Welcome To My Life...

Thursday, October 10, 2013

Teguran Allah


Alhamdulillah, Isnin lepas aku dipilih Allah untuk dipayungi sayap para malaikat dan menghadiri kuliah tafsir al-Quran. Sepatutnya kuliah tu lepas Maghrib. Tapi murabbi jemputan terkandas dalam kesesakan jalan raya. Maka kuliah itu ditunda ke selepas solat Isyak. Kerana begitu cinta akan ilmu, aku tetap menanti.

Murabbi tersebut hanya sampai ketika hampir masuk waktu Isyak. Ustaz Affuan. Seorang murabbi dari INTEC yang aku hormati kerana-Nya. Murabbi yang aku kenal semasa belajar di INTEC dulu. Kehadirannya mengajar tafsir di Bukit Jalil ini juga adalah hasil usaha sahabat (rujuk entri sebelum ini) yang mengundang beliau.

Selepas solat Isyak, kuliah pun bermula. Ustaz A menyampaikan tafsir ayat pertama surah at-Tahrim.

"Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
 [66:1]

Ustaz memaklumkan, setakat pengetahuan beliau, Allah menegur Nabi Muhammad SAW di 13 tempat dalam al-Quran. Salah satunya adalah dalam ayat pertama surah at-Tahrim. 

Cerita di sebaliknya, salah seorang isteri Nabi Muhammad adalah Zainab binti Jahsy. Zainab ialah isteri Nabi Muhammad yang sangat suka bersedekah.

Dalam satu riwayat, isteri-isteri Rasulullah ingin tahu siapakah antara mereka yang pertama akan meninggal dunia setelah Rasulullah. Rasulullah menjawab isterinya yang paling panjang tangan. Mereka pun mengukur tangan masing-masing untuk melihat tangan siapa yang paling panjang. Tetapi, kemudian mereka sedar maksud sebenar yang Nabi Muhammad maksudkan adalah isterinya yang paling banyak memberi, iaitu Zainab binti Jahsy.

Zainab sangat sinonim dengan madu. Jika Rasulullah ke rumah Zainab, maka sudah pasti terang lagi bersuluh, Rasulullah mesti minum madu. Nabi Muhammad gemar minum madu di rumah Zainab. Cerita madu di rumah Zainab sering diceritakan kepada isteri-isteri yang lain. 

Isteri-isteri Rasulullah yang lain tahu kerana Rasulullah sentiasa menyebut nama orang yang memberi kepada Baginda sebagai tanda penghargaan. Contohnya, "Tadi aku minum madu di rumah Zainab". Nabi Muhammad menyebut nama pemberi tanda Baginda menghargai pemberi tersebut.

Kisahnya, Aishah dan Hafsah cemburu dengan Zainab. Mereka berpakat untuk menyoal Rasulullah apabila Baginda balik untuk giliran di rumah mereka. Jika Rasulullah pulang ke rumah salah seorang antara mereka, mereka akan mengatakan mulut Rasulullah berbau. Mereka sengaja mendesak Rasulullah sedangkan madu tidak meninggalkan bau jika diminum.

Akhirnya, selepas beberapa kali disoal, Rasulullah bersumpah tak akan minum madu lagi untuk menyenangkan hati isteri-isterinya yang cemburu. Kerana sumpah itu, Allah SWT menegur kekasihnya, Rasulullah SAW dalam ayat pertama surah at-Tahrim. Allah menegur kerana Rasulullah telah mengharamkan baginya sesuatu yang halal bagi Allah (minum madu).

Rasulullah bersumpah untuk tidak minum madu selama-lamanya kerana ingin menyenangkan hati isteri-isteri Baginda. Sumpah ini hanya ke atas diri Baginda. Tetapi jika individu lain mengharamkan minum madu ke atas dirinya, kesannya tidak sebesar apabila Rasulullah yang mengharamkan. Umat Baginda sudah pasti tidak akan minum madu kerana Rasulullah telah menjatuhkan hukum haram.

Itulah sebabnya Allah menurunkan ayat al-Quran ini untuk menegur Rasulullah. Ada beberapa lagi peristiwa di mana Allah menegur Rasulullah secara tidak langsung iaitu menggunakan orang lain untuk menegur. Contohnya, dalam surah al-Anfal.

"Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi...."
[8:67]

 Dalam ayat pertama surah at-Tahrim, Allah menegur Rasulullah secara langsung. Nabi Muhammad tidak melakukan dosa. Baginda maksum. Rasulullah bebas dari sebarang dosa. Cuma, dalam konteks ayat pertama surah at-Tahrim ini, Baginda telah memilih sesuatu yang kurang utama iaitu menjaga hati isteri-isterinya sedangkan hukum haram yang dijatuhkan akan memberi impak kepada umat Baginda.

Moralnya, kekasih Allah yang maksum juga ditegur oleh-Nya. Apatah lagi kita ini hanya insan biasa yang tidak sempurna, sering pula melakukan kesilapan. Banyak cara Allah menyampaikan teguran kepada kita. Apabila seseorang atau sesuatu benda membuatkan kita tersedar, itulah alat yang Allah gunakan untuk menegur kita. 

Usah pandang siapa yang menegur,
tapi lihatlah apa yang ditegur.
 
Walau berbagai cara ia singgah,
teguran itu dari Allah.

Itulah sedikit sebanyak ilmu yang aku dapat Isnin lepas. Wallahualam.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif