Welcome To My Life...

Saturday, May 26, 2018

Clash of the Titans

Assalamualaikum.

Semalam (25 Mei) berlaku pertembungan yang sangat dinanti-nantikan oleh penonton setia sukan badminton. Dua pemain paling berbakat generasi baru bertemu di gelanggang selaku perseorangan utama negara masing-masing.



Pemain nombor satu dunia dan juara dunia, Viktor Axelsen mengetuai cabaran juara bertahan Piala Thomas, Denmark. Kento Momota pula mengetuai armada juara edisi 2014. Momota pernah digantung setahun dari mewakili negara kerana terlibat dengan perjudian haram. Sejak itu, Axelsen telah meningkat sebagai gergasi yang digeruni dari Eropah.

Semasa Momota digantung, dia sudah berada di ranking kedua dunia dan dicanang akan menguasai dunia badminton. Kini dia kembali semula untuk merealisasikan impiannya yang tertangguh. Momota hadir selaku juara Asia 2018 ketika dia menundukkan Lee Chong Wei dan Chen Long dalam laluannya.

Pertemuan dengan Axelsen ibarat menentukan siapakah yang terbaik dalam generasi baru ini selepas era Lin Dan, Lee Chong Wei dan Chen Long. Untuk rekod, Momota sudah bertemu Axelsen tujuh kali sebelum ini dengan kemenangan 6-1.

Pertemuan kelapan juga dimenangi bintang Jepun ini yang permainannya semakin baik. Pertahanan mantap, serangan yang tajam dan penguasaan gelanggang yang hebat. Axelsen yang baru pulih dari kecederaan tidak ada jawapan kepada permainan cemerlang lawan. Momota menang 21-17, 21-9.

---------

Keputusan penuh separuh akhir:

Piala ThomasJepun 3-2 Denmark
China 3-1 Indonesia

Piala Uber
Thailand 3-2 China
Jepun 3-1 Korea Selatan

Jepun akan berentap dengan China dalam final Piala Thomas. Jepun (juara edisi 2014) menumbangkan penyandang juara dengan memenangi ketiga-tiga acara perseorangan. Semua pemain perseorangan Jepun yang beraksi mempunyai nama depan yang hampir sama (KENTO Momota, KENTA Nishimoto, dan KANTA Tsuneyama). Denmark memenangi kedua-dua acara beregu.

Armada lelaki China kembali semula dalam aksi final selepas gagal dalam dua edisi lepas. Hanya beregu handalan di ranking nombor satu dunia, Marcus Gideon/Kevin Sanjaya yang menangguhkan kemenangan China. Barisan China kali ini sangat seimbang. Jika seri 2-2, China memiliki Lin Dan di perseorangan ketiga, satu senjata yang sukar ditandingi.

Bagi Piala Uber, Thailand layak ke perlawanan akhir buat pertama kali dalam sejarah penyertaan mereka dan lebih manis lagi, dilakukan di depan penyokong mereka di bumi sendiri. Bangkok menjadi saksi wirawati-wirawati Thailand berjuang habis-habisan untuk menumbangkan juara bertahan dan juara 14 kali. Thailand menang ketiga-tiga acara perseorangan untuk menempah pertemuan dengan Jepun.

Jepun menyingkirkan Korea Selatan untuk satu lagi peluang bergelar juara. Hanya beregu pertama Korea Selatan berjaya mengekang kemaraan srikandi-srikandi Jepun yang kali terakhir beraksi di final semasa edisi 2014. Apa pun keputusan final Jepun menentang tuan rumah, Piala Uber akan memiliki juara baru selepas China memenangi tiga edisi terakhir.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif