Welcome To My Life...

Saturday, June 18, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #8

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari kelapan.

KUMPULAN D

"Kebangkitan Czech"

REPUBLIK CZECH 2-2 CROATIA
Croatia berputih mata apabila terpaksa berkongsi satu mata dengan Republik Czech. Croatia mendahului 2-0 tetapi Republik Czech bangkit dengan dua gol lewat. Ivan Perisic membuat larian solo memasuki kotak penalti sebelum meledak dengan kaki kiri. Ivan Rakitic yang menerima lorongan Marcelo Brozovic tenang melambungkan bola melepasi penjaga gol dalam situasi satu lawan satu. Tandukan pemain gantian, Milan Skoda, dari tengah kotak penalti selepas menerima hantaran cantik Tomas Rosicky merapatkan jurang. Seorang lagi pemain gantian, Tomas Necid, menyelamatkan Republik Czech dengan menyempurnakan sepakan penalti dalam masa kecederaan.

"Sepanyol Garang"

SEPANYOL 3-0 TURKI
Sepanyol menjadi pasukan ketiga layak ke pusingan seterusnya selepas membaham Turki dengan kemenangan terbesar setakat ini dalam kempen Euro 2016. Sepanyol mendahului selepas serangan bertali arus apabila Alvaro Morata menanduk hantaran lintang Nolito. Tiga minit kemudian, hantaran Cesc Fabregas melepasi barisan pertahanan dan Nolito menanti di belakang untuk membuat penyudah. Tiga minit memasuki babak kedua, Morata menambah gol kedua peribadi dengan menyempurnakan hantaran Jordi Alba dari jarak dekat.

Kedudukan: Sepanyol 6 mata; Croatia 4; Republik Czech 1; Turki 0

KUMPULAN E

"Belgium Bangkit"

BELGIUM 3-0 REPUBLIK IRELAND
Belgium bangkit dari kekecewaan tumbang perlawanan pertama untuk membelasah Ireland. Dua gol Romelu Lukaku dan tandukan Axel Witsel memberikan tiga mata penuh untuk pasukan di ranking kedua dunia. Belgium mendahului menerusi serangan balas pantas apabila Kevin De Bruyne memecut di sayap kanan sebelum menghantar bola kepada Lukaku yang meledak dari luar kotak penalti. 28 hantaran berturut-turut dilakukan pemain Belgium sebelum Witsel melepasi kawalan untuk menanduk masuk hantaran silang dari sayap kanan. Lukaku menjaringkan gol kedua peribadi juga menerusi serangan kilat apabila mudah menyudahkan hantaran Eden Hazard.

Kedudukan: Itali 6 mata; Belgium 3; Sweden 1; Ireland 1


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif