas dunia dengan menyelamatkan gawangnya dari dibolosi 14 kali. It is a massive victory

Turun menentang Arsenal di gelanggang lawan, Stadium Emirates, ramai yang mempersoalkan kemampuan United kerana Arsenal sedang berada di tahap prestasi terbaik secara menyerang dan bertahan. Untuk rekod, Arsenal mengekalkan rekod kemenangan 100% di Emirates musim ini. 

Jose Mourinho memilih formasi 3-4-3 untuk menangani jentera serangan Arsenal dibarisi Alexandre Lacazette, Alexis Sanchez, Mesut Ozil, dan Aaron Ramsey.

David De Gea | Victor Lindelof; Chris Smalling; Marcos Rojo | Antonio Valencia; Paul Pogba; Nemanja Matic; Ashley Young | Anthony Martial; Romelu Lukaku; Jesse Lingard

Manchester United bermula garang dan mendahului 2-0 seawal minit ke-12 hasil kesilapan pertahanan Arsenal. United merampas bola di kawasan Arsenal dan tolakan Paul Pogba disudahkan oleh rembatan padu Antonio Valencia. 

Gol kedua menyusul kemudian. United merampas bola sekali lagi dan satu sentuhan bijak dari Anthony Martial berjaya melepaskan larian Jesse Lingard yang bijak menyempurnakan peluang terhidang. 


Selepas itu, United terpaksa bertahan apabila Arsenal meningkatkan permainan mereka. Para pemain United berkubu di kawasan sendiri dengan serangan bertali arus cuba membocori gawang. Hanya faktor tuah dan ketangkasan De Gea menjadi penyelamat dengan barisan serangan Arsenal mendapat peluang demi peluang di dalam kotak penalti.



Separuh masa pertama tamat dengan Manchester United mendahului 2-0.

---------------------

Arsenal merapatkan jurang apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid United. Apabila satu bola lambung melepasi barisan terakhir pertahanan United, Aaron Ramsey dengan bijak menahan bola untuk Alexandre Lacazette meledak. Ketika bola itu dilambungkan, Lacazette tidak ofsaid walaupun ketika hantaran terakhir, hanya De Gea di depan Ramsey dan Lacazette. Tiada peluang untuk De Gea menahan rembatan padu dari Lacazette.

Kealpaan benteng Manchester United menyukarkan kerja mereka sendiri. Tugas bertahan lebih mudah dengan kelebihan dua gol tadi. Walaupun masih mendahului 2-1, Arsenal hanya memerlukan satu gol untuk mengikat kedudukan dan mencuri satu mata dari posisi kekalahan. Ibarat dua mata yang terlepas untuk Manchester United.

Satu serangan kilat United memusnahkan peluang Arsenal. Lingard menolak bola kepada Pogba yang mengawal bola dengan baik sebelum melintangkan bola di depan gol untuk Lingard mudah menampan (tap in). Gol kedua peribadi untuk Lingard dalam perlawanan yang sangat penting.


Malang bagi Pogba apabila mendapat kad merah selepas itu. Ketika sedang berlari pada kelajuan tinggi, Pogba terpijak kaki Hector Bellerin. Pengadil yang melihat situasi itu dengan jelas melayangkan kad merah. Ini bermakna Pogba akan digantung tiga perlawanan (straight red card) dan akan terlepas Manchester derby hujung minggu depan. 

Mungkin Jose Mourinho terpaksa mengubah strategi. Namun Pogba juga tidak beraksi dalam tiga perlawanan penting sebelum Arsenal, iaitu ketika menentang Liverpool, Tottenham dan Chelsea. Pogba mengalami kecederaan hamstring ketika itu. Apa pun, Pogba masih boleh bermain dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah minggu ini. 

Kad merah ini mungkin menyukarkan United untuk berdepan pendahulu liga, Manchester City. Jika difikirkan secara jangka panjang, Pogba akan mendapat rehat untuk menghadapi tempoh Boxing Day yang sangat sibuk menjelang Krismas dan tahun baru. 

Terima kasih Jesse Lingard. Glory glory Manchester United!



Piala Dunia 2018

Assalamualaikum.

Berakhir sudah majlis undian peringkat kumpulan untuk Piala Dunia 2018 di Rusia. Tiba masa persediaan untuk 32 pasukan yang layak bertanding sebelum pertandingan bermula pada musim panas depan. 

Juara-juara lalu

Seperti dijangka, kumpulan-kumpulan yang terbentuk untuk edisi kali ini agak seimbang. Satu faktor penting adalah kerana FIFA selaku badan induk bola sepak dunia memutuskan untuk membahagikan 32 pasukan kepada 4 balang mengikut ranking dunia (kecuali tuan rumah). Hasilnya, tiada kumpulan yang benar-benar 'maut'. 

--------------------------------

MAJLIS UNDIAN

Undian dimulakan dengan pembahagian pasukan pertama untuk setiap kumpulan (A1-H1) yang akan dipilih dari lapan pasukan dengan ranking dunia tertinggi (kecuali Rusia) dalam Balang 1. Sebagai permulaan, Rusia selaku tuan rumah akan berada di kedudukan pertama dalam Kumpulan A (A1) untuk bermain perlawanan pembukaan. Kedua-dua bola pasukan dan posisi untuk Rusia ditanda merah, sekadar untuk diundi secara rasmi. 

31 lagi pasukan diundi kemudian. Balang 1 diselesaikan dengan tujuh lagi pasukan mengambil posisi pertama dalam Kumpulan B-H. Proses undian kemudian disambung dengan Balang 2, Balang 3, dan terakhir Balang 4. Pasukan akan dipilih dari setiap balang, dan kumpulan dipilih mengikut kesesuaian (peraturan khas). Proses untuk Balang 2 tiada masalah kerana jumlah maksimum pasukan Eropah dalam setiap kumpulan adalah dua. Selepas pasukan dan kumpulan disahkan, posisi mereka dalam kumpulan pula akan dipilih (sama ada 2/3/4).

Masalah bermula di Balang 3. Denmark yang merupakan pasukan ke-18 dipilih (kedua dari Balang 3) tidak boleh berada di Kumpulan B kerana sudah ada dua pasukan Eropah (Portugal dan Sepanyol) yang diundi lebih awal dari Balang 1 dan Balang 2. Denmark dimasukkan ke kumpulan seterusnya (Kumpulan C). Pasukan seterusnya, Iran (pasukan ke-19) dimasukkan ke Kumpulan B selepas tiada sebarang peraturan yang menghalang.

Proses undian diteruskan dengan kumpulan dilangkau mengikut kesesuaian peraturan: tiada pasukan dari konfederasi sama boleh berada dalam satu kumpulan (kecuali Eropah).

--------------------------------

Berikut adalah keputusan penuh undian:


Kumpulan C dilihat paling sukar dengan tiga pasukan berada dalam kelompok 20 pasukan terbaik dunia. Portugal dan Sepanyol akan merebut takhta Kumpulan B. Jerman, Brazil, dan Argentina mendapat undian mudah. 

-------------------------------------


Sweden (kumpulan F) akan melalui perjalanan paling jauh sepanjang peringkat kumpulan diikuti Mesir (A), Nigeria (D), Sepanyol (B), dan Peru (C). Colombia (kumpulan H) paling bertuah dengan jarak paling pendek untuk ditempuhi, diikuti oleh Denmark (C), Argentina (D), Iceland (D), dan Tunisia (G). Colombia pasti memiliki kelebihan dalam kumpulan yang agak mudah bagi mereka.

Analisis untuk setiap kumpulan akan dikeluarkan secara berperingkat. 

Keyboard off.



Friday, December 1, 2017

Pra-Undian Piala Dunia 2018

Assalamualaikum.

Malam ini 32 pasukan yang layak ke Piala Dunia 2018 akan dibahagikan kepada 8 kumpulan.


32 pasukan ini akan diundi dari 4 balang undian. Selain tuan rumah Rusia yang diletakkan dalam balang 1 secara automatik, pasukan-pasukan lain berada dalam balang mengikut urutan ranking dunia pada bulan Oktober 2017.

Terdapat beberapa peraturan dalam undian malam ini yang akan disiarkan secara langsung oleh Astro Arena pada jam 11 malam waktu Malaysia.

Peraturan pertama secara tradisi adalah Rusia akan berada dalam kumpulan A dan di kedudukan pertama. Rusia akan diberi nombor A1 selaku tuan rumah dan akan bermain dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang pasukan A2. 

Undian akan dilakukan berturut-turut dari balang 1 ke balang 4. Peraturan seterusnya adalah pasukan dalam setiap kumpulan tidak boleh dari benua (dan konfederasi) yang sama kecuali pasukan dari benua Eropah (yang berjumlah 14 pasukan). Contohnya, jika Arab Saudi diundi dalam kumpulan yang sudah ada pasukan Asia, Arab Saudi akan ditukar ke kumpulan lain.

Memandangkan jumlah mereka 14 negara, akan terdapat dua pasukan Eropah dalam enam kumpulan, dan baki dua lagi pasukan akan berada dalam dua kumpulan yang berbeza. 

Kemungkinan kumpulan maut sudah dibincangkan dalam artikel yang lepas. 

Keyboard off.



Thursday, November 30, 2017

Asia's Got Talent: Semi Final #3

Assalamualaikum.

Separuh akhir yang ketiga dan terakhir untuk rancangan Asia's Got Talent musim kedua. Tiga lagi peserta dari lapan yang bertanding akan mara ke Grand Final. Lapan bakat yang dipilih oleh juri semasa Judges' Audition akan memberikan persembahan terbaik mereka. Sesi kali ini juga akan melibatkan dua peserta yang mendapat golden buzzer dari juri semasa sesi uji bakat. 

Dua peserta yang mendapat undian terbanyak dari penonton dari separuh akhir kedua, dan layak ke Grand Final ialah The Sacred Riana (Indonesia) dan Adem Dance Crew (Republik Kyrgyz).

------------------------------

Ulasan persembahan lapan peserta di malam separuh akhir ketiga:

1) Yumbo Dump (Jepun)
Menggunakan badan untuk membuat bunyi yang menggelikan hati penonton. Secara peribadi, penulis menyokong David Foster yang tidak menggemari persembahan ini. Tiada yang terlalu istimewa.

2) Viriya Rici (Indonesia)
Tarian breakdance yang lebih lincah berbanding semasa uji bakat. Persembahan yang sangat bertenaga. Baru berusia 11 tahun, Viriya comel dan memang artis semulajadi. Susunan pentas yang baik.

3) Feng E (Taiwan, golden buzzer)
Pemain ukulele elektrik cilik yang mendapat golden buzzer dari David Foster. Persembahan yang lebih baik berbanding sesi uji bakat. Muzik yang begitu indah didengar. Feng E sangat tenang bagi seorang kanak-kanak. Memukau dan menghiburkan.

David Foster bersedia untuk menekan golden buzzer sekali lagi jika boleh. David memuji Feng E sebagai satu-satunya manusia di dunia yang dapat membuat persembahan seperti itu.

4) Krittaya Ariyasit (Thailand)
Persembahan sempurna yang mendapat penghormatan berdiri dari juri dan penonton. Berlatarbelakangkan dunia bawah laut, Krittaya membuatkan penonton berdebar dengan persembahan berani bermain di udara menggunakan tali. Krittaya berkali-kali seperti tergantung di udara. Sangat cekap dalam menguasai kebolehan ini.

5) Akira Kimura (Jepun, golden buzzer)
Persembahan magik yang biasa. Walaupun bertenaga, trick Akira mudah dibaca dan diakui sendiri oleh Jay Park. Pelik melihat persembahan dari Akira yang mendapat golden buzzer dari Anggun.

6) Sumit Sadawarti (India)
Persembahan nyanyian yang menyentuh perasaan. Walaupun hanya statik, nada suara Sumit menarik terutamanya nada rendah yang dipuji oleh Anggun. Sumit menerima nasihat David Foster untuk tidak menggunakan piano dan fokus kepada nyanyian.

7) Sobhi Shaker (Malaysia)
Persembahan terbaik malam ini yang mendapat penghormatan berdiri dari penonton. Persembahan yang sangat 'gila' dan membuatkan penonton teruja. Card trick yang sangat menarik. Sobhi membawa mesej besar yang disampaikan: #StopAllWar. Menamatkan persembahan dengan tulisan Asia's Got Talent di atas kad terup yang kosong. Two thumbs up.

8) Urban Crew (Filipina)
Persembahan penutup yang bertenaga. Tarian akrobat dari beberapa orang penari ini walaupun ada sikit kesilapan, tidak mengurangkan keterujaan penonton melihat aksi-aksi berani. Jay Park memuji persembahan mereka sebagai berkelas dunia.

------------------------------

David Foster, Anggun, dan Jay Park sebulat suara memilih Feng E untuk layak secara automatik ke Grand Final.

Oleh sebab Sobhi Shaker gagal mendapat Pilihan Juri, dia kini perlu bersaing dengan enam peserta lain untuk mendapat dua undian terbanyak. Maka menjadi tanggungjawab penulis untuk mengundi Sobhi dengan harapan dia akan dapat membuat persembahan terbaik di malam Grand Final minggu depan.

Taip Asia's Got Talent Vote di Google dan 10 undian untuk Sobhi Shaker.

Keyboard off.



Asia's Got Talent: Semi Final #1

Assalamualaikum.

Aneh juga entri tentang semi final pertama hanya keluar selepas entri semi final kedua. Penulis hanya menonton episod kedua semi final di saluran 701 Astro AXN. Semua persembahan peserta semi final pertama ini ditonton di Youtube. 

Lapan peserta membuat persembahan. Tiga akan layak ke final. Satu secara automatik melalui Pilihan Juri, dan dua lagi yang mendapat undian terbanyak dari penonton selama tiga hari. 

1) Power Storm Crew (Thailand) [tersingkir]
Persembahan tarian breakdance yang sangat bertenaga. Beberapa ahli dengan kekuatan tangan yang menakjubkan.

2) Angela July (Indonesia) [*Pilihan Juri]
Persembahan nyanyian sambil bermain harp. Suara yang dinamik. Sememangnya layak untuk mara ke Grand Final secara automatik. 

3) Andrew Lee (Malaysia) [tersingkir]
Tanpa bias walaupun Andrew dari Malaysia, persembahan magik yang menghiburkan. Seorang yang kacak dan pandai berjenaka, Andrew sepatutnya dapat mara ke final. Juri suka dengan persembahannya.

4) Deniel Sarmiento (Filipina) [tersingkir]
Permulaan yang perlahan dengan hanya melompat-lompat menunjukkan kelenturan badan seperti seorang atlet gimnastik. Menamatkan persembahan dengan aksi di gelung yang menarik. 

5) The Sisters (Singapura) [tersingkir]
Dua adik-beradik yang cantik dengan suara yang sangat harmoni. Persembahan bersama dengan koir yang memang lazat di telinga. Tak layak tersingkir.

6) Neil Rey Garcia Llanes (Filipina) [*layak]
Persembahan beatbox yang hebat dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian kedua dengan irama tujuh bunyi yang berlainan dirancakkan dengan koreografi yang mantap. Selayaknya mendapat undian tertinggi. 

7) Ekklesia (Korea Selatan) [tersingkir]
Satu persembahan memukau dari trio penyanyi opera. Mendapat penghormatan berdiri dari juri dan penonton di studio. Tiga suara yang hebat. Dikritik oleh produser muzik, David Foster kerana dia lebih sukakan persembahan semasa uji bakat. 

8) Canion Shijirbat (Mongolia) [*layak]
Satu persembahan menarik hasil gabungan pergerakan dan rekaan grafik. Memang mengagumkan juri dan penonton. Layak mendapat undian penonton untuk mara ke final.

----------------------

Malam ini, dua peserta yang mendapat undian terbanyak dari penonton dari separuh akhir kedua akan diumukan sebelum bermula sesi separuh akhir ketiga. Lapan lagi peserta akan merebut tiga slot terakhir ke Grand Final.

Keyboard off.



Sunday, November 26, 2017

Dendam Terlerai

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, baru sampai bumi Seremban selepas cuti rehat seminggu di kampung halaman bersama famili tercinta. 

Rasanya dah lama tak menulis tentang perkembangan dunia badminton walaupun masih mengikuti rapat di halaman Facebook. Akhir-akhir ini begitu susah nak melihat pemain Malaysia beraksi di final peringkat tinggi iaitu Kejohanan Siri Super. Kebetulan Dato' Lee Chong Wei baru saja berjaya. Hari ini memang istimewa.

Keputusan penuh Siri Super Terbuka Hong Kong 2017:

XD: Zheng Siwei/Huang Yaqiong (China) vs Mathias Christiansen/Christinna Pedersen (Denmark) 21-15 21-13

WD: Chen Qingchen/Jia Yifan (China) vs Apriyani Rahayu/Greysia Polii (Indonesia) 14-21 21-16 21-15

WS: Tai Tzu Ying (Taiwan) vs PV Sindhu (India) 21-18 21-18

MD: Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia) vs Mads Conrad/Mads Pieler 21-12 21-18

MS: Lee Chong Wei (Malaysia) vs Chen Long (China) 21-14 21-19

--------------------

Dua gandingan baru bertemu dalam final beregu campuran menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasangan China dengan straight set. Zheng Siwei yang berpasangan dengan Chen Qingchen sebelum ini mengalahkan Christinna Pedersen yang sebelum ini pernah bergandingan dengan Joachim Fischer.

Beregu muda China, Chen Qingchen dan Jia Yifan menundukkan beregu dari Indonesia dalam pertarungan sengit. Chen Qingchen kini boleh dikatakan ratu beregu China untuk beberapa tahun akan datang. Indonesia mempunyai masa depan cerah jika pemain mudanya, Apriyani Rahayu dapat memenuhi potensi untuk menjadi pakar beregu.

Ratu badminton dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying yang baru kembali pulih dari kecederaan bahu menang straight set ke atas musuh tradisi dari India yang sedang meningkat naik. Acara perseorangan wanita dilihat seimbang pada tahun ini dengan adanya saingan dari Ratchanok Intanon (Thailand), Akane Yamaguchi dan Nozomi Okuhara (Jepun), Sung Ji Hyun (Korea Selatan), Chen Yufei serta He Bingjiao (China), Saina Nehwal (India), dan juara Olimpik, Carolina Marin (Sepanyol).

Acara beregu lelaki terus didominasi pasangan Indonesia, Marcus Gideon/Kevin Sanjaya yang digelar 'Minions' oleh para peminat mereka. Marcus/Kevin menumbangkan beregu Denmark dalam final untuk melengkapkan tahun yang cemerlang bagi mereka. 

Final acara perseorangan lelaki paling ditunggu-tunggu. Pertemuan ulangan final Sukan Olimpik Rio 2016. Chen Long dalam mood terbaik selepas merangkul kejuaraan Terbuka China minggu lepas dengan mengalahkan juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark. Lee Chong Wei pula mara ke perlawanan akhir selepas beberapa kali terkandas di pusingan awal tahun ini.

Wira Malaysia ini ternyata di tahap terbaik. Selepas menundukkan Shi Yuqi (yang menyingkirkan Lin Dan), Dato' Lee membalas kekalahannya di Brazil dengan kemenangan straight set. Walaupun tiada pingat emas Olimpik menjadi taruhan dan kejuaraan Terbuka Hong Kong ini tidak sebesar prestij Olimpik, kemenangan ini penting untuk moral Dato' Lee.

Tahniah Lee Chong Wei. 

Keyboard off



Friday, November 24, 2017

AGT: Semi Final #2

Assalamualaikum.

Semalam telah berlangsung sesi separuh akhir kedua untuk rancangan Asia's Got Talent musim kedua. Terdapat tiga sesi semi final untuk menentukan sembilan finalis ke Grand Final nanti. Tiga peserta akan layak dari setiap minggu semi final (satu Pilihan Juri pada malam tersebut, dan dua lagi yang mendapat undian terbanyak dari penonton selama tiga hari). 

Penulis tidak menonton separuh akhir pertama. Namun di awal rancangan semalam, dua peserta yang mendapat undian terbanyak penonton diumumkan mara ke Grand Final: Canion Shijirbat (Mongolia-golden buzzer) dan Neil Rey Garcia Llanes (Filipina). Peserta yang menjadi Pilihan Juri dari separuh akhir pertama ialah Angela July dari Indonesia (sumber: Wikipedia). 

Berikut adalah senarai lapan peserta yang merebut tiga tempat di final:

1. Adem Dance Crew (Republik Kyrgyz) #AGTVote9
2.* Mafarikha (Malaysia) #AGTVote10
3. The Sacred Riana (Indonesia) #AGTVote11
4.* Fitri Cerado (Filipina) #AGTVote12
5. 218 Dance Crew (Vietnam) #AGTVote13
6.* Syah Riszuan (Singapura) #AGTVote14
7. XTrap (Jepun) #AGTVote15
8. DM-X Comvalenoz (Filipina) #AGTVote16

Penulis tidak mahu komen tentang persembahan nyanyian (bertanda *) oleh Mafarikha, Syah Riszuan dan Fitri Cerado. Nyanyian sudah tentu adalah hiburan tetapi penulis tidak dapat mengulas tentang sudut teknikal.

Lima lagi persembahan lain sangat menghiburkan. Adem Dance Crew dengan tarian yang menggunakan kelenturan badan. Kumpulan Adem ini juga ialah peserta yang mendapat golden buzzer dari juri Jay Park semasa pusingan kelayakan. The Sacred Riana dengan persembahan ringkas tapi menakutkan. Ada satu patung manusia tiba-tiba muncul dari dalam kotak dan menakutkan juri Anggun. 218 Dance Crew dengan persembahan tarian menggunakan lampu LED. XTrap dengan persembahan menggunakan jari. DM-X Comvalenoz pula penuh tenaga ketika menari.

Pilihan Juri (Judges Pick) minggu ini yang layak ke Grand Final ialah DM-X Comvalenoz yang dipilih sebulat suara oleh David Foster, Anggun, dan Jay Park. Secara peribadi, penulis menyukai persembahan Adem Dance Crew (#AGTVote11), 218 Dance Crew (#AGTVote13), dan XTrap (#AGTVote15). The Sacred Riana menghiburkan bagi penulis tetapi terlalu ringkas. 

Dua daripada tujuh peserta yang mendapat undian terbanyak akan menyertai empat peserta yang sedang menanti. Dua peserta ini akan diumumkan semasa permulaan separuh akhir ketiga. 

Sesi ketiga semi final akan melibatkan lapan lagi peserta iaitu Akira Kimura (Indonesia-golden buzzer), Feng E (Taiwan-golden buzzer), Krittaya Ariyasit (Thailand), Sobhi Shaker (Malaysia), Sumit Sadawarti (India), Urban Crew (Filipina), Viriya Rici (Indonesia), dan Yumbo Dump (Jepun). Tiga lagi peserta akan melengkapkan senarai finalis.

Keyboard off.



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif