Welcome To My Life...

Thursday, May 17, 2018

Selamat Berjuang

Assalamualaikum.


Pasukan badminton negara akan bertanding di Piala Thomas edisi ke-30 dan Piala Uber edisi ke-27 di Bangkok, Thailand. Acara berpasukan lelaki dan wanita yang utama dalam sukan badminton ini diadakan sekali setiap dua tahun. Juara bertahan adalah Denmark (Piala Thomas) dan China (Piala Uber).

Setiap negara boleh menghantar maksimum 10 orang pemain mengikut strategi masing-masing. Biasanya sesebuah pasukan akan menghantar empat orang pemain perseorangan dan enam orang pemain beregu. Format lima perlawanan digunakan. Lima perlawanan akan dimainkan dalam peringkat kumpulan. Bagi peringkat kalah mati pula, pasukan pertama yang mendapat tiga mata dikira pemenang. 

16 pasukan terlibat dalam Piala Thomas dan juga Piala Uber, dibahagikan kepada empat kumpulan. Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan mara ke pusingan kalah mati. Undian semula akan dilakukan di pusingan suku akhir.

--------

PIALA THOMAS


Pasukan Malaysia:
Lee Chong Wei (kapten)
Lee Zii Jia
Iskandar Zulkarnain
Leong Jun Hao
Goh V Shem
Tan Wee Kiong
Aaron Chia
Soh Wooi Yik
Teo Ee Yi
Mohamad Arif Abdul Latif

Kumpulan D: Denmark, MALAYSIA, Rusia, Algeria

Malaysia selaku pilihan kelima untuk Piala Thomas diundi sekumpulan dengan pilihan kedua, Denmark. Selepas bergelar naib juara edisi 2014, dan tewas kepada Denmark di separuh akhir edisi 2016 (Denmark kemudian menjadi juara), Malaysia kembali lagi untuk misi mengakhiri penantian 26 tahun sejak kali terakhir memenangi Piala Thomas. 

Sasaran Malaysia adalah untuk ke separuh akhir, dan jika persembahan di Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar awal tahun ini menjadi ukuran, itu adalah sasaran terbaik. Di atas kertas, melepasi peringkat kumpulan bukan satu kerisauan. Jika mahu mengelak pemenang kumpulan yang lain, Malaysia perlu menjuarai kumpulan dan itu bermakna Malaysia perlu mengatasi Denmark. 

Jurulatih beregu, Cheah Soon Kit, telah membawa barisan beregu yang boleh menjadi 'bidan terjun' bila diperlukan. Taktik menukar pasangan beregu ini boleh jadi 'senjata ampuh' dan boleh juga menjadi igauan ngeri. Goh V Shem dan Tan Wee Kiong akan menjadi beregu pertama melainkan Cheah mempunyai idea yang lain.

--------

PIALA UBER


Pasukan Malaysia:
Soniia Cheah
Goh Jin Wei
Lee Ying Ying
Kisona Selvaduray
Vivian Hoo (kapten)
Chow Mei Kuan
Tee Jing Yi
Soong Fie Cho
Lee Meng Yean
Goh Yea Ching

Kumpulan D: China, Indonesia, Perancis, MALAYSIA

Malaysia selaku pilihan ke-9 akan berada dalam kumpulan dengan China (pilihan ke-2) dan Indonesia (pilihan ke-7). Barisan yang dibawa oleh Malaysia boleh dikatakan untuk pendedahan. Sukar untuk mengatasi keampuhan armada China. Di atas kertas, perebutan tempat kedua kumpulan dan slot ke suku akhir adalah lebih logik untuk pasukan Malaysia dan Indonesia.

Malaysia mungkin mengharapkan mata dalam acara perseorangan kerana barisan beregu Indonesia sudah meningkat ke tahap mereka dapat mengejutkan beregu-beregu dari China dan Jepun dalam pertandingan baru-baru ini. Edisi kali ini penting bagi Goh Jin Wei untuk membuktikan dia boleh diharapkan dan sudah boleh bergelar pemain senior yang elit.

-------


Skuad Piala Thomas dan Piala Uber negara berlepas ke Bangkok pada hari ini (17 Mei). Selamat berjuang kita ucapkan untuk mereka. Pertandingan berlangsung 20-27 Mei. 

Patah sayap bertongkat paruh, namun menyerah tidak sekali. 


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif