Welcome To My Life...

Tuesday, March 9, 2021

Manchester Dicat Merah

Assalamualaikum.

Manchester derby sentiasa menjadi acara yang dinanti-nantikan bagi peminat kedua-dua pasukan dalam bandar Manchester untuk setiap musim Liga Perdana Inggeris. Lebih penting musim ini, kedua-dua kelab Manchester berada di kedudukan teratas liga sebelum sepak mula perlawanan.

Awal pagi semalam (waktu Malaysia), Manchester United menamatkan rekod kemenangan berturut-turut panjang Manchester City apabila membenam musuh setempat mereka dengan kemenangan 2-0. 
 
Sekali lagi Manchester United beraksi cemerlang di tempat lawan. Ia satu kemenangan moral yang berharga buat Manchester United untuk menamatkan rekod cemerlang City dengan memalukan City di gelanggang mereka sendiri. 
 
Walaupun beraksi tanpa penjaga gawang utama David De Gea yang pulang ke Sepanyol menyambut kelahiran anaknya, United tetap utuh dengan menurunkan Dean Henderson di tempat De Gea. Pengurus Ole Gunnar Solksjaer terus menaruh kepercayaan terhadap penyerang Anthony Martial yang dikritik hebat oleh peminat United sendiri.
 
Tiada cara yang lebih hebat untuk memulakan permainan selain menjaringkan gol. Dan United mendapat gol awal yang memberikan mereka keyakinan apabila Bruno Fernandes meledak sepakan penalti seawal minit kedua. Dan satu lagi gol awal di separuh masa kedua dijaringkan oleh bek kiri Luke Shaw yang merembat cantik ke penjuru bawah kiri gawang untuk mengukuhkan kedudukan United.
 
Meskipun City mendominasi penguasaan bola dengan 66 peratus, tiada pasukan yang menang permainan bola sepak dengan penguasaan bola. 
 
-------
 
Melihat gambaran yang lebih besar, kekalahan itu seperti tidak menjejaskan City. Selepas menewaskan City, United masih berada 11 mata di belakang musuh setempat mereka dengan kedua-dua pasukan sudah beraksi dalam 28 perlawanan. Berbaki 10 perlawanan, jurang mata itu agak besar dengan mengambil kira City sedang berada dalam tahap prestasi cemerlang. Sukar untuk melihat mana-mana pasukan lain yang dapat mengalahkan pasukan bimbingan Pep Guardiola.

Sebelum perlawanan menentang City, United telah beraksi tujuh perlawanan menentang pasukan lain yang digelar 'Big 6' dan tidak mencatat satu pun kemenangan. Lima kali seri 0-0 dan dua kali tewas. Selain itu, United juga gagal menang apabila menentang pasukan yang berada di tangga ke-19 dan tercorot liga. Satu perbezaan yang besar apabila dibandingkan dengan City.

Konsistensi adalah kunci untuk memenangi liga. Attack wins you game, defend wins you title. Pertahanan City yang utuh dengan gandingan bek tengah Ruben Dias - John Stones sepertinya menjadi batu asas untuk City memenangi liga musim ini, kecuali keajaiban berlaku. City konsisten dan United pula tidak konsisten. Menang dengan budak besar, tapi kalah dengan budak kecil. Umpama Robin Hood mencuri daripada yang kaya untuk memberikan kepada yang miskin.

Mampukah United kekal konsisten untuk mengekang kejuaraan City? Semuanya akan terjawab dalam baki 10 perlawanan.

Ciao!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif