Welcome To My Life...

Saturday, March 23, 2019

Masih Ada Sinar

Assalamualaikum.

Selepas ribut, pasti ada sinar mentari untuk kita.

Pada 20 Mac yang lalu, skuad senior Harimau Malaya telah dikejutkan dengan kekalahan kepada pasukan jiran, Singapura. Hantaran pemain veteran berpengalaman, Khairul Amri, di lewat babak kedua disempurnakan dengan baik oleh Faris Ramli 

Kesilapan bermula dengan pemilihan pemain utama lagi. Kelibat Syazwan Zainon dan Zaquan Adha tidak menyenangkan peminat bola sepak tanah air. Lebih-lebih lagi, pemain yang mempamerkan prestasi lebih baik dalam liga tempatan seperti Faiz Nasir dan Hadin Azman hanya di bangku simpanan.

Perhatian peminat bola sepak beralih pula kepada pusingan kelayakan untuk Kejohanan AFC Bawah 23 tahun yang akan berlangsung tahun depan.

------------

22 Mac, Stadium Shah Alam.
Malaysia B-23 vs Filipina B-23 
[3-0]

Kesebelasan utama:
Haziq Nadzli; Dominic Tan, Syamer Kutty, Shahrul Nizam; Syahmi Safari, Daniel Amier, Nik Akif Syahiran, R. Dinesh; Safawi Rasid (kapten), Hadi Fayyadh, Akhyar Rashid

Pemain gantian:
Nik Azli, Faisal Halim, Danial Haqim


Selepas seri 1-1 dengan Australia dalam perlawanan persahabatan, Ong Kim Swee menggugurkan empat orang pemain. Dan OKS telah menurunkan pasukan yang boleh dikatakan antara yang terbaik dengan kekuatan seimbang di semua posisi. OKS sekali lagi memberikan kepercayaan untuk Syamer Kutty berada dalam rangkaian pertahanan bertiga (posisi semula jadi Syamer adalah pemain tengah bertahan). Safawi Rasid yang tidak beraksi menentang Australia kembali dalam kesebelasan utama sebagai kapten dengan Jafri Chew disingkir ke bangku simpanan.  

Malaysia hanya memerlukan kurang empat minit untuk mendahului. Hantaran silang Syahmi dari sebelah kanan dikawal oleh Akhyar dengan baik sebelum melepaskan penyudah kaki kanan. Malaysia menggandakan jaringan selepas detik setengah jam apabila hantaran lambung R. Dinesh disambut dengan flik oleh Syamer Kutty dan flik berikutnya daripada Akhyar menewaskan penjaga gol untuk satu gol yang sedikit aneh.

Gol ketiga Malaysia sedikit kontroversi apabila pemain gantian, Faisal Halim, menyambut hantaran Nik Azli, menggelecek penjaga gol dan pertahanan sebelum membuat penyudah. Gol itu menimbulkan kemarahan pemain Filipina kerana pemain Malaysia dikatakan tidak menunjukkan semangat kesukanan (fair play). Walau bagaimanapun, pengadil mengesahkan gol tersebut. 

Sebenarnya, Malaysia boleh menang dengan jumlah jaringan yang lebih besar. Malah, tidak salah untuk mengatakan Malaysia boleh menang dengan 8-0 atau 9-0 jika para pemain Malaysia lebih tajam (atau Malaysia lebih bernasib baik). Contohnya, penyerang tinggi lampai yang berkelana ke Jepun, Hadi Fayyadh, terlepas beberapa peluang keemasan termasuk ketika berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol. 

Penyerang gantian, Nik Azli, yang menggantikan Hadi juga kurang bernasib baik. Nik Azli juga mempunyai tiga peluang baik yang gagal disudahkan. Penjaring gol ketiga, Faisal, juga terlepas satu peluang sebelum golnya apabila sepakan kencangnya terkena palang. 

Bukan selalu kita dapat beraksi dengan cemerlang dan mendapat deretan peluang keemasan untuk menang dengan margin lebih besar. Tetapi kegagalan menyempurnakan peluang itu sajalah perkara negatif daripada aksi skuad muda ini (mungkin selain semangat kesukanan Faisal). Tiga gol dan tiga mata penuh.

Perlawanan seterusnya menentang Laos sebelum penentuan juara kumpulan bertemu China yang membelasah Laos 5-0.

-------------

23 Mac, Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malaysia vs Afghanistan 
[2-1]

Kesebelasan utama:
Khairul Fahmi; Rizal Ghazali, Irfan Zakaria, Shahrul Saad, Syazwan Andik; Akram Mahinan, Halim Saari, Faiz Nasir; Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan, Hadin Azman

Pemain gantian:
S. Kumaahran, Matt Davies, Kenny Palraj

Selepas dimalukan oleh pasukan jiran, Tan Cheng Hoe akhirnya memilih untuk meletakkan Zaquan Adha di bangku simpanan. Beberapa pertukaran dilakukan termasuk kehadiran Faiz Nasir dan Hadin Azman mengambil tempat Nor Azam Azih dan Syazwan Zainon.

Afghanistan mendahului terlebih dahulu apabila rembatan kencang Faysal Shayesteh dari luar kotak penalti gagal ditepis Khairul Fahmi. Beberapa detik sebelum rehat, Faiz Nasir berani melakukan percubaan jarak jauh yang menewaskan penjaga gol lawan. Satu gol berkelas dunia yang pasti akan diingati oleh Faiz sendiri dan peminat bola sepak Malaysia.

Gol kedua yang dicari hanya tiba selepas Matt Davies masuk menggantikan Norshahrul Idlan. Tidak lama selepas dimasukkan, Matt Davies melakukan hantaran lintang dari sebelah kanan dan Abassin Alikhil tertampan bola ke gawang sendiri. Abassin cuba menghalang bola daripada disambar oleh Kumaahran. 

Walaupun hanya mendapat tempat ketiga, persembahan pasukan hari ini yang lebih meyakinkan dengan para pemain dengan prestasi yang lebih baik menggembirakan peminat setia sukan bola sepak di Malaysia. Terutamanya aksi Faiz Nasir, Halim Saari dan Hadin Azman yang membalas kepercayaan Tan Cheng Hoe menyenaraikan mereka.

---------------

Perlawanan berikutnya yang akan menarik perhatian peminat bola sepak negara akan berlangsung esok.

Pasukan bawah 23 tahun akan meneruskan kempen kelayakan dengan aksi kedua menentang Laos. Malaysia bukan saja perlu menang tetapi kemenangan besar diperlukan selepas mensia-siakan peluang jaringan besar menentang Filipina. 

Jika aksi pertama dijadikan rujukan, pasukan Malaysia nyata terlalu kuat untuk Laos. Penulis cuma bimbang dengan kepadatan aksi yang hanya selang sehari. Kecederaan pastinya sukar pulih dalam tempoh yang singkat. Dan itu pastinya bukan sesuatu yang baik jika melibatkan pemain utama dan penting.

Ayuh Malaysiaku! Esok kita mesti menang! 


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif