Welcome To My Life...

Sunday, June 26, 2016

Euro 2016: Pusingan Kedua #2

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ke-15.

"Wales Terus Mara"

WALES 1-0 IRELAND UTARA
Kisah dongeng Wales bersambung lagi apabila gol sendiri pemain lawan menghadiahkan kemenangan. Pemenang kumpulan B ini terlalu kuat untuk Ireland Utara yang layak dari posisi ketiga kumpulan C. Ireland Utara mempunyai peluang tetapi rembatan kaki kiri Stuart Dallas ditepis oleh penjaga gol, Wayne Hennessey. Gareth Bale gagal menjaringkan gol dalam perlawanan keempat berturut-turut apabila sepakan percumanya diselamatkan. Wales akhirnya memecah kebuntuan apabila hantaran silang Bale dari sayap kiri ditampan oleh pertahanan, Gareth McAuley, ke gawang sendiri.

"Croatia Kecewa"

CROATIA 0-1 PORTUGAL (selepas masa tambahan)
Pemenang kumpulan D terpaksa akur apabila Portugal menjaringkan gol kemenangan di hujung separuh masa kedua dalam masa tambahan. Kedua-dua pasukan menemui jalan buntu dalam masa permainan sebenar. Gol penting Portugal akhirnya dijaringkan tiga minit sebelum perlawanan memasuki penentuan sepakan penalti. Hantaran Nani menemui Cristiano Ronaldo di sebelah kanan kotak penalti dan rembatan Ronaldo ditepis penjaga gol tepat ke arah pemain gantian, Ricardo Quaresma, yang tidak dikawal lalu mudah menanduk masuk ke gawang yang terbuka luas.

"Hari Griezmann"

PERANCIS 2-1 REPUBLIK IRELAND
Tuan rumah Euro 2016 bangkit dari ketinggalan dengan dua gol Antoine Griezmann untuk menempah pertemuan dengan pemenang perlawanan England menentang Iceland. Ireland mendahului sepanjang babak pertama. Sepakan penalti minit kedua oleh Robbie Brady terkena tiang sebelum menggegar jaring. Separuh masa kedua milik Perancis. Hantaran silang Bacary Sagna dari sayap kanan tepat kepada Griezmann yang menanduk kencang untuk mengikat kedudukan. Empat minit berselang, satu hantaran jauh ditanduk Olivier Giroud kepada Griezmann yang tidak dikawal untuk mudah merembat masuk gol kemenangan.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif