Welcome To My Life...

Monday, December 11, 2017

Kalah Derby

Assalamualaikum.

It doesn't feel good to wake up in the morning after your favorite team lost in one of the biggest derby in the world, and perhaps the title-deciding match of the season.

Sebelum sepak mula perlawanan, Manchester United selaku tuan rumah berada lapan mata di belakang pasukan pelawat. Keputusan pencabar-pencabar lain menyaksikan hanya Tottenham mengutip tiga mata penuh. Arsenal dan Liverpool hanya mampu seri menentang lawan masing-masing. Chelsea pula tersungkur di gelanggang West Ham. Kemenangan akan merapatkan jurang dan memastikan perebutan kejuaraan terus rancak.

Manchester United turun tanpa bintang utama, Paul Pogba, yang memulakan hukuman digantung tiga perlawanan selepas menerima kad merah dalam kemenangan menentang Arsenal. Tanpa Pogba, misi United seperti mendaki gunung yang tinggi.

Keputusan akhir: Manchester United 1-2 Manchester City

Seperti dijangka, City mendominasi penguasaan bola. Namun, kemenangan City hanya berpunca dari kesilapan individu Romelu Lukaku. Gol pertama berpunca sepakan penjuru Kevin De Bruyne, Lukaku tertanduk bola ke arah gawang sendiri. Bola melantun dan David Silva bertindak paling pantas menewaskan David De Gea.

Manchester United berjaya mengikat kedudukan sebelum rehat menerusi penyudah tenang Marcus Rashford yang merembat padu ke penjuru bawah gawang selepas satu hantaran jauh dari rakan sepasukan. 

Gol kedua dan kemenangan City sekali lagi disebabkan oleh Lukaku. Dia cuba menyepak keluar bola dari sepakan percuma City tetapi terkena rakan sepasukan dan bola singgah di depan Nicolas Otamendi.

United tidak bernasib baik kerana pengadil berat sebelah kepada City. David Silva yang menerjah Ander Herrera dengan kasar tidak dilayangkan kad kuning. Dalam satu situasi yang lain dalam kotak penalti, Ander Herrera menerima kad kuning selepas dijatuhkan Otamendi. Herrera diberikan amaran untuk simulasi sedangkan ulang tayang jelas menunjukkan dia dikasari. 

Manchester City menghabiskan baki permainan dengan taktik membuang masa dan membawa bola ke penjuru padang. Taktik yang penakut dan tidak melambangkan falsafah tiki taka yang dilaungkan oleh Pep Guardiola.

Kemenangan City bermakna jurang dilebarkan menjadi 11 mata. Jika City konsisten dalam baki 22 perlawanan, mereka akan ditabalkan sebagai juara liga menggantikan Chelsea. Manchester United kini di tangga kedua liga dan terpaksa mengharapkan bencana besar menimpa pasukan City. Tuah City akan habis jua kerana pemain utama belum mengalami kecederaan.

Lupakan saja kekalahan semalam. Jalan dari sini hanya ke arah depan. Sasarkan kemenangan satu demi satu. City akan kehilangan tuah mereka dan pasti akan kalah. Namun, bila mereka kalah, Manchester United mesti mengambil peluang dan menang untuk terus mencabar kejuaraan liga domestik.

Keyboard off.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif