Welcome To My Life...

Friday, May 25, 2018

Kecundang

Assalamualaikum.

24 Mei 2018. Tahun yang berbeza, skrip yang sama. Pasukan Piala Thomas negara kecundang lagi dan lagi. Bagaikan penantian 26 tahun sejak kali terakhir memenangi Piala Thomas itu tidak memeritkan. Seperti penghinaan peminat fanatik negara jiran tidak menyakitkan.


MALAYSIA 1-3 INDONESIA
Lee Chong Wei v Anthony Ginting 21-19, 21-16
Goh V Shem/Tan Wee Kiong v Marcus Fernaldi Gideon/Kevin Sanjaya Sukamuljo 19-21, 22-20, 13-21
Lee Zii Jia v Jonatan Christie 15-21, 21-11, 13-21
Aaron Chia/Teo Ee Yi v Fajar Alfian/Rian Ardianto 18-21, 21-10, 9-21

Seperti biasa, tanpa gagal, Dato' Lee Chong Wei tidak menghampakan dengan menggunakan pengalamannya untuk menundukkan pemain muda Indonesia. Malangnya, tiga perlawanan berikutnya tidak menjelmakan semangat juang yang sama.

Bermula dengan kegagalan beregu utama dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, V Shem/Wee Kiong yang menentang pasangan nombor satu dunia, Marcus/Kevin. V Shem nampak terkesan dengan permainan psikologi Kevin Sanjaya yang menyebabkan dia melakukan kesilapan demi kesilapan. Serangan pasangan Indonesia juga diarahkan kepada V Shem. Sangat mengecewakan bagi Wee Kiong yang kelihatan begitu fokus kepada tugas dan serius memberikan yang terbaik. V Shem adalah 'lubuk' mata pemain lawan dan punca kekalahan pasangan negara.

Lee Zii Jia turun dengan harapan dapat menyumbang mata kedua. Selepas tewas set pertama, Zii Jia bangkit lebih garang dan meyakinkan dalam set kedua. Memasuki set penentuan, harapan kembali bernyala bahawa mungkin Zii Jia sudah mendapat rentak. Namun, ternyata pengalaman Christie terlalu berharga di saat genting. Christie menang mudah untuk meletakkan Indonesia di depan.

Tinggallah harapan digalas oleh Aaron Chia/Teo Ee Yi untuk menyamakan kedudukan. Selepas tewas tipis set pertama, mereka bangkit untuk menang set berikutnya dengan persembahan garang. Namun, momentum itu tak dapat diteruskan. Seperti juga Zii Jia, Aaron/Ee Yi tenggelam di set penentuan untuk memberikan kemenangan dan tiket separuh akhir kepada negara jiran. Perseorangan ketiga, Iskandar Zulkarnain tidak sempat beraksi untuk menentang Ihsan Maulana.

Sungguh, kekalahan ini pasti perit bagi Dato' Lee Chong Wei yang belum pernah memenangi Piala Thomas dalam kariernya yang gemilang dan berwarna-warni. Secara individu, Lee Chong Wei sudah menjadi pemain terbilang, mungkin hanya di belakang Lin Dan dalam era dominasi mereka. Malang sekali, secara berpasukan, Dato' Lee tidak bernasib baik untuk memiliki barisan yang seimbang dan ampuh.

Kento Momota bersama Jepun, dan Viktor Axelsen bersama Denmark sudah memenangi Piala Thomas dalam dua edisi terakhir ketika armada China mengalami zaman kejatuhan sejak Li Yongbo tidak lagi menjadi ketua jurulatih. Tiada pemain memiliki semangat juang yang sama dengan Dato' Lee dalam pasukan Malaysia. Tiada pemain yang benar-benar bermain untuk lencana di dada. Terlalu lemah dan mudah mengalah. Satu penghinaan untuk Dato' Lee yang bermain bermati-matian demi maruah negara.

Terima kasih Dato' Lee Chong Wei. Berehatlah. Jadi jurulatih dan lahirkan lebih ramai bintang masa depan. Demi Malaysia.

--------

Keputusan suku akhir yang lain:

Piala Thomas
China 3-0 Taiwan
Perancis 1-3 Jepun
Korea Selatan 0-3 Denmark


Piala Uber
Jepun 3-1 Taiwan
Korea Selatan 3-1 Kanada
Indonesia 2-3 Thailand
Denmark 1-3 China

Keseluruhan, hanya satu ramalan awal yang tersasar. Berikut adalah jadual separuh akhir:

Piala Thomas: China v Indonesia; Jepun v Denmark
Piala Uber: Jepun v Korea Selatan; Thailand v China

------

Ramalan final:
Piala Thomas: China vs Denmark
Piala Uber: Jepun vs Thailand



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif