Welcome To My Life...

Thursday, December 14, 2017

Pinjamkan Hatiku

Assalamualaikum.

Unik dalam tipikal. Filem romantik terbaru arahan Osman Ali dan terbitan Nuansa ini datang dengan idea segar walaupun jalan cerita masih klise.

Rating peribadi: 8.5/10

---------------------

PLOT CERITA

Penulis novel, Laila (Ayda Jebat), yang menghidap kanser/barah pulang ke kampungnya untuk menghabiskan sisa hidup bersama nenek sambil mengimbau kenangan semasa dia membesar. Baru saja sampai di kampung, Laila terlanggar seorang penunggang motorsikal di atas jambatan. Lelaki ini kemudiannya didedahkan sebagai Mat Kerengga/Naufal (Shaheizy Sam), budak nakal semasa zaman sekolah. Laila terkejut apabila mengetahui Naufal sudah berhenti merokok.

Laila mula jatuh cinta selepas Naufal menyelamatkannya daripada lemas. Cinta mula berputik di hati mereka dengan Naufal menunjukkan tempat-tempat penting dalam hidupnya. Konflik bermula apabila Dr. Hasnan (Farid Kamil) yang merawat Laila masuk meminang dan diterima ibu bapa Laila. Laila berterus terang tentang hal itu kepada sepupunya (Latifah). Laila pengsan ketika memberitahu hasrat Hasnan kepada Naufal. Laila dibawa ke hospital dan Hasnan memaklumkan penyakit barah Laila sudah merebak ke hati. 

Selepas mendapat penderma hati yang sesuai dan dibedah, Laila mencari Naufal yang ditunjuk oleh Hasnan sedang terlantar di unit rawatan rapi (ICU) kerana barah paru-paru sudah merebak ke jantung. Laila setia menjaga Naufal setiap hari. Satu hari, Hasnan memberitahu Mak Besah (mak Naufal) bahawa Naufal sudah tiada harapan dan Mak Besah mengambil keputusan membawa Naufal pulang ke rumah mereka walaupun tidak dipersetujui Laila. 

Mak Besah kemudian menemui Laila untuk memaklumkan Naufal telah meninggal dunia dan menyampaikan hajat Naufal supaya Laila terus gembira dalam hidup. Laila mengahwini Hasnan dan berpindah ke luar negara. Selepas setahun, Laila masih tak dapat melupakan Naufal. Laila menimbulkan kemarahan Hasnan apabila menceritakan kisah novelnya yang sangat mirip dengan kisah hidupnya. Laila menyatakan dia masih 'hidup dalam nafas-nafas rindu'. 

Hasnan mendedahkan satu rahsia bahawa penderma hati untuk Laila sebenarnya adalah Naufal. Selepas setahun berkahwin, Hasnan menceraikan Laila kerana tahu Laila masih sayangkan Naufal. Apabila pulang ke tanah air, Latifah menunjukkan tempat Arman (adik Naufal) busking di ibu kota. Arman membawa Laila dan Latifah ke rumah Mak Besar (mereka berpindah). Laila meminta izin Mak Besah untuk menziarahi kubur Naufal. 

Arman membawa Laila bertemu dengan tubuh Naufal sendiri yang sebenarnya masih hidup. Naufal sedang terbaring sayu di pondok sambil menyanyi lagu cinta dia dan Laila (rujuk bawah). Laila kemudian mengahwini Naufal. Semasa Laila hamil, keadaan Naufal semakin teruk. Naufal nazak dan meninggal dunia pada malam ketika Laila melahirkan anak mereka, Ahmad Nubhan. Filem ini ditamatkan dengan Laila Safitri menerbitkan novel 'Pinjamkan Hatiku' dan ternampak seorang peminat yang iras arwah suaminya (juga lakonan Shaheizy Sam).

-----------------------

LAGU CINTA

'Matamu, bersinar bagai pelangi
ingin kulukis wajahmu
buat peneman mimpi
Izinkan aku, pinjam hatimu
agar dapat kurasa
bagaimanakah cinta.'

Ada orang kritik kerana lagu ni diulang-ulang untuk babak-babak cinta dan juga sedih antara Laila dan Naufal. Secara peribadi, penulis suka dan tersentuh setiap kali lagu ni dimainkan. Walaupun ada unsur pengulangan, ia tetap relevan. Bagi pasangan bercinta, mereka ada lagu tema yang menjadi melodi dalam berkasih. 

----------------

Penulis rasa, permainan emosi berjaya menyentuh hati penonton dengan begitu baik. Babak paling sedih sudah tentu ketika Hasnan (Farid Kamil) melepaskan Laila kerana tidak mampu membuat Laila mencintainya. Betapa tulus cinta Hasnan yang sedar dia tak dapat membahagiakan Laila.

Ada beberapa perkara yang wajar dipuji. Satu, pemandangan dalam filem ini sangat cantik. Damai mata memandang. Sudut kamera juga memainkan peranan penting. Nada muzik pula 'lazat' di telinga. Penulis juga suka dengan elemen kekeluargaan dalam filem ini. Watak keluarga kecil Naufal meriah dengan adanya watak lucu Pak Ngah Din dan juga Tok Aki serta Tok Bunga. 

Ramai penonton yang mengatakan filem ini penuh dengan ayat-ayat 'manis'. Tak dapat dinafikan. Memang manis tahap boleh potong kaki. Antara madah yang penulis suka:

'Suara hati adalah lirik yang paling jujur.'

'Semua orang mati, tapi biarlah cinta menjadi roh yang hidup buat selamanya.'

'Aku tak singgah. Aku nak hidup dalam hati kau buat selamanya.'

Unsur cinta sejati dalam filem ini juga sangat menebal. Cinta Naufal pada Laila sehingga sanggup menderma hatinya dan melepaskan Laila untuk mengahwini Hasnan demi kebahagiaan Laila. Cinta tulus Laila untuk Naufal walaupun dia tahu Naufal sudah meninggal dunia. Cinta Hasnan untuk Laila sehingga sanggup mencuba sehabis daya untuk memikat Laila, dan sanggup menceraikan Laila bila dia tahu Laila tetap sayangkan Naufal.

Terima kasih Osman Ali. Terima kasih Laila dan Naufal. Kisah cinta 'Pinjamkan Hatiku' yang bukan biasa-biasa.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif