Welcome To My Life...

Wednesday, September 25, 2013

Skil Klinikal


Alhamdulillah, sesi pertama skil klinikal sudah dilalui. 1400-1600. Di Clinical Skills and Simulation Center (CSSC). Pengalaman baru yang sangat membuat hati ini teruja.

Aku dalam kumpulan kedua. Kumpulan pertama telah melakukannya semalam. Sebaik saja sesi mereka selesai semalam, aku telah mendapatkan gambaran tentang apa yang bakal berlaku. Maka sedikit sebanyak aku tahu apa yang perlu aku buat.

Hari ini tiada sebarang kuliah. Hanya sesi skil klinikal pada sebelah petang. Sepanjang pagi, aku resah dan gelisah. Dalam pusat simulasi itu, pelajar perubatan perlu memakai lab coat. Itulah saatnya kami boleh berlagak seperti doktor sebenar dengan menginterviu pesakit.

Semasa sesi penerangan sebelum sesi interviu bermula, kami diajar cara-cara untuk memulakan interviu dengan pesakit. Ada empat perkara pokok yang MESTI dilakukan. Pertama, kami perlu menyapa pesakit. Contohnya, "Hello, good morning."

Seterusnya, kami perlu memperkenalkan nama dan tugas kami. Contohnya, "I'm a first year medical student from IMU. You can call me Nazif." Ketiga, kami perlu menyatakan tujuan. Contohnya, "I was assigned by my GP to ask you regarding your visit today." 

Akhir sekali, dan yang PALING PENTING, kami perlu meminta keizinan pesakit. Contohnya, "May I have your permission to proceed?"

Kami dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan diberi satu bilik. Seorang peer tutor juga disediakan untuk membantu. Peer tutor ini terdiri daripada senior tahun keempat dan juga pelajar yang telah menamatkan pengajian.

Kami diberikan 10 senario. Dalam kumpulan aku, ada 9 orang. Setiap seorang akan diberi peluang untuk mencuba. Peer tutor akan membacakan senario dan meminta sesiapa yang sukarela untuk mencuba. Aku mengambil giliran kedua. Pesakit mengalami masalah pernafasan.

Bahagian pengenalan aku baik. Tetapi aku terkejut apabila peer tutor tiba-tiba memegang dadanya seperti kesakitan (hanya lakonan). Aku buntu untuk memberi respons. Dari maklum balas yang diberikan, aku perlu menyoal keadaannya. "Are you okay?", "How may i help you?".

Jam 3.40 petang, buzer dibunyikan. Kami kembali ke sesi penerangan. Ada 3 senario (role play) yang perlu dilakonkan dan Dr. Sow memanggil pelakon secara rambang.

Alhamdulillah, aku puas hati dengan sesi pertama walaupun aku hanya mencuba sekali. Aku akan terus berlatih dengan rakan serumah sebelum sesi seterusnya minggu depan. Banyak lagi ruang untuk diperbaiki.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif