Welcome To My Life...

Wednesday, June 15, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #5

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari kelima.

KUMPULAN F

"Hungary Kenyang"

AUSTRIA 0-2 HUNGARY
Sekali lagi ranking dunia tidak bermakna apabila Austria (ranking ke-10) ditumbangkan Hungary (20). Peluang Austria untuk layak ke pusingan kedua kini terjejas. Hantaran satu dua dengan rakan sepasukan selepas detik satu jam menyaksikan Adam Szalai menahan kemas lorongan sebelum membuat penyudah dengan kaki kanan. Satu serangan balas pantas sebelum masa sebenar permainan tamat disempurnakan oleh Zoltan Stieber yang melambungkan bola melepasi penjaga gol dalam situasi satu lawan satu.

"Mata Pertama"

PORTUGAL 1-1 ICELAND
Portugal di ranking kelapan dunia kecewa selepas diikat oleh Iceland (ranking 34) yang mengutip mata pertama dalam sejarah aksi di Euro. Dua gol dengan skrip yang hampir sama. Portugal lebih dulu di depan apabila Nani paling pantas menyambar hantaran rendah dari sebelah kanan untuk menewaskan penjaga gol dari jarak enam ela selepas detik setengah jam. Harapan Portugal untuk mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian kerana Iceland menyamakan kedudukan di awal separuh masa kedua. Hantaran silang dari sayap kanan gagal disekat oleh pertahanan dan Birkir Bjarnason yang tidak dikawal merembat dari jarak yang hampir sama dengan gol Nani.

Kedudukan: Hungary 3 mata; Iceland 1; Portugal 1; Austria 0

KUMPULAN B

"Rusia Lemas"

RUSIA 1-2 SLOVAKIA
Peluang Rusia untuk melangkah jauh kini dalam bahaya. Dua gol Slovakia dalam separuh masa pertama cukup untuk menang walaupun Rusia sempat mengurangkan defisit. Vladimir Weiss menjaringkan gol pertama. Dia tenang memperdaya dua pertahanan di sebelah kiri kotak penalti sebelum membuat penyudah. Marek Hamsik menambah gol kedua sebelum babak pertama tamat dengan rembatan cantik yang terkena tiang, juga masuk dari sebelah kiri. Denis Glushakov yang tidak dikawal merapatkan jurang apabila menanduk hantaran silang dari sebelah kiri, tetapi sudah terlambat untuk menyekat kemenangan Slovakia.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif