Welcome To My Life...

Tuesday, May 29, 2018

Menjelang Piala Dunia - Siri 2

Assalamualaikum.

Kita teruskan lagi previu Piala Dunia 2018 dengan lapan lagi pasukan dalam dua lagi kumpulan yang akan merebut piala paling berprestij dalam karier pemain bola sepak.

-------


KUMPULAN C

(1) PERANCIS
Konfederasi -- UEFA
Penampilan lalu -- 14 (juara 1 kali)
Ranking dunia (Oktober '17) -- 7
Status layak -- pemenang Kumpulan A UEFA (automatik)
Penjaring terbanyak kelayakan -- Olivier Giroud; Antoine Griezmann (4 gol)
Penjaring terbanyak pasukan -- Olivier Giroud (31 gol)
Kaps terbanyak -- Hugo Lloris (98)
Pemain paling tua -- Steve Mandanda (33 tahun 2 bulan)
Pemain paling muda -- Kylian Mbappe (19 tahun 5 bulan)

(2) AUSTRALIA
Konfederasi -- AFC
Penampilan lalu -- 4
Ranking dunia (Oktober '17) -- 43
Status layak -- ke-3 Kumpulan B pusingan ketiga AFC; kalahkan Syria 3-2 pusingan keempat AFC; kalahkan Honduras 3-1 play-off CONCACAF-AFC
Penjaring terbanyak kelayakan -- Tim Cahill (11 gol)
Penjaring terbanyak pasukan -- Tim Cahill (50 gol)
Kaps terbanyak -- Tim Cahill (106)
Pemain paling tua -- Tim Cahill (38 tahun 6 bulan)
Pemain paling muda -- Daniel Arzani (19 tahun 5 bulan)

(3) PERU
Konfederasi -- CONMEBOL
Penampilan lalu -- 4
Ranking dunia (Oktober '17) -- 10
Status layak -- ke-5 round-robin CONMEBOL; kalahkan New Zealand 2-0 play-off OFC-CONMEBOL
Penjaring terbanyak kelayakan -- Edison Flores; Paolo Guerrero (5 gol)
Penjaring terbanyak pasukan -- Paolo Guerrero (34 gol)
Kaps terbanyak -- Paolo Guerrero (88)
Pemain paling tua -- Paolo Guerrero (34 tahun 5 bulan)
Pemain paling muda -- Renato Tapia (22 tahun 10 bulan)

(4) DENMARK
Konfederasi -- UEFA
Penampilan lalu -- 4
Ranking dunia (Oktober '17) -- 19
Status layak -- ke-2 Kumpulan E UEFA; kalahkan Republik Ireland 5-1 pusingan kedua UEFA
Penjaring terbanyak kelayakan -- Christian Eriksen (11 gol)
Penjaring terbanyak pasukan -- Christian Eriksen (22 gol)
Kaps terbanyak -- William Kvist (80)
Pemain paling tua -- Michael Krohn-Dehli (35 tahun 1 minggu)
Pemain paling muda -- Kasper Dolberg (20 tahun 8 bulan)

Perlawanan pembukaan -- Perancis vs Australia (16 Jun, 6 petang)
Ramalan ke pusingan kedua -- PERANCIS & PERU

-------


KUMPULAN D

(1) ARGENTINA
Konfederasi -- CONMEBOL
Penampilan lalu -- 16 (juara 2 kali)
Ranking dunia (Oktober '17) -- 4
Status layak -- ke-3 round-robin CONMEBOL (automatik)
Penjaring terbanyak kelayakan -- Lionel Messi (7 gol)
Penjaring terbanyak pasukan -- Lionel Messi (64 gol)
Kaps terbanyak -- Javier Mascherano (143)
Pemain paling tua -- Willy Caballero (36 tahun 8 bulan)
Pemain paling muda -- Giovani Lo Celso (22 tahun 2 bulan)

(2) ICELAND
Konfederasi -- UEFA
Penampilan lalu -- 0 (penampilan sulung)
Ranking dunia (Oktober '17) -- 21
Status layak -- pemenang Kumpulan I UEFA (automatik)
Penjaring terbanyak kelayakan -- Gylfi Sigurdsson (4 gol)
Penjaring terbanyak pasukan -- Gylfi Sigurdsson (19 gol)
Kaps terbanyak -- Birkir Mar Saevarsson (79)
Pemain paling tua -- Kari Arnason (35 tahun 8 bulan)
Pemain paling muda -- Albert Gudmundsson (21 tahun)

(3) CROATIA
Konfederasi -- UEFA
Penampilan lalu -- 4
Ranking dunia (Oktober '17) -- 18
Status layak -- ke-2 Kumpulan I UEFA; kalahkan Greece 4-1 pusingan kedua UEFA
Penjaring terbanyak kelayakan -- Mario Mandzukic (5 gol)
Penjaring terbanyak pasukan -- Mario Mandzukic (30 gol)
Kaps terbanyak -- Luka Modric (106)
Pemain paling tua -- Danijel Subasic (33 tahun 7 bulan)
Pemain paling muda -- Duje Caleta-Car (21 tahun 8 bulan)

(4) NIGERIA
Konfederasi -- CAF
Penampilan lalu -- 5
Ranking dunia (Oktober '17) -- 41
Status layak -- pemenang Kumpulan B pusingan ketiga CAF (automatik)
Penjaring terbanyak kelayakan -- Victor Moses (3 gol)
Penjaring terbanyak pasukan -- Ahmed Musa (13 gol)
Kaps terbanyak -- John Obi Mikel (85)
Pemain paling tua -- Daniel Akpeyi (32 tahun 3 bulan)
Pemain paling muda -- Francis Uzoho (19 tahun 7 bulan)

Perlawanan pembukaan -- Argentina vs Iceland (16 Jun, 9 malam)
Ramalan ke pusingan kedua -- ARGENTINA & CROATIA

-----------------------

Fakta -- Kedua-dua Piala Dunia milik Argentina dimenangi sebelum Perancis memenangi Piala Dunia tunggal. 



Monday, May 28, 2018

Ledang Getaway

Assalamualaikum.

Random trip, random getaway.... is always fun. 











Sunday, May 27, 2018

Juara Baru

Assalamualaikum.

Selepas penyandang juara Piala Thomas dan juga Piala Uber disingkirkan dalam aksi separuh akhir, final kali ini akan menyaksikan juara baru ditabalkan. Jepun menentang tuan rumah, Thailand, dalam perlawanan akhir Piala Uber pada hari Sabtu. Pasukan lelaki Jepun pula menentang China untuk merebut Piala Thomas.

Jepun mempunyai misi menang berganda berpasukan lelaki dan wanita.

-------

PIALA UBER

JEPUN 3-0 THAILAND 


Ratchanok Intanon mengetuai cabaran tuan rumah dengan menentang pemain nombor dua dunia, Akane Yamaguchi. Mungkin tekanan mempengaruhi permainan Intanon yang terpaksa akur dengan permainan cemerlang Yamaguchi yang begitu pantas walaupun fizikalnya rendah. 

Beregu pertama, Yuki Fukushima/Sayaka Hirota juga tidak menghadapi masalah menundukkan Jongkolphan Kititharakul/Puttita Supajirakul dengan straight set. Jepun mendahului 2-0. Harapan menggunung penyokong tuan rumah terlalu berat untuk ditanggung Nitchaon Jindapol yang menentang juara dunia, Nozomi Okuhara. Jindapol tewas mudah dan Thailand terpaksa akur kecewa di halangan terakhir di depan ribuan penyokong sendiri.

Hari yang cukup bersejarah untuk para wirawati Jepun kerana berjaya membawa pulang semula Piala Uber buat pertama kali selepas 37 tahun. Satu penantian yang sangat panjang tapi kini mereka berada di puncak kejayaan.

-------

PIALA THOMAS

CHINA 3-1 JEPUN



Harapan pasukan lelaki Jepun untuk mengikuti kejayaan para srikandi mereka tidak kesampaian. Juara perseorangan lelaki dalam Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long, gagal mengekang kehebatan Kento Momota yang membuktikan dia adalah raja badminton dunia yang baru. Chen Long tewas straight set, kali kedua berturut-turut selepas tumbang di tangan Momota dalam laluan pemain Jepun itu muncul juara Asia awal tahun ini.

Namun, kebangkitan China bermula dengan beregu pertama. Liu Cheng/Zhang Nan tidak menghadapi masalah menewaskan Yuki Kaneko/Takuto Inoue dengan straight set. Pasangan utama Jepun, Takeshi Kamura/Keigo Sonoda tidak diturunkan kerana percaturan taktikal. Perseorangan kedua China, Shi Yuqi meneruskan momentum kemenangan apabila mengalahkan Kenta Nishimoto juga dengan straight set.

Beregu kedua China, Li Junhui/Liu Yuchen berdepan beregu bidan terjun, Keigo Sonoda/Yuta Watanabe. Walaupun tewas set pertama, mereka bangkit dengan kemenangan tipis dalam dua set berikutnya. Li dan Liu menyekat dua mata perlawanan pihak lawan dalam set ketiga sebelum menyempurnakan mata kejuaraan mereka. Perseorangan ketiga, Lin Dan, tidak perlu turun menentang Kanta Tsuneyama.

Selepas edisi 2014 dimenangi Jepun dan edisi lepas dimenangi Denmark, China kembali membawa pulang Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi mereka semasa edisi 2012 di bumi mereka sendiri.

-------

Tahniah Jepun dan China.



Saturday, May 26, 2018

Clash of the Titans

Assalamualaikum.

Semalam (25 Mei) berlaku pertembungan yang sangat dinanti-nantikan oleh penonton setia sukan badminton. Dua pemain paling berbakat generasi baru bertemu di gelanggang selaku perseorangan utama negara masing-masing.



Pemain nombor satu dunia dan juara dunia, Viktor Axelsen mengetuai cabaran juara bertahan Piala Thomas, Denmark. Kento Momota pula mengetuai armada juara edisi 2014. Momota pernah digantung setahun dari mewakili negara kerana terlibat dengan perjudian haram. Sejak itu, Axelsen telah meningkat sebagai gergasi yang digeruni dari Eropah.

Semasa Momota digantung, dia sudah berada di ranking kedua dunia dan dicanang akan menguasai dunia badminton. Kini dia kembali semula untuk merealisasikan impiannya yang tertangguh. Momota hadir selaku juara Asia 2018 ketika dia menundukkan Lee Chong Wei dan Chen Long dalam laluannya.

Pertemuan dengan Axelsen ibarat menentukan siapakah yang terbaik dalam generasi baru ini selepas era Lin Dan, Lee Chong Wei dan Chen Long. Untuk rekod, Momota sudah bertemu Axelsen tujuh kali sebelum ini dengan kemenangan 6-1.

Pertemuan kelapan juga dimenangi bintang Jepun ini yang permainannya semakin baik. Pertahanan mantap, serangan yang tajam dan penguasaan gelanggang yang hebat. Axelsen yang baru pulih dari kecederaan tidak ada jawapan kepada permainan cemerlang lawan. Momota menang 21-17, 21-9.

---------

Keputusan penuh separuh akhir:

Piala ThomasJepun 3-2 Denmark
China 3-1 Indonesia

Piala Uber
Thailand 3-2 China
Jepun 3-1 Korea Selatan

Jepun akan berentap dengan China dalam final Piala Thomas. Jepun (juara edisi 2014) menumbangkan penyandang juara dengan memenangi ketiga-tiga acara perseorangan. Semua pemain perseorangan Jepun yang beraksi mempunyai nama depan yang hampir sama (KENTO Momota, KENTA Nishimoto, dan KANTA Tsuneyama). Denmark memenangi kedua-dua acara beregu.

Armada lelaki China kembali semula dalam aksi final selepas gagal dalam dua edisi lepas. Hanya beregu handalan di ranking nombor satu dunia, Marcus Gideon/Kevin Sanjaya yang menangguhkan kemenangan China. Barisan China kali ini sangat seimbang. Jika seri 2-2, China memiliki Lin Dan di perseorangan ketiga, satu senjata yang sukar ditandingi.

Bagi Piala Uber, Thailand layak ke perlawanan akhir buat pertama kali dalam sejarah penyertaan mereka dan lebih manis lagi, dilakukan di depan penyokong mereka di bumi sendiri. Bangkok menjadi saksi wirawati-wirawati Thailand berjuang habis-habisan untuk menumbangkan juara bertahan dan juara 14 kali. Thailand menang ketiga-tiga acara perseorangan untuk menempah pertemuan dengan Jepun.

Jepun menyingkirkan Korea Selatan untuk satu lagi peluang bergelar juara. Hanya beregu pertama Korea Selatan berjaya mengekang kemaraan srikandi-srikandi Jepun yang kali terakhir beraksi di final semasa edisi 2014. Apa pun keputusan final Jepun menentang tuan rumah, Piala Uber akan memiliki juara baru selepas China memenangi tiga edisi terakhir.



Friday, May 25, 2018

Kecundang

Assalamualaikum.

24 Mei 2018. Tahun yang berbeza, skrip yang sama. Pasukan Piala Thomas negara kecundang lagi dan lagi. Bagaikan penantian 26 tahun sejak kali terakhir memenangi Piala Thomas itu tidak memeritkan. Seperti penghinaan peminat fanatik negara jiran tidak menyakitkan.


MALAYSIA 1-3 INDONESIA
Lee Chong Wei v Anthony Ginting 21-19, 21-16
Goh V Shem/Tan Wee Kiong v Marcus Fernaldi Gideon/Kevin Sanjaya Sukamuljo 19-21, 22-20, 13-21
Lee Zii Jia v Jonatan Christie 15-21, 21-11, 13-21
Aaron Chia/Teo Ee Yi v Fajar Alfian/Rian Ardianto 18-21, 21-10, 9-21

Seperti biasa, tanpa gagal, Dato' Lee Chong Wei tidak menghampakan dengan menggunakan pengalamannya untuk menundukkan pemain muda Indonesia. Malangnya, tiga perlawanan berikutnya tidak menjelmakan semangat juang yang sama.

Bermula dengan kegagalan beregu utama dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, V Shem/Wee Kiong yang menentang pasangan nombor satu dunia, Marcus/Kevin. V Shem nampak terkesan dengan permainan psikologi Kevin Sanjaya yang menyebabkan dia melakukan kesilapan demi kesilapan. Serangan pasangan Indonesia juga diarahkan kepada V Shem. Sangat mengecewakan bagi Wee Kiong yang kelihatan begitu fokus kepada tugas dan serius memberikan yang terbaik. V Shem adalah 'lubuk' mata pemain lawan dan punca kekalahan pasangan negara.

Lee Zii Jia turun dengan harapan dapat menyumbang mata kedua. Selepas tewas set pertama, Zii Jia bangkit lebih garang dan meyakinkan dalam set kedua. Memasuki set penentuan, harapan kembali bernyala bahawa mungkin Zii Jia sudah mendapat rentak. Namun, ternyata pengalaman Christie terlalu berharga di saat genting. Christie menang mudah untuk meletakkan Indonesia di depan.

Tinggallah harapan digalas oleh Aaron Chia/Teo Ee Yi untuk menyamakan kedudukan. Selepas tewas tipis set pertama, mereka bangkit untuk menang set berikutnya dengan persembahan garang. Namun, momentum itu tak dapat diteruskan. Seperti juga Zii Jia, Aaron/Ee Yi tenggelam di set penentuan untuk memberikan kemenangan dan tiket separuh akhir kepada negara jiran. Perseorangan ketiga, Iskandar Zulkarnain tidak sempat beraksi untuk menentang Ihsan Maulana.

Sungguh, kekalahan ini pasti perit bagi Dato' Lee Chong Wei yang belum pernah memenangi Piala Thomas dalam kariernya yang gemilang dan berwarna-warni. Secara individu, Lee Chong Wei sudah menjadi pemain terbilang, mungkin hanya di belakang Lin Dan dalam era dominasi mereka. Malang sekali, secara berpasukan, Dato' Lee tidak bernasib baik untuk memiliki barisan yang seimbang dan ampuh.

Kento Momota bersama Jepun, dan Viktor Axelsen bersama Denmark sudah memenangi Piala Thomas dalam dua edisi terakhir ketika armada China mengalami zaman kejatuhan sejak Li Yongbo tidak lagi menjadi ketua jurulatih. Tiada pemain memiliki semangat juang yang sama dengan Dato' Lee dalam pasukan Malaysia. Tiada pemain yang benar-benar bermain untuk lencana di dada. Terlalu lemah dan mudah mengalah. Satu penghinaan untuk Dato' Lee yang bermain bermati-matian demi maruah negara.

Terima kasih Dato' Lee Chong Wei. Berehatlah. Jadi jurulatih dan lahirkan lebih ramai bintang masa depan. Demi Malaysia.

--------

Keputusan suku akhir yang lain:

Piala Thomas
China 3-0 Taiwan
Perancis 1-3 Jepun
Korea Selatan 0-3 Denmark


Piala Uber
Jepun 3-1 Taiwan
Korea Selatan 3-1 Kanada
Indonesia 2-3 Thailand
Denmark 1-3 China

Keseluruhan, hanya satu ramalan awal yang tersasar. Berikut adalah jadual separuh akhir:

Piala Thomas: China v Indonesia; Jepun v Denmark
Piala Uber: Jepun v Korea Selatan; Thailand v China

------

Ramalan final:
Piala Thomas: China vs Denmark
Piala Uber: Jepun vs Thailand



Terkemuka

Assalamualaikum.

Nama Malique tidak perlu diperkenalkan kepada peminat genre rap di Malaysia. Malique mula terkenal ketika bersama Joe Flizzow dalam kumpulan Too Phat. Sejak berpisah dengan Joe dan membawa haluan sendiri, Malique sudah jarang kelihatan membuat persembahan. Namun, walaupun jasadnya tidak kelihatan di pentas, nama Malique terus meniti di bibir peminat.

Untuk rujukan, berikut adalah beberapa lagu yang perlu didengari untuk mengenali siapa Malique dan mengapa dia tidak perlu muncul untuk namanya terus disebut-sebut.

Malique aka The General mencipta beberapa lagu yang terkenal bersama artis-artis terkenal yang lain seperti 'Mantera Beradu' (bersama M. Nasir), 'Aku Maafkan Kamu' (bersama Jamal Abdillah), 'Teman Pengganti' (bersama Black), 'Cuba Lagi' (bersama Lah), dan 'Pejamkan Mata' (bersama Dayang Nurfaizah).

Aura Malique juga boleh dirasai dalam lagu-lagu yang dinyanyikan artis lain tetapi mendapat sentuhannya seperti 'Bawaku Pergi' (Zizan ft. Kaka Azraff), 'Bukan Mudah' (Nukilan), 'Rindu' (Shae ft. Nukilan), dan 'Levitasi' (Fynn Jamal, Kaka Azraff, Zizi Kirana).

Di bawah adalah lirik lagu 'Terkemuka' yang official lyric video dikeluarkan tengah malam tadi.

--------

TERKEMUKA
Benzooloo, Sandra Dianne, Zizi Kirana

[korus- Sandra Dianne]
Terang bintang, hingga bersinar fana
Dilambung ke awan, hingga ternampak cuma
Kelajuan, meniti jiwa raga
Hingga bertatah intan, menjadi terkemuka

[Benzooloo] 
Pergi cari kapur putih, conteng di papan hitam
Cipta ekuasi sendiri, daripada perlu pinjam
Ingin jadi virtuoso, ganda usaha kerja
Ganjaran kemudiannya, datang menyusul pula
-
Tapi nampak dari mata, masih ragu-ragu
Apa impresi pertama, misalnya tidak laku
Sejam yang lalu, yakin tidak kena kecam
Perasaan kurang pasti, buat satu badan kejang
-
Yang pernah di situ, bukti pasti masih harum
Bukan senang untuk benang, terus masuk lubang jarum
Nampak macam kalah, tapi sebenarnya bukan
Belum orbit sepenuhnya, nampak sinaran bulan
-
Kalau ingin yang lebih baik, dari yang hari ini
Ambil contoh dari tokoh, dan informasi terkini
Tujuan tabur baja, supaya cepat tumbuh
Pastikan awal isi forum, selagi belum penuh

[korus- Sandra Dianne]

[Zizi Kirana]
Kalau bukan sekarang, jadi bila lagi
Teroka tempat orang lain, tidak berani pergi
Masuk kebun sub atomik, partikel bersentuhan
Gabungan menjadi, kalau kondisi mengizinkan
-
Banduan dalam minda, sedang minta bantuan
Buat keputusan sendiri, bila kebuntuan
Tapi banyak orang kipas, patutlah rasa sejuk
Ular yang mematuk, datang dalam banyak bentuk
-
Ada kurang bahaya, tapi kuat mengutuk
Suka buka luka lama, yang susah untuk tutup
Tak pernah cukup, semua harus berhenti
Tukar algoritma hidup, dengan peranti paling canggih
-
Kalau hidup bagi lemon, ambil pengisar buat (jus)
Minum di tepi beranda, hanya perlu diam (shoosh)
Catat di kalendar, bila tarikh temu duga
Ternyata terbuka, untuk jadi terkemuka

[Sandra Dianne]
Tenang malam, meniti masa silam
Setiap tenteram, mula bergaung dalam
Namun hanya, yang kembali bergema
Cuma yang terkemuka, dimandikan cahaya

[korus- Sandra Dianne]

[Benzooloo]
Sudah bilang, bukannya susah bidang
Lima puluh lima puluh, tendang tapi kena tiang
Egosentrik besar ekar, buat orang lain hindar
Senang rancang dari awal, tapi sayang kurang pintar
-
Pasal dalam parcel, ada puzzle
Dengar khabar, sendiri belum jumpa final
Pusing vinyl, perlahan dapat untung
Lega dengan pemandangan, bila sudah atas gunung
-
Kau lihat kelibat, sekarang makin giat
Sedia pasang niat, terima hakikat
Buat apa yang kita minat, jadikan itu pembakar
Langit sudah tersedia, tinggal jadi pencakar

[korus- Sandra Dianne]

--------

Lagu: Malique, Tripdisz, Takahara Suiko
Lirik: Benzooloo, Takahara Suiko

Hats off kepada Benzooloo dan ratu rap, Zizi Kirana, yang menyampaikan 16 baris rap dengan flow yang sangat mantap. Pemilihan Sandra Dianne untuk menyanyikan bahagian korus juga adalah sangat tepat. Suara Sandra menyanyikan korus sangat sempurna.

Lagu yang menjadi penawar kepada peminat setia Malique yang sentiasa menantikan karya terbaru daripadanya. Sejak dikeluarkan malam tadi, komen-komen di Youtube 'Sony Music MY' berbicara tentang Jeneral. Sesungguhnya sentuhan Malique tidak pernah mengecewakan.

I'm a proud supporter and i salute you The General.

 

Thursday, May 24, 2018

Lapan Terakhir

Assalamualaikum.

Selepas masing-masing mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan mara ke pusingan suku akhir. Bagi pasukan Malaysia, hanya skuad Piala Thomas layak ketika pasukan Piala Uber terkandas. Undian semula dilakukan untuk pusingan suku akhir. Pemenang kumpulan tidak akan bertemu sesama sendiri.

Berikut adalah senarai pasukan yang mara ke suku akhir:

PIALA THOMAS

Kumpulan A: China, Perancis
Kumpulan B: Indonesia, Korea Selatan
Kumpulan C: Jepun, Taiwan
Kumpulan D: Denmark, Malaysia

Suku akhir:
1) China v Taiwan
2) Indonesia v MALAYSIA
3) Perancis v Jepun
4) Korea Selatan v Denmark

Armada China terlalu ampuh, seimbang dalam acara perseorangan dan beregu. Mereka akan menentang pemenang antara Indonesia menentang Malaysia. Jepun juga dijangka tidak menghadapi masalah untuk menang mudah ke atas Perancis. Denmark pula berpeluang cerah untuk mengatasi Korea Selatan. Jika mahu ke separuh akhir, Malaysia perlu mencuri satu mata dari acara beregu.

Ramalan separuh akhir:
China vs Malaysia
Jepun vs Denmark

--------
 
PIALA UBER

Kumpulan A: Jepun, Kanada
Kumpulan B: Thailand, Taiwan
Kumpulan C: Korea Selatan, Denmark
Kumpulan D: China, Indonesia

Suku akhir:
1) Jepun v Taiwan
2) Korea Selatan v Kanada
3) Indonesia v Thailand
4) Denmark v China

Jepun mungkin terlalu kuat untuk Taiwan. Kanada pula bukan lawan untuk Korea Selatan. Indonesia menentang Thailand lebih seimbang. Barisan China lebih hebat berbanding Denmark.

Ramalan separuh akhir:
Jepun vs Korea Selatan
Thailand vs China

-------

Masa untuk serius. Harus diingat, di pusingan kalah mati, pasukan pertama mendapat tiga mata adalah pemenang dan perlawanan seterusnya tidak akan dimainkan. Malaysia boleh mengalahkan Indonesia, dengan syarat, satu mata mesti dikutip dalam acara beregu.

Ayuh, selamat berjuang.




Terus Mara

Assalamualaikum.

23 Mei 2018, berbeza pula hari ini. Pasukan Piala Thomas kecundang di perlawanan terakhir kumpulan ketika pasukan Piala Uber menamatkan kempen dengan nota kemenangan (yang pertama).


Piala Thomas
MALAYSIA 2-3 DENMARK

Lee Chong Wei v Viktor Axelsen 21-9, 21-19
Goh V Shem/Tan Wee Kiong v Mads Conrad-Petersen/Mads Pieler Kolding 24-22, 15-21, 15-21
Lee Zii Jia v Hans-Kristian Vittinghus 21-18, 21-18
Aaron Chia/Teo Ee Yi v Mathias Boe/Mathias Christiansen 21-19, 10-21, 18-21
Iskandar Zulkarnain v Jan O Jorgensen 21-16, 17-21, 14-21

Menghampakan, itu yang boleh dikatakan. Dua beregu langsung tidak menyumbang mata. Masing-masing menang set pertama tapi gagal mengekalkan rentak. Skrip yang sama juga untuk Iskandar yang gagal menyumbang mata kemenangan. Pujian untuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia yang menampilkan persembahan mantap. Terutamanya Zii Jia yang mengejutkan apabila bangkit dari ketinggalan 6-16 di set kedua untuk menang 21-18, mengutip mata 15-2 dalam laluan kemenangan.

-------


Piala Uber
MALAYSIA 5-0 PERANCIS

Goh Jin Wei v Yaelle Hoyaux 21-7, 21-0
Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean v Emilie Lefel/Anne Tran 21-14, 21-17
Lee Ying Ying v Marie Batomene 15-21, 21-16, 21-11
Vivian Hoo/Tee Jing Yi v Delphine Delrue/Lea Palermo 21-13, 15-21, 28-26
Kisona Selvaduray v Katia Normand 17-21, 21-14, 21-9

Hanya kemenangan sempurna yang dapat mengubati duka Malaysia dan mereka berjaya mencapai matlamat itu. Hanya dua perlawanan pertama berakhir dengan kemenangan straight set. Beregu kedua saja yang begitu hampir untuk kehilangan mata dengan pertarungan set ketiga yang hampir ke maksimum 30 mata. Kemenangan Goh Jin Wei paling meyakinkan. Di usia yang masih muda, Jin Wei boleh pergi lebih jauh jika dia punya keazaman yang tinggi.

------

Perlawanan seterusnya, esok (24 Mei)

Piala Thomas: MALAYSIA v Indonesia

Pusingan suku akhir. Berada di tempat kedua bermakna Malaysia perlu bertemu salah satu pemenang kumpulan. Menentang Indonesia, peluang Malaysia 50-50. Ketiga-tiga perseorangan negara lebih baik berbanding Indonesia. Namun, kelebihan bagi Indonesia dalam acara beregu kerana pasangan mereka lebih mantap. Malaysia perlu mencuri satu mata dalam acara beregu untuk menang.

Selamat berjuang.




Wednesday, May 23, 2018

Terus Berjuang

Assalamualaikum.

22 Mei 2018, skuad Piala Thomas negara terus unggul ketika pasukan Piala Uber negara tersingkir.


Piala Thomas
MALAYSIA 5-0 ALGERIA

Lee Zii Jia v Youcef Sabri Medel 21-6, 21-13
Iskandar Zulkarnain v Mohamed Abderrahime Belarbi 21-7, 21-9
Leong Jun Hao v Adel Hamek 21-13, 21-8
Arif Latif/Teo Ee Yi v Koceila Mammeri/Youcef Sabri Medel 21-12, 21-10
Aaron Chia/Soh Wooi Yik v Mohamed Abderrahime Belarbi/Adel Hamek 21-11, 21-15

Seperti dijangka, perseorangan utama dan beregu utama direhatkan. Tiga pemain perseorangan bermain secara terus kerana ketiga-tiga pemain perseorangan Algeria juga bermain dalam acara beregu. Secara keseluruhan, Malaysia mencatat kemenangan kedua yang sempurna tanpa melepaskan sebarang set (10-0). Pemain perseorangan simpanan, Leong Jun Hao mendapat pengalaman beraksi dalam Piala Thomas. Dua gandingan beregu juga diuji dan tidak menghadapi banyak masalah.

-------

Piala Uber
MALAYSIA 1-4 CHINA

Soniia Cheah v Chen Yufei 21-18, 20-22, 18-21
Goh Yea Ching/Soong Fie Cho v Chen Qingchen/Jia Yifan 9-21, 8-21
Goh Jin Wei v He Bingjiao 21-9, 17-21, 21-13
Vivian Hoo/Chow Mei Kuan v Huang Dongping/Yu Zheng 19-21, 15-21
Lee Ying Ying v Gao Fangjie 16-21, 15-21

Mengimpikan kemenangan menentang China saja sudah cukup mustahil. Barisan pemain China masih muda tetapi sudah berpengalaman di peringkat antarabangsa. Beregu-beregu Malaysia langsung tidak dapat memberikan cabaran yang mantap. Soniia begitu hampir untuk mengalahkan Chen Yufei tetapi kurang bernasib baik. Goh Jin Wei mengutip satu mata sagu hati. Selain mereka, tiga lagi perlawanan berakhir dengan kekalahan mudah untuk pemain-pemain Malaysia.

------

Perlawanan seterusnya, esok (23 Mei)

Piala Thomas: MALAYSIA v Denmark
Piala Uber: MALAYSIA v Perancis

Skuad Piala Thomas turun dalam perlawanan terakhir dengan misi untuk memenangi kumpulan dan mengelak juara kumpulan yang lain dalam pusingan suku akhir di mana undian akan dilakukan semula. Kemenangan mengatasi Denmark juga akan memberi suntikan moral yang sangat diperlukan. Pasukan Piala Uber pula turun sekadar melengkapkan jadual dan memberikan pengalaman kepada pemain-pemain simpanan.

Selamat berjuang.



Monday, May 21, 2018

Nasib Berbeza

Assalamualaikum.

21 Mei 2018, skuad Piala Thomas dan Piala Uber negara memulakan kempen masing-masing. Namun, mereka menerima nasib yang berbeza.


Piala Thomas
MALAYSIA 5-0 RUSIA

Lee Chong Wei v Vladimir Malkov 21-9, 21-6
Goh V Shem/Tan Wee Kiong v Vladimir Ivanov/Ivan Sozonov 21-18, 21-19
Lee Zii Jia v Sergey Sirant 21-13, 21-16
Aaron Chia/Teo Ee Yi v Evgenij Dremin/Denis Grachev 21-16, 21-9
Iskandar Zulkarnain v Rodion Alimov 21-9, 21-12

Permulaan sempurna untuk Lee Chong Wei dan rakan-rakan. Bukan saja menang kesemua perlawanan, mereka juga tidak melepaskan sebarang set (10-0). Cheah Soon Kit memilih untuk menggandingkan Aaron Chia dan Teo Ee Yi sebagai beregu kedua dan berhasil. Perlawanan ini bukanlah ukuran tetapi sebagai pembakar semangat untuk Malaysia yang sudah sah ke suku akhir walaupun akan mengharungi dua lagi perlawanan. 

-------


Piala Uber
MALAYSIA 2-3 INDONESIA

Soniia Cheah v Fitriani 10-21, 21-17, 21-14
Goh Yea Ching/Lee Meng Yean v Greysia Polii/Apriyani Rahayu 13-21, 14-21
Goh Jin Wei v Gregoria Mariska Tunjung 20-22, 16-21
Chow Mei Kuan/Vivian Hoo v Della Destiara Haris/Rizki Amelia Pradipta 22-24, 22-20, 12-21
Kisona Selvaduray v Ruselli Hartawan 21-23, 23-21, 21-13

Jika berhasrat ke suku akhir, perlawanan pertama inilah penentunya. Dan kekalahan ini bermakna peluang Malaysia sangat tipis dan boleh dikatakan tertutup. Kemenangan Soniia Cheah sepatutnya memberikan semangat kepada rakan-rakan. Sebaliknya, Indonesia mengutip tiga mata berturut-turut. Goh Jin Wei (18 tahun) sekali lagi menghampakan dalam pertarungan antara dua bekas juara remaja dunia. Jin Wei mendahului Gregoria 14-7 pada satu ketika dalam set pertama. Kekalahan kedua-dua beregu memberi kemenangan kepada Indonesia. Hanya kemenangan S. Kisona sedikit menawarkan kedukaan walaupun sudah terlambat.

------

Perlawanan seterusnya, esok (22 Mei)

Piala Thomas: MALAYSIA v Algeria
Piala Uber: MALAYSIA v China

Algeria bukanlah lawan yang perlu dirisaukan pasukan Piala Thomas negara. Esok, ketua jurulatih, Datuk Misbun boleh merehatkan perseorangan dan beregu utama negara (Lee Chong Wei dan Goh V Shem/Tan Wee Kiong). Leong Jun Hao boleh diberikan masa bermain, dan Cheah Soon Kit mempunyai ruang untuk melakukan eksperimen dengan gandingan beregu. Pemain simpanan, Arif Latif dan Soh Wooi Yik sepatutnya mendapat perlawanan latihan.

Berbeza pula dengan pasukan Piala Uber negara. Esok, misi hidup mati menentang wirawati-wirawati dari negara Tembok Besar. Hanya kemenangan akan membantu Malaysia untuk mara. Melihat kekalahan kepada Indonesia hari ini, misi itu adalah sangat mustahil. Mission impossible.

Selamat berjuang.


Thursday, May 17, 2018

Selamat Berjuang

Assalamualaikum.


Pasukan badminton negara akan bertanding di Piala Thomas edisi ke-30 dan Piala Uber edisi ke-27 di Bangkok, Thailand. Acara berpasukan lelaki dan wanita yang utama dalam sukan badminton ini diadakan sekali setiap dua tahun. Juara bertahan adalah Denmark (Piala Thomas) dan China (Piala Uber).

Setiap negara boleh menghantar maksimum 10 orang pemain mengikut strategi masing-masing. Biasanya sesebuah pasukan akan menghantar empat orang pemain perseorangan dan enam orang pemain beregu. Format lima perlawanan digunakan. Lima perlawanan akan dimainkan dalam peringkat kumpulan. Bagi peringkat kalah mati pula, pasukan pertama yang mendapat tiga mata dikira pemenang. 

16 pasukan terlibat dalam Piala Thomas dan juga Piala Uber, dibahagikan kepada empat kumpulan. Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan mara ke pusingan kalah mati. Undian semula akan dilakukan di pusingan suku akhir.

--------

PIALA THOMAS


Pasukan Malaysia:
Lee Chong Wei (kapten)
Lee Zii Jia
Iskandar Zulkarnain
Leong Jun Hao
Goh V Shem
Tan Wee Kiong
Aaron Chia
Soh Wooi Yik
Teo Ee Yi
Mohamad Arif Abdul Latif

Kumpulan D: Denmark, MALAYSIA, Rusia, Algeria

Malaysia selaku pilihan kelima untuk Piala Thomas diundi sekumpulan dengan pilihan kedua, Denmark. Selepas bergelar naib juara edisi 2014, dan tewas kepada Denmark di separuh akhir edisi 2016 (Denmark kemudian menjadi juara), Malaysia kembali lagi untuk misi mengakhiri penantian 26 tahun sejak kali terakhir memenangi Piala Thomas. 

Sasaran Malaysia adalah untuk ke separuh akhir, dan jika persembahan di Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar awal tahun ini menjadi ukuran, itu adalah sasaran terbaik. Di atas kertas, melepasi peringkat kumpulan bukan satu kerisauan. Jika mahu mengelak pemenang kumpulan yang lain, Malaysia perlu menjuarai kumpulan dan itu bermakna Malaysia perlu mengatasi Denmark. 

Jurulatih beregu, Cheah Soon Kit, telah membawa barisan beregu yang boleh menjadi 'bidan terjun' bila diperlukan. Taktik menukar pasangan beregu ini boleh jadi 'senjata ampuh' dan boleh juga menjadi igauan ngeri. Goh V Shem dan Tan Wee Kiong akan menjadi beregu pertama melainkan Cheah mempunyai idea yang lain.

--------

PIALA UBER


Pasukan Malaysia:
Soniia Cheah
Goh Jin Wei
Lee Ying Ying
Kisona Selvaduray
Vivian Hoo (kapten)
Chow Mei Kuan
Tee Jing Yi
Soong Fie Cho
Lee Meng Yean
Goh Yea Ching

Kumpulan D: China, Indonesia, Perancis, MALAYSIA

Malaysia selaku pilihan ke-9 akan berada dalam kumpulan dengan China (pilihan ke-2) dan Indonesia (pilihan ke-7). Barisan yang dibawa oleh Malaysia boleh dikatakan untuk pendedahan. Sukar untuk mengatasi keampuhan armada China. Di atas kertas, perebutan tempat kedua kumpulan dan slot ke suku akhir adalah lebih logik untuk pasukan Malaysia dan Indonesia.

Malaysia mungkin mengharapkan mata dalam acara perseorangan kerana barisan beregu Indonesia sudah meningkat ke tahap mereka dapat mengejutkan beregu-beregu dari China dan Jepun dalam pertandingan baru-baru ini. Edisi kali ini penting bagi Goh Jin Wei untuk membuktikan dia boleh diharapkan dan sudah boleh bergelar pemain senior yang elit.

-------


Skuad Piala Thomas dan Piala Uber negara berlepas ke Bangkok pada hari ini (17 Mei). Selamat berjuang kita ucapkan untuk mereka. Pertandingan berlangsung 20-27 Mei. 

Patah sayap bertongkat paruh, namun menyerah tidak sekali. 


Wednesday, May 16, 2018

Anwar Is A Free Man

Assalamualaikum.

Alhamdulillah.


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Ketua Umum PKR dan Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta pada jam 11.30 pagi, 16 Mei 2018 selepas Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memperkenan pengampunan penuh dengan nasihat Lembaga Pengampunan.


Datuk Seri Anwar bersama dua orang kanan dalam hidupnya, isteri tercinta dan Timbalan Perdana Menteri terkini, Datuk Seri Wan Azizah, serta Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali.


Lambaian yang sangat dinantikan bagi penulis yang membesar bersama laungan 'Reformasi'. Lambaian seorang tokoh yang dipenjarakan jasadnya dengan alasan 'Liwat II' di sebalik konspirasi politik berprofil tinggi. Berbeza dengan ketika beliau dibebaskan pada tahun 2003, kali ini Datuk Seri Anwar mendapat liputan media meluas kerana Pakatan Harapan membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.



Datuk Seri Anwar dijemput ke Istana Negara sebaik dibebaskan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. Ketibaan Datuk Seri Anwar disambut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sambutan salam yang mengimbau memori kedua-dua pemimpin ini di persada kepemimpinan negara semasa era 90-an yang gemilang.


Selepas tempoh yang menyeksakan bagi keluarganya, semoga kebebasan ini akan kekal bagi seorang pemimpin yang pidatonya menggegar dan menggerunkan.




Tuesday, May 15, 2018

Lima Utama

Assalamualaikum.

Selepas membentuk kerajaan persekutuan yang baru di bawah gabungan yang baru (buat kali pertama gabungan selain Barisan Nasional), Perdana Menteri ketujuh Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak berhenti rehat walaupun memberikan cuti umum pada hari Khamis, Jumaat, dan Ahad. 

Perdana Menteri telah menamakan 10 portfolio kementerian teras yang perlu diisi segera untuk membentuk kabinet awal bagi memulakan tugas. Namun, pada hari Sabtu (12 Mei), Perdana Menteri hanya menamakan tiga menteri paling kanan dalam tiga kementerian paling penting. 

Selepas berbincang dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, Perdana Menteri mengumumkan tiga portfolio utama selain beliau dan Timbalan Perdana Menteri. Kesemua empat yang dilantik adalah presiden bagi setiap parti komponen yang membentuk Pakatan Harapan, kecuali DAP (setiausaha agung). Lim Guan Eng juga ialah anggota Majlis Presiden sebagai timbalan presiden. 

1. Perdana Menteri: Tun Dr. Mahathir Mohamad (BERSATU - Langkawi)
2. Timbalan Perdana Menteri: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR - Pandan)
3. Menteri Dalam Negeri: Tan Sri Muhyiddin Yassin (BERSATU - Pagoh)
4. Menteri Pendidikan: Dr. Maszlee Malik (BERSATU - Simpang Renggam)
5. Menteri Pembangunan Luar Bandar: Rina Harun (BERSATU - Titiwangsa)
6. Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR - Pandan)
7. Menteri Hal Ehwal Ekonomi: Dato' Seri Mohamed Azmin Ali (PKR - Gombak)
8. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan: Datuk Zuraida Kamaruddin (PKR - Ampang)
9. Menteri Kewangan: Lim Guan Eng (DAP - Bagan)
10. Menteri Pengangkutan: Anthony Loke (DAP - Seremban)
11. Menteri Komunikasi dan Multimedia: Gobind Singh Deo (DAP - Puchong)
12. Menteri Tenaga Manusia: M. Kulasegaran (DAP - Ipoh Barat)
13. Menteri Pertahanan: Mohamad Sabu (AMANAH - Kota Raja)
14. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani: Salahuddin Ayub (AMANAH - Pulai)
15. Menteri Kesihatan: Dr. Dzulkefly Ahmad (AMANAH - Kuala Selangor)

*kemas kini selepas sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan (17 Mei 2018)
-13 menteri akan mengangkat sumpah pada hari Isnin (21 Mei) jika pihak Istana Negara setuju.
-PM akan memegang portfolio Menteri Pelajaran.
-TPM akan memegang portfolio Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.
-Hanya satu kementerian yang menguruskan hal pelajaran.
-Baki lapan posisi Kabinet teras akan dibahagikan sama rata antara semua parti Pakatan Harapan, dua untuk setiap parti.

*kemas kini selepas siaran akhbar Perdana Menteri (18 Mei 2018)
-14 ahli Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengangkat sumpah jawatan pada hari Isnin (21 Mei), jam 11.30 pagi di Istana Negara.
-PM tidak memegang portfolio lain kerana bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan.
-Portfolio Menteri Pendidikan digantikan oleh Dr. Maszlee Malik.
-Tiada halangan untuk TPM yang kekal memegang dua portfolio.
-9 nama ahli Jemaah Menteri ditambah untuk membentuk 13 kementerian awal.
-Pecahan menteri mengikut parti komponen:
  BERSATU -- 4 orang (termasuk Perdana Menteri)
  PKR -- 3 orang (termasuk Timbalan Perdana Menteri)
  DAP -- 4 orang
  AMANAH -- 3 orang



(kemas kini 18 Mei 2018)




Selain membentuk lima menteri utama, Perdana Menteri juga telah mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat (Council of Elders) kerana Pakatan Harapan baru pertama kali menjadi kerajaan di peringkat persekutuan dan kurang berpengalaman. 

Majlis Penasihat ini akan membantu Perdana Menteri membentuk kabinet baru selain membantu tugas Perdana Menteri merancang semula ekonomi negara. Kelima-lima tokoh ini ialah nama besar dalam bidang ekonomi. 

1. Tun Daim Zainuddin (80 tahun)
2. Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (71 tahun)
3. Tan Sri Hassan Marican (66 tahun)
4. Tan Sri Robert Kuok (95 tahun)
5. Profesor Jomo Kwame Sundaram (66 tahun)

Berlaku sedikit kekecohan selepas Perdana Menteri menamakan kabinet awal ini apabila Rafizi Ramli membuat kenyataan di media sosial (mewakili PKR) menyatakan kekecewaan mereka kerana PKR tidak dilibatkan dalam perbincangan tersebut. Rafizi dihentam teruk oleh para penyokong Perdana Menteri dan juga Pakatan Harapan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri. Menteri Besar Selangor dari PKR, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, menyatakan PKR hanya terkilan kerana DSAI tidak dilibatkan walaupun berstatus ketua umum (de facto leader) untuk Pakatan Harapan.

Rafizi dalam kenyataan susulan pula menegaskan beliau tidak mahu kerajaan persekutuan bebas melakukan apa saja tanpa ditegur. Katanya, beliau berulang kali menyatakan sepanjang kempen pilihan raya, "saya tak bimbang PH akan menang, saya bimbang bila menang itu tidak membebaskan minda rakyat". Rafizi juga bertegas, dia sudah menolak sebarang jawatan dalam Jemaah Menteri. Beliau mahu terus bebas untuk mengkritik prestasi kerajaan.

Perdana Menteri pada hari yang sama telah menemui DSAI untuk berbincang tentang pembentukan Jemaah Menteri dan menamatkan kritikan dari pihak PKR.



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif