Welcome To My Life...

Thursday, October 10, 2013

Alif Lam Mim


Alhamdulillah, dalam kesibukan menjadi pelajar tahun pertama jurusan perubatan, diri ini masih dipilih oleh Allah untuk menghadiri majlis ilmu. Dipayungi sayap para malaikat. Di dunia ini hanya ada dua taman syurga. Nak ke Raudhah di Madinah memang sukar. Jadi 'majlis ilmu' adalah taman-taman syurga. Bukan semua orang diizinkan Allah untuk menghadiri majlis ilmu. Syukur alhamdulillah.

Dan aku kira pengisian seorang sahabat hari ini cukup menarik. Vista B terletak lima minit dari kediaman aku di Vista C. Selepas makan malam saat azan Maghrib memanggil hamba-hamba Allah ke rumah-Nya, aku solat Maghrib di Vista C. Selepas itu, aku dan rakan-rakan serumah mengambil keputusan untuk menghadiri surau Vista B.

Alhamdulillah, ilmu baru untuk dikongsikan.

Selepas surah al-Fatihah, surah seterusnya dalam al-Quran yakni al-Baqarah dimulakan dengan tiga huruf. Alif, lam, mim. Aku tak pernah terfikir tentang itu. Seorang sahabat yang memberi pengisian itu membuka mataku. Dia sahabat yang pernah serumah di kolej semasa zaman A-Level.

Ceritanya mudah. Walau sehebat mana sekalipun alim ulama yang mentafsir al-Quran dari ayat ke ayat, mereka tidak pernah dapat mentafsir apa yang Allah maksudkan apabila memulakan surah al-Quran dengan tiga huruf.

Sesungguhnya, Allah Maha Bijaksana dan Maha Tinggi. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang cuba disampaikan dengan tiga huruf sebagai permulaan surah. Walau setinggi mana ilmu agama mereka, mereka gagal mencari makna yang hanya dalam ilmu Allah.

Moralnya, walau siapa kita di dunia. Sama ada kita menguasai ilmu perubatan, astronomi, geologi, atau meteorologi. Jika kita tak dapat mentafsir tiga huruf dalam al-Quran, untuk apa kita merasa bangga? Usah mendabik dada.

Semakin banyak kita tahu, semakin kita sedar lebih banyak yang kita belum tahu.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif