Welcome To My Life...

Monday, March 15, 2021

Kem Latihan Pusat Harimau Malaya

Assalamualaikum.

Seramai 28 orang pemain bola sepak negara telah dipanggil untuk menghadiri kem latihan pusat skuad kebangsaan oleh jurulatih Tan Cheng Hoe. Kem latihan pusat ini akan berlangsung di Johor Bahru bermula minggu depan iaitu pada 22 sehingga 30 Mac ini.

Kem latihan pusat ini adalah persiapan Harimau Malaya untuk baki perlawanan dalam Kumpulan G untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023. Tiga perlawanan terakhir menentang UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun). 

Tidak mengejutkan, hampir separuh daripada semua pemain yang dipanggil adalah pemain pasukan Johor Darul Ta'zim yang telah menguasai liga untuk beberapa musim. 13 pemain JDT yang dipanggil ialah penjaga gol Farizal Marlias; pertahanan Aidil Zafuan, Adam Nor Azlin, Matt Davies, Corbin-Ong; pemain tengah Syamer Kutty, Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Danial Amier, Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid, Ramadhan Saifullah; dan penyerang Syafiq Ahmad. Jika bukan kerana kecederaan yang baru menimpa, sudah pasti nama Safawi Rasid juga akan berada dalam senarai.
 
Selangor menjadi pembekal utama kedua terbesar dengan empat pemain iaitu penjaga gawang Khairulazhan Khalid; pertahanan Syahmi Safari; pemain tengah Brendan Gan; dan penyerang Shahrel Fikri. 
 
Tiga pasukan mempunyai dua wakil iaitu Terengganu FC (penjaga gol Rahadiazli Rahalim dan pemain tengah Faisal Halim); Perak FC (pertahanan Shahrul Saad dan penyerang Guilherme de Paula); dan Sri Pahang FC (pertahanan Fazly Mazlan dan pemain tengah Azam Azih).

Pasukan-pasukan yang menghantar wakil tunggal ialah Melaka United FC (penjaga gol Khairul Fahmi); Kuala Lumpur City FC (pertahanan Irfan Zakaria); dan Kedah Darul Aman FC (pertahanan Rizal Ghazali). Penyerang senior negara mewakili pasukan Liga Perdana (Sarawak United FC). Pemain terakhir ialah penyerang muda berusia 19 tahun yang kini beraksi di Belgium bersama kelab KV Kortrijk, Luqman Hakim.

Enam pemain berada dalam senarai menunggu jika ada mana-mana pemain dalam senarai 28 orang pemain itu yang cedera. Mereka ialah Samuel Somerville (Penang FC), Rodney Celvin (Kedah Darul Aman FC), Arif Fazilah (Terengganu FC), Shahrul Nizam (Terengganu FC), S. Kumaahran (Melaka United FC), dan Darren Lok (PJ City FC).

Boleh saya katakan, selain Safawi Rasid yang cedera, Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan pasukan terkuat untuk menghadapi perlawanan terakhir kelayakan nanti. Lima pemain yang tak bernasib baik dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan lain akan diketahui nanti. Tan Cheng Hoe hanya akan membawa senarai akhir 23 pemain.

Ciao!

 

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif