Welcome To My Life...

Thursday, October 31, 2013

HTJS I



Alhamdulillah, hari ni pelajar Foundation Block semester pertama diberi kesempatan untuk melawat hospital. Oleh sebab tak mahu apa-apa masalah berlaku, aku dan sorang rakan serumah yang sama kumpulan bergerak ke IMU dari Vista C pada jam 6.30 pagi. Vista C dan IMU hanya sejauh lima minit berjalan kaki.

0700
Tepat jam 7 pagi, bas persiaran membawa dua kumpulan ke destinasi masing-masing. Kumpulan Tiga (termasuk aku) menuju ke hospital negeri, Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan Kumpulan Enam bergerak ke Hospital Port Dickson. Semangat sebab aku tak keseorangan. Ada kawan merangkap rakan serumah. Tak ada sarapan disediakan. Mujurlah dah sarapan. Makan roti dua keping. Buat alas perut.
0748
 Kami selamat sampai, tapi bukan di destinasi. Bas berhenti seberang jalan dari HTJS. Terpaksa berjalan kaki lebih kurang lima minit. Kemudian terpaksa berlegar-legar mencari IMU Clinical School yang dikatakan dekat dengan HTJS. Cari punya cari tak jumpa. Terpaksa lar ketua kumpulan aku dari Taiwan tanya pekerja hospital tu.

0801
Akhirnya.... berjaya juga kami menemui IMU Clinical School yang laluannya berhadapan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma. Papan tandanya dah uzur benar. Haha. Memang lar susah sangat nak jumpa. Jalan punya jalan, sampai juga di Conference Room pada jam 8.04 pagi. Tunggu matron datang dengan beberapa orang jururawat. Dalam bilik tu baru aku tahu semua ahli Kumpulan Tiga seramai 36 orang. Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil dan dibahagikan ke beberapa wad. Setiap kumpulan akan dijaga oleh seorang sister memakai uniform biru muda.

0847
Semua kumpulan kecil menemui sister masing-masing dan mula bergerak ke hospital. Kami tak terus menuju ke wad yang kami perlu lawati. Sebaliknya para jururawat membawa kumpulan masing-masing melawat kawasan hospital terlebih dahulu....

- BERSAMBUNG -


Wednesday, October 30, 2013

Diet


Gagal. Dan gagal lagi.

Apabila mendaftar di IMU, badan aku dalam keadaan 'kembang'. Cuti selepas A-Level. Rumah dan makan banyak tak dapat dipisahkan.

Dua minggu pertama di IMU, aku berjaya mengurangkan saiz badan aku. Sehingga kawan lama yang aku temui memuji aku tak macam dalam gambar kad pelajar yang diambil semasa minggu orientasi. Aku kira itu menjadi penanda aras kejayaan aku buat kesekian kalinya.

Aku cukup sukar untuk berhenti sebaik saja mula makan nasi dalam kuantiti yang banyak. Dan sejak itu, saiz badan aku telah mengembang semula. Aku tak tahu bila rejim diet aku akan berjaya. Susah nak diet di sini. Ini bukan macam di kolej semasa aku buat A-Level dulu. 

Masa tu, aku perlu beli makanan dan aku perlu bergerak. Tahap kemalasan menjadi kelebihan bagi aku kerana aku begitu malas nak ke kedai. Dan aku juga sayang duit untuk berbelanja. Sangat berbeza dengan keadaan sekarang yang sangat berbahaya.

Di sini, aku sewa rumah. Maka rumah dan makan banyak tak dapat dipisahkan bagai irama dan lagu. Di sini aku tak perlu bergerak ke kedai. Aku hanya perlu keluar bilik dan ke dapur untuk mencari makanan. Sama macam di rumah aku di Kedah. 

Di rumah sewa ini juga, aku tak perlu berbelanja besar untuk makan sedap. Kami berkongsi duit untuk beli bahan mentah. Makanan tak perlu dibeli. Hanya perlu masak saja. Dan aku, sangat rajin masak kalau aku lapar. Bahan dah siap sedia.

Tambahan lagi, kawan serumah aku ramai yang pandai masak. Walaupun aku kurang sikit bab masak ni, kawan serumah aku memang masak lauk yang sedap belaka. Hasilnya, banyaklah nasi yang aku makan sejak sebulan dua ni. Dan, perkembangan ni tak baik untuk saiz aku.

Aku dah mengembang semula. Oh, tidak! Aku masih tak jumpa jalan keluar dari masalah ni. Dah berapa kali 'esok' aku kata nak mula diet. Tapi tak juga berhasil. Apabila diasak dengan nasi, aku tewas. Aku akan makan dua pinggan macam di rumah di Kedah.

Kalau awal masuk IMU dulu aku tak makan tengah hari, tapi sekarang aku makan. Dan makan nasi pulak tu. Kurangnya senaman menambah masalah aku. Aku tak joging. Main futsal pulak kadang-kadang, tak selalu. Semua faktor ni menyumbang kepada peningkatan saiz aku. Ini tak bagus!

InsyaAllah aku akan kembali memulakan diet aku. Nazif boleh!



Tiga


Entri bola sepak.

Three wins in a row. Lama dah United tak menang tiga perlawanan berturut-turut sejak David Moyes jadi pengurus.

Manchester United 4-0 Norwich City

Ya, benar. Perlawanan awal pagi tadi cuma Capital One Cup. Kejohanan yang tak berapa penting. Lawan yang dibelasah pula hanyalah kelab bawahan Liga Perdana Inggeris. Tapi kemenangan ini cukup penting untuk suntikan moral dan meningkatkan keyakinan para pemain United. Dan kemenangan besar ini cukup menggembirakan.

Moyes menukar hampir keseluruhan pasukan yang menewaskan Stoke 3-2 dalam perlawanan liga hujung minggu lepas tetapi pasukan kedua ini tetap kuat. Beberapa pemain simpanan yang memerlukan masa perlawanan diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.

Anders Lindegaard menggantikan David De Gea di gawang gol. Nemanja Vidic berpasangan dengan Rio Ferdinand dengan diapit Rafael dan Alexander Buttner membentuk benteng pertahanan. Jentera tengah dibentuk oleh Tom Cleverley dan Phil Jones. Ashley Young dan Wilfried Zaha mengapit di posisi sayap. Adnan Januzaj membantu Javier Hernandez di bahagian serangan.

Formasi ini menarik kerana Januzaj yang biasanya bermain di bahagian sayap diberikan peranan baru sebagai pemain tengah menyerang. Zaha pula akhirnya diberikan peluang selepas sekian lama menanti. Peluang yang diberikan tidak disia-siakan. Dua pemain muda ini tidak mengecewakan.


Januzaj sentiasa mengancam dengan pergerakannya yang lincah. Dia dijatuhkan dalam kotak penalti untuk Chicharito menjaringkan gol pertama United. Gol kedua United juga dijaringkan oleh Chicharito yang menanduk hantaran lintang Buttner yang menggantikan Patrice Evra di posisi bek kiri. Tandukan pertamanya diselamatkan tetapi Chicharito pantas melakukan tandukan susulan untuk gol ketiga dari dua perlawanan.

Chicharito menambah dilema buat Moyes kerana dia hanyalah penyerang di ranking ketiga di belakang Robin van Persie dan Wayne Rooney yang berada di bangku simpanan. United terpaksa menanti sehingga lewat permainan untuk memastikan keputusan ini selamat apabila Jones melakukan voli cantik. 

Chicharito - Buttner - Januzaj

Fabio yang menggantikan Januzaj menjaringkan gol keempat selepas beraksi tak sampai dua minit di atas padang. Hantaran cantik dari seorang lagi pemain gantian, Rooney, dari jarak jauh dikawal dengan kemas oleh Fabio yang menewaskan penjaga gol Norwich dalam situasi satu lawan satu.


Pemain muda ini akhirnya diberikan peluang oleh Moyes. Pemain jersi nombor 29 yang pakar di bahagian sayap. Berdasarkan aksinya awal pagi tadi, dia layak mendapat peluang seterusnya. Zaha begitu pantas dan membentuk kombinasi mantap dengan Januzaj. Hantaran lintangnya juga berbahaya. Zaha jauh lebih baik berbanding Young dan Antonio Valencia.

Selepas Real Sociedad, Stoke dan Norwich, United pasti berhajat untuk meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan liga seterusnya hujung minggu ini. Kesebelasan utama United akan kembali. Januzaj pasti mengekalkan tempatnya dalam pasukan. Fulham akan menjadi mangsa seterusnya.


WW #56 : El Classico





Tuesday, October 29, 2013

Sikit


Dua tiga bulan ni nampaknya kadar penulisan aku semakin merosot. Niat nak menaip tu memang ada. Tapi kesibukan hidup membuatkan aku membatalkan hasrat untuk mengetuk papan kekunci.

Apa yang sibuk pun aku tak faham. Sebenarnya terlalu banyak masa lapang berbanding masa untuk ke kelas. Selepas minggu orientasi, kuliah biasanya hanya pada sebelah pagi. Sekali sekala saja pada waktu petang. 

Sesi petang biasanya untuk Medical Museum atau Clinical Skills Unit. Kadang-kadang sesi pembelajaran sudah tamat pada waktu tengah hari. Lebih banyak masa aku berada di rumah berbanding di IMU. 

Biasanya aku tidur lewat. Maka waktu-waktu lapang ni aku gunakan untuk qada masa tidur yang tak cukup. Aku suka tidur lepas solat Zohor. Atau pada waktu tengah hari, apabila ada masa lapang selepas kuliah pagi dan sebelum kuliah sesi petang.

Masa lapang yang lain aku gunakan untuk tengok movie. Maka kuranglah masa yang aku ada untuk tulis blog. Ujian pertama aku akan berlangsung pada 26 November. Masa aku lepas ni mungkin banyak aku habiskan untuk ulang kaji pelajaran.

Apa pun, lima hari cuti di rumah bermula Jumaat ni adalah masa untuk rehat. Rehat lagi? =.= Nak jalan-jalan dengan famili. Lama dah tak jadi pak supir.

Entri yang banyak dulu, sekarang dah tinggal sikit. Entri yang dulu panjang, sekarang dah pendek. I need to do something.


Pulang


Alhamdulillah, selepas dua bulan merantau mencari ilmu di Bukit Jalil, aku akan pulang ke baiti jannati di Kedah.

Rindu akan keluarga tercinta. Dua bulan tak bersua muka. Bukan tiada niat untuk bertemu keluarga. Tapi disekat kekangan masa. Kerna ilmu kuturut jua.

InsyaAllah, seperti yang tercatat pada tiket, aku akan menaiki bas Transnasional dari Pudu ke Changloon pada jam 11 malam. Khamis ni. Selepas pulang dari lawatan ke Hospital Tuanku Jaafar.

Rasanya nak bawak barang sikit saja. Sebab nak beli banyak barang dengan duit biasiswa. Seluar panjang, beg galas, dan kasut adalah antara yang tersenarai dalam perancangan.

Balik ni jugak nak beli hadiah hari lahir untuk satu-satunya kakak kandung yang aku ada dalam dunia ni. Sebenarnya hari lahir dia 28 Oktober. Memandangkan aku ada duit biasiswa, bolehlah belanja dia makan KFC. ^_^

Changloon, wait for me.


Melawat Hospital


Hooray! Hari ni tak ada kelas. Esok pun tak ada. Lusa pun tak ada. Memang sorga.

Minggu ni adalah minggu lawatan ke hospital untuk para pelajar perubatan semester pertama di IMU. Semalam ada kuliah. Jumaat ni pun ada tapi aku nak ponteng.

Hari ni dua kumpulan pertama telah bergerak ke Hospital Tuanku Jaafar (Seremban) dan Hospital Port Dickson. InsyaAllah giliran aku akan tiba hari Khamis ini.

Semua peralatan baru telah diberikan. Stetoskop, pen torch, nursing watch, buku log, dan tanda nama. Lengkap. Semua akan dibawa ke hospital.

Yang tak berapa menarik, sekembali dari lawatan ini, kami perlu menulis satu penulisan reflektif. Kami perlu meluahkan apa perasaan kami dalam satu esei yang akan dinilai dan termasuk dalam penilaian pengajian tahun pertama. Maksima 5%.

Aku dah tak sabar. Moga-moga segalanya dipermudahkan.


Tuesday, October 22, 2013

Selesai Jua


Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah. Selesai jua tugasan AIR topic. Assigned Independet Reading. Kami para pelajar semester pertama diberi satu topik, dan kami perlu membuat huraian maksima lima ratus patah perkataan. Tugasan ni dah diberi lama dan sepatutnya tarikh luputnya pada 21 Oktober.

Tetapi oleh kerana huraian tugasan diberikan lewat seminggu dari tarikh tugasan dilancarkan, tarikh luput itu ditunda seminggu lagi. Pelajar yang sudah menyiapkan tugasan ini ketika minggu awal ia dilancarkan mengadu bahawa mereka memerlukan tambahan masa seminggu. Dan aku yang tidak langsung peduli juga mendapat keuntungan.

Tarikh luput telah dilewatkan sehingga 28 Oktober. Tetapi kekecohan timbul dua hari lepas kerana tarikh luput TurnItIn tidak ditunda dan kekal 21 Oktober. Ramai yang mula gelabah kerana masih tidak memulakan penulisan. Aku tetap tenang.

Malam 20 Oktober, aku baru menyiapkan rangka penulisan aku. Belum lagi memulakan karangan. Sebenarnya, aku mencari maklumat sedikit demi sedikit. Dan malam tadi, aku melajukan proses pencarian maklumat kerana esok (hari ini) adalah tarikh luput TurnItIn. Apabila ia luput, kami tidak boleh menghantar tugasan lagi. Laman web ini adalah untuk mengesan sebarang aktiviti plagiat dan kami wajib menghantar salinan tugasan ke laman web ini.

Alhamdulillah, aku baru saja menghantar tugasan untuk melihat originality report.


Ya, tugasan kami kali ini tentang 'Informed Consent'. Berkisar tentang eksperimen Nazi dan juga eksperimen sifilis di Tuskegee. Kami perlu mengulas mengapa informed consent ini perlu diwajibkan. Ianya berkaitan tentang etika perubatan. 

Aku lega sebab dah siap tugasan ni. Tugasan AIR topic ni akan menyumbang maksima 5% untuk markah keseluruhan tahun pertama. Minggu depan aku akan membuat lawatan ke hospital. Balik dari lawatan itu, aku perlu menulis reflective writing yang akan memberi maksima 5% lagi. Fuhhh.

Hari ni dah dapat stetoskop, pen torch, dan nursing watch. Alhamdulillah. Tengok stetoskop tu tadi, rasa macam doktor pulak. Hari ni jugak dapat buku log untuk lawatan ke hospital dari sem satu sampai sem empat. 

Masa untuk menonton filem. Selamat malam.



Sunday, October 13, 2013

Tahun Pertama


Sedih. Ahad di perantauan. Rakan-rakan lain ada yang sudah bersama keluarga. Aku tidak pulang beraya kali ini. Mungkin famili tercinta sudah selamat tiba di kampung sebelah umi, Kelantan Darul Naim. 

Entri kali ini, aku ingin kongsikan cara penilaian tahun pertama aku sebagai pelajar ijazah sarjana muda perubatan di IMU.


Untuk semester pertama, para pelajar akan tetap meneruskan pengajian ke semester kedua. Aku perlu mendapatkan keputusan cemerlang dalam semester pertama ini supaya aku lebih jampir dengan markah lulus 50%.

Keputusan keseluruhan semester pertama hanya menyumbang maksimum 35% daripada keputusan penuh tahun pertama. Ini bermakna semester kedua lebih penting. Tapi itu tak bermakna aku boleh ambil mudah.

Jika aku cemerlang dalam semester pertama, jalan aku untuk lulus lebih mudah. Sasaran tunggal aku hanyalah distinction. Aku perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 75% di akhir tahun pertama pengajian. 75% adalah permulaan gred A-. 

Motivasi aku mudah. Aku ingin menjaga nama baik keluarga. Dan aku mahu terus berada dalam golongan yang terbaik antara yang terbaik. Crème de la crème. InsyaAllah aku pasti boleh!



Friday, October 11, 2013

Frenzy Friday


What a Friday. Penghulu segala hari yang sangat memenatkan hari ni.

Dari lapan pagi sampai lima petang. Ini adalah kali pertama aku mengalami situasi ni sejak menjadi pelajar perubatan di IMU. Kejutan budaya. Biasanya kelas hanya pada waktu pagi atau petang. Atau ada masa lapang yang memberi aku ruang bernafas.

Sepatutnya kuliah hari ini bermula jam 9 pagi. Tetapi semalam baru dimaklumkan ada kelas ganti untuk satu kuliah yang tertunda kerana pensyarah mengalami masalah kesihatan. Maka, jam 8 pagi lagi aku sudah berada di dewan kuliah.

Selepas tamat kuliah 'Molecular Genetics', otak aku didera pula dengan kuliah seterusnya, 'Haemoglobin'. Selepas itu, dengan persediaan tak lengkap, aku ke sesi Problem-Based Learning (PBL). Masa untuk bersedia sejak seminggu lepas. Cuma aku yang suka bertangguh. Inilah akibatnya. Malam semalam dan lepas Subuh hari ni, aku cuba mencari sedikit maklumat supaya aku tahu sesuatu.

Dengan hanya 10 minit memisahkan tamat kuliah dengan mulanya PBL, aku tidak mempunyai cukup masa untuk bersedia. Lalu aku gagahkan jua diri ke PBL. Aku hanya memerhati saja diskusi berlangsung dan hanya mencelah sesekali apabila perlu. PBL tamat pada jam 11.30 pagi.

Sejam itu aku gunakan untuk melakukan penterjemahan skrip teater ke bahasa Inggeris dan membantu rakan serumah untuk menyediakan makan tengah hari. Selepas makan, aku bergerak pula ke Sungai Besi menaiki LRT. Diringkaskan cerita, aku pulang selepas membeli fries untuk digoreng apabila kelaparan.

Pagi tadi, aku telah berjanji dengan mentor aku untuk bertemu pada jam 2.30 petang. Jam 2.10 petang, aku masih di dalam LRT. Sebaik tiba di stesen Sri Petaling, aku bergegas pulang ke rumah. Peluh masih membasahi badan. Aku menukar pakaian, menyarung baju kemeja dan segera menuju IMU. Jam di tangan, 2.25 petang. Crazy.

Aku ada sesi praktikal di makmal pada jam 2.45 petang. Perkara itu tidak aku sedari ketika membuat temu janji dengan mentor. Maka aku teruskan jua perancangan kerana mentee perlu bertemu mentor sekurang-kurangnya sekali dalam satu semester. Aku bertemu dengan rakan aku, Niro, yang juga mentee kepada mentor yang sama dan kami menuju ke biliknya.

Sesi perkenalan itu hanya aku sertai tak sampai 10 minit sebelum aku berkejar ke makmal. Mentor aku bernama Dr. Verna. Seorang doktor perubatan. Dia tidak banyak mengajar dan tugasnya lebih banyak di klinik IMU. Dia akan menjadi mentor aku selama lima semester. Dia memaklumkan bahawa dia boleh ditemui pada hari Isnin, Rabu, dan Khamis. Beritahu saja kepada jururawat. Sebelum aku keluar, dia ada bertanyakan soalan tentang keluarga yang tak sempat aku jawab sepenuhnya.

Aku terdengar dia bertanya kepada Niro, "Is he a shy boy?". Oh, tidak. Soalan itu akan terjawab dalam pertemuan yang akan datang. Ini hanya pertemuan pertama dan ya, saya malu dengan orang yang baru ditemui.

Destinasi seterusnya, makmal. Hari ini aku sukarela lagi untuk bagi jari aku untuk dibiarkan darah menitis. Ya, ini bukan kali pertama. Dua tiga minggu lepas pun main dengan darah. Masa tu nak belajar osmosis. Kali ni nak tengok apa yang terkandung dalam darah. Menarik jugak tengok darah sendiri. Tengok sel darah putih. Nak kenal apa tu neutrophil, basophil, monocyte, dan lymphocyte.

Hari ini sangat panjang. Alhamdulillah, aku berjaya menyelamatkan diri dalam satu hari Jumaat yang sangat memenatkan.



Thursday, October 10, 2013

Nak Balik!


Dah sebulan lebih di Bukit Jalil. Menyambung pengajian ijazah sarjana muda perubatan di International Medical University. Kalau di INTEC Education College dulu, boleh buat setiap bulan. Di sini jadual tak mengizinkan.

Sedih tak dapat balik raya haji kali ni. Beraya di perantauan. Perantauan lar sangat. Cuti sehari je. Hari Selasa tu. Hari lain ada program. Walaupun kuliah hari Isnin tu boleh ponteng, tapi Khamis ada Clinical Skills Unit yang penting.

Memandangkan Rabu tu ada beberapa lagi kuliah, sayang pulak nak ponteng. Memang hajat di hati nak balik cuti ni sebab cuti yang sederhana panjang selepas ni bulan Disember nanti. Lambat lagi. Kuliah tak wajib datang. Cuma banyak sangat kuliah yang terpaksa diabaikan.

Selepas mempertimbangkan cuti hanya empat hari (Sabtu-Selasa) dan kalau balik pun, terpaksa melalui perjalanan panjang untuk pulang ke kampung, aku mengambil keputusan untuk membatalkan hasrat untuk pulang. Ditambah pula dengan harga tiket yang mahal yang tak berbaloi nak balik dua tiga hari.

Selain itu, faktor tiket seterusnya adalah masih ada atau tidak. Tak tahu tiket nak balik Kedah ni dah habis atau belum. Jadi hajat nak balik terpaksa ditangguhkan. Aku akan mencari ruang waktu seterusnya kerana jadual untuk beberapa minggu akan datang sudah dikeluarkan. Tertakluk kepada pindaan jadual bila-bila masa saja yang mereka suka.

Memang rindu nak balik rumah. Nak jumpa famili. Tapi kekangan wang, waktu, dan jadual memaksa aku beraya di perantauan. Tak mengapa. Mungkin ini persediaan sebelum ke luar negara. Nanti lagi susah nak balik.

InsyaAllah, jika diizinkan Allah, aku akan pulang jua apabila ada kelapangan. Moga dipermudahkan. Kerna hajat di hati ingin pulang ke baiti jannati.



Teguran Allah


Alhamdulillah, Isnin lepas aku dipilih Allah untuk dipayungi sayap para malaikat dan menghadiri kuliah tafsir al-Quran. Sepatutnya kuliah tu lepas Maghrib. Tapi murabbi jemputan terkandas dalam kesesakan jalan raya. Maka kuliah itu ditunda ke selepas solat Isyak. Kerana begitu cinta akan ilmu, aku tetap menanti.

Murabbi tersebut hanya sampai ketika hampir masuk waktu Isyak. Ustaz Affuan. Seorang murabbi dari INTEC yang aku hormati kerana-Nya. Murabbi yang aku kenal semasa belajar di INTEC dulu. Kehadirannya mengajar tafsir di Bukit Jalil ini juga adalah hasil usaha sahabat (rujuk entri sebelum ini) yang mengundang beliau.

Selepas solat Isyak, kuliah pun bermula. Ustaz A menyampaikan tafsir ayat pertama surah at-Tahrim.

"Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
 [66:1]

Ustaz memaklumkan, setakat pengetahuan beliau, Allah menegur Nabi Muhammad SAW di 13 tempat dalam al-Quran. Salah satunya adalah dalam ayat pertama surah at-Tahrim. 

Cerita di sebaliknya, salah seorang isteri Nabi Muhammad adalah Zainab binti Jahsy. Zainab ialah isteri Nabi Muhammad yang sangat suka bersedekah.

Dalam satu riwayat, isteri-isteri Rasulullah ingin tahu siapakah antara mereka yang pertama akan meninggal dunia setelah Rasulullah. Rasulullah menjawab isterinya yang paling panjang tangan. Mereka pun mengukur tangan masing-masing untuk melihat tangan siapa yang paling panjang. Tetapi, kemudian mereka sedar maksud sebenar yang Nabi Muhammad maksudkan adalah isterinya yang paling banyak memberi, iaitu Zainab binti Jahsy.

Zainab sangat sinonim dengan madu. Jika Rasulullah ke rumah Zainab, maka sudah pasti terang lagi bersuluh, Rasulullah mesti minum madu. Nabi Muhammad gemar minum madu di rumah Zainab. Cerita madu di rumah Zainab sering diceritakan kepada isteri-isteri yang lain. 

Isteri-isteri Rasulullah yang lain tahu kerana Rasulullah sentiasa menyebut nama orang yang memberi kepada Baginda sebagai tanda penghargaan. Contohnya, "Tadi aku minum madu di rumah Zainab". Nabi Muhammad menyebut nama pemberi tanda Baginda menghargai pemberi tersebut.

Kisahnya, Aishah dan Hafsah cemburu dengan Zainab. Mereka berpakat untuk menyoal Rasulullah apabila Baginda balik untuk giliran di rumah mereka. Jika Rasulullah pulang ke rumah salah seorang antara mereka, mereka akan mengatakan mulut Rasulullah berbau. Mereka sengaja mendesak Rasulullah sedangkan madu tidak meninggalkan bau jika diminum.

Akhirnya, selepas beberapa kali disoal, Rasulullah bersumpah tak akan minum madu lagi untuk menyenangkan hati isteri-isterinya yang cemburu. Kerana sumpah itu, Allah SWT menegur kekasihnya, Rasulullah SAW dalam ayat pertama surah at-Tahrim. Allah menegur kerana Rasulullah telah mengharamkan baginya sesuatu yang halal bagi Allah (minum madu).

Rasulullah bersumpah untuk tidak minum madu selama-lamanya kerana ingin menyenangkan hati isteri-isteri Baginda. Sumpah ini hanya ke atas diri Baginda. Tetapi jika individu lain mengharamkan minum madu ke atas dirinya, kesannya tidak sebesar apabila Rasulullah yang mengharamkan. Umat Baginda sudah pasti tidak akan minum madu kerana Rasulullah telah menjatuhkan hukum haram.

Itulah sebabnya Allah menurunkan ayat al-Quran ini untuk menegur Rasulullah. Ada beberapa lagi peristiwa di mana Allah menegur Rasulullah secara tidak langsung iaitu menggunakan orang lain untuk menegur. Contohnya, dalam surah al-Anfal.

"Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi...."
[8:67]

 Dalam ayat pertama surah at-Tahrim, Allah menegur Rasulullah secara langsung. Nabi Muhammad tidak melakukan dosa. Baginda maksum. Rasulullah bebas dari sebarang dosa. Cuma, dalam konteks ayat pertama surah at-Tahrim ini, Baginda telah memilih sesuatu yang kurang utama iaitu menjaga hati isteri-isterinya sedangkan hukum haram yang dijatuhkan akan memberi impak kepada umat Baginda.

Moralnya, kekasih Allah yang maksum juga ditegur oleh-Nya. Apatah lagi kita ini hanya insan biasa yang tidak sempurna, sering pula melakukan kesilapan. Banyak cara Allah menyampaikan teguran kepada kita. Apabila seseorang atau sesuatu benda membuatkan kita tersedar, itulah alat yang Allah gunakan untuk menegur kita. 

Usah pandang siapa yang menegur,
tapi lihatlah apa yang ditegur.
 
Walau berbagai cara ia singgah,
teguran itu dari Allah.

Itulah sedikit sebanyak ilmu yang aku dapat Isnin lepas. Wallahualam.


Alif Lam Mim


Alhamdulillah, dalam kesibukan menjadi pelajar tahun pertama jurusan perubatan, diri ini masih dipilih oleh Allah untuk menghadiri majlis ilmu. Dipayungi sayap para malaikat. Di dunia ini hanya ada dua taman syurga. Nak ke Raudhah di Madinah memang sukar. Jadi 'majlis ilmu' adalah taman-taman syurga. Bukan semua orang diizinkan Allah untuk menghadiri majlis ilmu. Syukur alhamdulillah.

Dan aku kira pengisian seorang sahabat hari ini cukup menarik. Vista B terletak lima minit dari kediaman aku di Vista C. Selepas makan malam saat azan Maghrib memanggil hamba-hamba Allah ke rumah-Nya, aku solat Maghrib di Vista C. Selepas itu, aku dan rakan-rakan serumah mengambil keputusan untuk menghadiri surau Vista B.

Alhamdulillah, ilmu baru untuk dikongsikan.

Selepas surah al-Fatihah, surah seterusnya dalam al-Quran yakni al-Baqarah dimulakan dengan tiga huruf. Alif, lam, mim. Aku tak pernah terfikir tentang itu. Seorang sahabat yang memberi pengisian itu membuka mataku. Dia sahabat yang pernah serumah di kolej semasa zaman A-Level.

Ceritanya mudah. Walau sehebat mana sekalipun alim ulama yang mentafsir al-Quran dari ayat ke ayat, mereka tidak pernah dapat mentafsir apa yang Allah maksudkan apabila memulakan surah al-Quran dengan tiga huruf.

Sesungguhnya, Allah Maha Bijaksana dan Maha Tinggi. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang cuba disampaikan dengan tiga huruf sebagai permulaan surah. Walau setinggi mana ilmu agama mereka, mereka gagal mencari makna yang hanya dalam ilmu Allah.

Moralnya, walau siapa kita di dunia. Sama ada kita menguasai ilmu perubatan, astronomi, geologi, atau meteorologi. Jika kita tak dapat mentafsir tiga huruf dalam al-Quran, untuk apa kita merasa bangga? Usah mendabik dada.

Semakin banyak kita tahu, semakin kita sedar lebih banyak yang kita belum tahu.


Wednesday, October 9, 2013

Monday, October 7, 2013

Give Me Time



Luangkan aku masa
Kerna aku juga sama
Memberi bahagian yang berharga.


Januzaj Wira


Entri bola sepak.

Who needs Cristiano Ronaldo if they have Adnan Januzaj?

Malam tadi, Manchester United berkunjung ke Sunderland selepas dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris. Satu lagi kekalahan akan meletakkan tekanan besar terhadap pengurus baru, David Moyes. Menang atau berdepan kemungkinan dipecat.
Sunderland 1-2 Manchester United

Moyes telah beberapa kali menggunakan Januzaj sebagai pemain gantian. Selepas menambah masa permainan Januzaj dari perlawanan ke perlawanan, Moyes akhirnya menyenaraikan Januzaj dalam kesebelasan utama buat kali pertama. Langkah ini menimbulkan persoalan sama ada pemain berpotensi berusia 18 tahun ini mampu bersaing.

David De Gea terus diberi kepercayaan untuk mengawal gawang di belakang kubu pertahanan dibarisi Rafael - Phil Jones - Nemanja Vidic - Patrice Evra. Dengan formasi 4-4-2, Nani - Michael Carrick - Tom Cleverley - Adnan Januzaj membentuk jentera tengah di belakang gandingan serangan berkembar Wayne Rooney dan Robin Van Persie.

Aku kira pasukan ini memuaskan hati. Vidic perlu bergandingan dengan seorang pemain muda di posisi bek tengah dan pemilihan Jones sangat sesuai. Ketiadaan Marouane Fellaini membenarkan Cleverley beraksi bersama Carrick. Aku gembira apabila Moyes memilih Nani dan Januzaj untuk mengancam dari bahagian sayap.


A


Tetapi kelemahan pertahanan United terserlah jua. Lima minit permainan baru bermula, Vidic melakukan kesilapan yang sama buat kali kedua selepas di Ukraine menentang Shakhtar Donetsk. Cubaan mengeluarkan bola yang lemah disambar Taison di Ukraine dan kali ini Vidic dihukum oleh Craig Gardner. 

De Gea telah menyelamatkan United daripada dimalukan beberapa kali musim ini. Dan semalam De Gea cemerlang lagi. Dengan United ketinggalan 1-0 dan gol kedua akan melemahkan semangat pemain, tandukan padu Emanuele Giaccherini kelihatan menuju ke dalam gawang sebelum De Gea melakukan aksi refleks, menolak bola dengan sebelah tangan. Menakjubkan.


Adnan Januzaj baru berusia 18 tahun. Semalam, dia adalah wira Manchester United. Memang tak dapat dinafikan betapa Januzaj membawa ancaman besar di kedua-dua sayap. Kombinasi skil yang mantap, larian yang kencang, dan keberanian yang luar biasa, Januzaj menyerlah. Untuk gol pertama, Januzaj menggelecek sebelum melebarkan bola ke sayap kiri untuk Evra melakukan hantaran lintang. Dan Januzaj meneruskan lariannya untuk merembat dengan kaki kanan. Hanya satu sentuhan dan jaring bergegar.


Gol kedua pula mempersembahkan teknik semula jadi yang dimilikinya. Nani melakukan hantaran silang dari sayap kanan yang ditanduk keluar oleh John O'Shea. Bola itu jatuh tepat di depan Januzaj dan dia tidak memerlukan arahan untuk meledak dari kiri ke kanan.

Bangkit dari ketinggalan, Moyes mengeluarkan Januzaj dan Nani. Dua ancaman terbesar United digantikan dengan Danny Welbeck dan Antonio Valencia. Aku tak tahu apa yang ada dalam fikiran Moyes. Tapi langkah ini sangat merisaukan kerana United belum selesa. Satu gol untuk Sunderland dan keputusan seri akan membuatkan United terus jauh ketinggalan dalam usaha mempertahankan kejuaraan.

Januzaj memanfaatkan peluang yang diberikan dengan membalas kepercayaan Moyes. Januzaj telah mengukuhnya dalam perancangan pengurus. Masih banyak masa yang dimiliki Januzaj untuk memperbaiki permainan. Dia hanya akan bertambah hebat dari masa ke masa dengan keberanian Moyes mempertaruhkan pemain muda berbakat.

Dengan pengalaman, Januzaj akan menjadi Cristiano Ronaldo terbaru yang digilap di Manchester United. Liga Perdana Inggeris hanya akan bersambung dua minggu lagi. Southampton akan menjadi saksi kecemerlangan pemain muda Belgium ini, seperti Sunderland yang menjadi mangsa pertama Januzaj.



Saturday, October 5, 2013

So Close, So Far


So close, yet so far.

Aku begitu hampir, tetapi tetap tidak berjaya. Kisahnya agak rumit. Tetapi penghujungnya duka. Biarlah aku yang mengalah. Kerna aku masih punya peluang.

Khamis,  3 Oktober 2013. Pemilihan pemain untuk sukan futsal IMU Cup 2013. Sebelum itu, kapten futsal bagi rumah Taurus sudah memaklumkan dia tidak akan membuat sesi pemilihan kerana dia agak sibuk dengan posting di hospital. Katanya, dia telah membentuk pasukan sendiri.

Tetapi, pembantunya telah mengadakan sesi pemilihan. Dan aku dengan semangat berkobar-kobar turut serta kerana tahun lepas, Taurus adalah naib juara. Ini adalah sesi latihan tunggal bagi Taurus ketika pasukan lain telah membuat persiapan jauh lebih awal.

Selepas beraksi pada waktu malam hari Khamis tersebut, aku kira peluang aku sangat tipis kerana lebih ramai pemain yang jauh lebih cergas dan berkualiti. Aku antara junior semester satu yang terlibat dan aku satu-satunya yang berbangsa Melayu. Kapten tidak turut serta pada malam itu membuatkan pembantunya memaklumkan pemain yang terpilih akan diumumkan esok (Jumaat).

Esoknya adalah hari pertandingan. Aku masih berharap walaupun aku tahu peluang untuk mengisi tiga slot sangat sukar. Satu pasukan boleh menghantar maksima lapan orang pemain, tetapi kapten telah mempunyai lima orang pemain utama (termasuk dirinya sendiri). 

Tengah hari itu, sebaik pulang dari solat Jumaat, aku bukak group FB dan mendapat khabar gembira. Alhamdulillah, aku tersenarai.


Tetapi.. Kegembiraan itu tak kekal lama..


Kapten meminta kebenaran aku untuk memberi tempat aku kepada senior yang tidak punya peluang lagi dalam IMU Cup akan datang. Dan aku, dengan berat hati melepaskan tempat aku kerana aku sendiri rasa tak layak. Ramai pemain lebih bagus dalam sesi kelayakan.


Sekurang-kurangnya, pujian kapten ini melegakan aku, sama ada ikhlas ataupun tidak. Walaupun kapten tidak hadir dalam sesi pemilihan, aku telah berlatih bersama dia dalam satu sesi latihan sebelum itu. 

Walaupun tidak bermain, aku turut ke venue untuk memberi sokongan. Apa yang membuatkan aku terharu, kapten dan rakan-rakan lain memohon maaf kerana aku tak dapat bermain kali ini. Sedikit lawak kerana mereka jauh lebih baik.

Aku juga dipanggil untuk bersama pasukan dalam sesi fotografi selepas tamat pertandingan. Mereka memang sangat baik dan sangat menghargai.

Kali ini, Taurus hanya mendapat tempat ketiga. Semua pasukan lain telah membuat persiapan awal. Dengan kualiti yang ada, Taurus tanpa persiapan berjaya mendapat pingat gangsa. I'm proud to be one of them. Or at least, nearly one.



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif