Welcome To My Life...

Thursday, March 18, 2021

Masih Terbuka

Assalamualaikum.

Baru empat perlawanan ditamatkan, masih terlalu awal saingan Liga Super Malaysia musim baru.

Selangor bertandang ke stadium juara bertahan dan berjaya menjadi pasukan pertama yang mencuri mata. Selangor berjaya mencalarkan ego tuan rumah dan mencuri satu mata untuk dibawa pulang. Rekod 100% JDT hancur berkecai.

Satu lagi pasukan pendahulu yang sebelum ini memiliki rekod 100% iaitu Terengganu juga menemui jalan buntu. Melaka United berjaya mencuri satu mata dari gelanggang lawan. Hanya JDT, Terengganu dan Melaka United yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah. Namun bagi Melaka United, mereka boleh digelar pakar seri kerana sudah mencatat empat keputusan seri berturut-turut!

Sekitar perlawanan lain, Kedah Darul Aman FC memungut tiga mata penuh di gelanggang sendiri. Kedah bangkit daripada ketinggalan untuk membenam PJ City 3-1. Kuala Lumpur City FC juga mengutip tiga mata dengan menumbangkan Perak 3-0 di ibu negara. 

JDT dan Terengganu kekal di puncak liga dengan 10 mata, tiga mata di depan dua pasukan iaitu Kuala Lumpur City dan Kedah Darul Aman.

Masih jauh lagi perjalanan liga, berbaki 18 perlawanan. JDT masih calon utama untuk mempertahankan kejuaraan dengan barisan pemain handalan yang mereka ada serta fasiliti latihan yang bertaraf dunia. 

Ciao!



Lengkap Sudah

Assalamualaikum.

Sempurna sudah lapan pasukan yang membentuk pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2020/2021. Awal pagi tadi, Bayern Munich dan Chelsea menjadi dua pasukan terakhir yang mengesahkan tiket mereka. Selangkah lebih dekat untuk merebut trofi keagungan bola sepak Eropah.

----------

BAYERN MUNICH 2-1 LAZIO
(agregat 6-2)

Satu lagi kemenangan, dan jurang semakin besar.
 
Sepakan penalti penyerang sensasi, Robert Lewandowski, meletakkan kedudukan Bayern semakin tidak dapat dicabar. Gol kedua daripada Eric Maxim Choupo-Moting menamatkan terus impian Lazio. 
 
Marco Parolo meledak gol sagu hati untuk Lazio. Tetapi dalam kedua-dua perlawanan, pasukan Itali itu tidak mampu menyaingi juara bertahan yang akan terus dengan misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan. 

-------

CHELSEA 2-0 ATLETICO MADRID
(agregat 3-0)

Seperti juga Bayern, Chelsea mencatat dua kemenangan sempurna dalam pusingan enam belas terbaik ini. Ternyata Chelsea di bawah bimbingan pengurus Thomas Tuchel jauh berbeza berbanding ketika dilatih oleh Frank Lampard. Tuchel mengekalkan rekod tanpa kalah terpanjang untuk pengurus baru Chelsea yang kini sudah mencapai 13 perlawanan. 9 kemenangan dan 4 kali seri. Malah lebih menakjubkan, Chelsea tidak dibolosi (clean sheet) dalam 11 daripada 13 perlawanan itu. Memang gila!

Hakim Ziyech mengukuhkan kedudukan agregat Chelsea dengan gol dalam separuh masa pertama. Kad merah yang dilayangkan kepada Stefan Savic di hujung permainan tidak membantu cubaan Atletico Madrid untuk mencipta kebangkitan.

Dua gol yang diperlukan Atletico tidak berjaya dicari. Chelsea pula yang menjaringkan satu lagi gol menerusi Emerson sebelum perlawanan tamat.

----------

Tiga pasukan dari England, dua pasukan dari Jerman. Dan masing-masing satu pasukan dari Portugal, Perancis dan Sepanyol.

Empat perlawanan dan laluan ke final akan ditentukan dalam majlis undian nanti. Hebat juga nama-nama yang akan merebut tempat ke separuh akhir. Jika disusun ranking lapan pasukan ini, Porto mungkin berada di tangga terakhir.

Tiada lagi sekatan untuk dua kelab dari persatuan/negara yang sama untuk bertembung. Jadi kemungkinan Manchester City, Liverpool dan Chelsea bertemu sesama sendiri itu ada. 

Pasukan manakah antara gergasi ini semua yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan berprestij ini? Sama-sama kita nantikan. Pertembungan suku akhir yang paling saya nantikan? Manchester City vs Bayern Munich! Ibarat perlawanan akhir.

Ciao!



Wednesday, March 17, 2021

Terlalu Ampuh

Assalamualaikum.

Untuk dua pasukan yang cuba mencabar gergasi bola sepak Eropah, awal pagi tadi (waktu Malaysia) bukanlah waktu yang baik. Mereka gagal dalam misi untuk mara ke peringkat suku akhir, bukan kerana mereka tidak mencuba. Tetapi pasukan gergasi yang dilawan terlalu ampuh.

----------

MANCHESTER CITY 2-0 BORUSSIA MONCHENGLADBACH
(agregat 4-0)
 
Dua kali kemenangan dengan skor yang sama. Satu lagi clean sheet (tidak bolos) direkodkan. Kemenangan agregat yang bergaya. 

Pep Guardiola mungkin telah menemui ramuan kejayaan sebagai pengurus Manchester City. Selain kekukuhan benteng pertahanan, jentera serangan City juga sentiasa berjaya memecah kebuntuan, jarang menghampakan. 

Walaupun mereka hanya menang tipis 1-0 atau 2-0, bagi peminat neutral bola sepak, kemenangan dengan skor berapa pun tidak penting. Jika mereka menang dengan setengah gol sekalipun, kemenangan tetap kemenangan. 

Jaringan oleh dua pemain tengah, Kevin De Bruyne dan Ilkay Gundogan meletakkan City selangkah lebih dekat untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah, yang tidak pernah dimenangi oleh Pep sepanjang mengurus City.
 
-------
 
REAL MADRID 3-1 ATALANTA
(agregat 4-1)
 
Dengan defisit satu gol daripada perlawanan pertama, Atalanta seperti mempunyai peluang. Namun api harapan mereka pun tidaklah menyala terang. Gol lewat Ferland Mendy di Itali menjadi gol di tempat lawan yang berharga.

Atalanta perlu mendapatkan satu gol juga di gelanggang Madrid. Dan mereka berjaya mendapatkan gol itu, tetapi sudah terlewat. Ketika saingan hampir dinoktahkan. Real Madrid lebih dulu mendapat dua gol hasil jaringan Karim Benzema dan Sergio Ramos yang meletakkan mereka dalam kedudukan agregat selesa. 

Di hujung permainan, Luis Muriel menghadiahkan gol sagu hati untuk pelawat. Marco Asensio memadamkan terus sisa-sisa harapan Atalanta untuk sebarang keajaiban dengan gol balas hanya berselang dua minit.
 
----------
 
Borussia Dortmund, Porto, Liverpool, PSG, Manchester City, Real Madrid.
 
Bukan calang-calang enam pasukan yang telah melayakkan diri ke suku akhir.
 
Bayern Munich vs Lazio
Chelsea vs Atletico Madrid
 
Bayern Munich dan Chelsea memiliki kelebihan daripada perlawanan pertama. Kelebihan Bayern lebih selesa berbanding Chelsea. Atletico Madrid masih mempunyai peluang cerah untuk melakukan kebangkitan. 
 
Adakah Sepanyol akan mempunyai wakil kedua di pusingan suku akhir atau England yang berpesta dengan wakil ketiga? Persoalan itu akan terjawab awal pagi esok.
 
Ciao!
 
 


Tuesday, March 16, 2021

Selepas Black?

Assalamualaikum.

Amaran: entri ini bukanlah tentang Black Hanifah!

Ya, benar. 'Black' yang saya maksudkan ialah drama dari Korea Selatan. Sehingga baru-baru ini, 'Black' adalah satu-satunya drama Korea yang saya pernah tonton. Saya lupa bila saya menontonnya, tapi mungkin ketika masih belajar di universiti, sudah lama dahulu.
 
Satu drama yang sangat membuatkan saya terkesan. Penamatnya mungkin indah bagi sesetengah orang tapi bagi saya, penutup drama itu sangat tragis dan membuatkan saya tidak mahu menonton lagi drama Korea walaupun manusia lain di atas muka bumi ini terjebak dengan demam K-drama.

Namun, memandangkan saya sedang berehat di rumah ketika ini kerana dalam fasa pemulihan daripada kemalangan yang menimpa, saya terjebak juga. Menonton K-drama dengan adik-adik di Netflix. 

Sudah dua siri drama 20 episod yang saya habiskan dalam tempoh seminggu lebih. 

Salah satunya bertajuk 'Pinocchio'. Tentang seorang wartawan perempuan bernama Choi In-Ha yang menghidap satu sindrom (tak pernah wujud) iaitu sindrom Pinocchio. Penghidap sindrom ini tidak boleh bercakap bohong kerana mereka akan tersedu. Berbeza dengan cerita dongeng 'Pinocchio' yang kita dengar di mana hidungnya akan menjadi panjang bila berbohong.

Hero dan kekasih In-Ha pula ialah Ki Ha-Myeong (aka Choi Dal-Po) yang berkait rapat dengan keluarga In-Ha. Keluarga Ha-Myeong hancur musnah kerana emak In-Ha iaitu Song Cha-Ok. Drama ini sangat hebat mengisahkan perihal kewartawanan dan persoalan wartawan seharusnya menyampaikan berita yang benar. 

Saya suka falsafah yang cuba disampaikan oleh drama 'Pinocchio' ini. Bahawa kebenaran akan tetap didedahkan walaupun apa cara yang cuba digunakan untuk menyekat atau menutupnya. Dan betapa kebenaran itu tetaplah kebenaran walaupun sejuta orang mengatakan kebenaran itu dusta. 

Drama seterusnya yang saya tonton ialah 'Doctors'. Mula-mula nak tengok suka-suka saja, tapi sekali lagi saya terjerumus begitu dalam. Tenggelam dalam kedalaman falsafah drama ini. Bukan saja percintaan Hong Ji-Jong dan Yoo Hye-Jeong yang membuatkan saya teruja. Tapi juga watak-watak di samping mereka seperti Jung Yun-Do, Jin Seo-U, Choi Gang-Su, dan Pi Yeong-Guk. Malah cerita-cerita kecil yang lain juga ada kepentingannya.

Falsafah tentang cinta, keluarga dan sekali lagi tentang kebenaran. Saya juga suka persoalan yang ditekankan tentang betapa pentingnya menikmati hidup. Heroin Hye-Jeong yang terlalu fokus untuk membalas dendam kematian neneknya sehingga menghabiskan umurnya hanya untuk tujuan itu. Membazir usianya yang seharusnya dinikmati.

Jika ada masa lapang, saya akan mengulas lebih panjang tentang kedua-dua drama ini. Ketika ini saya sedang menonton drama 'While You Were Sleeping' yang dilakonkan oleh hero daripada drama 'Pinocchio' iaitu Lee Jong-Suk. 

Now playing: "While You Were Sleeping"

Ciao!



Gila Juara Lagu

Assalamualaikum.

Persoalan siapa Juara Lagu ke-35 telah terjawab pada malam Ahad lalu di Auditorium MBSA. Mengejutkan dan boleh dikatakan 'gila'?

Juara Lagu: Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B)
Tempat ke-2: Semalam (Aina Abdul)
Tempat ke-3: Belenggu Rindu (Jamal Abdillah & Wany Hasrita)
Persembahan Terbaik: Eh (Zizi Kirana)
Vokal Terbaik: Ernie Zakri
 
Pemenang tempat ke-2 dan ke-3 boleh saya katakan wajar. Tetapi untuk 'Gila' menjadi juara adalah sangat gila. Ketika para pemenang diumumkan satu persatu, dan Semalam menjadi naib juara, saya sangkakan lagu 'Hutang' atau '7 Nasihat' yang akan diangkat sebagai juara. Sebaliknya berlaku.

Lagu 'Gila' yang mengulang perkataan gila banyak kali sehingga pendengar boleh jadi gila dan seperti lagu orang menjampi juga, telah berjaya menambat hati para juri. Kegilaan apakah ini? Saya rasa lagu 'Semalam' lebih layak berbanding lagu 'Gila' dan boleh menjadi juara berbanding lagu 'Gila'.

Selain juara lagu, pemenang persembahan terbaik juga mengejutkan saya. Sepanjang pemerhatian saya yang menonton semua persembahan, band Floor 88 dengan lagu mereka 'Hutang' lebih sesuai menang kategori ini. Tanpa keraguan, Ernie Zakri selayaknya merangkul anugerah Vokal Terbaik.

Ada dua pemenang besar pada malam finale AJL 35. Pertama, Aina Abdul. Selaku komposer dan penulis lirik yang juga menyanyikan lagu tersebut, Aina merangkul kesemua tiga trofi untuk penyanyi, penulis lirik dan pencipta lagu. Sapu bersih! Dan pemenang kedua, Ezra Kong. Dua lagu ciptaannya berada dalam top 3 iaitu 'Belenggu Rindu' dan 'Gila'. 

Lagu-lagu ciptaan Ezra Kong juga hampir sentiasa berada dalam top 3 sejak AJL 30 lagi:

AJL 30: Assalamualaikum
AJL 32: Jampi
AJL 33: Haram
AJL 34: Anta Permana 

Ternyata Ezra genius dalam mencipta lagu yang menambat hati peminat. Keep up the good work, Ezra!
 
Saya juga perhatikan tajuk-tajuk lagu juara sejak AJL 32 menggunakan hanya satu patah perkataan:

AJL 32: Jampi
AJL 33: Haram
AJL 34: Sumpah
AJL 35: Gila

Mungkin penyanyi dan penulis lirik di luar sana boleh memendekkan judul lagu mereka. Tak perlu panjang. Dan, mungkinkah tajuk lagu juara AJL 36 nanti adalah 'Babi'?

Ciao!




Monday, March 15, 2021

Kem Latihan Pusat Harimau Malaya

Assalamualaikum.

Seramai 28 orang pemain bola sepak negara telah dipanggil untuk menghadiri kem latihan pusat skuad kebangsaan oleh jurulatih Tan Cheng Hoe. Kem latihan pusat ini akan berlangsung di Johor Bahru bermula minggu depan iaitu pada 22 sehingga 30 Mac ini.

Kem latihan pusat ini adalah persiapan Harimau Malaya untuk baki perlawanan dalam Kumpulan G untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023. Tiga perlawanan terakhir menentang UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun). 

Tidak mengejutkan, hampir separuh daripada semua pemain yang dipanggil adalah pemain pasukan Johor Darul Ta'zim yang telah menguasai liga untuk beberapa musim. 13 pemain JDT yang dipanggil ialah penjaga gol Farizal Marlias; pertahanan Aidil Zafuan, Adam Nor Azlin, Matt Davies, Corbin-Ong; pemain tengah Syamer Kutty, Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Danial Amier, Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid, Ramadhan Saifullah; dan penyerang Syafiq Ahmad. Jika bukan kerana kecederaan yang baru menimpa, sudah pasti nama Safawi Rasid juga akan berada dalam senarai.
 
Selangor menjadi pembekal utama kedua terbesar dengan empat pemain iaitu penjaga gawang Khairulazhan Khalid; pertahanan Syahmi Safari; pemain tengah Brendan Gan; dan penyerang Shahrel Fikri. 
 
Tiga pasukan mempunyai dua wakil iaitu Terengganu FC (penjaga gol Rahadiazli Rahalim dan pemain tengah Faisal Halim); Perak FC (pertahanan Shahrul Saad dan penyerang Guilherme de Paula); dan Sri Pahang FC (pertahanan Fazly Mazlan dan pemain tengah Azam Azih).

Pasukan-pasukan yang menghantar wakil tunggal ialah Melaka United FC (penjaga gol Khairul Fahmi); Kuala Lumpur City FC (pertahanan Irfan Zakaria); dan Kedah Darul Aman FC (pertahanan Rizal Ghazali). Penyerang senior negara mewakili pasukan Liga Perdana (Sarawak United FC). Pemain terakhir ialah penyerang muda berusia 19 tahun yang kini beraksi di Belgium bersama kelab KV Kortrijk, Luqman Hakim.

Enam pemain berada dalam senarai menunggu jika ada mana-mana pemain dalam senarai 28 orang pemain itu yang cedera. Mereka ialah Samuel Somerville (Penang FC), Rodney Celvin (Kedah Darul Aman FC), Arif Fazilah (Terengganu FC), Shahrul Nizam (Terengganu FC), S. Kumaahran (Melaka United FC), dan Darren Lok (PJ City FC).

Boleh saya katakan, selain Safawi Rasid yang cedera, Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan pasukan terkuat untuk menghadapi perlawanan terakhir kelayakan nanti. Lima pemain yang tak bernasib baik dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan lain akan diketahui nanti. Tan Cheng Hoe hanya akan membawa senarai akhir 23 pemain.

Ciao!

 

Sunday, March 14, 2021

Siapa Juara AJL 35?

Assalamualaikum.
 
Malam ini, debaran siapa Juara Lagu ke-35 akan ditamatkan. Anugerah Juara Lagu kali ke-35 akan berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam. Majlis gilang-gemilang ini akan diacarakan oleh Awal Ashaari, Haziq Hussni, dan Sherry Alhadad.

Berikut adalah 12 judul lagu yang akan dipersembahkan malam ini mengikut abjad:

1. 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo, Luca Sickta)
2. Aku Bidadari Syurgamu (Aishah)
3. Belenggu Rindu (Jamal Abdillah, Wany Hasrita)
4. Eh (Zizi Kirana)
5. Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B)
6. Gundah (Ernie Zakri) 
7. Hati (Hael Husaini)
8. Hutang (Floor 88)
9. Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter)
10. Kau Sakiti (Amir Masdi)
11. Peluang Kedua (Nabila Razali)
12. Semalam (Aina Abdul)

----------
 
Anugerah Juara Lagu sering menimbulkan kontroversi saban tahun kerana lagu-lagu kegemaran peminat tidak layak bertanding di malam akhir. Acara kali ini juga tidak terkecuali. Dua lagu hangat iaitu "Sakit" (Yonnyboii & Zynakal) dan "Sembah" (Naim Daniel) gagal memikat hati juri.
 
Melihat senarai lagu yang bertanding di final, saya merasakan dua lagu iaitu "Gila" dan "Eh" sepatutnya digantikan dengan lagu lain yang lebih layak disebutkan di atas. Juara bertahan, Naim Daniel yang memenangi AJL 34 dengan lagu "Sumpah" sebenarnya membawa karya yang berkualiti juga untuk tahun ini dalam lagu "Sembah". Satu lagu kegemaran saya sendiri.
 
Ada juga judul lagu lain yang saya rasa lebih layak menggantikan "Gila" dan "Eh" dalam tiga separuh akhir yang berlangsung. Dalam separuh akhir pertama, ada lagu "Sembah", "Adakah Engkau Menungguku" (Naim Daniel & Tuju) dan "Kelabu" (Yonnyboii & Azlan).
 
Dalam separuh akhir kedua, ada lagu "Takdir Tercipta" (Hafiz Suip & Adira) dan "Sakit". Dalam separuh akhir ketiga, ada lagu "Takkan Terlerai" (Ernie Zakri & Syamel).

Lagu-lagu ini pastinya lebih layak.

----------

Hael Husaini seperti mempunyai magis dengan terus mencipta lagu demi lagu yang menjadi siulan peminat. Selepas muncul juara dua kali berturut-turut dengan lagu "Jampi" (AJL 32) dan "Haram" (AJL 33 bersama Dayang Nurfaizah), Hael akan mempertaruhkan lagu "Hati" di malam final ini. Dua lagu ciptaannya juga akan bertanding iaitu "Belenggu Rindu" dan "Peluang Kedua".

Saya merasakan tiga lagu mempunyai magis untuk menjadi juara malam ini iaitu "7 Nasihat", "Hutang" dan "Jangan Khianati Aku". Seperti yang diketahui umum, juara lagu sudah dijurikan lebih awal oleh para panel dan apa yang akan ditentukan oleh para peserta malam ini hanyalah persembahan terbaik. 
 
Jadi, siapa yang akan diumumkan sebagai juara malam ini?

Ciao!
 
 
 

Bakal Juara

Assalamualaikum.
 
Baru saja pada 8 Mac lalu, kelab bola sepak Manchester United mengecat bandar Manchester dengan warna merah selepas berjaya membenam jiran bising mereka. Kejayaan United mengekalkan rekod cemerlang apabila beraksi di gelanggang lawan. Namun selepas kemenangan itu pun, United di tangga kedua dibezakan 11 mata daripada Manchester City dengan liga berbaki 10 perlawanan.

-------

Bangkit daripada kekalahan itu, City mencatat dua kemenangan berturut-turut. Tiga hari selepas tewas dalam perlawanan setempat, City membelasah Southampton 5-2 di stadium sama. Dan baru saja awal pagi tadi waktu Malaysia, Manchester City bertandang ke Fulham dan menang bergaya lagi 3-0.

Karakter sang juara ditunjukkan City apabila tidak membiarkan satu kekalahan membuat mereka terkesan. Walaupun kalah kepada jiran setempat, mereka bangkit semula dengan dua kemenangan. Berbaki 8 saja lagi perlawanan, City kini berada 17 mata di hadapan pencabar terdekat, United (yang kurang dua perlawanan). 

Jika United menang dua perlawanan yang dalam tangan mereka itu pun, mereka masih lagi 11 mata di belakang City. Hal ini bermakna kejuaraan liga sudah menjadi milik Manchester City kecuali keajaiban berlaku. Sukar untuk membayangkan City akan tewas 5 daripada baki 8 perlawanan. Jika City berjaya menang 5 lagi perlawanan, kejuaraan liga sah menjadi milik mereka.

Konsistensi adalah ciri satu pasukan juara. Ketika pasukan besar yang lain saling berdepan prestasi tidak menentu dalam musim aneh 2015/2016, Leicester City bimbingan Claudio Ranieri menjadi pasukan paling konsisten dan muncul juara Liga Perdana lebih awal daripada Liverpool.

Malang sekali bagi United, mereka berjaya menumbangkan City tetapi prestasi tidak konsisten menjadi pemusnah. Gagal menewaskan dua pasukan di tangga tercorot liga adalah satu dosa yang tidak dapat diampunkan apabila menyaingi pasukan kaya seperti City.

Pengurus City, Pep Guardiola tidak malu mengakui segala wang yang ditaburkan selama ini menjadi mangkin kejayaan City menguasai saingan liga domestik. Pembelian Ruben Dias pada musim panas lalu menjadi mangkin kejayaan City musim ini. Gandingan mantap bek tengah Dias dan John Stones mencatat clean sheet demi clean sheet. Pasukan juara mesti mempunyai kubu pertahanan yang mantap!
 
Namun kejayaan di peringkat benua Eropah masih lagi tidak mahu menerima cinta City. Kelab Liverpool jauh meninggalkan kelab Inggeris lain dengan rekod enam kejuaraan, dengan yang terbaru pada musim 2018/2019.

Satu lagi kejuaraan liga menghampiri, dan masih dalam perebutan Liga Juara-Juara Eropah, Pep Guardiola pasti tidak peduli dengan masa lalu. Musim panas ini, Pep pasti dijanjikan dengan wang lagi untuk ditaburkan. 

Awal pagi esok, Manchester United akan turun berdepan West Ham.

Ciao!


 

Friday, March 12, 2021

Mengecewakan

Assalamualaikum.

Tiada apa yang lebih mengecewakan bagi pasukan dalam sukan berbanding ketika lawan dapat menyamakan kedudukan di lewat permainan, ketika permainan begitu hampir ditamatkan dengan kemenangan. Begitulah yang dirasai Manchester United dalam pusingan enam belas terbaik Liga Europa.

Beraksi di gelanggang sendiri, United mendahului apabila pemain muda Amad Diallo menanduk masuk hantaran lambung Bruno Fernandes. Malam yang indah buat pemain muda berusia 18 tahun itu. Namun gol di tempat lawan yang dicari AC Milan akhirnya tiba dalam masa kecederaan di hujung babak kedua. Tandukan Simon Kjaer berjaya menewaskan Dean Henderson.

Misi mesti menang di Itali nanti!

----------

Sekitar perlawanan lain, kelab Belanda, Ajax menang bergaya 3-0 menentang Young Boys di tempat sendiri. Keputusan sama 3-0 dicatat oleh Roma yang mengalahkan Shakhtar Donetsk di Itali.

Dua lagi kelab Inggeris juga masing-masing mencatat kemenangan. Arsenal membenam Olympiacos 3-1 di Greece. Tottenham pula mengatasi kelab Croatia, Dinamo Zagreb dengan keputusan 2-0.

Masih ada satu lagi perlawanan yang perlu dihadapi semua pasukan kerana format timbal balas. Semuanya belum berakhir.

Ciao!



Thursday, March 11, 2021

Liverpool Mara, Messi Tersingkir

Assalamualaikum.

Empat perlawanan pusingan enam belas terbaik Liga Juara-Juara Eropah sudah berakhir, berbaki empat yang akan berlangsung minggu depan. Dua lagi perlawanan berlangsung awal pagi tadi.

----------

LIVERPOOL 2-0 LEIPZIG
(agregat 4-0)

Ternyata kelab Jerman yang bertandang ke England ini bukanlah lawan yang setara. Walaupun Liverpool sedang beraksi buruk dalam saingan liga domestik dan sudah tewas enam perlawanan liga berturut-turut di Anfield, Leipzig gagal mengambil kesempatan. Malah mereka tewas kedua-dua perlawanan timbal balas dengan skor akhir yang sama.

Mengejutkan apabila melihat Leipzig mendominasi penguasaan bola sebanyak 60% secara keseluruhan menentang pasukan bimbingan Jurgen Klopp yang biasanya menguasai perlawanan. Liverpool juga terpaksa menanti lebih sejam sebelum mendapat jaringan.

Dua jaringan dalam tempoh masa empat minit oleh dua bintang Islam terkenal, Mohamed Salah dan Sadio Mane cukup untuk memberikan kemenangan agregat selesa untuk Liverpool. 

Mudah kali ini, tapi suku akhir belum tentu lagi.

-------

PARIS SAINT-GERMAIN 1-1 BARCELONA
(agregat 5-2)

Tiada La Remontada kedua untuk Barcelona.

Selepas dimalukan dulu, PSG mengambil pengajaran dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Walaupun hanya mampu seri, kemenangan selesa di Sepanyol sudah cukup untuk melayakkan PSG ke suku akhir.

Kylian Mbappe sekali lagi menjadi pemusnah. Ledakan penalti Mbappe meletakkan PSG mendahului agregat selesa 5-1. Gol balas Lionel Messi enam minit kemudian sekadar mengecilkan jurang. Messi juga gagal menyempurnakan sepakan penalti di masa kecederaan babak pertama.

Messi tersingkir juga, bermakna ini kali pertama sejak musim 2004/2005 di mana Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sama-sama tidak akan beraksi di suku akhir. 17 tahun yang panjang.

----------

Empat pasukan telah layak: Dortmund (Jerman), Porto (Portugal), Liverpool (England) dan PSG (Perancis)

Empat lagi pasukan akan diketahui minggu depan:
 
Manchester City vs Borussia Monchengladbach
Real Madrid vs Atalanta
Bayern Munich vs Lazio
Chelsea vs Atletico Madrid
 
Ciao!




Wednesday, March 10, 2021

Pesta Gol

Assalamualaikum.

Awal pagi tadi waktu Malaysia, dua pasukan pertama yang layak ke suku akhir kejuaraan bola sepak Liga Juara-Juara Eropah telah diketahui.

----------

BORUSSIA DORTMUND 2-2 SEVILLA
(agregat 5-4)

Penyerang sensasi, Erling Haaland seperti dijangka terus menjadi igauan buat Sevilla. Beraksi di gelanggang sendiri, Haaland menjaringkan satu gol dalam kedua-dua babak untuk meletakkan Dortmund selesa mendahului agregat 5-2. 

Sevilla cuba mencabar dengan kebangkitan lewat tetapi dua gol Youssef En-Nesyri tidak cukup untuk menyempurnakan penyudah penuh drama. 

Jika Erling Haaland mengekalkan prestasi gemilang seperti ini, tidak menghairankan jika dia akan berpindah ke salah satu kelab gergasi di musim panas ini. Sama ada Real Madrid, Manchester City, Bayern Munich atau Manchester United pasti akan berjaya mendapatkan tanda tangan Haaland.

-------

JUVENTUS 3-2 PORTO
(agregat 4-4, *selepas masa tambahan)

Di Itali, kita mendapat satu penamat penuh drama. Kelab gergasi Itali yang diperkuatkan oleh Cristiano Ronaldo cuba untuk bangkit selepas tewas 1-2 di gelanggang lawan dalam perlawanan pertama.

Malangnya, pasukan pelawat yang terlebih dulu mendapat jaringan hasil sepakan penalti Sergio Oliveira. Dua jaringan Federico Chiesa menyamakan agregat 2-2 dan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Gol berharga yang dinantikan Porto akhirnya dijaringkan oleh Sergio Oliveira sekali lagi. Jaringan Oliveira di hujung babak kedua masa tambahan itu memaksa Juventus untuk menjaringkan dua gol jika bermimpi mahu layak kerana Porto mendapat kelebihan gol di tempat lawan (2 berbalas 1).

Namun hanya satu gol berjaya didapatkan Juventus hasil jaringan Adrien Rabiot. Itu tidak cukup untuk menghalang kemaraan Porto yang mengejutkan Juventus. Cristiano Ronaldo terpaksa melupakan mimpi untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah sekali lagi. Mimpinya telah musnah!

----------

Dua lagi perlawanan akan berlangsung awal pagi esok waktu Malaysia:
 
Liverpool vs Leipzig
PSG vs Barcelona

Liverpool dan PSG masing-masing memiliki kelebihan daripada perlawanan pertama. PSG paling selesa dan hanya La Remontada kedua dapat menyelamatkan Barcelona dan Lionel Messi daripada mengikut jejak Cristiano Ronaldo.



Tuesday, March 9, 2021

Manchester Dicat Merah

Assalamualaikum.

Manchester derby sentiasa menjadi acara yang dinanti-nantikan bagi peminat kedua-dua pasukan dalam bandar Manchester untuk setiap musim Liga Perdana Inggeris. Lebih penting musim ini, kedua-dua kelab Manchester berada di kedudukan teratas liga sebelum sepak mula perlawanan.

Awal pagi semalam (waktu Malaysia), Manchester United menamatkan rekod kemenangan berturut-turut panjang Manchester City apabila membenam musuh setempat mereka dengan kemenangan 2-0. 
 
Sekali lagi Manchester United beraksi cemerlang di tempat lawan. Ia satu kemenangan moral yang berharga buat Manchester United untuk menamatkan rekod cemerlang City dengan memalukan City di gelanggang mereka sendiri. 
 
Walaupun beraksi tanpa penjaga gawang utama David De Gea yang pulang ke Sepanyol menyambut kelahiran anaknya, United tetap utuh dengan menurunkan Dean Henderson di tempat De Gea. Pengurus Ole Gunnar Solksjaer terus menaruh kepercayaan terhadap penyerang Anthony Martial yang dikritik hebat oleh peminat United sendiri.
 
Tiada cara yang lebih hebat untuk memulakan permainan selain menjaringkan gol. Dan United mendapat gol awal yang memberikan mereka keyakinan apabila Bruno Fernandes meledak sepakan penalti seawal minit kedua. Dan satu lagi gol awal di separuh masa kedua dijaringkan oleh bek kiri Luke Shaw yang merembat cantik ke penjuru bawah kiri gawang untuk mengukuhkan kedudukan United.
 
Meskipun City mendominasi penguasaan bola dengan 66 peratus, tiada pasukan yang menang permainan bola sepak dengan penguasaan bola. 
 
-------
 
Melihat gambaran yang lebih besar, kekalahan itu seperti tidak menjejaskan City. Selepas menewaskan City, United masih berada 11 mata di belakang musuh setempat mereka dengan kedua-dua pasukan sudah beraksi dalam 28 perlawanan. Berbaki 10 perlawanan, jurang mata itu agak besar dengan mengambil kira City sedang berada dalam tahap prestasi cemerlang. Sukar untuk melihat mana-mana pasukan lain yang dapat mengalahkan pasukan bimbingan Pep Guardiola.

Sebelum perlawanan menentang City, United telah beraksi tujuh perlawanan menentang pasukan lain yang digelar 'Big 6' dan tidak mencatat satu pun kemenangan. Lima kali seri 0-0 dan dua kali tewas. Selain itu, United juga gagal menang apabila menentang pasukan yang berada di tangga ke-19 dan tercorot liga. Satu perbezaan yang besar apabila dibandingkan dengan City.

Konsistensi adalah kunci untuk memenangi liga. Attack wins you game, defend wins you title. Pertahanan City yang utuh dengan gandingan bek tengah Ruben Dias - John Stones sepertinya menjadi batu asas untuk City memenangi liga musim ini, kecuali keajaiban berlaku. City konsisten dan United pula tidak konsisten. Menang dengan budak besar, tapi kalah dengan budak kecil. Umpama Robin Hood mencuri daripada yang kaya untuk memberikan kepada yang miskin.

Mampukah United kekal konsisten untuk mengekang kejuaraan City? Semuanya akan terjawab dalam baki 10 perlawanan.

Ciao!



Penentuan

Assalamualaikum.

Awal pagi esok waktu Malaysia, akan bermula perlawanan kedua untuk format timbal balas bagi pusingan enam belas terbaik Liga Juara-Juara Eropah.

Untuk rekod, keputusan lapan perlawanan pertama:

Leipzig 0-2 Liverpool
Barcelona 1-4 Paris Saint-Germain
Sevilla 2-3 Borussia Dortmund
Porto 2-1 Juventus
Atletico Madrid 0-1 Chelsea
Lazio 1-4 Bayern Munich
Atalanta 0-1 Real Madrid
Borussia Monchengladbach 0-2 Manchester City

Semua tuan rumah adalah naib juara di peringkat kumpulan, manakala pasukan pelawat pula adalah para pemenang kumpulan. Hanya Porto menjadi tuan rumah yang menang sementara perlawanan lain didominasi pelawat. Kesemua kemenangan pasukan pelawat itu memberikan mereka kelebihan 'gol di tempat lawan' sebelum menjadi tuan rumah dalam perlawanan kedua.

PSG (Perancis) dan Bayern (Jerman) menjadi pasukan dengan margin paling selesa selepas masing-masing mencatatkan kemenangan bergaya 4-1. Kelebihan tiga gol dan juga empat gol di tempat lawan. Hanya keajaiban yang akan dapat membantu Barcelona dan Lazio menyingkirkan mereka.

Dua perlawanan akan berlangsung awal pagi esok (waktu Malaysia).

Juventus vs Porto 
Dortmund vs Sevilla

Walaupun tewas perlawanan pertama, Juventus memiliki satu gol di tempat lawan. Mereka perlu menang sekurang-kurangnya 1-0 untuk mara ke suku akhir. Keputusan 2-1 akan membawa permainan ke masa tambahan. Seterusnya jika menang dengan margin satu gol (contohnya 3-2, 4-3, atau 5-4), Juventus akan tersingkir. Selain 1-0, mereka perlu menang dengan kelebihan gol yang lebih besar. 

Dortmund memiliki kelebihan tiga gol di tempat lawan tapi itu bukan jaminan meeka selesa. Cuma mereka ada pilihan yang lebih banyak berbanding Sevilla. Dortmund boleh menang, seri, kalah 0-1 atau kalah 1-2 dan masih layak ke pusingan seterusnya. Ketajaman penyerang berbisa Erling Haaland pastinya menjadi igauan bagi Sevilla.

Dua pasukan pertama yang layak ke suku akhir akan diketahui esok. Sama-sama kita nantikan.

Ciao!


Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif