Welcome To My Life...

Sunday, March 14, 2021

Bakal Juara

Assalamualaikum.
 
Baru saja pada 8 Mac lalu, kelab bola sepak Manchester United mengecat bandar Manchester dengan warna merah selepas berjaya membenam jiran bising mereka. Kejayaan United mengekalkan rekod cemerlang apabila beraksi di gelanggang lawan. Namun selepas kemenangan itu pun, United di tangga kedua dibezakan 11 mata daripada Manchester City dengan liga berbaki 10 perlawanan.

-------

Bangkit daripada kekalahan itu, City mencatat dua kemenangan berturut-turut. Tiga hari selepas tewas dalam perlawanan setempat, City membelasah Southampton 5-2 di stadium sama. Dan baru saja awal pagi tadi waktu Malaysia, Manchester City bertandang ke Fulham dan menang bergaya lagi 3-0.

Karakter sang juara ditunjukkan City apabila tidak membiarkan satu kekalahan membuat mereka terkesan. Walaupun kalah kepada jiran setempat, mereka bangkit semula dengan dua kemenangan. Berbaki 8 saja lagi perlawanan, City kini berada 17 mata di hadapan pencabar terdekat, United (yang kurang dua perlawanan). 

Jika United menang dua perlawanan yang dalam tangan mereka itu pun, mereka masih lagi 11 mata di belakang City. Hal ini bermakna kejuaraan liga sudah menjadi milik Manchester City kecuali keajaiban berlaku. Sukar untuk membayangkan City akan tewas 5 daripada baki 8 perlawanan. Jika City berjaya menang 5 lagi perlawanan, kejuaraan liga sah menjadi milik mereka.

Konsistensi adalah ciri satu pasukan juara. Ketika pasukan besar yang lain saling berdepan prestasi tidak menentu dalam musim aneh 2015/2016, Leicester City bimbingan Claudio Ranieri menjadi pasukan paling konsisten dan muncul juara Liga Perdana lebih awal daripada Liverpool.

Malang sekali bagi United, mereka berjaya menumbangkan City tetapi prestasi tidak konsisten menjadi pemusnah. Gagal menewaskan dua pasukan di tangga tercorot liga adalah satu dosa yang tidak dapat diampunkan apabila menyaingi pasukan kaya seperti City.

Pengurus City, Pep Guardiola tidak malu mengakui segala wang yang ditaburkan selama ini menjadi mangkin kejayaan City menguasai saingan liga domestik. Pembelian Ruben Dias pada musim panas lalu menjadi mangkin kejayaan City musim ini. Gandingan mantap bek tengah Dias dan John Stones mencatat clean sheet demi clean sheet. Pasukan juara mesti mempunyai kubu pertahanan yang mantap!
 
Namun kejayaan di peringkat benua Eropah masih lagi tidak mahu menerima cinta City. Kelab Liverpool jauh meninggalkan kelab Inggeris lain dengan rekod enam kejuaraan, dengan yang terbaru pada musim 2018/2019.

Satu lagi kejuaraan liga menghampiri, dan masih dalam perebutan Liga Juara-Juara Eropah, Pep Guardiola pasti tidak peduli dengan masa lalu. Musim panas ini, Pep pasti dijanjikan dengan wang lagi untuk ditaburkan. 

Awal pagi esok, Manchester United akan turun berdepan West Ham.

Ciao!


 

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif