Welcome To My Life...

Sunday, May 27, 2018

Juara Baru

Assalamualaikum.

Selepas penyandang juara Piala Thomas dan juga Piala Uber disingkirkan dalam aksi separuh akhir, final kali ini akan menyaksikan juara baru ditabalkan. Jepun menentang tuan rumah, Thailand, dalam perlawanan akhir Piala Uber pada hari Sabtu. Pasukan lelaki Jepun pula menentang China untuk merebut Piala Thomas.

Jepun mempunyai misi menang berganda berpasukan lelaki dan wanita.

-------

PIALA UBER

JEPUN 3-0 THAILAND 


Ratchanok Intanon mengetuai cabaran tuan rumah dengan menentang pemain nombor dua dunia, Akane Yamaguchi. Mungkin tekanan mempengaruhi permainan Intanon yang terpaksa akur dengan permainan cemerlang Yamaguchi yang begitu pantas walaupun fizikalnya rendah. 

Beregu pertama, Yuki Fukushima/Sayaka Hirota juga tidak menghadapi masalah menundukkan Jongkolphan Kititharakul/Puttita Supajirakul dengan straight set. Jepun mendahului 2-0. Harapan menggunung penyokong tuan rumah terlalu berat untuk ditanggung Nitchaon Jindapol yang menentang juara dunia, Nozomi Okuhara. Jindapol tewas mudah dan Thailand terpaksa akur kecewa di halangan terakhir di depan ribuan penyokong sendiri.

Hari yang cukup bersejarah untuk para wirawati Jepun kerana berjaya membawa pulang semula Piala Uber buat pertama kali selepas 37 tahun. Satu penantian yang sangat panjang tapi kini mereka berada di puncak kejayaan.

-------

PIALA THOMAS

CHINA 3-1 JEPUN



Harapan pasukan lelaki Jepun untuk mengikuti kejayaan para srikandi mereka tidak kesampaian. Juara perseorangan lelaki dalam Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long, gagal mengekang kehebatan Kento Momota yang membuktikan dia adalah raja badminton dunia yang baru. Chen Long tewas straight set, kali kedua berturut-turut selepas tumbang di tangan Momota dalam laluan pemain Jepun itu muncul juara Asia awal tahun ini.

Namun, kebangkitan China bermula dengan beregu pertama. Liu Cheng/Zhang Nan tidak menghadapi masalah menewaskan Yuki Kaneko/Takuto Inoue dengan straight set. Pasangan utama Jepun, Takeshi Kamura/Keigo Sonoda tidak diturunkan kerana percaturan taktikal. Perseorangan kedua China, Shi Yuqi meneruskan momentum kemenangan apabila mengalahkan Kenta Nishimoto juga dengan straight set.

Beregu kedua China, Li Junhui/Liu Yuchen berdepan beregu bidan terjun, Keigo Sonoda/Yuta Watanabe. Walaupun tewas set pertama, mereka bangkit dengan kemenangan tipis dalam dua set berikutnya. Li dan Liu menyekat dua mata perlawanan pihak lawan dalam set ketiga sebelum menyempurnakan mata kejuaraan mereka. Perseorangan ketiga, Lin Dan, tidak perlu turun menentang Kanta Tsuneyama.

Selepas edisi 2014 dimenangi Jepun dan edisi lepas dimenangi Denmark, China kembali membawa pulang Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi mereka semasa edisi 2012 di bumi mereka sendiri.

-------

Tahniah Jepun dan China.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif