Welcome To My Life...

Sunday, June 12, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #2

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari kedua.

KUMPULAN B

"Bisa Pemain Gantian"

WALES 2-1 SLOVAKIA
Dua pemain gantian meledak jaringan dalam aksi pertama Wales dalam kejohanan Euro. Sebelum itu, sepakan percuma cantik kaki kiri Gareth Bale menewaskan penjaga gol lawan untuk Wales mendahului 1-0. Taktik jurulatih Slovakia memasukkan Ondrej Duda berhasil apabila Duda menjaringkan gol hanya seminit selepas dimasukkan. Pemain gantian Wales, Hal Robson-Kanu, muncul wira apabila sepakan leretnya mengelirukan penjaga gol Slovakia.

"England Kecewa"

ENGLAND 1-1 RUSIA 
England menjaringkan gol lewat di babak kedua dan hampir meraikan kemenangan sebelum Rusia menyamakan kedudukan di saat akhir permainan. Sepakan percuma cantik Eric Dier yang melencong meletakkan England di depan tetapi kegembiraan England berakhir beberapa detik sebelum perlawanan tamat. Berpunca dari satu sepakan sudut, pemain England gagal mengeluarkan bola dari zon bahaya, dan satu hantaran lintang ditanduk oleh Vasili Berezutski untuk berkongsi satu mata.

Kedudukan: Wales 3 mata; Rusia 1; England 1; Slovakia 0

KUMPULAN D

"Ledakan Modric"

TURKI 0-1 CROATIA
Turki kecewa walaupun berada di ranking dunia lebih tinggi berbanding Croatia. Peluang Turki untuk melangkah ke pusingan kedua kini dalam bahaya selepas jaringan tunggal pemain kelab Real Madrid, Luka Modric, cukup untuk kemenangan Croatia. Satu hantaran lintang dipintas oleh pertahanan Turki tetapi cubaan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya singgah tepat di laluan Modric yang merembat voli dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gawang Turki.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif