Monday, September 2, 2013

Semangat Pemuda


Usai solat Isyak berjemaah di surau Vista Komanwel C, aku santai di luar masjid sementara menanti sahabat lain menyudahkan solat sunat. Tiba-tiba, seorang budak lelaki dengan baju berwarna biru menunggang basikal berwarna putih berhenti di depan mataku.

"Dah solat ke?" 
"Sudah." Senyuman di wajahku.

"Tak tipu ke?"
"Tak." Aku menggeleng dengan senyuman.

"Demi Allah?"

Aku mengangguk dan mengisyaratkan dia untuk masuk jika dia tidak percaya dengan kata-kataku. Dia pun meninggalkan basikalnya dan masuk ke dalam surau. Apabila aku menoleh ke belakang untuk melihat apa yang dia lakukan, aku tersenyum. Budak itu sedang solat. Solatnya begitu laju.

Aku kira tidak mengapa untuk budak seusianya. Dia budak baru belajar. Aku suka semangatnya. Semangat pemuda. Sekurang-kurangnya dia cinta akan surau. Tak seperti budak-budak lain yang sibuk dengan teknologi terkini. Lalai dengan godaan dunia.

Sebaik saja dia selesai menunaikan solat fardhu, aku menegurnya untuk bertanyakan namanya. Danish Kautsar. Lebih kurang begitulah. Umurnya tujuh tahun. Dia ramah, tidak kekok walaupun aku jauh lebih tua. Mungkin dia melayan aku sebagai rakan sebaya. ^_^

Puas aku menerangkan aku sudah habis sekolah, dan belajar di IMU. Jenuh aku menerangkan, dia tetap juga tanya, "UUM?" untuk merujuk kepada IMU. Akhirnya, aku iyakan.

Danish, moga besarmu menjadi pejuang agama Allah. Doa abang bersamamu, malaikat kecil.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif