Welcome To My Life...

Wednesday, March 17, 2021

Terlalu Ampuh

Assalamualaikum.

Untuk dua pasukan yang cuba mencabar gergasi bola sepak Eropah, awal pagi tadi (waktu Malaysia) bukanlah waktu yang baik. Mereka gagal dalam misi untuk mara ke peringkat suku akhir, bukan kerana mereka tidak mencuba. Tetapi pasukan gergasi yang dilawan terlalu ampuh.

----------

MANCHESTER CITY 2-0 BORUSSIA MONCHENGLADBACH
(agregat 4-0)
 
Dua kali kemenangan dengan skor yang sama. Satu lagi clean sheet (tidak bolos) direkodkan. Kemenangan agregat yang bergaya. 

Pep Guardiola mungkin telah menemui ramuan kejayaan sebagai pengurus Manchester City. Selain kekukuhan benteng pertahanan, jentera serangan City juga sentiasa berjaya memecah kebuntuan, jarang menghampakan. 

Walaupun mereka hanya menang tipis 1-0 atau 2-0, bagi peminat neutral bola sepak, kemenangan dengan skor berapa pun tidak penting. Jika mereka menang dengan setengah gol sekalipun, kemenangan tetap kemenangan. 

Jaringan oleh dua pemain tengah, Kevin De Bruyne dan Ilkay Gundogan meletakkan City selangkah lebih dekat untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah, yang tidak pernah dimenangi oleh Pep sepanjang mengurus City.
 
-------
 
REAL MADRID 3-1 ATALANTA
(agregat 4-1)
 
Dengan defisit satu gol daripada perlawanan pertama, Atalanta seperti mempunyai peluang. Namun api harapan mereka pun tidaklah menyala terang. Gol lewat Ferland Mendy di Itali menjadi gol di tempat lawan yang berharga.

Atalanta perlu mendapatkan satu gol juga di gelanggang Madrid. Dan mereka berjaya mendapatkan gol itu, tetapi sudah terlewat. Ketika saingan hampir dinoktahkan. Real Madrid lebih dulu mendapat dua gol hasil jaringan Karim Benzema dan Sergio Ramos yang meletakkan mereka dalam kedudukan agregat selesa. 

Di hujung permainan, Luis Muriel menghadiahkan gol sagu hati untuk pelawat. Marco Asensio memadamkan terus sisa-sisa harapan Atalanta untuk sebarang keajaiban dengan gol balas hanya berselang dua minit.
 
----------
 
Borussia Dortmund, Porto, Liverpool, PSG, Manchester City, Real Madrid.
 
Bukan calang-calang enam pasukan yang telah melayakkan diri ke suku akhir.
 
Bayern Munich vs Lazio
Chelsea vs Atletico Madrid
 
Bayern Munich dan Chelsea memiliki kelebihan daripada perlawanan pertama. Kelebihan Bayern lebih selesa berbanding Chelsea. Atletico Madrid masih mempunyai peluang cerah untuk melakukan kebangkitan. 
 
Adakah Sepanyol akan mempunyai wakil kedua di pusingan suku akhir atau England yang berpesta dengan wakil ketiga? Persoalan itu akan terjawab awal pagi esok.
 
Ciao!
 
 


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif