Welcome To My Life...

Sunday, March 14, 2021

Siapa Juara AJL 35?

Assalamualaikum.
 
Malam ini, debaran siapa Juara Lagu ke-35 akan ditamatkan. Anugerah Juara Lagu kali ke-35 akan berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam. Majlis gilang-gemilang ini akan diacarakan oleh Awal Ashaari, Haziq Hussni, dan Sherry Alhadad.

Berikut adalah 12 judul lagu yang akan dipersembahkan malam ini mengikut abjad:

1. 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo, Luca Sickta)
2. Aku Bidadari Syurgamu (Aishah)
3. Belenggu Rindu (Jamal Abdillah, Wany Hasrita)
4. Eh (Zizi Kirana)
5. Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B)
6. Gundah (Ernie Zakri) 
7. Hati (Hael Husaini)
8. Hutang (Floor 88)
9. Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter)
10. Kau Sakiti (Amir Masdi)
11. Peluang Kedua (Nabila Razali)
12. Semalam (Aina Abdul)

----------
 
Anugerah Juara Lagu sering menimbulkan kontroversi saban tahun kerana lagu-lagu kegemaran peminat tidak layak bertanding di malam akhir. Acara kali ini juga tidak terkecuali. Dua lagu hangat iaitu "Sakit" (Yonnyboii & Zynakal) dan "Sembah" (Naim Daniel) gagal memikat hati juri.
 
Melihat senarai lagu yang bertanding di final, saya merasakan dua lagu iaitu "Gila" dan "Eh" sepatutnya digantikan dengan lagu lain yang lebih layak disebutkan di atas. Juara bertahan, Naim Daniel yang memenangi AJL 34 dengan lagu "Sumpah" sebenarnya membawa karya yang berkualiti juga untuk tahun ini dalam lagu "Sembah". Satu lagu kegemaran saya sendiri.
 
Ada juga judul lagu lain yang saya rasa lebih layak menggantikan "Gila" dan "Eh" dalam tiga separuh akhir yang berlangsung. Dalam separuh akhir pertama, ada lagu "Sembah", "Adakah Engkau Menungguku" (Naim Daniel & Tuju) dan "Kelabu" (Yonnyboii & Azlan).
 
Dalam separuh akhir kedua, ada lagu "Takdir Tercipta" (Hafiz Suip & Adira) dan "Sakit". Dalam separuh akhir ketiga, ada lagu "Takkan Terlerai" (Ernie Zakri & Syamel).

Lagu-lagu ini pastinya lebih layak.

----------

Hael Husaini seperti mempunyai magis dengan terus mencipta lagu demi lagu yang menjadi siulan peminat. Selepas muncul juara dua kali berturut-turut dengan lagu "Jampi" (AJL 32) dan "Haram" (AJL 33 bersama Dayang Nurfaizah), Hael akan mempertaruhkan lagu "Hati" di malam final ini. Dua lagu ciptaannya juga akan bertanding iaitu "Belenggu Rindu" dan "Peluang Kedua".

Saya merasakan tiga lagu mempunyai magis untuk menjadi juara malam ini iaitu "7 Nasihat", "Hutang" dan "Jangan Khianati Aku". Seperti yang diketahui umum, juara lagu sudah dijurikan lebih awal oleh para panel dan apa yang akan ditentukan oleh para peserta malam ini hanyalah persembahan terbaik. 
 
Jadi, siapa yang akan diumumkan sebagai juara malam ini?

Ciao!
 
 
 

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif