Welcome To My Life...

Saturday, March 23, 2019

Masih Ada Sinar

Assalamualaikum.

Selepas ribut, pasti ada sinar mentari untuk kita.

Pada 20 Mac yang lalu, skuad senior Harimau Malaya telah dikejutkan dengan kekalahan kepada pasukan jiran, Singapura. Hantaran pemain veteran berpengalaman, Khairul Amri, di lewat babak kedua disempurnakan dengan baik oleh Faris Ramli 

Kesilapan bermula dengan pemilihan pemain utama lagi. Kelibat Syazwan Zainon dan Zaquan Adha tidak menyenangkan peminat bola sepak tanah air. Lebih-lebih lagi, pemain yang mempamerkan prestasi lebih baik dalam liga tempatan seperti Faiz Nasir dan Hadin Azman hanya di bangku simpanan.

Perhatian peminat bola sepak beralih pula kepada pusingan kelayakan untuk Kejohanan AFC Bawah 23 tahun yang akan berlangsung tahun depan.

------------

22 Mac, Stadium Shah Alam.
Malaysia B-23 vs Filipina B-23 
[3-0]

Kesebelasan utama:
Haziq Nadzli; Dominic Tan, Syamer Kutty, Shahrul Nizam; Syahmi Safari, Daniel Amier, Nik Akif Syahiran, R. Dinesh; Safawi Rasid (kapten), Hadi Fayyadh, Akhyar Rashid

Pemain gantian:
Nik Azli, Faisal Halim, Danial Haqim


Selepas seri 1-1 dengan Australia dalam perlawanan persahabatan, Ong Kim Swee menggugurkan empat orang pemain. Dan OKS telah menurunkan pasukan yang boleh dikatakan antara yang terbaik dengan kekuatan seimbang di semua posisi. OKS sekali lagi memberikan kepercayaan untuk Syamer Kutty berada dalam rangkaian pertahanan bertiga (posisi semula jadi Syamer adalah pemain tengah bertahan). Safawi Rasid yang tidak beraksi menentang Australia kembali dalam kesebelasan utama sebagai kapten dengan Jafri Chew disingkir ke bangku simpanan.  

Malaysia hanya memerlukan kurang empat minit untuk mendahului. Hantaran silang Syahmi dari sebelah kanan dikawal oleh Akhyar dengan baik sebelum melepaskan penyudah kaki kanan. Malaysia menggandakan jaringan selepas detik setengah jam apabila hantaran lambung R. Dinesh disambut dengan flik oleh Syamer Kutty dan flik berikutnya daripada Akhyar menewaskan penjaga gol untuk satu gol yang sedikit aneh.

Gol ketiga Malaysia sedikit kontroversi apabila pemain gantian, Faisal Halim, menyambut hantaran Nik Azli, menggelecek penjaga gol dan pertahanan sebelum membuat penyudah. Gol itu menimbulkan kemarahan pemain Filipina kerana pemain Malaysia dikatakan tidak menunjukkan semangat kesukanan (fair play). Walau bagaimanapun, pengadil mengesahkan gol tersebut. 

Sebenarnya, Malaysia boleh menang dengan jumlah jaringan yang lebih besar. Malah, tidak salah untuk mengatakan Malaysia boleh menang dengan 8-0 atau 9-0 jika para pemain Malaysia lebih tajam (atau Malaysia lebih bernasib baik). Contohnya, penyerang tinggi lampai yang berkelana ke Jepun, Hadi Fayyadh, terlepas beberapa peluang keemasan termasuk ketika berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol. 

Penyerang gantian, Nik Azli, yang menggantikan Hadi juga kurang bernasib baik. Nik Azli juga mempunyai tiga peluang baik yang gagal disudahkan. Penjaring gol ketiga, Faisal, juga terlepas satu peluang sebelum golnya apabila sepakan kencangnya terkena palang. 

Bukan selalu kita dapat beraksi dengan cemerlang dan mendapat deretan peluang keemasan untuk menang dengan margin lebih besar. Tetapi kegagalan menyempurnakan peluang itu sajalah perkara negatif daripada aksi skuad muda ini (mungkin selain semangat kesukanan Faisal). Tiga gol dan tiga mata penuh.

Perlawanan seterusnya menentang Laos sebelum penentuan juara kumpulan bertemu China yang membelasah Laos 5-0.

-------------

23 Mac, Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malaysia vs Afghanistan 
[2-1]

Kesebelasan utama:
Khairul Fahmi; Rizal Ghazali, Irfan Zakaria, Shahrul Saad, Syazwan Andik; Akram Mahinan, Halim Saari, Faiz Nasir; Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan, Hadin Azman

Pemain gantian:
S. Kumaahran, Matt Davies, Kenny Palraj

Selepas dimalukan oleh pasukan jiran, Tan Cheng Hoe akhirnya memilih untuk meletakkan Zaquan Adha di bangku simpanan. Beberapa pertukaran dilakukan termasuk kehadiran Faiz Nasir dan Hadin Azman mengambil tempat Nor Azam Azih dan Syazwan Zainon.

Afghanistan mendahului terlebih dahulu apabila rembatan kencang Faysal Shayesteh dari luar kotak penalti gagal ditepis Khairul Fahmi. Beberapa detik sebelum rehat, Faiz Nasir berani melakukan percubaan jarak jauh yang menewaskan penjaga gol lawan. Satu gol berkelas dunia yang pasti akan diingati oleh Faiz sendiri dan peminat bola sepak Malaysia.

Gol kedua yang dicari hanya tiba selepas Matt Davies masuk menggantikan Norshahrul Idlan. Tidak lama selepas dimasukkan, Matt Davies melakukan hantaran lintang dari sebelah kanan dan Abassin Alikhil tertampan bola ke gawang sendiri. Abassin cuba menghalang bola daripada disambar oleh Kumaahran. 

Walaupun hanya mendapat tempat ketiga, persembahan pasukan hari ini yang lebih meyakinkan dengan para pemain dengan prestasi yang lebih baik menggembirakan peminat setia sukan bola sepak di Malaysia. Terutamanya aksi Faiz Nasir, Halim Saari dan Hadin Azman yang membalas kepercayaan Tan Cheng Hoe menyenaraikan mereka.

---------------

Perlawanan berikutnya yang akan menarik perhatian peminat bola sepak negara akan berlangsung esok.

Pasukan bawah 23 tahun akan meneruskan kempen kelayakan dengan aksi kedua menentang Laos. Malaysia bukan saja perlu menang tetapi kemenangan besar diperlukan selepas mensia-siakan peluang jaringan besar menentang Filipina. 

Jika aksi pertama dijadikan rujukan, pasukan Malaysia nyata terlalu kuat untuk Laos. Penulis cuma bimbang dengan kepadatan aksi yang hanya selang sehari. Kecederaan pastinya sukar pulih dalam tempoh yang singkat. Dan itu pastinya bukan sesuatu yang baik jika melibatkan pemain utama dan penting.

Ayuh Malaysiaku! Esok kita mesti menang! 


Saturday, March 16, 2019

Barcelona? No Fear

Assalamualaikum.

Walaupun Barcelona bukan lagi pasukan yang sangat digeruni dulu kerana dibarisi oleh Xavi dan Andres Iniesta, mereka masih lagi pasukan yang ingin dielak semua pasukan termasuk Manchester City dan Liverpool sendiri.

Mungkin Manchester United kurang bernasib baik kerana diundi bertemu Barcelona dalam undian peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah semalam.

Keputusan penuh undian:

Ajax Amsterdam (Belanda) vs Juventus (Itali)
Liverpool (England) vs Porto (Portugal)
Tottenham Hotspurs (England) vs Manchester City (England)
Manchester United (England) vs Barcelona (Sepanyol)

Liverpool dilihat mendapat undian yang paling mudah kerana hanya perlu berdepan Porto. Perlawanan suku akhir yang pasti mendapat tumpuan peminat bola sepak dunia pastinya pertembungan Manchester United dan Barcelona.


Seperti yang penulis jangkakan dalam entri sebelum ini, pasti ada pertemuan sesama pasukan Inggeris. Spurs akan berentap dengan jiran Manchester United. Manakala Ajax menentang Juve menjadi satu-satunya perlawanan suku akhir yang tidak melibatkan pasukan Inggeris.


-----





Walaupun Liverpool dan Juventus dilihat memiliki kelebihan berbanding lawan masing-masing, penulis memandang penuh yakin akan adanya kejutan kerana ia adalah asam garam pertandingan. Ajax Amsterdam sendiri telah melakukannya dengan memalukan penyandang juara di gelanggang lawan. Mampukah mereka melakukannya menentang Cristiano Ronaldo yang dikatakan 'raja' Liga Juara-Juara Eropah?

Peluang Porto pula sudah dinafikan apabila diundi menentang Liverpool. Tidak sukar untuk mengetahui sebabnya. Liverpool membelasah Porto 5-0 secara agregat dalam pusingan enam belas terbaik musim lalu. Porto ada misi balas dendam. Dan mereka perlu berjaya jika bermimpi untuk ke peringkat separuh akhir.

Pertempuran seteru liga domestik juga menarik. Walaupun Manchester City seronok menjaringkan gol tanpa simpati, Spurs baru saja membuktikan kredibiliti mereka dengan menyingkirkan jaguh Jerman empat gol tanpa balas. Kini Spurs perlu mengekang mesin gol Manchester City daripada terus membedil.

Penulis akan mengulas lebih lanjut dalam entri yang akan datang.



Friday, March 15, 2019

Last Eight

Assalamualaikum.

Tiba lagi ke peringkat yang tinggi. Pusingan lapan terakhir. Pusingan kalah mati enam belas terbaik (round of 16) menyaksikan aksi-aksi yang menarik. Ada yang harus kecundang untuk pemenang melangkah jauh. Antara gergasi yang mengucapkan selamat tinggal termasuklah Paris Saint-Germain (Perancis), Real Madrid (Sepanyol), dan Bayern Munich (Jerman).

----------

Berikut adalah apa yang terjadi dalam lapan perlawanan pusingan kedua (mengikut aturan layak daripada perlawanan kedua):



(1)
Ajax 1-2 Real Madrid
Real Madrid 1-4 Ajax
[Ajax menang agregat 5-3]

Ajax menampilkan permainan hampir sempurna di gelanggang lawan untuk mengejutkan sekali gus menyingkirkan juara bertahan, Real Madrid. Lebih malang buat Real, mereka dimalukan di depan penyokong sendiri.

Real pasti menyangka mereka sudah layak apabila menjaringkan dua gol di Belanda. Sebaliknya berlaku. Skuad bimbingan Erik ten Hag berjaya meledak empat gol walaupun Real menguasai permainan di Santiago Bernabeu. Malah bekas pemain tengah Southampton, Dusan Tadic, mendapat rating sempurna 10/10 daripada surat khabar terkenal, L'Equipe. 


(2)
Tottenham 3-0 Dortmund
Dortmund 0-1 Tottenham
[Tottenham menang agregat 4-0]

Borussia Dortmund berada di tangga kedua Bundesliga ketika ini, berkongsi mata dengan Bayern Munich dan berjarak 11 mata dengan Leipzig di tempat ketiga. Namun persembahan di liga domestik nyata bukan ukuran apabila Dortmund ditumbangkan pasukan Liga Perdana Inggeris dalam kedua-dua perlawanan.

Spurs menggunakan kelebihan di tempat sendiri untuk meletakkan pusingan suku akhir jauh daripada jangkauan Dortmund. Kelab Jerman itu tersungkur juga di depan penyokong sendiri dan gagal mendapat sebarang gol. Kredit untuk Spurs yang mendapat clean sheet (tidak dibolosi) dalam kedua-dua perlawanan. 


(3)
Roma 2-1 Porto
Porto 3-1 Roma [selepas masa tambahan]
[Porto menang agregat 4-3]

Pertembungan antara dua pasukan yang sangat berpengalaman dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. Untuk rekod, Porto tewas kepada Liverpool di pusingan sama musim lepas. Roma juga tewas kepada Liverpool tetapi di pusingan separuh akhir. Nasib mereka terbalik kali ini.

Walaupun menang di tempat sendiri dalam perlawanan pertama, Porto membalas dengan kemenangan di Portugal dengan jumlah jaringan yang sama membuatkan masa tambahan terpaksa menentukan pemenang.

Sistem video membantu pengadil (VAR) memberikan sepakan penalti untuk Roma lewat di hujung separuh masa kedua masa tambahan. Dengan berbaki tiga minit sebelum penentuan sepakan penalti, Alex Telles membawa pasukannya selangkah lagi mendekati Madrid. 


(4)
Manchester United 0-2 Paris Saint-Germain
Paris Saint-Germain 1-3 Manchester United
[agregat 3-3; Manchester United layak dengan peraturan gol di tempat lawan]

Belum pernah berlaku dalam sejarah pertandingan ini, satu pasukan berjaya bangkit daripada defisit dua gol dengan kekalahan di gelanggang sendiri dalam perlawanan pertama, untuk layak ke pusingan seterusnya. Manchester United menjadi yang pertama!

Lebih manis, pasukan bimbingan Ole Gunnar Solksjaer berjaya melakukannya tanpa Paul Pogba (digantung perlawanan kerana kad merah dalam perlawanan pertama) dan beberapa orang pemain utama (kerana kecederaan). Romelu Lukaku menunjukkan naluri pemusnah untuk menyumbangkan dua gol tetapi jaringan balas Juan Bernat seperti hampir pasti mengecewakan pasukan pelawat.

Sehinggalah sistem video membantu pengadil (VAR) menghadiahkan sepakan penalti kepada Manchester United apabila bola terkena tangan Presnel Kimpembe beberapa detik sebelum masa kecederaan. Walaupun tidak pernah mengambil sepakan penalti untuk kelabnya sepanjang karier senior, Marcus Rashford kekal tenang untuk memastikan Manchester United kekal dalam pertandingan. Magic night in Paris! 


(5)
Schalke 2-3 Manchester City
Manchester City 7-0 Schalke
[Manchester City menang agregat 10-2]

Manchester City berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menang di Jerman walaupun beraksi dengan sepuluh orang pemain. Mereka lebih garang di gelanggang sendiri dan amukan mereka memusnahkan Schalke sama sekali.

Manchester City tanpa belas ihsan membedil tujuh gol tanpa balas untuk mencatat kemenangan agregat terbesar dalam pusingan kedua. Dalam kemenangan besar ini juga, Manchester City mempunyai enam orang penjaring dengan Sergio Aguero menjaringkan dua gol.


(6)
Atletico Madrid 2-0 Juventus
Juventus 3-0 Atletico Madrid

Dalam satu lagi perlawanan yang menyaksikan kebangkitan agung, Juventus menafikan defisit dua gol Atletico untuk mara ke suku akhir. Walaupun menguasai perlawanan di Sepanyol, Juventus tewas dengan dua gol lewat daripada dua orang pertahanan.

Perlawanan kedua hanyalah tentang magis Cristiano Ronaldo. Ronaldo memegang kebanyakan rekod individu dalam Liga Juara-Juara Eropah sehingga ia digelar sebagai pertandingan miliknya. Untuk rekod, Ronaldo hanya menjaringkan satu gol daripada enam perlawanan dalam edisi kali ini. Beliau memilih perlawanan penting di Turin untuk membuktikan sebab Juventus membelinya dengan harga yang tinggi.

Selepas menjaringkan dua gol awal melalui tandukan, Juventus mendapat sepakan penalti di hujung separuh masa kedua apabila Federico Bernardeschi dijatuhkan. Dan Ronaldo melengkapkan hatrik (menyamai rekod 8 hatrik Lionel Messi dalam pertandingan ini). Who else??


(7)
Liverpool 0-0 Bayern Munich
Bayern Munich 1-3 Liverpool
[Liverpool menang agregat 3-1]

Finalis musim lalu, Liverpool, membuktikan mereka antara yang terkuat di Eropah ketika ini dengan menyingkirkan pendahulu Bundesliga. Liverpool memastikan Bayern tidak mendapat sebarang 'gol di tempat lawan' dalam perlawanan pertama.

Ketika Mohamed Salah seperti 'hilang' dan tidak dapat mengulangi prestasi hebatnya musim lalu, Sadio Mane mengambil tempat Salah untuk menjadi Raja Liverpool yang baru. Mane memperdaya Manuel Neuer dengan skil menakjubkan untuk menjaringkan gol pertama. Tandukan Virgil Van Dijk dan juga tandukan Mane memastikan Liverpool melangkah hampir ke Madrid.

Dan tanpa Real yang menewaskan mereka dalam final musim lalu, pastinya Liverpool berkobar-kobar untuk mara ke final sekali lagi.


(8)
Lyon 0-0 Barcelona
Barcelona 5-1 Lyon
[Barcelona menang agregat 5-1]

"What you can do, I can do better". Mungkin itu amaran Lionel Messi sehari selepas menyaksikan magis musuh tradisinya, Cristiano Ronaldo. Selepas diikat tanpa jaringan di kubu lawan, Messi tidak rela dimalukan di Camp Nou.

Messi kurang bernasib baik kerana dia sepatutnya boleh meledak hatrik dengan peluang yang ada. Tetapi dua gol dan dua lagi bantuan gol bukanlah sesuatu yang buruk. Messi bukan saja mencetak gol malah dia mencipta peluang untuk rakan sepasukan yang lain. Perdebatan siapa pemain terbaik generasi ini (Messi atau Ronaldo) akan berterusan. 

----------

Kelab Liga Perdana Inggeris membentuk separuh daripada pasukan yang tinggal menjadikan EPL liga terbaik di Eropah musim ini. Belanda, Sepanyol, Itali dan Portugal masing-masing akan diwakili satu pasukan. 

Walaupun final akan diadakan di bandar itu, malang bagi Madrid kerana dua pasukan gergasinya disingkirkan. Selain penyandang juara yang dikejutkan 'pembunuh gergasi' dari Belanda, Atletico juga gagal menangani kehandalan Cristiano Ronaldo.

Malang juga bagi Bundesliga Jerman kerana tidak mempunyai wakil yang tinggal. Tiga wakil mereka disingkirkan oleh tiga kelab Inggeris dengan agregat secara kumulatif 17-3. Satu penghinaan untuk Bundesliga. Pendahulu liga domestik mereka dihambat pulang oleh Liverpool. Dortmund di tangga kedua pula dibelasah Spurs di kedua-dua gelanggang. Wakil ketiga mereka pula nyata bukan tandingan Manchester City malah dikeroyok dan dihancurkan.

Penulis sebagai penyokong setia Manchester United pastinya mengidamkan pertemuan yang mudah, sama ada menentang Porto atau Ajax Amsterdam. Namun tidak ada perlawanan yang mudah kerana sudah berada di tahap lapan terbaik. Contohnya, Ajax menumbangkan juara bertahan untuk berada dalam kelompok ini.

Kerana ada empat pasukan Inggeris, tidak dapat tidak penulis menjangkakan akan ada pertembungan sesama mereka. Tidak mungkin empat pasukan Inggeris dipecahkan kepada empat perlawanan berbeza yang memungkinkan kesemua mereka melangkah ke separuh akhir bersama-sama. Jika itu terjadi, separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah akan menjadi seperti pentas separuh akhir Piala FA Inggeris. Tidak mungkin berlaku!


Lapan pasukan terakhir yang akan berentap untuk melangkah ke final yang akan dilangsungkan di Madrid, Sepanyol (mengikut abjad):

Ajax Amsterdam (Belanda)
Barcelona (Sepanyol)
Juventus (Itali)
Liverpool (England)
Manchester City (England)
Manchester United (England)
Porto (Portugal)
Tottenham Hotspurs (England)

Impian penulis untuk undian malam ini:

PORTO vs MANCHESTER UNITED
JUVENTUS vs AJAX AMSTERDAM
LIVERPOOL vs BARCELONA
MANCHESTER CITY vs TOTTENHAM



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif