Welcome To My Life...

Sunday, September 29, 2013

United Tumbang Lagi


Kecewa.

Itu satu perkataan yang menggambarkan perasaan aku terhadap kelab yang aku minati, Manchester United. 'Syaitan Merah' tumbang lagi. Kali ini di gelanggang sendiri.

Manchester United 1-2 West Bromwich

Entah apa lagi yang tak kena. Semalam Moyes telah menggunakan semua pemain yang aku ingin saksikan. Aku terkedu. Tiada siapa lagi yang aku bayangkan dapat menyelamatkan kejatuhan United. Jonny Evans, Nani, Shinji Kagawa. Semuanya diberikan peluang untuk memperagakan aksi mereka.

David De Gea; Phil Jones-Rio Ferdinand-Jonny Evans-Alex Buttner; Nani-Anderson-Michael Carrick-Shinji Kagawa; Wayne Rooney-Javier Hernandez. 4-4-2. Formasi ini bagi aku tiada masalah. Tetapi masih juga kalah. 


Untuk kedua-dua gol, Ferdinand boleh dipersalahkan. Pertahanan ini sudah melepasi usia emasnya. Dia tidak lagi mampu bertahan dengan rentak pantas Liga Perdana Inggeris. Rio terlalu perlahan. Dua kali Rio digelecek menyebabkan gawang United dibolosi. 

United ketinggalan apabila larian solo Morgan Amalfitano memecahkan kubu United untuk berdepan dengan penjaga gol satu lawan satu. Dia mengacah untuk merembat sebelum menyungkit bola melepasi De Gea yang terpedaya. United menyamakan kedudukan apabila sepakan percuma melencong Rooney melepasi semua pemain termasuk penjaga gol yang tidak bergerak.

Itu adalah gol sepakan percuma ketiga Rooney dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas Crystal Palace dan Manchester City. Walaupun gol kali ini kelihatan seperti bertuah kerana sebenarnya Chicharito terlepas dalam cubaan melakukan tandukan. Tetapi Rooney mencipta golnya sendiri dengan memastikan sepakan melencong itu tidak meliar.

Ketika itu, aku mula mengharapkan kebangkitan United. Tetapi harapan tinggal harapan. Tidak lama selepas itu, Saido Berahino merembat dari luar kotak penalti untuk menewaskan De Gea. Dalam gerakan yang menghasilkan gol itu, Rio sekali lagi digelecek. United menggempur selepas gol tersebut tetapi gagal mencari gol penyamaan. Fellaini berjaya meletakkan bola di dalam gawang tetapi dia berada dalam posisi ofsaid.

Aku tak tahu pemain mana lagi yang boleh aku harapkan. Mungkinkah Wilfried Zaha dapat menjadi wira United? Tiga pemain gantian yang masuk semalam ialah Adnan Januzaj, Robin Van Persie, dan Marouane Fellaini. Tapi ketiga-tiga mereka gagal membantu United. Januzaj beraksi sepanjang separuh masa kedua selepas masuk menggantikan Kagawa.

Dengan memberikan pemain berusia 18 tahun tersebut (Januzaj) lebih banyak masa permainan, Moyes dilihat berusaha keras memastikan pemain muda itu akan menandatangani kontrak baru untuk kekal di United. Januzaj kini sedang diburu kelab-kelab besar seperti Manchester City, dan Juventus yang telah mencuri Paul Pogba satu ketika dahulu.

Bagi aku, Moyes perlu diberi masa. Memang Alex Ferguson sangat berjaya memimpin United lebih dua dekad. Tapi jangan lupa dia tidak memenangi apa-apa dalam tempoh masa empat tahun pertama. Malangnya, Moyes mungkin perlu segera memulakan rentak gemilang kerana rekod pengurus moden tidak akan bertahan lama jika tidak mempamerkan prestasi baik.

United akan berdepan Shakhtar Donetsk dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim 2013/2014. Satu lagi kekalahan tidak akan terima peminat United.

Bagi aku, jangan mengaku kipas-susah-mati jika hanya menyokong ketika menang dan tidak mampu mendokong ketika kalah. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif