Monday, September 30, 2013

Catur Kehidupan


Sedikit renungan hasil karya sahabat INTEC, Pokjat.


Raja atau rakyat biasa,
tempat kembali tetap sama.


Sunday, September 29, 2013

Operasi Surau


Alhamdulillah, pagi tadi dengan izin Allah, aku dan beberapa orang rakan telah dipilih oleh Allah untuk membersihkan rumah-Nya. 

Aku tinggal di Vista Komanwel C. Pagi tadi aku tolong membersihkan surau di Vista Komanwel B. Memandangkan kurangnya orang Islam yang tinggal di situ, surau itu tidak 'hidup'. Dalam batch aku, ada enam orang rakan beragama Islam yang tinggal di sana. 

Atas inisiatif sorang rakan yang sangat cinta akan ilmu, dia telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghidupkan majlis ilmu. Antaranya termasuklah mencari murabbi yang akan mengajar kuliah Maghrib. Surau yang akan digunakan adalah di Vista C (tempat tinggal aku) dan Vista B.

Sepatunya jadual program bermula jam 8 pagi. Tapi biasa lar janji Melayu. Aku ni je Melayu yang sangat menepati waktu. Lepas jam 8.30 pagi baru kami yang ada buat keputusan untuk mulakan dengan pembahagian tugas. Selepas itu, sorang demi sorang datang.


Oh, yang vakum karpet tu bukan aku. Aku tolong lap tingkap. Surau yang terbiar ni okey saja. Cuma sangat-sangat berhabuk. Karpet tu memang kalau ditepuk, berterbangan debu. 

Alhamdulillah, dengan kerjasama semua yang hadir 'memeriahkan' majlis, kami mendapat pengisian usai membersihkan surau itu.

Saudara Mars memberikan sepatah dua kata selaku tuan rumah di Vista B.



Selepas bekerja dengan gigih, saudara Mars menjamu kami makan di rumahnya. Bihun sup.


Tiadalah apa-apa yang kami inginkan di dunia ini sebagai balasan. Cukuplah syurga tempat berehat yang kami idamkan.



United Tumbang Lagi


Kecewa.

Itu satu perkataan yang menggambarkan perasaan aku terhadap kelab yang aku minati, Manchester United. 'Syaitan Merah' tumbang lagi. Kali ini di gelanggang sendiri.

Manchester United 1-2 West Bromwich

Entah apa lagi yang tak kena. Semalam Moyes telah menggunakan semua pemain yang aku ingin saksikan. Aku terkedu. Tiada siapa lagi yang aku bayangkan dapat menyelamatkan kejatuhan United. Jonny Evans, Nani, Shinji Kagawa. Semuanya diberikan peluang untuk memperagakan aksi mereka.

David De Gea; Phil Jones-Rio Ferdinand-Jonny Evans-Alex Buttner; Nani-Anderson-Michael Carrick-Shinji Kagawa; Wayne Rooney-Javier Hernandez. 4-4-2. Formasi ini bagi aku tiada masalah. Tetapi masih juga kalah. 


Untuk kedua-dua gol, Ferdinand boleh dipersalahkan. Pertahanan ini sudah melepasi usia emasnya. Dia tidak lagi mampu bertahan dengan rentak pantas Liga Perdana Inggeris. Rio terlalu perlahan. Dua kali Rio digelecek menyebabkan gawang United dibolosi. 

United ketinggalan apabila larian solo Morgan Amalfitano memecahkan kubu United untuk berdepan dengan penjaga gol satu lawan satu. Dia mengacah untuk merembat sebelum menyungkit bola melepasi De Gea yang terpedaya. United menyamakan kedudukan apabila sepakan percuma melencong Rooney melepasi semua pemain termasuk penjaga gol yang tidak bergerak.

Itu adalah gol sepakan percuma ketiga Rooney dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas Crystal Palace dan Manchester City. Walaupun gol kali ini kelihatan seperti bertuah kerana sebenarnya Chicharito terlepas dalam cubaan melakukan tandukan. Tetapi Rooney mencipta golnya sendiri dengan memastikan sepakan melencong itu tidak meliar.

Ketika itu, aku mula mengharapkan kebangkitan United. Tetapi harapan tinggal harapan. Tidak lama selepas itu, Saido Berahino merembat dari luar kotak penalti untuk menewaskan De Gea. Dalam gerakan yang menghasilkan gol itu, Rio sekali lagi digelecek. United menggempur selepas gol tersebut tetapi gagal mencari gol penyamaan. Fellaini berjaya meletakkan bola di dalam gawang tetapi dia berada dalam posisi ofsaid.

Aku tak tahu pemain mana lagi yang boleh aku harapkan. Mungkinkah Wilfried Zaha dapat menjadi wira United? Tiga pemain gantian yang masuk semalam ialah Adnan Januzaj, Robin Van Persie, dan Marouane Fellaini. Tapi ketiga-tiga mereka gagal membantu United. Januzaj beraksi sepanjang separuh masa kedua selepas masuk menggantikan Kagawa.

Dengan memberikan pemain berusia 18 tahun tersebut (Januzaj) lebih banyak masa permainan, Moyes dilihat berusaha keras memastikan pemain muda itu akan menandatangani kontrak baru untuk kekal di United. Januzaj kini sedang diburu kelab-kelab besar seperti Manchester City, dan Juventus yang telah mencuri Paul Pogba satu ketika dahulu.

Bagi aku, Moyes perlu diberi masa. Memang Alex Ferguson sangat berjaya memimpin United lebih dua dekad. Tapi jangan lupa dia tidak memenangi apa-apa dalam tempoh masa empat tahun pertama. Malangnya, Moyes mungkin perlu segera memulakan rentak gemilang kerana rekod pengurus moden tidak akan bertahan lama jika tidak mempamerkan prestasi baik.

United akan berdepan Shakhtar Donetsk dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim 2013/2014. Satu lagi kekalahan tidak akan terima peminat United.

Bagi aku, jangan mengaku kipas-susah-mati jika hanya menyokong ketika menang dan tidak mampu mendokong ketika kalah. 



Thursday, September 26, 2013

Bangkit Gagah


Sang juara bukan tidak pernah gagal. Dia juga akan kalah. Tapi dia bangkit semula, gagah seperti biasa. Tidak membenarkan kekalahan melemahkan semangatnya. Selepas dibelasah 4-1 oleh Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris, Manchester United berdepan seteru zaman-berzaman, Liverpool dalam Piala Liga. 

Sebelum ini, United telah tewas 1-0 kepada Liverpool di gelanggang lawan dalam perlawanan liga. Satu lagi kekalahan kepada Liverpool akan menjatuhkan motivasi para pemain United. Dan kemenangan pula akan memulihkan keyakinan peminat.

David Moyes dihentam teruk kerana salah percaturan dengan taktik 4-4-2 untuk menentang City. Kekalahan memalukan itu mendesak Moyes menggunakan formasi yang lebih efektif menentang mana-mana pasukan kuat, 4-5-1.


David De Gea dikekalkan di antara dua tiang. Hampir keseluruhan benteng pertahanan ditukar dengan hanya Chris Smalling berpindah dari posisi bek kanan ke bek tengah. Smalling bergandingan dengan Jonny Evans diapit Rafael di bek kanan dan Alex Buttner di bek kiri.

Moyes perlu merehatkan Michael Carrick dan Marouane Fellaini. Dia memilih Phil Jones dan pemain veteran, Ryan Giggs, untuk melindungi kubu pertahanan. Moyes meletakkan Nani di sayap kiri dan Shinji Kagawa di sayap kanan. Wayne Rooney pula menyokong penyerang tunggal, Javier Hernandez. 4-2-3-1 adalah formasi terbaik untuk menentang pasukan besar. Tambahan pula, tonggak utama Liverpool, Luis Suarez, kembali dari penggantungan 10 perlawanan.

Keseluruhannya, perlawanan seimbang. United dan Liverpool saling menggempur. De Gea, Evans, Smalling, Buttner, Rooney, dan Hernandez beraksi cemerlang. De Gea merupakan wira United dengan beberapa aksi menyelamat penting termasuk tepisan refleks daripada tandukan peluru Victor Moses dalam separuh masa kedua. Memiliki dua bek tengah yang tinggi, Evans dan Smalling, membantu United menangkis hantaran silang dan sepakan sudut yang cuba mencari pemain Liverpool dalam kotak penalti.

Buttner jarang diberi peluang untuk menggantikan Patrice Evra di bek kiri tetapi dia memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaiknya. Kemenangan tanpa bolos adalah cara terbaik untuk membuktikan dia layak bermain di posisi tersebut. Buttner bekerja keras membantu Nani di sayap kiri. Rooney pula adalah titik fokus serangan United. Rooney terus mempamerkan prestasi cemerlang sejak kembali dari kecederaan di kepala. 


Chicharito (Hernandez) juga perlu membuktikan kemampuannya dengan berada di belakang Robin Van Persie dan Danny Welbeck dalam senarai penyerang United. Dan Chicharito meneruskan reputasinya selaku pemusnah berbisa dengan jaringan voli menarik. Sepakan sudut Rooney memerlukan rakan sepasukan untuk diterjemah menjadi gol. Dan Chicharito meloloskan diri dari pemain yang mengawalnya untuk melaukan sentuhan pemangsa dengan mengubah pergerakan badannya untuk mengejutkan Simon Mignolet di gawang Liverpool.


Banyak pengajaran untuk David Moyes dari kemenangan mengatasi Liverpool awal pagi tadi. Pertama, Chicharito perlu diberi lebih banyak peluang untuk menunjukkan kemampuannya. Dengan kecederaan Robin Van Persie, Chicharito layak mengekalkan tempatnya.

Kedua, formasi 4-2-3-1 adalah cara terbaik dalam permainan bola sepak moden. Formasi konvensional 4-4-2 kurang berkesan. Moyes perlu memadatkan jentera tengah untuk mengekang kemaraan jentera serangan lawan dan memaksa mereka melebarkan bola ke bahagian sayap yang lebih sukar dan memerlukan pemain sayap yang pintar dan pantas.

Ketiga, pemilihan Ashley Young dan Antonio Valencia untuk bermain di posisi sayap sudah tidak relevan. Kedua-dua pemain terlalu mudah dijangka dan tiada versatiliti. Walaupun Nani dan Shinji Kagawa tidak terlalu kreatif, mereka lebih sukar diagak pertahanan lawan. 

Keempat, melatih pemain muda dalam perlawanan besar akan mematangkan mereka. Jones, Evans dan Smalling adalah hasil keberanian Ferguson. Hasilnya dimanfaatkan Moyes. Maka, sifat berani itu wajar dicontohi. Moyes perlu berani mencuba Adnan Januzaj dan Wilfried Zaha, dua pemain muda berpotensi besar. Januzaj dimasukkan sebagai pemain gantian sekali lagi awal pagi tadi, dalam usaha mengekalkan pemain itu yang diburu kelab-kelab ternama. Zaha yang dibeli Ferguson pula kurang bernasib baik apabila sekali lagi gagal mendapatkan kepercayaan pengurus baru.

Apa pun, kemenangan awal pagi tadi adalah tonik terbaik sebagai motivasi untuk kembali bersaing mempertahankan kejuaraan liga. Selepas lima perlawanan, United kini lima mata di belakang pendahulu, Arsenal dan Tottenham. Walaupun hanya perlawanan piala yang tidak penting, United seharusnya mendapat suntikan semangat kerana kedua-dua pasukan menurunkan skuad terkuat dalam perlawanan tersebut. 

Liverpool melayan perlawanan tersebut sebagai aksi penting dengan menurunkan pasukan terbaik mereka termasuk Suarez. Kejayaan United bermakna mereka telah kembali setelah dibelasah dalam perlawanan setempat. Bagi aku, jika formasi menentang City tempoh hari adalah 4-2-3-1, City tak akan begitu mudah meratah United. Malah, kemungkinan besar United boleh menang. Tetapi, yang berlalu takkan berulang. Kesilapan taktikal mesti menjadi pengajaran berguna bagi Moyes. 

Apa pun, Moyes telah memulakan karier dengan rekod terbaik antara pengurus baru yang pernah memimpin United. Berikan dia masa, dan United akan kembali di puncak dunia. Glory glory Man United!



Wednesday, September 25, 2013

Skil Klinikal


Alhamdulillah, sesi pertama skil klinikal sudah dilalui. 1400-1600. Di Clinical Skills and Simulation Center (CSSC). Pengalaman baru yang sangat membuat hati ini teruja.

Aku dalam kumpulan kedua. Kumpulan pertama telah melakukannya semalam. Sebaik saja sesi mereka selesai semalam, aku telah mendapatkan gambaran tentang apa yang bakal berlaku. Maka sedikit sebanyak aku tahu apa yang perlu aku buat.

Hari ini tiada sebarang kuliah. Hanya sesi skil klinikal pada sebelah petang. Sepanjang pagi, aku resah dan gelisah. Dalam pusat simulasi itu, pelajar perubatan perlu memakai lab coat. Itulah saatnya kami boleh berlagak seperti doktor sebenar dengan menginterviu pesakit.

Semasa sesi penerangan sebelum sesi interviu bermula, kami diajar cara-cara untuk memulakan interviu dengan pesakit. Ada empat perkara pokok yang MESTI dilakukan. Pertama, kami perlu menyapa pesakit. Contohnya, "Hello, good morning."

Seterusnya, kami perlu memperkenalkan nama dan tugas kami. Contohnya, "I'm a first year medical student from IMU. You can call me Nazif." Ketiga, kami perlu menyatakan tujuan. Contohnya, "I was assigned by my GP to ask you regarding your visit today." 

Akhir sekali, dan yang PALING PENTING, kami perlu meminta keizinan pesakit. Contohnya, "May I have your permission to proceed?"

Kami dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan diberi satu bilik. Seorang peer tutor juga disediakan untuk membantu. Peer tutor ini terdiri daripada senior tahun keempat dan juga pelajar yang telah menamatkan pengajian.

Kami diberikan 10 senario. Dalam kumpulan aku, ada 9 orang. Setiap seorang akan diberi peluang untuk mencuba. Peer tutor akan membacakan senario dan meminta sesiapa yang sukarela untuk mencuba. Aku mengambil giliran kedua. Pesakit mengalami masalah pernafasan.

Bahagian pengenalan aku baik. Tetapi aku terkejut apabila peer tutor tiba-tiba memegang dadanya seperti kesakitan (hanya lakonan). Aku buntu untuk memberi respons. Dari maklum balas yang diberikan, aku perlu menyoal keadaannya. "Are you okay?", "How may i help you?".

Jam 3.40 petang, buzer dibunyikan. Kami kembali ke sesi penerangan. Ada 3 senario (role play) yang perlu dilakonkan dan Dr. Sow memanggil pelakon secara rambang.

Alhamdulillah, aku puas hati dengan sesi pertama walaupun aku hanya mencuba sekali. Aku akan terus berlatih dengan rakan serumah sebelum sesi seterusnya minggu depan. Banyak lagi ruang untuk diperbaiki.



Kekangan


Haiyaaa. Bersawang lagi blog Lelaki dari Marikh. Sudah berkali-kali tekad dalam hati. Pengajian di universiti tak kan menghalang diri ni dari terus menulis dengan istiqamah. Tapi seperti azam tahun baru yang selalu tak kesampaian, begitulah jadinya, tekad tinggal tekad.

Bukan tiada keinginan di hati. Cuma kekangan masa menjadi duri. Nak kata tak ada masa tu tak jugak. Semua orang ada masa yang sama. Sehari 24 jam. Seminggu 7 hari. Kalau orang lain ada masa, tak boleh lah nak jadikan 'tiada masa' sebagai alasan. 

Masa tu ada. Cuma mood kadang-kadang tak ada. Bukan kadang-kadang, selalunya (buat masa sekarang). Bila mengejar masa yang terbang seperti angin lalu, nak tulis blog pun malas. Semester pertama ijazah perubatan. Foundation. Belajar semula apa yang aku belajar semasa A-Level, tetapi lebih mendalam. 

Masa aku kini dibahagikan untuk pergi kelas, tidur, dan hilangkan stres. Oh, tak lupa mandi, makan dan solat. Kelas bukan dari 8 pagi hingga 5 petang. Ada masanya pagi saja, dan kadang-kadang waktu petang saja. Bila tak ada kelas, aku suka tidur untuk rehat.

Aku cuma tidur pada sebelah pagi atau petang. Malam aku berjaga sampai jam 1 pagi. Itu sebabnya aku perlukan tidur ekstra. ^_^

Bila tak tidur, memang kerja aku ulang kaji lecture yang dah berlalu. Aku nak cuba ulang tujuh kali. Kerna dari segi psikologi, sesuatu yang kita ulang tujuh kali akan lekat dalam ingatan. InsyaAllah. 

Aku berhajat untuk lebih konsisten dalam penulisan. Aku akan cuba mencari masa untuk menulis dalam kesibukan hidup di sini. 

p/s: Petang ni ada clinical skills. Nak interviu pesakit. =.=




Saturday, September 14, 2013

Momentum


Cuti sampai Isnin. Hari ni aku nak rehat puas-puas. Esok baru nak ulang kaji apa yang aku belajar minggu lepas. Aku rasa aku faham apa yang pensyarah ajar dalam kuliah. Nanti aku nak imbas kembali. Tadi dua pasukan yang penting bagi aku menang. Manchester United mengatasi Crystal Palace di tempat sendiri dan Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka juga di gelanggang sendiri.

Manchester United memulakan perlawanan dengan David De Gea mengawal gawang. Fabio - Nemanja Vidic - Rio Ferdinand - Patrice Evra membentuk kubu pertahanan. Antonio Valencia - Michael Carrick - Anderson - Ashley Young berganding bahu mengukuhkan jentera tengah. Wayne Rooney - Robin van Persie menjadi penggempur berkembar. Pemain baru United, Marouane Fellaini bermula di bangku simpanan.

Aku tak berapa suka Valencia dan Young. Bagi aku, kedua-duanya merepek. Aku nak tengok pemain muda, Wilfried Zaha dan Nani beraksi di bahagian sayap. Shinji Kagawa tiada dalam skuad kerana dikatakan selsema. United bermula garang dan mendominasi penguasaan bola.

Tetapi hanya pada detik terakhir separuh masa pertama baru gol pendahuluan diperoleh. Young dijatuhkan dalam kotak penalti dan pertahanan Palace dilayangkan kad merah. RVP tenang menyudahkan sepakan penalti. Pada detik sejam perlawanan berlangsung, Fellaini masuk menggantikan Anderson. Seterusnya, Adnan Januzaj menggantikan Young dan Javier Hernandez mengambil tempat RVP. 

Rooney yang dikaitkan dengan Chelsea sepanjang musim perpindahan kembali dengan balutan di kepalanya setelah cedera diterjah Phil Jones dalam sesi latihan. Rooney mengisytiharkan kepada dunia bahawa dia sudah kembali dengan sepakan percuma menarik. 

MU menang 2-0. Malaysia pun menang 2-0. Malam yang indah bagi aku.

Selepas Rozaimi menyudahkan bola muntah hasil rembatan Wan Zack Haikal dalam separuh masa pertama, Malaysia terpaksa menanti sehingga masa kecederaan separuh masa kedua untuk mengesahkan kejuaraan. Junior Eldstal tenang menyempurnakan peluang yang dimilikinya. Dua bintang muda dari Sabah membantu Malaysia memenangi Pestabola Merdeka ke-39.

Manchester United membina momentum untuk memulakan perlawanan Liga Juara-Juara Eropah musim baru menentang Bayer Leverkusen awal pagi Rabu depan. United juga memberi amaran sebelum beraksi dalam derby tempatan menentang Manchester City di gelanggang lawan. 

Skuad Malaysia pula sedang membina momentum untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA. Malaysia akan mempertaruhkan skuad yang mantap untuk sekali lagi bergelar raja bola sepak rantau Asia Tenggara.

Aku? Aku akan cuba untuk memulakan momentum esok. Aku perlu bermula awal untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Menjadi pelajar medik, taktik belajar saat akhir tak akan berkesan lagi. Aku sedar hakikat itu dan aku perlu ubah cara permainan aku. You can do it, NAZIF!



Star in New House


Hoyeah, malam ni kerancakan saingan Liga Perdana Inggeris musim baru akan bersambung semula selepas perlawanan antarabangsa. Hari terakhir musim perpindahan yang meriah dan menarik telah diikuti oleh pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 dan perlawanan persahabatan antarabangsa. 

Hari ini baru bintang-bintang yang berpindah kelab dapat beraksi dengan kelab baru masing-masing. Peminat-peminat (termasuk aku) terpaksa menanti hampir dua minggu untuk melihat aksi mereka. Pemain yang aku nanti-nantikan sudah pasti Marouane Fellaini.

Sebelum ni, aku selalu tengok Fellaini menyarung jersi biru Everton. Dan aku selalu impikan untuk lihat gergasi ini beraksi untuk Syaitan Merah. Malam ni dia akan beraksi dengan jersi berwarna merah. Mungkin nampak pelik, tapi aku suka.

Mesut Ozil pula menukar jersi putih untuk jersi merah. Ozil akan menggegar liga dengan membentuk gandingan mantap bersama Santi Cazorla dan Theo Walcott. Aku tak dapat bayangkan jika trio ini dapat mencari persefahaman. Aku tak meragui Ozil. Dia adalah pakar pencipta gol.

Gareth Bale pula kekal dengan jersi putih, untuk pasukan yang berbeza dalam liga yang berlainan. Dari Tottenham (Liga Perdana Inggeris) ke Real Madrid (La Liga). Bale akan membentuk trio menggerunkan dengan Cristiano Ronaldo dan Isco untuk mengatasi serangan maut berkembar Barcelona, Lionel Messi-Neymar.

Selepas berjabat tangan di tempat letak kereta dalam gambar yang bernilai lebih 100 juta pound, Ronaldo melakukan terjahan keras ke arah buku lali Bale dalam sesi latihan. Gambar itu mendapat perhatian dunia kerana dua pemain terbaik dunia berentap dalam satu pasukan yang sama. Mampukah mereka merendahkan ego masing-masing untuk kepentingan pasukan?

Tiga pemain ini akan mendapat perhatian aku. Sekurang-kurangnya sebelum Liga Juara-Juara Eropah bermula. Perlawanan Manchester United vs Crystal Palace akan bermula 7.45 malam waktu Malaysia. Jom solat Maghrib dulu. Argh, Fellaini hanya di bangku simpanan. Tiada Kagawa tapi Young dan Valencia beraksi. Aku tak faham taktik Moyes ni.



Tuesday, September 10, 2013

Sembilan September


9 September. Tarikh yang aku nanti-nantikan setiap tahun. 

Semalam hari Isnin. Hari pertama minggu ketiga aku di International Medical University. Selepas dua minggu orientasi, maka bermulalah perjalananku secara rasmi sebagai pelajar ijazah bidang perubatan. Sebenarnya semalam tak ada kuliah yang berkaitan perubatan pun. Sekadar ceramah Adapting to Healthcare Settings dan Adapting to IMU Environment. Oh, dan juga ceramah Stress Management.

Selepas Maghrib, aku dan rakan-rakan yang baru masuk ada sesi merapatkan silaturahim dengan senior Muslim. Diorang belanja kami semua makan malam selepas solat Maghrib berjemaah di surau. Alhamdulillah, dikurniakan para senior yang baik hati.

Aku tak ingat ini dah kali keberapa kami dijamu. Tak salah aku, kali ketiga. Senior memang sangat baik hati dalam menghargai kami sebagai adik junior. Walaupun cuma nasi goreng, telur dadar, daging merah, dan air sirap, keikhlasan tu memang terasa. Makanan sudah terhidang sebaik saja kami sampai di gerai tepi jalan berhampiran IMU.

Sebenarnya, program ini berubah daripada perancangan asal untuk beramah mesra di pasaraya Endah Parade sambil santai main boling. Semasa makan malam diiringi hujan rahmat, perbincangan rancak untuk bermain futsal selepas solat Isyak.

Akhirnya, perancangan saat akhir itu menjadi, dengan izin Allah. Kami pun ke gelanaggang Score Arena yang jaraknya kurang 10 minit dari IMU. Aku tumpang kereta sorang senior semester kelima yang sedang rileks dengan kelapangan masanya dalam semester terakhir sebelum memasuki fasa klinikal.

Seram juga mendengar cerita 'ngeri' dari senior. Antaranya, tak sempat nak ulang kaji semua silibus sepanjang dua tahun untuk peperiksaan akhir semester keempat. Aku mintak tips dari senior tu. Apa jawapannya? Nak selamat, kena mula sekarang. Hahaha. Nice. =.=

17 orang dibahagikan kepada tiga pasukan. 6-6-5. Kami bergilir-gilir beraksi dalam padang dengan setiap pasukan diberikan peluang untuk bermain dua perlawanan berturut-turut. Setiap perlawanan berlangsung selama tujuh minit. Tiada pertandingan, hanya permainan persahabatan.

Puas, memang sangat memuaskan. Dah lama aku tak beraksi. Aku cuba sedaya upaya untuk tak ambik serius permainan tu. Main sekadar menghilangkan stres. Dan rasanya, aku berjaya. Mula-mula tu memang agak berkarat sikit. Rembatan meliar. Selepas beberapa ketika, aku mula menemui sentuhan emas. Aku memberi hiburan kepada rakan-rakan yang menonton dari luar.

Oh, Zahid AF pun main futsal semalam. Segan nak tangkap gambar. ^_^ Lepas ni nak main lagi lar. Mana tahu boleh jumpa Zahid lagi. Jeng jeng jeng.

9 September 2013, a day to remember.



Sunday, September 8, 2013

Masih Jauh


Sungguh, perjalanan ini masih jauh. Sebenarnya, perjalanan panjang ini baru bermula.

Cemburu hati ini melihat rakan-rakan seperjuangan A-Level kini sudah menjejakkan kaki di bumi asing, Ireland. Dulu sering bersua di Kediaman Cemara, Selangor. Kini sudah terpisah beribu batu. Mereka di benua Eropah, aku masih di sini. 

Betapa gembiranya mereka di sana. Melihat negara orang. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Fuhh fuh. Gambar di laman sosial FB begitu menyeksa hati ini. Aku juga mahu berada di sana. Aku jua mahu ceria seperti mereka. 

Macam-macam kemungkinan bermain di minda. Mungkin dua tahun lagi, kegawatan ekonomi akan menghalang. Ah, janganlah... 

Benar kata seorang rakan, aku cuma perlu menikmati perjalanan di Bukit Jalil ini. InsyaAllah, dua tahun lagi, aku akan ke sana jua. Aku ada tiketnya. Aku cuma perlu melakukan segalanya yang diperlukan untuk melayakkan aku mengesahkan tiket itu. 

Doaku, moga ada rezeki aku untuk menjejakkan kaki di sana.



Seven Devils


Sejak George Best menyarung jersi nombor 7, jersi itu telah dipakai oleh legenda-legenda Manchester United. Jersi nombor 7 adalah jersi 'berhantu' kedua selepas jersi nombor 10. Dua nombor ini adalah nombor yang digunakan oleh legenda bola sepak dunia.


Eric Cantona. Bagi kipas-susah-mati United, King Eric tak perlu diperkenalkan lagi. Sejak menyertai United, Cantona telah membantu United menjadi pasukan yang digeruni dalam Liga Perdana Inggeris.

David Beckham. Selepas Cantona, Beckham mewarisi jersi nombor tujuh dengan gabungan rupa yang menawan dan aksi yang memukau. Beckham cukup terkenal dengan kaki kanannya yang berbisa. Dia adalah pakar bola mati. Sepakan percumanya cukup digeruni.

Cristiano Ronaldo. Untuk era milenium, Ronaldo adalah simbol Syaitan Merah dengan mewarisi kegemilangan nombor tujuh. Kehebatan Ronaldo yang dibeli dari Sporting Lisbon membawanya ke ibu kota Sepanyol untuk beraksi dengan Real Madrid dengan mencipta rekod perpindahan termahal dunia ketika itu.

Selepas Ronaldo, tiada pemain lain yang menyinar dengan menyarung jersi ini. Antonio Valencia dan Michael Owen gagal mengisi kehebatan jersi legenda ini. Untuk musim 2013/2014, jersi ini tiada pemilik. Ronaldo dijangka akan kembali untuk menyarung jersi yang ditinggalkannya.


Friday, September 6, 2013

Ozil and Ron


Mesut Ozil telah berpindah ke Arsenal selepas Real Madrid mendapatkan Gareth Bale selaku penggantinya. Dengan Isco, Cristiano Ronaldo dan Angel di Maria menjadi pilihan utama Carlo Ancelotti, Ozil sedar masanya di Santiago Bernabeu sudah berakhir.

Perpindahan Ozil menimbulkan kemarahan Ronaldo yang membentuk gandingan mantap bersama rakan sepasukannya dari Jerman itu.


Ronaldo sentiasa membenci kezaliman rejim Zionis terhadap negara sah Palestin. Ronaldo tidak mengiktiraf kerajaan haram Israel.

Moga satu hari nanti Allah memberi hidayah kepada bintang bola sepak ternama ini untuk memeluk agama Islam.


Rasmi Sudah


Officially an IMU student.

Alhamdulillah, semalam aku mendapat pengesahan. Melegakan keresahan yang bersarang sekian lama. Aku telah sah menjadi pelajar program berkembar IMU. 

Semalam adalah hari kami pelajar baru bidang perubatan mengambil kad pelajar. 


IMU doc-to-be.

Inilah dia kad pelajar. Ya, memang chubby sikit. Lepas cuti biasalah.... Sekarang dalam proses diet. Masa kad pelajar INTEC dulu pun sama. Menyesal betul makan sesuka hati masa cuti. Aduhaii... Sekarang tak sechubby ni dah. Lepas dua minggu, rasa macam ada perubahan.

ME0813. Medicine, intake Ogos 2013. TAURUS tu rumah sukan aku kat IMU ni. Ada enam rumah sukan kat sini. Eh, ingat sekolah je main rumah sukan? Bulan ni ada IMU Cup. Enam rumah sukan ni akan berentap.


Inilah dia! Pengesahan yang aku sangat nanti-nantikan... Alhamdulillah, rezeki. InsyaAllah, jika ada rezeki, aku akan ke negara orang tiga tahun lagi. Ogos 2016. Aku telah melepasi semua syarat-syarat yang dikehendaki, dan aku telah sah diterima menjadi pelajar IMU-PMS. Alhamdulillah. ^_^


Ini sampul surat yang aku terima bersama kad pelajar. 

Minggu depan, kelas akan bermula. Dari cerita yang didengar, cabarannya tidak mudah. Aku akan berusaha sehabis daya. Peluang hanya datang sekali. Tiada jalan kembali. Masa untuk belari. Terbang mengejar mimpi.



Wednesday, September 4, 2013

Tuesday, September 3, 2013

Red Fellaini


Fellaini and Ozil are now red. Bale is white.

Sesi perpindahan pemain berakhir semalam untuk Liga Perdana Inggeris. Beberapa perpindahan besar telah berlaku musim panas ini dengan penghijrahan Mesut Ozil ke Arsenal menjadi 'signing of the summer'.


Gareth Bale berhijrah ke Real Madrid dari Tottenham Hotspurs dengan mencipta rekod selaku pemain termahal dunia. Bale merampas status itu dari rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo. Kini mereka akan berkongsi padang dan bermain untuk pasukan yang sama. Bale akan memakai jersi nombor 11 di kelab barunya.

Mesut Ozil pula akhirnya sah menjadi pemain The Gunners dengan bayaran rekod baru bagi kelab yang berpusat di London itu. Ozil menjadi pemain ketiga termahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris selepas Fernando Torres (ke Chelsea) dan Carlos Tevez (ke Manchester City). Aku agak terkilan sebab aku lagi suka Ozil ke Manchester United. 

Aku rasa Ozil akan menguatkan pasukan Arsenal. Aku bayangkan Arsenal akan hebat apabila Ozil, Olivier Giroud, Santi Cazorla, dan Theo Walcott menggempur dalam jentera serangan yang sama. 


Malangnya, selepas usaha gigih dilakukan, Manchester United gagal membawa pemain tengah, Ander Herrera ke Old Trafford. Walaupun Herrera sendiri ingin beraksi untuk Syaitan Merah, United gagal mencapai persetujuan dengan Athletic Bilbao tentang bayaran klausa dalam kontraknya yang dianggap Moyes 'tidak sesuai'.



Selaku penyokong tegar Manchester United, aku gembira pagi tadi dengan kejayaan Moyes mendapatkan pemain tengah berambut sarang tebuan ini dari kelab lamanya, Everton. Malam tadi aku agak cuak mengikuti perkembangan deadline day secara langsung.

Pemburuan Moyes terhadap bekas pemainnya, Marouane Fellaini dan Leighton Baines (bek kiri) telah berlaku sepanjang musim panas ini. Everton enggan menerima tawaran United sehinggalah mereka mendapat pengganti kedua-dua pemain dalam posisi mereka. 

Persetujuan pengurus Everton untuk menjual Fellaini dibantu permintaan rasmi Fellaini untuk berhijrah, dan kejayaan Everton mendapatkan pemain tengah Wigan, James McCarthy sebagai penggantinya. Malangnya, Baines tidak dijual kepada Manchester United. Kejayaan mendapatkan Fellaini juga dibantu kejayaan Everton meminjam Romelu Lukaku dari Chelsea dan Gareth Barry dari Manchester City.

Fellaini adalah pemain yang aku idamkan untuk beraksi untuk Manchester United selepas kegagalan mendapatkan Cesc Fabregas dan Thiago. United kekurangan kreativiti dan imaginasi di jentera tengah. Aku yakin pembelian Fellaini akan menyelesaikan masalah ini. 

Aku tak sabar nak saksikan Fellaini memakai jersi berwarna merah selepas sekian lama melihat dia dengan jersi berwarna biru. Fellaini menukar biru untuk merah. 

It has been a long transfer window. Now it's time to enjoy the new season. Cheers!


Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif