Welcome To My Life...

Thursday, October 3, 2013

United Kemarau


Dari Donbass Arena, Manchester United mendahului tuan rumah, Shakhtar Donetsk, dan kelihatan akan membawa pulang tiga mata penuh untuk memulihkan moral setelah tewas kepada West Brom dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris. Malangnya, United hanya mendapat satu mata dalam perlawanan Kumpulan A Liga Juara-Juara Eropah.

Shakhtar 1-1 United

Kecederaan ayam tambatan, Wayne Rooney, memaksa David Moyes mengubah kesebelasan utamanya dan Moyes menggunakan formasi 4-5-1 untuk beraksi di pentas Eropah dengan menggunakan tiga pemain tengah untuk memadatkan kawasan tengah padang. Tom Cleverley, Michael Carrick, dan Maroaune Fellaini membentuk jentera tengah untuk mengekang asakan Shakhtar dengan Antonio Valencia dan Danny Welbeck mengapit mereka di bahagian sayap. Robin van Persie diletakkan sebagai penyerang tunggal.

David De Gea terus mendapat kepercayaan Moyes di gawang dengan Rafael - Chris Smalling - Nemanja Vidic - Patrice Evra membentuk kubu pertahanan. Barisan United kukuh menangkis serangan bertali arus dari pihak tuan rumah. Tetapi tanpa Rooney, jentera serangan United goyah.

Menentang arus perlawanan, hantaran silang Fellaini dari sebelah kanan disambar Welbeck untuk memberikan United gol pendahuluan. Selepas itu, Shakhtar terus menguasai permainan dan melancarkan serangan demi serangan. Akhirnya, selepas bertahan begitu kental, tembok United dirobohkan jua oleh Taison yang menggegarkan stadium dengan sorakan kegembiraan penyokong tuan rumah.

Dengan Nani dan Shinji Kagawa di bangku simpanan, taktik Moyes memberi kepercayaan kepada Valencia sangat meragukan. Valencia terlalu mudah dijangka. Dia tidak mampu menggelecek. Dia hanya mampu berlari dan berhenti apabila dikawal pemain lawan. Dia tidak kreatif. 

Moyes perlu melakukan sesuatu apabila jendela perpindahan dibuka Januari nanti. Moyes perlu menambah beberapa orang pemain yang mampu mencorak permainan United. Jika Moyes gagal mendapatkan pemain baru, Moyes boleh melupakan hasrat mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Malah, kemungkinan besar musim depan Moyes akan memimpin United beraksi dalam divisyen lebih rendah.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif