Welcome To My Life...

Friday, March 15, 2019

Last Eight

Assalamualaikum.

Tiba lagi ke peringkat yang tinggi. Pusingan lapan terakhir. Pusingan kalah mati enam belas terbaik (round of 16) menyaksikan aksi-aksi yang menarik. Ada yang harus kecundang untuk pemenang melangkah jauh. Antara gergasi yang mengucapkan selamat tinggal termasuklah Paris Saint-Germain (Perancis), Real Madrid (Sepanyol), dan Bayern Munich (Jerman).

----------

Berikut adalah apa yang terjadi dalam lapan perlawanan pusingan kedua (mengikut aturan layak daripada perlawanan kedua):



(1)
Ajax 1-2 Real Madrid
Real Madrid 1-4 Ajax
[Ajax menang agregat 5-3]

Ajax menampilkan permainan hampir sempurna di gelanggang lawan untuk mengejutkan sekali gus menyingkirkan juara bertahan, Real Madrid. Lebih malang buat Real, mereka dimalukan di depan penyokong sendiri.

Real pasti menyangka mereka sudah layak apabila menjaringkan dua gol di Belanda. Sebaliknya berlaku. Skuad bimbingan Erik ten Hag berjaya meledak empat gol walaupun Real menguasai permainan di Santiago Bernabeu. Malah bekas pemain tengah Southampton, Dusan Tadic, mendapat rating sempurna 10/10 daripada surat khabar terkenal, L'Equipe. 


(2)
Tottenham 3-0 Dortmund
Dortmund 0-1 Tottenham
[Tottenham menang agregat 4-0]

Borussia Dortmund berada di tangga kedua Bundesliga ketika ini, berkongsi mata dengan Bayern Munich dan berjarak 11 mata dengan Leipzig di tempat ketiga. Namun persembahan di liga domestik nyata bukan ukuran apabila Dortmund ditumbangkan pasukan Liga Perdana Inggeris dalam kedua-dua perlawanan.

Spurs menggunakan kelebihan di tempat sendiri untuk meletakkan pusingan suku akhir jauh daripada jangkauan Dortmund. Kelab Jerman itu tersungkur juga di depan penyokong sendiri dan gagal mendapat sebarang gol. Kredit untuk Spurs yang mendapat clean sheet (tidak dibolosi) dalam kedua-dua perlawanan. 


(3)
Roma 2-1 Porto
Porto 3-1 Roma [selepas masa tambahan]
[Porto menang agregat 4-3]

Pertembungan antara dua pasukan yang sangat berpengalaman dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. Untuk rekod, Porto tewas kepada Liverpool di pusingan sama musim lepas. Roma juga tewas kepada Liverpool tetapi di pusingan separuh akhir. Nasib mereka terbalik kali ini.

Walaupun menang di tempat sendiri dalam perlawanan pertama, Porto membalas dengan kemenangan di Portugal dengan jumlah jaringan yang sama membuatkan masa tambahan terpaksa menentukan pemenang.

Sistem video membantu pengadil (VAR) memberikan sepakan penalti untuk Roma lewat di hujung separuh masa kedua masa tambahan. Dengan berbaki tiga minit sebelum penentuan sepakan penalti, Alex Telles membawa pasukannya selangkah lagi mendekati Madrid. 


(4)
Manchester United 0-2 Paris Saint-Germain
Paris Saint-Germain 1-3 Manchester United
[agregat 3-3; Manchester United layak dengan peraturan gol di tempat lawan]

Belum pernah berlaku dalam sejarah pertandingan ini, satu pasukan berjaya bangkit daripada defisit dua gol dengan kekalahan di gelanggang sendiri dalam perlawanan pertama, untuk layak ke pusingan seterusnya. Manchester United menjadi yang pertama!

Lebih manis, pasukan bimbingan Ole Gunnar Solksjaer berjaya melakukannya tanpa Paul Pogba (digantung perlawanan kerana kad merah dalam perlawanan pertama) dan beberapa orang pemain utama (kerana kecederaan). Romelu Lukaku menunjukkan naluri pemusnah untuk menyumbangkan dua gol tetapi jaringan balas Juan Bernat seperti hampir pasti mengecewakan pasukan pelawat.

Sehinggalah sistem video membantu pengadil (VAR) menghadiahkan sepakan penalti kepada Manchester United apabila bola terkena tangan Presnel Kimpembe beberapa detik sebelum masa kecederaan. Walaupun tidak pernah mengambil sepakan penalti untuk kelabnya sepanjang karier senior, Marcus Rashford kekal tenang untuk memastikan Manchester United kekal dalam pertandingan. Magic night in Paris! 


(5)
Schalke 2-3 Manchester City
Manchester City 7-0 Schalke
[Manchester City menang agregat 10-2]

Manchester City berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menang di Jerman walaupun beraksi dengan sepuluh orang pemain. Mereka lebih garang di gelanggang sendiri dan amukan mereka memusnahkan Schalke sama sekali.

Manchester City tanpa belas ihsan membedil tujuh gol tanpa balas untuk mencatat kemenangan agregat terbesar dalam pusingan kedua. Dalam kemenangan besar ini juga, Manchester City mempunyai enam orang penjaring dengan Sergio Aguero menjaringkan dua gol.


(6)
Atletico Madrid 2-0 Juventus
Juventus 3-0 Atletico Madrid

Dalam satu lagi perlawanan yang menyaksikan kebangkitan agung, Juventus menafikan defisit dua gol Atletico untuk mara ke suku akhir. Walaupun menguasai perlawanan di Sepanyol, Juventus tewas dengan dua gol lewat daripada dua orang pertahanan.

Perlawanan kedua hanyalah tentang magis Cristiano Ronaldo. Ronaldo memegang kebanyakan rekod individu dalam Liga Juara-Juara Eropah sehingga ia digelar sebagai pertandingan miliknya. Untuk rekod, Ronaldo hanya menjaringkan satu gol daripada enam perlawanan dalam edisi kali ini. Beliau memilih perlawanan penting di Turin untuk membuktikan sebab Juventus membelinya dengan harga yang tinggi.

Selepas menjaringkan dua gol awal melalui tandukan, Juventus mendapat sepakan penalti di hujung separuh masa kedua apabila Federico Bernardeschi dijatuhkan. Dan Ronaldo melengkapkan hatrik (menyamai rekod 8 hatrik Lionel Messi dalam pertandingan ini). Who else??


(7)
Liverpool 0-0 Bayern Munich
Bayern Munich 1-3 Liverpool
[Liverpool menang agregat 3-1]

Finalis musim lalu, Liverpool, membuktikan mereka antara yang terkuat di Eropah ketika ini dengan menyingkirkan pendahulu Bundesliga. Liverpool memastikan Bayern tidak mendapat sebarang 'gol di tempat lawan' dalam perlawanan pertama.

Ketika Mohamed Salah seperti 'hilang' dan tidak dapat mengulangi prestasi hebatnya musim lalu, Sadio Mane mengambil tempat Salah untuk menjadi Raja Liverpool yang baru. Mane memperdaya Manuel Neuer dengan skil menakjubkan untuk menjaringkan gol pertama. Tandukan Virgil Van Dijk dan juga tandukan Mane memastikan Liverpool melangkah hampir ke Madrid.

Dan tanpa Real yang menewaskan mereka dalam final musim lalu, pastinya Liverpool berkobar-kobar untuk mara ke final sekali lagi.


(8)
Lyon 0-0 Barcelona
Barcelona 5-1 Lyon
[Barcelona menang agregat 5-1]

"What you can do, I can do better". Mungkin itu amaran Lionel Messi sehari selepas menyaksikan magis musuh tradisinya, Cristiano Ronaldo. Selepas diikat tanpa jaringan di kubu lawan, Messi tidak rela dimalukan di Camp Nou.

Messi kurang bernasib baik kerana dia sepatutnya boleh meledak hatrik dengan peluang yang ada. Tetapi dua gol dan dua lagi bantuan gol bukanlah sesuatu yang buruk. Messi bukan saja mencetak gol malah dia mencipta peluang untuk rakan sepasukan yang lain. Perdebatan siapa pemain terbaik generasi ini (Messi atau Ronaldo) akan berterusan. 

----------

Kelab Liga Perdana Inggeris membentuk separuh daripada pasukan yang tinggal menjadikan EPL liga terbaik di Eropah musim ini. Belanda, Sepanyol, Itali dan Portugal masing-masing akan diwakili satu pasukan. 

Walaupun final akan diadakan di bandar itu, malang bagi Madrid kerana dua pasukan gergasinya disingkirkan. Selain penyandang juara yang dikejutkan 'pembunuh gergasi' dari Belanda, Atletico juga gagal menangani kehandalan Cristiano Ronaldo.

Malang juga bagi Bundesliga Jerman kerana tidak mempunyai wakil yang tinggal. Tiga wakil mereka disingkirkan oleh tiga kelab Inggeris dengan agregat secara kumulatif 17-3. Satu penghinaan untuk Bundesliga. Pendahulu liga domestik mereka dihambat pulang oleh Liverpool. Dortmund di tangga kedua pula dibelasah Spurs di kedua-dua gelanggang. Wakil ketiga mereka pula nyata bukan tandingan Manchester City malah dikeroyok dan dihancurkan.

Penulis sebagai penyokong setia Manchester United pastinya mengidamkan pertemuan yang mudah, sama ada menentang Porto atau Ajax Amsterdam. Namun tidak ada perlawanan yang mudah kerana sudah berada di tahap lapan terbaik. Contohnya, Ajax menumbangkan juara bertahan untuk berada dalam kelompok ini.

Kerana ada empat pasukan Inggeris, tidak dapat tidak penulis menjangkakan akan ada pertembungan sesama mereka. Tidak mungkin empat pasukan Inggeris dipecahkan kepada empat perlawanan berbeza yang memungkinkan kesemua mereka melangkah ke separuh akhir bersama-sama. Jika itu terjadi, separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah akan menjadi seperti pentas separuh akhir Piala FA Inggeris. Tidak mungkin berlaku!


Lapan pasukan terakhir yang akan berentap untuk melangkah ke final yang akan dilangsungkan di Madrid, Sepanyol (mengikut abjad):

Ajax Amsterdam (Belanda)
Barcelona (Sepanyol)
Juventus (Itali)
Liverpool (England)
Manchester City (England)
Manchester United (England)
Porto (Portugal)
Tottenham Hotspurs (England)

Impian penulis untuk undian malam ini:

PORTO vs MANCHESTER UNITED
JUVENTUS vs AJAX AMSTERDAM
LIVERPOOL vs BARCELONA
MANCHESTER CITY vs TOTTENHAM



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif