Welcome To My Life...

Thursday, September 26, 2013

Bangkit Gagah


Sang juara bukan tidak pernah gagal. Dia juga akan kalah. Tapi dia bangkit semula, gagah seperti biasa. Tidak membenarkan kekalahan melemahkan semangatnya. Selepas dibelasah 4-1 oleh Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris, Manchester United berdepan seteru zaman-berzaman, Liverpool dalam Piala Liga. 

Sebelum ini, United telah tewas 1-0 kepada Liverpool di gelanggang lawan dalam perlawanan liga. Satu lagi kekalahan kepada Liverpool akan menjatuhkan motivasi para pemain United. Dan kemenangan pula akan memulihkan keyakinan peminat.

David Moyes dihentam teruk kerana salah percaturan dengan taktik 4-4-2 untuk menentang City. Kekalahan memalukan itu mendesak Moyes menggunakan formasi yang lebih efektif menentang mana-mana pasukan kuat, 4-5-1.


David De Gea dikekalkan di antara dua tiang. Hampir keseluruhan benteng pertahanan ditukar dengan hanya Chris Smalling berpindah dari posisi bek kanan ke bek tengah. Smalling bergandingan dengan Jonny Evans diapit Rafael di bek kanan dan Alex Buttner di bek kiri.

Moyes perlu merehatkan Michael Carrick dan Marouane Fellaini. Dia memilih Phil Jones dan pemain veteran, Ryan Giggs, untuk melindungi kubu pertahanan. Moyes meletakkan Nani di sayap kiri dan Shinji Kagawa di sayap kanan. Wayne Rooney pula menyokong penyerang tunggal, Javier Hernandez. 4-2-3-1 adalah formasi terbaik untuk menentang pasukan besar. Tambahan pula, tonggak utama Liverpool, Luis Suarez, kembali dari penggantungan 10 perlawanan.

Keseluruhannya, perlawanan seimbang. United dan Liverpool saling menggempur. De Gea, Evans, Smalling, Buttner, Rooney, dan Hernandez beraksi cemerlang. De Gea merupakan wira United dengan beberapa aksi menyelamat penting termasuk tepisan refleks daripada tandukan peluru Victor Moses dalam separuh masa kedua. Memiliki dua bek tengah yang tinggi, Evans dan Smalling, membantu United menangkis hantaran silang dan sepakan sudut yang cuba mencari pemain Liverpool dalam kotak penalti.

Buttner jarang diberi peluang untuk menggantikan Patrice Evra di bek kiri tetapi dia memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaiknya. Kemenangan tanpa bolos adalah cara terbaik untuk membuktikan dia layak bermain di posisi tersebut. Buttner bekerja keras membantu Nani di sayap kiri. Rooney pula adalah titik fokus serangan United. Rooney terus mempamerkan prestasi cemerlang sejak kembali dari kecederaan di kepala. 


Chicharito (Hernandez) juga perlu membuktikan kemampuannya dengan berada di belakang Robin Van Persie dan Danny Welbeck dalam senarai penyerang United. Dan Chicharito meneruskan reputasinya selaku pemusnah berbisa dengan jaringan voli menarik. Sepakan sudut Rooney memerlukan rakan sepasukan untuk diterjemah menjadi gol. Dan Chicharito meloloskan diri dari pemain yang mengawalnya untuk melaukan sentuhan pemangsa dengan mengubah pergerakan badannya untuk mengejutkan Simon Mignolet di gawang Liverpool.


Banyak pengajaran untuk David Moyes dari kemenangan mengatasi Liverpool awal pagi tadi. Pertama, Chicharito perlu diberi lebih banyak peluang untuk menunjukkan kemampuannya. Dengan kecederaan Robin Van Persie, Chicharito layak mengekalkan tempatnya.

Kedua, formasi 4-2-3-1 adalah cara terbaik dalam permainan bola sepak moden. Formasi konvensional 4-4-2 kurang berkesan. Moyes perlu memadatkan jentera tengah untuk mengekang kemaraan jentera serangan lawan dan memaksa mereka melebarkan bola ke bahagian sayap yang lebih sukar dan memerlukan pemain sayap yang pintar dan pantas.

Ketiga, pemilihan Ashley Young dan Antonio Valencia untuk bermain di posisi sayap sudah tidak relevan. Kedua-dua pemain terlalu mudah dijangka dan tiada versatiliti. Walaupun Nani dan Shinji Kagawa tidak terlalu kreatif, mereka lebih sukar diagak pertahanan lawan. 

Keempat, melatih pemain muda dalam perlawanan besar akan mematangkan mereka. Jones, Evans dan Smalling adalah hasil keberanian Ferguson. Hasilnya dimanfaatkan Moyes. Maka, sifat berani itu wajar dicontohi. Moyes perlu berani mencuba Adnan Januzaj dan Wilfried Zaha, dua pemain muda berpotensi besar. Januzaj dimasukkan sebagai pemain gantian sekali lagi awal pagi tadi, dalam usaha mengekalkan pemain itu yang diburu kelab-kelab ternama. Zaha yang dibeli Ferguson pula kurang bernasib baik apabila sekali lagi gagal mendapatkan kepercayaan pengurus baru.

Apa pun, kemenangan awal pagi tadi adalah tonik terbaik sebagai motivasi untuk kembali bersaing mempertahankan kejuaraan liga. Selepas lima perlawanan, United kini lima mata di belakang pendahulu, Arsenal dan Tottenham. Walaupun hanya perlawanan piala yang tidak penting, United seharusnya mendapat suntikan semangat kerana kedua-dua pasukan menurunkan skuad terkuat dalam perlawanan tersebut. 

Liverpool melayan perlawanan tersebut sebagai aksi penting dengan menurunkan pasukan terbaik mereka termasuk Suarez. Kejayaan United bermakna mereka telah kembali setelah dibelasah dalam perlawanan setempat. Bagi aku, jika formasi menentang City tempoh hari adalah 4-2-3-1, City tak akan begitu mudah meratah United. Malah, kemungkinan besar United boleh menang. Tetapi, yang berlalu takkan berulang. Kesilapan taktikal mesti menjadi pengajaran berguna bagi Moyes. 

Apa pun, Moyes telah memulakan karier dengan rekod terbaik antara pengurus baru yang pernah memimpin United. Berikan dia masa, dan United akan kembali di puncak dunia. Glory glory Man United!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif