Welcome To My Life...

Tuesday, March 16, 2021

Selepas Black?

Assalamualaikum.

Amaran: entri ini bukanlah tentang Black Hanifah!

Ya, benar. 'Black' yang saya maksudkan ialah drama dari Korea Selatan. Sehingga baru-baru ini, 'Black' adalah satu-satunya drama Korea yang saya pernah tonton. Saya lupa bila saya menontonnya, tapi mungkin ketika masih belajar di universiti, sudah lama dahulu.
 
Satu drama yang sangat membuatkan saya terkesan. Penamatnya mungkin indah bagi sesetengah orang tapi bagi saya, penutup drama itu sangat tragis dan membuatkan saya tidak mahu menonton lagi drama Korea walaupun manusia lain di atas muka bumi ini terjebak dengan demam K-drama.

Namun, memandangkan saya sedang berehat di rumah ketika ini kerana dalam fasa pemulihan daripada kemalangan yang menimpa, saya terjebak juga. Menonton K-drama dengan adik-adik di Netflix. 

Sudah dua siri drama 20 episod yang saya habiskan dalam tempoh seminggu lebih. 

Salah satunya bertajuk 'Pinocchio'. Tentang seorang wartawan perempuan bernama Choi In-Ha yang menghidap satu sindrom (tak pernah wujud) iaitu sindrom Pinocchio. Penghidap sindrom ini tidak boleh bercakap bohong kerana mereka akan tersedu. Berbeza dengan cerita dongeng 'Pinocchio' yang kita dengar di mana hidungnya akan menjadi panjang bila berbohong.

Hero dan kekasih In-Ha pula ialah Ki Ha-Myeong (aka Choi Dal-Po) yang berkait rapat dengan keluarga In-Ha. Keluarga Ha-Myeong hancur musnah kerana emak In-Ha iaitu Song Cha-Ok. Drama ini sangat hebat mengisahkan perihal kewartawanan dan persoalan wartawan seharusnya menyampaikan berita yang benar. 

Saya suka falsafah yang cuba disampaikan oleh drama 'Pinocchio' ini. Bahawa kebenaran akan tetap didedahkan walaupun apa cara yang cuba digunakan untuk menyekat atau menutupnya. Dan betapa kebenaran itu tetaplah kebenaran walaupun sejuta orang mengatakan kebenaran itu dusta. 

Drama seterusnya yang saya tonton ialah 'Doctors'. Mula-mula nak tengok suka-suka saja, tapi sekali lagi saya terjerumus begitu dalam. Tenggelam dalam kedalaman falsafah drama ini. Bukan saja percintaan Hong Ji-Jong dan Yoo Hye-Jeong yang membuatkan saya teruja. Tapi juga watak-watak di samping mereka seperti Jung Yun-Do, Jin Seo-U, Choi Gang-Su, dan Pi Yeong-Guk. Malah cerita-cerita kecil yang lain juga ada kepentingannya.

Falsafah tentang cinta, keluarga dan sekali lagi tentang kebenaran. Saya juga suka persoalan yang ditekankan tentang betapa pentingnya menikmati hidup. Heroin Hye-Jeong yang terlalu fokus untuk membalas dendam kematian neneknya sehingga menghabiskan umurnya hanya untuk tujuan itu. Membazir usianya yang seharusnya dinikmati.

Jika ada masa lapang, saya akan mengulas lebih panjang tentang kedua-dua drama ini. Ketika ini saya sedang menonton drama 'While You Were Sleeping' yang dilakonkan oleh hero daripada drama 'Pinocchio' iaitu Lee Jong-Suk. 

Now playing: "While You Were Sleeping"

Ciao!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif