Welcome To My Life...

Thursday, June 30, 2016

Euro 2016: Lapan Terbaik

Assalamualaikum.

Hanya tinggal lapan pasukan dari jumlah asal 24. Bermakna satu per tiga saja lagi yang akan merebut trofi berprestij bola sepak negara Eropah. Beberapa pasukan pilihan sudah tersingkir, yang terbaru Sepanyol dan England ditunjukkan jalan keluar. Iceland selaku pasukan bukan pilihan meneruskan kisah dongeng mereka. Empat daripada enam pemenang kumpulan masih bertahan.

Berikut adalah previu perlawanan suku akhir.

--------------------------

1. Poland (2C) vs (3F) Portugal
Poland [3-1] -- vs Ireland Utara 1-0; vs Jerman 0-0; vs Ukraine 1-0; vs Switzerland 1-1 (masa tambahan, penalti 5-4)
Portugal [5-4] -- vs Iceland 1-1; vs Austria 0-0; vs Hungary 3-3; vs Croatia 1-0 (masa tambahan)
Peluang: Poland 50-50 Portugal

Poland dengan dua kemenangan dan dua seri, manakala Portugal dengan tiga seri dan hanya satu kemenangan. Portugal lebih banyak menjaringkan gol tetapi sangat mengharapkan Cristiano Ronaldo. Kedua-dua pasukan layak ke suku akhir selepas mengharungi masa tambahan. Kemungkinan pemenang perlawanan ini juga akan ditentukan dalam masa tambahan.

2. Wales (1B) vs (2E) Belgium
Wales [7-3] -- vs Slovakia 2-1; vs England 1-2; vs Rusia 3-0; vs Ireland Utara 1-0
Belgium [8-2] -- vs Itali 0-2; vs Republik Ireland 3-0; vs Sweden 1-0; vs Hungary 4-0
Peluang: Wales 40-60 Belgium

Kedua-dua pasukan menang tiga kali dan seri sekali. Wales membuat debut yang menakjubkan. Generasi emas Belgium (ranking kedua dunia) bangkit dari kekalahan perlawanan pertama dan mempamer aksi meyakinkan selepas itu. Belgium mempunyai peluang lebih cerah di atas kertas dan mungkin terlalu kuat untuk Wales meneruskan kemaraan. 

3. Jerman (1C) vs (1E) Itali
Jerman [6-0] -- vs Ukraine 2-0; vs Poland 0-0; vs Ireland Utara 1-0; vs Slovakia 3-0
Itali [5-1] -- vs Belgium 2-0; vs Sweden 1-0; vs Republik Ireland 0-1; vs Sepanyol 2-0
Peluang: Jerman 45-55 Itali

Pertembungan yang sepatutnya menjadi perlawanan akhir Euro 2016. Jerman selaku juara bertahan Piala Dunia menang tiga perlawanan, begitu juga Itali. Gawang Jerman dikawal Manuel Neuer masih kebal dan tidak dibolosi. Namun jentera serangan Itali tidak boleh diperlekehkan, sudah menembusi benteng Belgium dan Sepanyol. Kini masanya Azzurri menghantar Jerman pulang. 

4. Perancis (1A) vs (2F) Iceland 
Perancis [6-2] -- vs Romania 2-1; vs Albania 2-0; vs Switzerland 0-0; vs Ireland 2-1
Iceland [6-4] -- vs Portugal 1-1; vs Hungary 1-1; vs Austria 2-1; vs England 2-1
Peluang: Perancis 65-35 Iceland

Tuan rumah dengan tiga kemenangan, dan Iceland mencatat dua kemenangan selepas dua keputusan seri. Kempen debut ini bersejarah bagi Iceland yang muncul naib juara kumpulan di belakang Hungary sebelum menyingkirkan England. Namun Perancis bukanlah lawan yang sama seperti yang dihadapi Iceland dalam empat perlawanan sebelum ini. Walaupun Iceland mengejutkan Austria, Perancis memiliki sokongan padu di gelanggang sendiri.

------------------------------

Kemungkinan perlawanan separuh akhir:

1. Poland / Portugal vs Wales / Belgium
2. Jerman / Itali vs Perancis / Iceland

Belgium memiliki peluang cerah untuk beraksi di perlawanan akhir jika berjaya menewaskan Wales dan lawan seterusnya di pusingan separuh akhir. Berada di ranking tertinggi (kedua dunia), Belgium sepatutnya berada di pentas final. Pertembungan dua gergasi, Jerman dan Itali, akan menempah satu lagi pertemuan hebat jika Perancis mengalahkan Iceland seperti yang dijangka. Kemungkinan besar perlawanan akhir Euro 2016 akan melibatkan Belgium dan Perancis.



Wednesday, June 29, 2016

Euro 2016: Pusingan Kedua #4

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ke-17.

"Juara Bertahan Tersingkir"

ITALI 2-0 SEPANYOL
Skuad Azzurri berjaya menyingkirkan juara bertahan Euro. Bola muntah dari sepakan percuma Eder selepas detik setengah jam gagal dikeluarkan dan Giorgio Chiellini pantas menolak masuk daari jarak dekat. David De Gea beraksi cemerlang di gawang Sepanyol untuk menafikan deretan peluang Itali untuk melebarkan jurang. Begitu juga Gianluigi Buffon di pintu gol Itali berjaya menghalang peluang Gerard Pique menyamakan kedudukan di lewat permainan. Itali memastikan kemenangan dalam masa kecederaan babak kedua. Graziano Pelle melepasi perangkap ofsaid untuk menyudahkan hantaran pemain gantian, Matteo Darmian.

"Kisah Dongeng Berterusan"

ENGLAND 1-2 ICELAND
England kecewa lagi, kali ini tewas kepada pasukan bukan pilihan. England mendahului apabila Raheem Sterling dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit keempat dan Wayne Rooney tenang menyempurnakan sepakan itu. Hanya seminit kemudian, kedudukan terikat semula. Balingan ke dalam ditanduk ke dalam kotak enam ela dan Ragnar Sigurdsson tangkas menyambar peluang. Seterusnya, giliran Iceland mendahului. Pemain Iceland bertukar hantaran di depan kotak penalti England sebelum sepakan leret Kolbeinn Sigthorsson ditepis Joe Hart bergolek ke dalam gawang. Serangan bertali arus England gagal menghasilkan gol penyamaan. Iceland menempah pertemuan dengan tuan rumah dalam pusingan suku akhir.



Tuesday, June 28, 2016

Euro 2016: Pusingan Kedua #3

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ke-16.

"Jerman Hebat"

JERMAN 3-0 SLOVAKIA
Juara bertahan Piala Dunia membelasah Slovakia untuk mara bergaya ke suku akhir. Slovakia tiada jawapan menangani kehebatan Jerman. Berpunca dari sepakan sudut Toni Kroos, pertahanan mengeluarkan bola tetapi singgah di kaki Jerome Boateng yang melakukan voli dari luar kotak penalti. Jerman menambah gol apabila Julian Draxler membawa bola dari sayap kiri ke dalam kotak penalti sebelum menghantar bola kepada Mario Gomez untuk penyudah dari jarak enam ela. Satu lagi sepakan penjuru Kroos menghasilkan gol ketiga. Draxler tidak dikawal melakukan voli dari jarak dekat untuk kemenangan selesa.

"Belgium Mengaum"

HUNGARY 0-4 BELGIUM
Belgium garang membenam cabaran pemenang kumpulan F. Sepakan percuma Kevin De Bruyne ditanduk kencang oleh Toby Alderweireld untuk gol pertama Belgium. Satu lagi sepakan percuma De Bruyne di depan kotak penalti ditepis penjaga gol dan terkena palang. Belgium terpaksa menanti sehingga pemain gantian yang baru dimasukkan, Michy Batshuayi, tidak dikawal dalam kotak enam ela untuk menyudahkan hantaran silang Eden Hazard dari sebelah kiri. Hazard sendiri meledak seminit kemudian menerusi serangan kilat, membawa bola dari kiri ke tengah dan merembat dari luar kotak penalti. Satu lagi serangan balas pantas di minit terakhir perlawanan menyaksikan seorang lagi pemain gantian, Yannick Carrasco, menerima lorongan Radja Nainggolan sebelum tenang membuat penyudah kaki kiri.




Sunday, June 26, 2016

Euro 2016: Pusingan Kedua #2

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ke-15.

"Wales Terus Mara"

WALES 1-0 IRELAND UTARA
Kisah dongeng Wales bersambung lagi apabila gol sendiri pemain lawan menghadiahkan kemenangan. Pemenang kumpulan B ini terlalu kuat untuk Ireland Utara yang layak dari posisi ketiga kumpulan C. Ireland Utara mempunyai peluang tetapi rembatan kaki kiri Stuart Dallas ditepis oleh penjaga gol, Wayne Hennessey. Gareth Bale gagal menjaringkan gol dalam perlawanan keempat berturut-turut apabila sepakan percumanya diselamatkan. Wales akhirnya memecah kebuntuan apabila hantaran silang Bale dari sayap kiri ditampan oleh pertahanan, Gareth McAuley, ke gawang sendiri.

"Croatia Kecewa"

CROATIA 0-1 PORTUGAL (selepas masa tambahan)
Pemenang kumpulan D terpaksa akur apabila Portugal menjaringkan gol kemenangan di hujung separuh masa kedua dalam masa tambahan. Kedua-dua pasukan menemui jalan buntu dalam masa permainan sebenar. Gol penting Portugal akhirnya dijaringkan tiga minit sebelum perlawanan memasuki penentuan sepakan penalti. Hantaran Nani menemui Cristiano Ronaldo di sebelah kanan kotak penalti dan rembatan Ronaldo ditepis penjaga gol tepat ke arah pemain gantian, Ricardo Quaresma, yang tidak dikawal lalu mudah menanduk masuk ke gawang yang terbuka luas.

"Hari Griezmann"

PERANCIS 2-1 REPUBLIK IRELAND
Tuan rumah Euro 2016 bangkit dari ketinggalan dengan dua gol Antoine Griezmann untuk menempah pertemuan dengan pemenang perlawanan England menentang Iceland. Ireland mendahului sepanjang babak pertama. Sepakan penalti minit kedua oleh Robbie Brady terkena tiang sebelum menggegar jaring. Separuh masa kedua milik Perancis. Hantaran silang Bacary Sagna dari sayap kanan tepat kepada Griezmann yang menanduk kencang untuk mengikat kedudukan. Empat minit berselang, satu hantaran jauh ditanduk Olivier Giroud kepada Griezmann yang tidak dikawal untuk mudah merembat masuk gol kemenangan.




Euro 2016: Pusingan Kedua #1

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ke-14. 

"Switzerland Tersungkur"

SWITZERLAND 1-1 POLAND (selepas masa tambahan)
*Poland menang penalti 5-4
Perlawanan pertama pusingan kedua ini berakhir dengan sepakan penalti. Kedua-dua pasukan terikat dengan satu gol selepas tamat masa tambahan. Switzerland terpaksa mengucapkan selamat tinggal. Jakub Blaszczykowski tidak dikawal ketika menerima hantaran di sebelah kanan kotak penalti lalu merembat masuk gol pendahuluan Poland. Switzerland mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila Xherdan Shaqiri melakukan sepakan gunting cantik dari luar kotak penalti. Kegagalan Granit Xhaka menyempurnakan sepakannya menyebabkan kekalahan Switzerland dalam penentuan sepakan penalti.

Perlawanan hari ke-15:
WALES vs IRELAND UTARA
CROATIA vs SEPANYOL
PERANCIS vs REPUBLIK IRELAND




Euro 2016: Lengkap Enam Belas

Assalamualaikum.

Berakhirnya perlawanan ketiga kumpulan E yang berlangsung serentak awal pagi tadi waktu Malaysia bermakna tamatlah peringkat kumpulan Euro 2016. Senarai enam belas pasukan yang tinggal sudah lengkap. Dua pasukan teratas setiap kumpulan A-F layak automatik dan empat pasukan terbaik di tangga ketiga semua kumpulan akan turut layak. Hanya selepas perlawanan peringkat kumpulan selesai barulah pasukan di tempat ketiga mengetahui nasib mereka.

Berikut adalah senarai pasukan yang layak (mengikut kedudukan dalam kumpulan).

Kumpulan A:  Perancis, Switzerland
Kumpulan B: Wales, England, Slovakia
Kumpulan C: Jerman, Poland, Ireland Utara
Kumpulan D: Croatia, Sepanyol
Kumpulan E: Itali, Belgium, Republik Ireland
Kumpulan F: Hungary, Iceland, Portugal

--------------------------------------------
Berikut adalah analisis gol dalam 36 perlawanan peringkat kumpulan:

Jumlah gol -- 69
Purata gol satu perlawanan (36) -- 1.92
Purata gol satu kumpulan (6) -- 11.5
Penjaring terbanyak -- Gareth Bale (Wales) dan Alvaro Morata (Sepanyol) [3 gol]
Kumpulan dengan gol terbanyak -- Kumpulan F (15 gol)

----------------------------------------

Berikut adalah senarai perlawanan pusingan kedua.

Switzerland (2A) vs (2C) Poland
Switzerland -- vs Albania 1-0; vs Romania 1-1; vs Perancis 0-0
Poland -- vs Ireland Utara 1-0; vs Jerman 0-0; vs Ukraine 1-0
Peluang: Switzerland 47-53 Poland

Wales (1B) vs (3C) Ireland Utara 
Wales -- vs Slovakia 2-1; vs England 1-2; vs Rusia 3-0
Ireland Utara -- vs Poland 0-1; vs Ukraine 2-0; vs Jerman 0-1
Peluang: Wales 65-35 Ireland Utara
 
Croatia (1D) vs (3F) Portugal
Croatia -- vs Turki 1-0; vs Republik Czech 2-2; vs Sepanyol 2-1
Portugal -- vs Iceland 1-1; vs Austria 0-0; vs Hungary 3-3
Peluang: Croatia 55-45 Portugal

Perancis (1A) vs (3E) Republik Ireland
Perancis -- vs Romania 2-1; vs Albania 2-0; vs Switzerland 0-0
Republik Ireland -- vs Sweden 1-1; vs Belgium 0-3; vs Itali 1-0
Peluang: Perancis 70-30 Republik Ireland

Jerman (1C) vs (3B) Slovakia
Jerman -- vs Ukraine 2-0; vs Poland 0-0; vs Ireland Utara 1-0
Slovakia -- vs Wales 1-2; vs Rusia 2-1; vs England 0-0
Peluang: Jerman 60-40 Slovakia

Hungary (1F) vs (2E) Belgium
Hungary -- vs Austria 2-0; vs Iceland 1-1; vs Portugal 3-3
Belgium -- vs Itali 0-2; vs Republik Ireland 3-0; vs Sweden 1-0
Peluang: Hungary 47-53 Belgium

Itali (1E) vs (2D) Sepanyol
Itali -- vs Belgium 2-0; vs Sweden 1-0; vs Republik Ireland 0-1
Sepanyol -- vs Republik Czech 1-0; vs Turki 3-0; vs Croatia 1-2
Peluang: Itali 52-48 Sepanyol

England (2B) vs (2F) Iceland
England -- vs Rusia 1-1; vs Wales 2-1; vs Slovakia 0-0
Iceland -- vs Portugal 1-1; vs Hungary 1-1; vs Austria 2-1
Peluang: England 55-45 Iceland

---------------------------------------

Berikut adalah senarai perlawanan suku akhir.

Switzerland / Poland vs Croatia / Portugal
Wales / Ireland Utara vs Hungary / Belgium
Jerman / Slovakia vs Itali / Sepanyol
Perancis / Republik Ireland vs England / Iceland          



Saturday, June 25, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #13

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ke-13.

KUMPULAN F

"Kejutan Iceland"

ICELAND 2-1 AUSTRIA
Kemenangan Iceland (ranking 34 dunia) mengatasi Austria (ranking 10) meletakkan Iceland di tempat kedua, berkongsi mata dengan pemenang kumpulan. Berpunca dari balingan ke dalam oleh Aron Gunnarsson, gol pertama perlawanan dijaringkan oleh Jon Dadi Bodvarsson yang paling pantas bertindak. Sepakan penalti Aleksandar Dragovic untuk Austria terkena tiang dalam separuh masa pertama. Austria berjaya mengikat kedudukan apabila pemain gantian, Alessandro Schopf, menjaringkan gol tunggal mereka dalam edisi 2016 dengan sepakan leret kaki kiri. Satu lagi gol lewat dijaringkan dalam masa kecederaan babak kedua apabila pemain gantian Iceland, Arnor Ingvi Traustason, menyempurnakan hantaran Elmar Bjarnason dalam serangan kilat.

"Kejayaan Hungary"

HUNGARY 3-3 PORTUGAL
Keputusan seri ini bermakna Hungary memenangi kumpulan ketika Portugal seri perlawanan ketiga berturut-turut. Portugal terpaksa mengikat kedudukan tiga kali. Rembatan kencang kaki kiri Zoltan Gera dari luar kotak penalti meletakkan Hungary di depan. Nani menyamakan kedudukan sebelum babak pertama tamat, merembat hantaran Cristiano Ronaldo. Sepakan percuma Balazs Dzsudzsak meletakkan Hungary di depan sekali lagi ketika separuh masa kedua baru bermula, tetapi Ronaldo mengikat kedudukan beberapa minit kemudian, menyempurnakan hantaran silang Joao Mario dari sayap kanan. Dzsudzsak menambah gol kedua peribadi dengan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti. Ronaldo memastikan Portugal layak ke pusingan kedua, menanduk masuk hantaran silang Ricardo Quaresma.

Kedudukan: Hungary 5 mata; Iceland 5; Portugal 3*; Austria 1

KUMPULAN E

"Sweden Tersingkir"

SWEDEN 0-1 BELGIUM
Belgium (ranking kedua dunia) terpaksa mengharapkan gol lewat sebelum layak automatik mengiringi Itali. Berpunca dari sepakan percuma di awal permainan, Marcus Berg hampir meletakkan Sweden di depan tetapi sepakannya ditepis. Romelu Lukaku terlepas peluang keemasan untuk Belgium menerusi serangan balas pantas dalam separuh masa kedua sebelum sepakan percuma Zlatan Ibrahimovic untuk Sweden ditepis penjaga gol. Belgium akhirnya mendapat gol kemenangan apabila Radja Nainggolan melakukan rembatan kencang kaki kanan dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran lintang Eden Hazard.

"Itali Tumbang"

ITALI 0-1 REPUBLIK IRELAND
Itali telah sah menjadi pemenang kumpulan sebelum ini bermula. Harapan Itali untuk mengutip mata sempurna musnah apabila Ireland menjaringkan gol di lewat permainan. Itali dan Ireland masing-masing mempunyai peluang untuk menjaringkan gol lebih awal. Peluang terbaik Itali di separuh masa kedua apabila sepakan kaki kanan Lorenzo Insigne dari luar kotak penalti terkena tiang. Gol yang dinanti-nantikan Ireland akhirnya dijaringkan oleh Robbie Brady menanduk masuk gol kemenangan hasil hantaran Wes Hoolahan. Kemenangan ini memastikan Ireland mendapat tempat di pusingan kedua, antara pasukan terbaik di tangga ketiga.   

Kedudukan: Itali 6 mata; Belgium 6; Republik Ireland 4*; Sweden 1


Euro 2016: Peringkat Kumpulan #12

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ke-12.

KUMPULAN C

"Jerman Mara"

IRELAND UTARA 0-1 JERMAN
Jerman menang tipis menghadapi tentangan Ireland Utara untuk mengatasi Poland selaku pemenang kumpulan walaupun memiliki jumlah mata yang sama. Seri dengan Poland dalam perlawanan kedua, Jerman perlu menang untuk mendapat lawan lebih mudah di pusingan kedua. Mario Gomez menjaringkan gol kemenangan sebelum detik setengah jam apabila tenang menyudahkan tolakan Thomas Muller dengan kaki kirinya. Pemain Jerman gagal menjaringkan beberapa lagi peluang tetapi tetap menang.

"Poland Akur"

UKRAINE 0-1 POLAND
Poland menyempurnakan tugas dengan baik dalam perlawanan yang diadakan serentak namun terpaksa akur mengakiri saingan kumpulan di tempat kedua. Kemenangan tipis ke atas Ukraine ini menambah keyakinan Poland sebelum beraksi di pusingan seterusnya. Strategi pengurus memasukkan Jakub Blaszczykowski sebelum separuh masa kedua bermula membuahkan hasil. Gol tunggal Poland Blaszczykowski selepas menerima lorongan Arkadiusz Milik. Blaszczykowski memperdaya seorang pertahanan sebelum merembat dengan kaki kiri dari tengah kotak penalti. 

Kedudukan: Jerman 7 mata; Poland 7; Ireland Utara 3*; Ukraine 0

KUMPULAN D

"Sepanyol Tumbang"

CROATIA 2-1 SEPANYOL
Croatia bangkit dari ketinggalan untuk memintas Sepanyol di takhta kumpulan. Sepanyol memulakan perlawanan dengan kelebihan dan hanya perlu seri untuk memenangi kumpulan tetapi Croatia tidak mahu berpuas hati di tempat kedua. Sepanyol mendahului di awal permainan apabila Alvaro Morata menampan hantaran Cesc Fabregas ke gawang terbuka. Croatia hampir menyamakan kedudukan tetapi lambungan Ivan Rakitic terkena tiang. Akhirnya Croatia mendapat gol penyamaan di hujung babak pertama apabila Nikola Kalinic menyambar hantaran silang Ivan Perisic dari sayap kiri untuk menewaskan David De Gea. Sergio Ramos gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum Perisic kemudian menjadi wira Croatia di akhir separuh masa kedua, menyudahkan serangan balas pantas dengan rembatan kaki kiri.

"Turki Tergantung"

REPUBLIK CZECH 0-2 TURKI
Turki menghidupkan sisa-sisa peluang untuk ke pusingan kedua selepas membenam cabaran Republik Czech. Turki mesti menang selepas tewas dua perlawanan sebelum ini dan mereka berjaya untuk menanti nasib sama ada berjaya menjadi antara pasukan terbaik di tempat ketiga kumpulan. Turki mendapat gol awal apabila Burak Yilmaz merembat hantaran silang Emre Mor dari sebelah kanan. Turki berjaya memperoleh gol kedua selepas detik sejam permainan. Berpunca dari satu sepakan percuma, rembatan kencang kaki kanan Ozan Tufan selepas menerima tolakan dari Mehmet Topal tidak mampu dihalang oleh penjaga gol.

Kedudukan: Croatia 7 mata; Sepanyol 6; Turki 3*; Republik Czech 1



Friday, June 24, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #11

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ke-11.

KUMPULAN B

"England Hampa"

SLOVAKIA 0-0 ENGLAND
England terlepas peluang terbaik untuk memenangi kumpulan dan sekali gus mengelak undian sukar di pusingan kedua. Slovakia berjaya mengikat England tanpa sebarang jaringan. Keputusan ini mencerahkan peluang Slovakia untuk mara walaupun menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga. Matus Kozacik beraksi cemerlang di gawang Slovakia menafikan percubaan demi percubaan pemain England termasuk peluang keemasan Jamie Vardy. Pemain gantian England, Dele Alli, menyaksikan sepakannya dihalang di atas garisan gol oleh pertahanan.

"Wales Mengganas"

RUSIA 0-3 WALES
Kemenangan bergaya Wales menyaksikan mereka berjaya memenangi kumpulan kerana England gagal menewaskan Slovakia. Rusia pula tersingkir dengan hanya satu mata. Aaron Ramsey meledak gol pertama Wales apabila menyudahkan lorongan cantik dari Joe Allen. Beberapa minit kemudian Neil Taylor yang tidak dikawal dalam kotak penalti menambah gol kedua walaupun sepakan awalnya dihalang oleh Igor Akinfeev. Nasib malang Rusia berterusan apabila Gareth Bale sekali lagi menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut. Bale menahan kemas lorongan Ramsey sebelum menewaskan Akinfeev.

Kedudukan: Wales 6 mata; England 5; Slovakia 4*; Rusia 1



Monday, June 20, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #10

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari kesepuluh.

KUMPULAN A

"Perancis Unggul"

SWITZERLAND 0-0 PERANCIS
Tuan rumah menepati ramalan apabila muncul pemenang kumpulan. Perancis akan menentang salah satu dari empat pasukan terbaik tempat ketiga. Switzerland pula akan menentang pasukan di tempat kedua dari kumpulan C. Paul Pogba gagal menjaringkan gol untuk Perancis apabila sepakannya terkena palang. Begitu juga rembatan kencang kaki kanan pemain gantian, Dimitri Payet, yang menghentam palang. Aksi cemerlang Yann Sommer di gawang Switzerland turut menjadi sebab Switzerland berjaya mengikat Perancis. Sommer dua kali menafikan percubaan Pogba.

"Kejutan Albania"

ROMANIA 0-1 ALBANIA
Romania tersingkir apabila tewas mengejut kepada Albania yang mendapat gol pertama dalam pertandingan besar. Albania perlu menanti semua perlawanan peringkat kumpulan berakhir untuk melihat sama ada mereka layak selaku salah satu antara empat pasukan terbaik di tempat ketiga (dari enam kumpulan). Romania memiliki banyak peluang termasuk rembatan Bogdan Stancu yang ditepis penjaga gol dan sepakan pemain gantian, Florin Andone, yang terkena palang. Gol bersejarah Albania dijaringkan apabila hantaran lintang Ledian Memushaj dari sayap kanan ditanduk oleh Armando Sadiku dua minit sebelum tamat babak pertama.

Kedudukan: Perancis 7 mata; Switzerland 5; *Albania 3; Romania 1



Sunday, June 19, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #9

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari kesembilan.

KUMPULAN F

"Iceland Kecewa"

ICELAND 1-1 HUNGARY
Iceland yang berada di ranking terbawah dalam kumpulan hampir memungut mata penuh tetapi hampa selepas gol sendiri oleh pertahanan di hujung separuh masa kedua. Hungary mencuri satu mata untuk berada di tangga teratas. Iceland mendapat sepakan penalti di akhir separuh masa pertama dan Gylfi Sigurdsson tidak mempunyai masalah untuk meletakkan Iceland di depan. Hungary yang menang perlawanan pertama menyamakan kedudukan selepas Birkir Saevarsson tertampan hantaran silang pemain gantian Hungary, Nemanja Nikolic, ke gawang sendiri.

"Portugal Malang"

PORTUGAL 0-0 AUSTRIA
Malang bagi Portugal selaku pasukan pilihan dalam kumpulan ini kerana peluang untuk tersingkir masih ada selepas dua keputusan seri berturut-turut. Portugal mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi dipersiakan ketika aksi penjaga gol Austria, Robert Almer, mendapat pujian. Almer menyelamatkan beberapa percubaan kapten Portugal, Cristiano Ronaldo. Penjaga gol Portugal, Rui Patricio, juga beraksi cemerlang apabila menepis rembatan jarak jauh Stefan Ilsanker. Ronaldo, terlepas peluang terbaik apabila gagal menyudahkan sepakan penalti yang terkena tiang sekali gus menyempurnakan hari malang untuk Portugal. 

Kedudukan: Hungary 4 mata; Iceland 2; Portugal 2; Austria 1



Saturday, June 18, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #8

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari kelapan.

KUMPULAN D

"Kebangkitan Czech"

REPUBLIK CZECH 2-2 CROATIA
Croatia berputih mata apabila terpaksa berkongsi satu mata dengan Republik Czech. Croatia mendahului 2-0 tetapi Republik Czech bangkit dengan dua gol lewat. Ivan Perisic membuat larian solo memasuki kotak penalti sebelum meledak dengan kaki kiri. Ivan Rakitic yang menerima lorongan Marcelo Brozovic tenang melambungkan bola melepasi penjaga gol dalam situasi satu lawan satu. Tandukan pemain gantian, Milan Skoda, dari tengah kotak penalti selepas menerima hantaran cantik Tomas Rosicky merapatkan jurang. Seorang lagi pemain gantian, Tomas Necid, menyelamatkan Republik Czech dengan menyempurnakan sepakan penalti dalam masa kecederaan.

"Sepanyol Garang"

SEPANYOL 3-0 TURKI
Sepanyol menjadi pasukan ketiga layak ke pusingan seterusnya selepas membaham Turki dengan kemenangan terbesar setakat ini dalam kempen Euro 2016. Sepanyol mendahului selepas serangan bertali arus apabila Alvaro Morata menanduk hantaran lintang Nolito. Tiga minit kemudian, hantaran Cesc Fabregas melepasi barisan pertahanan dan Nolito menanti di belakang untuk membuat penyudah. Tiga minit memasuki babak kedua, Morata menambah gol kedua peribadi dengan menyempurnakan hantaran Jordi Alba dari jarak dekat.

Kedudukan: Sepanyol 6 mata; Croatia 4; Republik Czech 1; Turki 0

KUMPULAN E

"Belgium Bangkit"

BELGIUM 3-0 REPUBLIK IRELAND
Belgium bangkit dari kekecewaan tumbang perlawanan pertama untuk membelasah Ireland. Dua gol Romelu Lukaku dan tandukan Axel Witsel memberikan tiga mata penuh untuk pasukan di ranking kedua dunia. Belgium mendahului menerusi serangan balas pantas apabila Kevin De Bruyne memecut di sayap kanan sebelum menghantar bola kepada Lukaku yang meledak dari luar kotak penalti. 28 hantaran berturut-turut dilakukan pemain Belgium sebelum Witsel melepasi kawalan untuk menanduk masuk hantaran silang dari sayap kanan. Lukaku menjaringkan gol kedua peribadi juga menerusi serangan kilat apabila mudah menyudahkan hantaran Eden Hazard.

Kedudukan: Itali 6 mata; Belgium 3; Sweden 1; Ireland 1


Friday, June 17, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #7

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ketujuh.

KUMPULAN C

"Kejutan Ireland Utara"

UKRAINE 0-2 IRELAND UTARA
Berada enam ranking dunia di bawah Ukraine tidak menghalang Ireland Utara dari mengejutkan Ukraine untuk mencatat kemenangan sulung dalam sejarah penyertaan mereka dalam kejohanan Euro. Babak pertama berakhir tanpa jaringan. Ireland Utara mendahului di awal separuh masa kedua apabila sepakan percuma Oliver Norwood melepasi semua pemain dan Gareth McAuley menanti untuk menanduk masuk ke gawang. Lewat di akhir masa kecederaan, Niall McGinn menambah gol kedua apabila pantas menyambar bola muntah selepas penjaga gol gagal menangkap rembatan rakan sepasukan McGinn. 

"Jerman Buntu"

JERMAN 0-0 POLAND
Kedua-dua pasukan menang perlawanan pertama dan kali ini mereka sekadar mampu berkongsi satu mata, keputusan seri tanpa jaringan pertama untuk edisi 2016. Keputusan yang melegakan Poland kerana berdepan pasukan pilihan. Arkadiusz Milik mempersiakan peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan Poland apabila gagal menanduk hantaran silang rakan sepasukan dari jarak empat ela ketika separuh masa kedua baru saja bermula. Peluang terbaik Jerman pula hadir apabila sepakan Mesut Ozil diselamatkan oleh penjaga gol.

Kedudukan: Jerman 4 mata; Poland 4; Ireland Utara 3; Ukraine 0

KUMPULAN E

"Itali Layak"

ITALI 1-0 SWEDEN
Itali menjadi pasukan kedua layak ke pusingan kedua selepas membenam cabaran Sweden, tanpa perlu menunggu keputusan satu lagi perlawanan dalam kumpulan ini. Gol lewat Eder memastikan kemenangan kedua berturut-turut Itali sekali gus mengesahkan kemaraan. Itali terpaksa menanti sehingga dua minit sebelum tamat masa permainan sebenar. Eder mengutip bola di kawasan sayap kiri sebelum membawa bola melepasi empat orang pemain Sweden dan merembat di luar kotak penalti. Satu gol solo yang memukau dan boleh mencabar untuk dianugerahkan gol terbaik Euro edisi 2016.



Thursday, June 16, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #6

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari keenam.

KUMPULAN A

"Switzerland Terselamat"

ROMANIA 1-1 SWITZERLAND
Romania di ranking ke-22 dunia (tujuh ranking di bawah Switzerland) berjaya mencuri satu mata. Selepas tewas perlawanan pembukaan menentang Perancis, Romania terlebih dulu membuka jaringan. Bogdan Stancu menambah gol kedua dalam kejohanan kali ini, sekali lagi menerusi sepakan penalti. Kapten Switzerland menarik baju pemain Romania di dalam kotak penalti, dan Stancu tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol. Admir Mehmedi menjadi penyelamat Switzerland. Berpunca dari satu sepakan sudut yang gagal dikeluarkan, rembatan kencang kaki kiri Mehmedi cukup untuk menghalang Romania mengutip tiga mata penuh. 

"Perancis Mara"

PERANCIS 2-0 ALBANIA
Tuan rumah menjadi pasukan pertama layak ke pusingan kalah mati. Albania di ranking ke-42 dunia berjaya mengekang Perancis (ranking 17) sepanjang masa sebenar permainan, tetapi dihampakan dua gol lewat. Adil Rami melakukan hantaran silang dari sayap kanan ketika detik akhir perlawanan dan pemain gantian, Antoine Griezmann, yang tidak dikawal menanduk tepat ke sasaran. Albania cuba untuk menyamakan kedudukan tetapi satu serangan balas pantas Perancis menghasilkan gol kedua. Dimitri Payet sekali lagi meledak, kali ini di hujung masa kecederaan. Payet tenang menggelecek dua pertahanan di dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol.

Kedudukan: Perancis 6 mata; Switzerland 4; Romania 1; Albania 0

KUMPULAN B

"Pemain Gantian Wira"

ENGLAND 2-1 WALES
Satu lagi perlawanan yang berakhir dengan jaringan kemenangan lewat permainan. Kali ini England mengecewakan Wales apabila bangkit dari ketinggalan. Ayam tambatan Wales, Gareth Bale, sekali lagi meledak dengan sepakan percuma cantik dari jarak 35 ela yang ditepis Joe Hart ke dalam gawang. Taktik pengurus England, Roy Hodgson, menukar Raheem Sterling dengan Jamie Vardy dan Harry Kane dengan Daniel Sturridge berkesan. Hantaran Sturridge ditanduk pertahanan Wales ke depan gol dan Vardy berada di posisi sempurna untuk menjaringkan gol penyamaan. Sturridge muncul wira apabila memulakan gerakan dan menyempurnakan serangan untuk gol kedua England dalam masa kecederaan babak kedua.

Kedudukan: England 4; Wales 3; Slovakia 3; Rusia 1




Wednesday, June 15, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #5

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari kelima.

KUMPULAN F

"Hungary Kenyang"

AUSTRIA 0-2 HUNGARY
Sekali lagi ranking dunia tidak bermakna apabila Austria (ranking ke-10) ditumbangkan Hungary (20). Peluang Austria untuk layak ke pusingan kedua kini terjejas. Hantaran satu dua dengan rakan sepasukan selepas detik satu jam menyaksikan Adam Szalai menahan kemas lorongan sebelum membuat penyudah dengan kaki kanan. Satu serangan balas pantas sebelum masa sebenar permainan tamat disempurnakan oleh Zoltan Stieber yang melambungkan bola melepasi penjaga gol dalam situasi satu lawan satu.

"Mata Pertama"

PORTUGAL 1-1 ICELAND
Portugal di ranking kelapan dunia kecewa selepas diikat oleh Iceland (ranking 34) yang mengutip mata pertama dalam sejarah aksi di Euro. Dua gol dengan skrip yang hampir sama. Portugal lebih dulu di depan apabila Nani paling pantas menyambar hantaran rendah dari sebelah kanan untuk menewaskan penjaga gol dari jarak enam ela selepas detik setengah jam. Harapan Portugal untuk mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian kerana Iceland menyamakan kedudukan di awal separuh masa kedua. Hantaran silang dari sayap kanan gagal disekat oleh pertahanan dan Birkir Bjarnason yang tidak dikawal merembat dari jarak yang hampir sama dengan gol Nani.

Kedudukan: Hungary 3 mata; Iceland 1; Portugal 1; Austria 0

KUMPULAN B

"Rusia Lemas"

RUSIA 1-2 SLOVAKIA
Peluang Rusia untuk melangkah jauh kini dalam bahaya. Dua gol Slovakia dalam separuh masa pertama cukup untuk menang walaupun Rusia sempat mengurangkan defisit. Vladimir Weiss menjaringkan gol pertama. Dia tenang memperdaya dua pertahanan di sebelah kiri kotak penalti sebelum membuat penyudah. Marek Hamsik menambah gol kedua sebelum babak pertama tamat dengan rembatan cantik yang terkena tiang, juga masuk dari sebelah kiri. Denis Glushakov yang tidak dikawal merapatkan jurang apabila menanduk hantaran silang dari sebelah kiri, tetapi sudah terlambat untuk menyekat kemenangan Slovakia.



Tuesday, June 14, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #4

Assalamualaikum,

Euro 2016, hari keempat.

KUMPULAN E

"Seri Satu Sama"

REPUBLIK IRELAND 1-1 SWEDEN
Keputusan seri kedua untuk edisi 2016 antara dua pasukan yang ranking dunia tidak begitu jauh. Kemenangan akan mencerahkan peluang untuk layak sebelum berdepan dua pasukan lebih kuat dalam kumpulan. Ireland terlebih dulu mendahului apabila Wes Hoolahan paling pantas menyambar hantaran silang dari sebelah kanan dan merembat kencang. Zlatan Ibrahimovic menjadi wira Sweden apabila hantaran lintangnya dari sebelah kiri ditanduk Ciaran Clark ke gawang sendiri.

"Kejutan Azzurri"

BELGIUM 0-2 ITALI
Belgium di ranking kedua dunia adalah pilihan hangat sebagai pencabar utama sebelum kejohanan bermula. Kekalahan dalam perlawanan pertama ini menyukarkan peluang Belgium. Hantaran jarak jauh Leonardo Bonucci ditahan kemas oleh Emanuele Giaccherini sebelum mudah menewaskan Thibaut Courtois dalam situasi satu lawan satu. Barisan bintang Belgium cuba menyamakan kedudukan tetapi gagal. Satu serangan kilat dalam masa kecederaan babak kedua menyaksikan voli cantik Graziano Pelle mengesahkan kemenangan Itali.

Kedudukan: Itali 3 mata; Ireland 1; Sweden 1; Belgium 0





Monday, June 13, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #3

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ketiga.

KUMPULAN C

"Kemenangan Sulung"

POLAND 1-0 IRELAND UTARA
Poland berjaya mengatasi Ireland Utara untuk mencerahkan peluang layak ke pusingan seterusnya. Jaringan tunggal Arkadiusz Milik sudah cukup untuk Poland. Ireland Utara berdepan misi sukar untuk mencuri mata dari dua perlawanan selepas ini. Kejayaan ini adalah kemenangan sulung Poland dalam kejohanan Euro ketika taktik Ireland Utara bermain secara bertahan untuk mengelak kekalahan hanya memakan diri. Milik mendapat hantaran silang dari sayap kanan di awal babak kedua dan penyudah leretnya dengan kaki kiri menewaskan penjaga gol lawan.

"Dua Tanpa Balas"

JERMAN 2-0 UKRAINE
Jerman di ranking keempat dunia terlalu kuat untuk Ukraine. Meskipun Ukraine juga mempunyai deretan peluang untuk menjaringkan gol, Jerman membuktikan kehebatan dengan kemenangan selesa tanpa dibolosi. Hasil satu sepakan percuma, Shkodran Mustafi menanduk kencang. Bastian Schweinsteiger masuk sebagai pemain gantian di hujung separuh masa kedua dan tidak menunggu lama untuk berada dalam senarai penjaring. Satu serangan balas pantas menyaksikan Mesut Ozil melakukan hantaran lintang cantik dari sebelah kiri untuk disempurnakan oleh Schweinsteiger.  

Kedudukan: Jerman 3 mata; Poland 3; Ireland Utara 0; Ukraine 0

KUMPULAN D

"Pique Penyelamat"

SEPANYOL 1-0 REPUBLIK CZECH
Sepanyol di ranking keenam dunia terpaksa menanti sehingga lewat permainan untuk menang tipis menentang lawan di ranking ke-30. Perbezaan kekuatan di atas kertas begitu ketara tetapi Republik Czech berjaya mengekang Sepanyol sepanjang perlawanan. Ketika keadaan begitu memerlukan, Andres Iniesta menerima bola di sayap kiri, Iniesta melakukan hantaran silang ke kawasan di depan penjaga gol dan Gerard Pique pantas bertindak untuk menanduk dari jarak dekat.

Kedudukan: Croatia 3 mata; Sepanyol 3; Republik Czech 0; Turki 0


Sunday, June 12, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #2

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari kedua.

KUMPULAN B

"Bisa Pemain Gantian"

WALES 2-1 SLOVAKIA
Dua pemain gantian meledak jaringan dalam aksi pertama Wales dalam kejohanan Euro. Sebelum itu, sepakan percuma cantik kaki kiri Gareth Bale menewaskan penjaga gol lawan untuk Wales mendahului 1-0. Taktik jurulatih Slovakia memasukkan Ondrej Duda berhasil apabila Duda menjaringkan gol hanya seminit selepas dimasukkan. Pemain gantian Wales, Hal Robson-Kanu, muncul wira apabila sepakan leretnya mengelirukan penjaga gol Slovakia.

"England Kecewa"

ENGLAND 1-1 RUSIA 
England menjaringkan gol lewat di babak kedua dan hampir meraikan kemenangan sebelum Rusia menyamakan kedudukan di saat akhir permainan. Sepakan percuma cantik Eric Dier yang melencong meletakkan England di depan tetapi kegembiraan England berakhir beberapa detik sebelum perlawanan tamat. Berpunca dari satu sepakan sudut, pemain England gagal mengeluarkan bola dari zon bahaya, dan satu hantaran lintang ditanduk oleh Vasili Berezutski untuk berkongsi satu mata.

Kedudukan: Wales 3 mata; Rusia 1; England 1; Slovakia 0

KUMPULAN D

"Ledakan Modric"

TURKI 0-1 CROATIA
Turki kecewa walaupun berada di ranking dunia lebih tinggi berbanding Croatia. Peluang Turki untuk melangkah ke pusingan kedua kini dalam bahaya selepas jaringan tunggal pemain kelab Real Madrid, Luka Modric, cukup untuk kemenangan Croatia. Satu hantaran lintang dipintas oleh pertahanan Turki tetapi cubaan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya singgah tepat di laluan Modric yang merembat voli dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gawang Turki.



Saturday, June 11, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #1

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari pertama.

KUMPULAN A

"Payet Pemusnah"

PERANCIS 2-1 ROMANIA
Tuan rumah menang tipis aksi pembukaan edisi 2016. Pemain terbaik perlawanan, Dimitri Payet, muncul wira Les Bleus dengan mencipta gol pertama dan menjaringkan gol kedua. Olivier Giroud menewaskan penjaga gol lawan dalam perebutan bola di udara untuk meletakkan Perancis di depan selepas menanduk hantaran lintang Payet. Bogdan Stancu menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti. Payet meledak di minit-minit akhir permainan dengan gol yang boleh menjadi gol terbaik Euro 2016.

"Schar Wira"

ALBANIA 0-1 SWITZERLAND
Perbezaan ranking yang jauh antara kedua-dua pasukan tetapi Switzerland hanya mampu menang tipis. Kesilapan penjaga gol Albania di awal permainan membenarkan jaringan kemenangan Switzerland. Penjaga gol cuba mencabar Fabian Schar ketika situasi sepakan sudut tetapi gagal merebut bola dan tandukan Schar mudah menembusi gawang yang terbuka luas.

Kedudukan: Perancis 3 mata; Switzerland 3; Romania 0; Albania 0




Friday, June 10, 2016

Euro Kembali

Assalamualaikum.

Salah satu kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia. 10 Jun hingga 10 Julai.

Belgium mempunyai kedudukan tertinggi dalam ranking dunia, di tempat kedua di belakang Argentina. Jika kedudukan ini dijadikan panduan, Belgium boleh memenangi Euro 2016. Tetapi perkiraan tidak semudah itu. Kehebatan di atas kertas tiada makna apabila tiba hari perlawanan. Aksi di padang menjadi penentu.

Format pertandingan Euro menyaksikan 24 pasukan dibahagikan kepada enam kumpulan. Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan layak automatik ke pusingan kedua. Empat pasukan terbaik antara enam pasukan di tempat ketiga juga layak.

Berikut adalah senarai lengkap pasukan dalam setiap kumpulan. Ranking dunia terkini (setakat 2 Jun 2016) dalam kurungan.

-----------------------------------------------

KUMPULAN A
Albania (42); Perancis (17); Romania (22); Switzerland (15)
- Berdasarkan ranking, Albania mempunyai peluang paling tipis. Tiga lagi pasukan mempunyai peluang sama rata untuk layak ke pusingan berikutnya.

KUMPULAN B
England (11); Rusia (29); Slovakia (24); Wales (26)
- England seharusnya memenangi kumpulan. Peluang tiga lagi pasukan untuk mara seimbang.

KUMPULAN C
Jerman (4); Ireland Utara (25); Poland (27); Ukraine (19)
- Jerman tidak sepatutnya menghadapi masalah memenangi kesemua perlawanan. Ukraine mempunyai kelebihan untuk layak automatik mengiringi Jerman.

KUMPULAN D
Croatia (27); Republik Czech (30); Sepanyol (6); Turki (18)
- Sepanyol dan Turki berpeluang cerah untuk layak automatik. Croatia dan Republik Czech perlu berentap untuk layak di tempat ketiga.

KUMPULAN E
Belgium (2); Itali (12); Republik Ireland (33); Sweden (35)
- Ranking Belgium dan Itali jauh dari dua lagi pasukan. Peluang Ireland dan Sweden setara untuk berada di tangga ketiga.

KUMPULAN F
Austria (10); Hungary (20); Iceland (34); Portugal (8)
- Portugal dan Austria mempunyai peluang baik tetapi Hungary boleh 'mengacau'. Iceland mungkin sekadar melengkapkan senarai pasukan.

-------------------------------------------------

Awal pagi esok (3 pagi waktu Malaysia), perlawanan pembukaan Euro 2016 akan berlangsung di mana tuan rumah, Perancis, menentang Romania. Tuan rumah berada di ranking dunia lebih tinggi tetapi tidak bermakna Romania akan menyerah mudah.

Semua persoalan akan terjawab apabila permainan bermula.



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif