Thursday, January 30, 2014

Dua Tahun

Assalamualaikum.

Semalam aku melawat sekolah lama selepas beberapa ketika berhajat menjejakkan kaki ke sana. Dan sudah pasti soalan yang wajib ditanya kepadaku, "Bila nak ke 'sana'?"

Ya. Cikgu-cikgu nak tahu bila masanya aku akan ke negara orang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan. Aku kini dalam program berkembar. Selepas menghabiskan bahagian pra-klinikal di Bukit Jalil, insyaAllah aku akan menyambung bahagian klinikal di luar negara.

Dua tahun lagi, cikgu. InsyaAllah.

Tak lama dua tahun tu. Dengan masa kini yang terbang terlalu pantas, pejam celik pejam celik. Sekejap saja Ogos 2016 akan menjelang tiba. Itu pun kalau umur aku panjang dan rezeki aku murah.

Aku tidak mendabik dada bahawa siapa aku hari ini dan di mana aku berpijak ketika ini adalah kerana usaha gigih aku dan kerajinan aku. Tidak sama sekali. Aku adalah aku hari ini kerana rahmat Allah. Segala kejayaan yang aku capai hari ini kerana keizinan Allah.

Tanpa izin-Nya, aku tidak akan berjaya. Syukur alhamdulillah. Segala puji hanya bagi Allah.

Mohon doa kalian yang membaca agar diri ini terus tabah menghadapi perjalanan getir ini. Pengembaraan untuk menjadi doktor buat ummah.



Taman Resak
2120
30/01/2014



Wednesday, January 29, 2014

Eh Dah Empat Tahun

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, selepas sekian lama memendam hasrat untuk melangkah semula di sekolah tempat aku menimba ilmu pendidikan menengah, akhirnya Allah memberi kesempatan itu hari ini. Aku sudah tak ingat bila kali terakhir aku menjejakkan kaki di sekolah tersebut. Kerana terlalu lama itulah aku sampai tak boleh ingat tarikhnya.

Baru je sampai meja cikgu yang mengajar Matematik Tambahan dulu, terjumpa sesuatu selepas membelek-belek apa yang ada. ^_^


Sempat tangkap gambar tu.... Bukan nak bangga diri. Sebenarnya kalau di sekolah lain ranking bawah je. Memang sengaja aku tolak tawaran ke sekolah berasrama penuh sebab bagi aku, rezeki ada di mana-mana dan bukan sekolah asrama yang menjanjikan masa depan aku. Alhamdulillah, dengan izin Allah aku berada di mana aku berpijak sekarang.

Perpustakaan sekolah pun dah berubah. Dah ada nama. Pusat Sumber al-Falah. Comelnya nama. ^_^ Itulah tempatnya aku mula berkenalan dengan si dia yang masih lagi menghuni ruang istimewa hati ini. Jumpa guru pusat sumber. Soalan dia? "Junior kamu tak datang?" Wahh, straight to the face.

Jumpa ramai cikgu-cikgu yang mengajar aku dulu selain cikgu-cikgu baru yang tak dikenali. Nampak sungguh mereka dah berusia. Mana taknya. Dah empat tahun berlalu sejak aku meninggalkan sekolah. Aku mengambil SPM pada tahun 2010. Sekarang tahun 2014. Terlalu cepat masa berlalu. Usia aku dah bertambah empat tahun. Kini aku telah dewasa(lah sangat). 

Aku datang cuma nak melawat sekolah. Tak semena-mena diminta untuk bercakap di depan para pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima untuk memberikan sedikit motivasi. Dengan tiada persediaan, sempatlah aku berucap tiga minit. 

Lepas siap program, pergi solat di surau. Allahu. Lamanya tak jenguk kawasan tu. Padang pun dah ada pagar. Dulu sepak bola pun masuk longkang besar. Surau pun dihias sangat indah. Baru nampak rupa surau. Moga ramai insan yang memakmurkannya.

Ada juga permintaan untuk aku menjadi guru Matematik sepanjang cuti sebulan ni. Masya Allah. Sudah lama benar aku tinggalkan ilmu hisab peringkat SPM. Nanti saya pertimbangkan ya, cikgu. Bukan apa. Takut terajar subjek Sejarah dalam waktu Matematik. ^_^

Alhamdulillah, sangat bersyukur dengan kesempatan hari ini. Maha Suci Allah.



Changloon
1925
29/01/2014



Mimpi

Assalamualaikum.

"I have a dream, a song to sing
To help me cope with anything."
-Lirik lagu ABBA-

"Mimpi adalah kunci
untuk kita menakhlukkan dunia
berlarilah tanpa lelah
sampai engkau meraihnya"
-Lirik lagu Nidji-

"You've got to fight for every dream
‘Cause who's to know which one you let go
Would have made you complete
Well, for me it's waking up beside you
To watch the sunrise on your face"
-Lirik lagu Westlife-

Memetik kata-kata Will Smith dalam filem Pursuit of Happyness
"You got a dream you gotta protect it. People can't do something themselves.
They wanna tell you that you can't do it.
You want something? Go get it. Period."

Jika engkau mahu, berusaha sehabis keringatmu.

Doa dalam senyap.
Usaha dalam harap.


 Changloon
0920
29/01/2014 




Tuesday, January 28, 2014

Coba

Assalamualaikum.

"Comel kostum bayi dalam DP WhatsApp kamu." Random.

Memulakan entri dengan petikan kata-kata karakter Albus Dumbledore (pengetua Hogwarts dalam siri Harry Potter): "It is our choices that show what we truly are, far more than our abilities."

Petikan dari filem Tiger Eyes: "Each of us must confront our own fears, must come face to face with them. How we handle our fears will determine where we go with the rest of our lives. To experience adventure or to be limited by the fear of it."

Dalam dunia ni, tak ramai orang yang berani mengambil risiko. Orang yang berani biasanya akan berjaya. Kerna orang lain lebih gemar berada dalam zon selesa. Benar, ini kenyataan. Jarang orang keluar berdepan bahaya.

I know that it's a big big step.

Sememangnya, satu langkah yang teramat sangat besar. Risiko kegagalan juga tinggi. Tapi ada saja orang yang berjaya. Bermakna peluang untuk berjaya itu ada. Tiada janji hidup ini akan sempurna. Lalu mengapa takut mencuba?

Kalau kita sama-sama cuba mempertahankan, insyaAllah Dia akan memberi kekuatan. Memang ini bukan permainan. Ianya satu perjalanan. Pengembaraan bersama teman.


Pesanan penaja: Take the risk. Be courageous.


Changloon 
1030
28/01/2014


Thursday, January 23, 2014

Slow Down

Assalamualaikum.

Sebarang pertanyaan: AskFM

Slow Down. Bukan lagu Selena Gomez.

Sedih melihat orang yang pergerakan solatnya begitu laju. Kalau di jalan raya, kelajuan sebegitu membunuh dan pasti melepasi had laju yang dibenarkan. Sebenarnya, lebih kepada muhasabah diri. Dulu aku juga begitu. Solat sekadar menunaikan kewajipan.

Hinggalah aku sedar, solat lebih daripada sekadar kewajipan. Ketika solat, kita menghadap Pencipta kita. Seharian sibuk dengan urusan dunia, minima lima kali sehari semalam kita menunaikan solat fardhu untuk berdating dengan Allah. Adilkah kita apabila kita solat ala kadar saja?

Kemudian, kita menadah tangan berdoa meminta kepada-Nya? Ya, Allah Maha Mendengar. Dan Allah suka orang yang berdoa. Walaupun kita solat sambil lewa, Dia tak menghukum kita secara langsung di dunia. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah. Rahmat Allah terlalu luas.

Solat 'ninonino' tapi nak mintak macam-macam. Allahu. Astaghfirullah.

Cuba kita tanya diri kita. Berapa banyak solat yang pernah kita tunaikan yang kita yakin mampu membawa kita ke syurga? Adakah ibadat solat kita diterima Allah? Astaghfirullah.

Marilah perbaiki solat kita. Kita menghadap Allah yang menciptakan seluruh alam semesta. Tuhan Yang Maha Esa. Bukan kekasih atau kawan biasa. 

Pesanan penaja: Pandanglah pesanan yang diberi. Bukan diri ini yang kurang serba-serbi.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.



Bukit Jalil
0700
23/01/2014



Wednesday, January 22, 2014

Oh Osce Olok-Olok

Assalamualaikum.

OSCE.  
Stands for Objective Structured Clinical Examination.

Macam amali. Atau praktikal. Bukan teori. Kami para pelajar semester pertama perubatan diuji untuk melihat skil klinikal. Hanya peperiksaan olok-olok. Tidak memberi kesan kepada penilaian tahun pertama.

Kami dibahagikan kepada enam kumpulan. Aku dalam Kumpulan 4. Kami semua perlu melalui tujuh stesen. Dua stesen untuk history taking, dua stesen untuk physical examination dan tiga stesen untuk rehat. 

Keseluruhannya, alhamdulillah. Aku puas hati walaupun ada satu stesen yang kurang menggembirakan. Ada yang tidak molek tapi bukan aku. Biarlah hanya Allah yang tahu.

Pesanan penaja: Aku bersyukur. Mungkin aku boleh melakukan lebih baik. Tapi aku juga boleh melakukan jauh lebih teruk jika bukan kerna rahmat Allah dan pertolongan-Nya.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.



Bukit Jalil
2245
22/01/2014



Tuesday, January 21, 2014

The Secret

Assalamualaikum.


When you choose to give up on me,
you always have the choice to have faith.
Yes, i'm difficult.
But i worth your patience.

Special things take time,
and strong heart to keep fighting
when everything goes horribly wrong.



Sunday, January 19, 2014

TweetOff

Assalamualaikum.

#tweetoff
Twitter deactivated.

Perlukan ketenangan.

Biar senyap melafaz bicara
Biar masa yang bercerita
Kerna madah tak lagi berharga
Kerna ikhlas tak nampak di mata


Any inquiries: Ask Me


Putrajaya
1315
19/01/2014  




Saturday, January 18, 2014

Khusyuk

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, semalam dikurniakan kesempatan untuk solat Jumaat di Masjid Jamek. Lebih 10 stesen LRT dari Sri Petaling. Hampir setengah jam perjalanan menaiki LRT. Selalu aku solat di Sungai Besi. Tapi semalam abang naqib usrah ajak solat di sana. No problemo.

Aku tertarik dengan kuliah sebelum masuk waktu Zohor. Penyampaian yang sangat menarik. Sampai aku yang mengantuk tak jadi nak tidur. Kuliah tu berkaitan 'khusyuk'.

Cuba kita tanya diri kita. Sejak kita mula solat, berapa kali kita khusyuk dalam solat. Sedangkan dalam surah al-Mukminun, khusyuk dalam solat termasuk dalam ciri-ciri orang beriman yang berjaya.

Alasan kita untuk tidak khusyuk adalah kerana ianya sukar. Sedangkan kita meletakkan khusyuk di tempat yang tak sepatutnya. Contohnya, lelaki boleh asyik tengok bola sampai orang berbual pun kita tak sedar.

Yang wanita pula asyik tengok mamat Cullen dalam Twilight sampai tak perasan jam sudah melewati tengah malam. Kalau tengok Running Man, gempa bumi pun mungkin tak dapat dikesan. Itulah khusyuk yang bukan pada tempatnya.

Lantas apa lagi alasan kita untuk tak khusyuk dalam solat? Marilah kita cuba untuk mencapai khusyuk dan hadirkan hati dalam solat. InsyaAllah.

Moga Allah redha dengan saya dan kalian jua.

Pesanan penaja: Cubalah untuk khusyuk dalam solat.



Putrajaya
1035
18/01/2014




Belajar Dari Mereka

Assalamualaikum.


Indah.

Puisi: Nadiah BS
Ilustrasi: Aizat Z

Kamu pandang mereka jelik. Sedang mereka dikurniakan oleh Allah kesabaran yang tinggi. Jika kita di tempat mereka, kita tak mungkin mampu bertahan. 

Muhasabah diri.
 


One Day You Will

Assalamualaikum.


Girl,
One day when you 
see your son crying
you will regret breaking
that boys heart
that you once
promised to love.

Pesanan penaja:
Jangan mudah meninggalkan.
Kerna tak mudah melupakan.



Saturday, January 11, 2014

Pagi Sabtu

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Pagi ni Persatuan Kebudayaan Melayu dan Persatuan Muslim IMU berjaya mengadakan welcoming party untuk meraikan para pelajar muslimin dari batch ME113 2013 sehinggalah batch MPharm yang baru masuk bulan ni.

Sesi ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwah sesama pelajar Muslim di sini agar persaudaraan bertambah kukuh untuk terus bertahan di arena yang penuh dugaan ini. Sesi yang bermula jam 9 pagi dan tamat jam 12 tengah hari. 

Aku tahu hari ni ada permainan. Tapi tak sangka sarapan yang dijanjikan hanya dapat dinikmati sebagai makan tengah hari. Tsk tsk.






Kami dibahagikan kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan melibatkan lima atau enam orang. Sesi pertama adalah taaruf untuk mengenali setiap ahli kumpulan. Bukan kenal secara permukaan saja. Perlu kenal mendalam. Kami perlu tahu nama ibu dan ayah rakan-rakan, tempat lahir, hobi, makanan kegemaran, dan beberapa lagi soalan.



Nama kumpulan kami Teletubbies. Sebabnya, budak baju kuning yang paling kanan tu jadi Teletubbies dalam orientasi MPharm. Sebagai junior (walaupun sebaya dan kenal di INTEC), dia jadi ketua kumpulan. Seorang yang sangat ceria dan meriah.

Semuanya ada empat stesen yang kami perlu lalui. Stesen pertama, kami perlu meneka peribahasa dengan bahasa isyarat dan menyampaikan maklumat melalui gambar. Stesen kedua, kami perlu mengisi air dalam botol menggunakan beberapa alat. Stesen ketiga, kami main baling belon berisi air untuk membuli 'monyet' di tengah bulatan.

Stesen keempat, pengetahuan kami tentang satu sama lain diuji dengan soalan-soalan tentang rakan-rakan. Keseluruhannya, memang menarik walaupun penat. Tapi agak terkilan sebab sarapan aku dah jadi brunch. Aigoo. Sedih.

Sesi terakhir selepas makan tengah hari adalah perkongsian senior. Antara perkara yang paling menarik perhatian aku adalah tentang jumlah muslimin batch aku yang angkanya jauh lebih ramai dari senior sebelum ini.

Pesan senior, suara kami kuat. Jadi manfaatkan suara kami yang kuat itu agar suara Islam dapat didengari dan tidak diabaikan begitu saja.

Pesanan penaja: Jangan tidur pagi Sabtu. Keluar beriadah. Badan cergas, otak cerdas.


Bukit Jalil
1435
11/01/2014


Sunday, January 5, 2014

Menulis

Assalamualaikum.

Bismillah. Apabila seorang kakak menegur penulisan aku, aku anggap itu teguran Allah. Sudah sampai masanya aku menilai semula tujuan aku menulis.

Bukan mudah menjadi seorang penulis. Tak kira apa yang kita tulis, kita mesti bertanggungjawab atas apa yang kita tulis dan orang baca. Sampaikanlah perkara-perkara yang baik dan benar.

Berhati-hatilah dalam menyebarkan sesuatu berita. Pastikan kesahihan sumber kerana dikhuatiri kita menyebarkan berita. Contohnya tentang keburukan orang. Jika perkara itu tidak benar, ia dikira fitnah. Jika perkara itu benar sekalipun, ia boleh dikira mengumpat. Atau membuka keaiban orang.

Tetapi menyampaikan kebenaran tentang kezaliman pemerintah itu tidak berdosa. Cuma pastikan ia bukan berita palsu. Semuanya bergantung kepada niat kita.

Kalau menyebarkan sesuatu yang tidak benar dengan sengaja, itu lebih zalim. Takutlah dengan azab Allah yang pedih.

Kita juga akan berdosa jika menyebarkan hadis palsu. Amat penting mengetahui apa yang kita ingin sebarkan dan memeriksa sumber yang kita dapat. Ini sangat penting dalam menjaga adab penulisan.

Bahasa pula janganlah kasar. Jangan mengguris hati orang. InsyaAllah. Biarlah penulisan kita menjadi saksi bahawa kita berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Sabar itu indah. Moga Allah redha dengan kita semua.

Pesanan penaja: Tulis apa yang kita yakin dan pasti benar.



Bukit Jalil
2010
05/01/2014



Friday, January 3, 2014

Mesej

Assalamualaikum.

Astaghfirullah. Beristighfarlah. Mohon keampunan Allah.

Hari ni Allah menegur aku. Melalui sorang akak yang aku hormati kerana-Nya.

"Akak baca blog Nazif."

Terkejut. Alamak. Ingat saja nak tegur bekas rakan sekelas di INTEC pagi ni semasa di dewan kuliah. Tak sangka pulak tu ayat yang keluar. Ayat seterusnya lebih memetir. Membuatkan aku berfikir.

"Akak tak nampak mesej yang Nazif cuba sampaikan."

Maksud akak?

"Yelah, biasanya orang menulis ada mesej yang nak disampaikan."

Huhu. Lalu aku pun terkedu.

Sebenarnya akak. Blog saya ni memang saja-saja nak cerita kisah hidup saya. Tapi memandangkan akak dah cakap tu, mungkin Allah nak tegur saya. Saya bertanggungjawab atas apa yang saya tulis dan orang baca.

Baiklah. InsyaAllah saya akan menulis sesuatu yang lebih bermesej. Bukan untuk akak. Untuk Pencipta yang masih menyayangi saya dan ingin saya berpesan-pesan kepada kebenaran.

Moga Allah redha dengan kita semua.



Bukit Jalil 
1749
03/01/2014



Thursday, January 2, 2014

My Team 2013

Assalamualaikum.

Uefa.com sedang membuat undian Pasukan Terbaik Tahun 2013. Aku telah memilih para pemain yang aku kira terbaik dapat dihimpunkan sepanjang tahun lepas.


Formasi yang aku pilih adalah 3-5-2. Aku memang suka pasukan yang menyerang. Jika aku menjadi pengurus, aku takkan bermain secara bertahan macam penakut. Aku akan ambil risiko kerna hidup ini adalah tentang mengambil peluang yang ada. You only live once!

Aku mahu Manuel Neuer (Bayern Munich) menjaga gawang pasukan aku. Mungkin sebab dia suka naik tinggi dan bernaluri seorang pemain tengah. Tiga pemain yang membina kubu melindungi Neuer ialah David Alaba (Bayern Munich), Vincent Kompany (Manchester City) dan Thiago Silva (Paris Saint-Germain).

Tiga pertahanan kental untuk mengekang sebarang serangan balas. Alaba akan membantu serangan dari bahagian sayap bermakna hanya Kompany dan Thiago menjadi barisan terakhir di benteng. Jangan risau. Aku ada lima pemain tengah dengan dua daripadanya berfungsi sebagai holding midfielder. Maka formasi aku lebih kepada 3-2-3-2.

Aku pilih dua pemain berkulit hitam untuk posisi pemain tengah bertahan. Paul Pogba (Juventus) dan Yaya Toure (Manchester City). Walaupun mereka bernaluri menyerang, tugas mereka dalam pasukan aku adalah mengawal permainan dan melindungi benteng.

Tiga pemain tengah menyerang ialah Marco Reus (Borussia Dortmund) di sayap kanan, Gareth Bale (Real Madrid) di sayap kiri, dan Mesut Ozil (Arsenal) di tengah. Ozil mungkin akan membentuk serangan tiga serangkai bersama penyerang. Maka formasi aku boleh menjadi 3-4-3 sepanjang perlawanan.

Dan tiada lagi gandingan penyerang yang aku minati selain 'mereka' berdua. Dua pemain terbaik generasi ini. Dua pemain yang selalu dibandingkan. Mereka tidak sama. Mereka hebat dalam cara masing-masing. Sukar untuk menentukan siapa lebih baik. Sama hebat, sama dahsyat. Jika mereka bergabung (seperti dalam pasukan aku), tiada pasukan akan dapat menyekat.

Lionel Messi (Barcelona) dan Cristiano Ronaldo (Real Madrid). Pemusnah berkembar yang lengkap dan sempurna. Tiada tandingan. Mungkin aku boleh pilih Zlatan Ibrahimovic bersama mereka dan gandingan serangan ini akan menghancurkan mana-mana pasukan. Bagi aku, lima pemain tengah lebih stabil dan kawasan tengah lebih padat.

Inilah pasukan idaman aku bagi tahun 2013. Cara terbaik untuk bertahan adalah dengan menyerang. Jika sesuatu pasukan dapat menguasai bola dengan sangat dominan dan menggempur lawan bertubi-tubi, bagaimana pasukan itu dapat diserang?



Kalah

Assalamualaikum.

Pasukan kegemaran aku kalah lagi, di tempat sendiri.

Manchester United 1-2 Tottenham Hotspurs.

Penyokong pasukan lain yang membenci United selama ini berpesta dengan kekalahan terbaru ini. United kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal yang menang semalam. Pencabar terdekat kejuaraan iaitu Manchester City dan Chelsea juga menang. 

Arsenal menumbangkan Cardiff City 2-0 dengan dua gol lewat permainan. Manchester City mengatasi Swansea City 3-2 di tempat lawan. Manakala Chelsea menang bergaya 3-0 menumpaskan Southampton. Liverpool juga menang 2-0 ke atas Hull City. 

Dengan situasi terkini, aku kira peluang United untuk mempertahankan kejuaraan semakin tipis. United perlu menang malam tadi dan barisan pemain tidak menampakkan masalah. Begitu juga dominasi bola. United menguasai bola hampir sepanjang perlawanan.

Jika penguasaan bola adalah penentu kemenangan, Barcelona dan Bayern Munich pasti tiada tandingan. Tetapi kemenangan dalam perlawanan bola sepak ditentukan oleh jaringan gol. Tottenham memanfaatkan peluang yang mereka miliki melalui serangan kilat yang memerangkap pertahanan United.

Gol pertama Spurs dijaringkan selepas hantaran silang Christian Eriksen ditanduk oleh Emmanuel Adebayor tanpa dicabar Chris Smalling. Gol kedua pula dijaringkan oleh Eriksen sendiri apabila dia memintas Antonio Valencia yang gagal mengesan pergerakan Eriksen di belakangnya. Tandukan lemah Eriksen gagal ditangkap David De Gea untuk kedudukan menjadi 2-0.

United membalas serta-merta apabila Danny Welbeck melambungkan bola melepasi Hugo Lloris. Tetapi kebangkitan yang diharapkan gagal disempurnakan walaupun United mengasak bertubi-tubi pada masa kecederaan. Lloris beraksi cemerlang tetapi sepatutnya dibuang padang.

United sangat bertuah dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Dan mereka sudah kehabisan tuah apabila Howard Webb tidak memberikan sepakan penalti walaupun Lloris mengasari Ashley Young di hujung kotak penalti. Mungkin Webb tidak mahu dilihat menyebelahi United, lalu memberikan keputusan yang tidak berpihak kepada United.

Namun kesalahan itu sangat jelas. Young sudah memenangi bola dan Lloris merempuh tanpa sebarang niat untuk merebut bola. Ini menimbulkan kemarahan pengurus United, David Moyes, yang menyatakan ketidakpuasan hatinya dalam temu ramah pasca perlawanan. Moyes tetap teguh dengan pendiriannya bahawa Lloris sepatutnya dilayangkan kad merah dan sepakan penalti seharusnya diberi.

Apa yang pasti, penguasaan United malam tadi bukan bermakna mereka menyerang gawang lawan selesa. United dilihat menghadapi masalah menembusi pertahanan Spurs walaupun tenang mengawal permainan. United perlu membeli seorang pemain tengah yang kreatif dalam jendela perpindahan yang baru dibuka selama sebulan.

Pemain United yang menyerlah malam tadi ialah Welbeck, Wayne Rooney, dan Adnan Januzaj. Walaupun masih muda, Januzaj begitu lincah menggempur kubu lawan dengan larian kencang yang merbahaya. Setiap kali Januzaj membawa bola, sesuatu kelihatan akan berlaku. Malangnya, tiada pemain United lain dapat menyudahkan hantarannya.

Perlawanan liga seterusnya pada hujung minggu depan. United akan beraksi dalam tiga perlawanan minggu depan. Menentang Swansea (Piala FA - 5 Januari dan liga - 11 Januari)  dan Sunderland (Piala Liga - 7 Januari). Kekuatan mental dan skuad United akan dicabar.



Wednesday, January 1, 2014

Kisah Polis

Assalamualaikum.

Eh, ada yang singgah baca. Hai. ^_^

Masih tak terlambat nak ucapkan selamat tahun baru Masihi 2014 sekali lagi. Moga azam kita semua tercapai dan urusan hidup kita dipermudahkan oleh Allah.

Hari ni keluar jalan-jalan dengan kawan-kawan. Menyambut cuti tahun baru dengan menonton wayang. All boys. No girls. Destinasi? Times Square. Naik LRT dari stesen Sri Petaling. Turun di stesen Hang Tuah dan seterusnya jalan kaki.

Cerita pilihan? Police Story. Lakonan Jackie Chan. Aktor yang sangat aku minati. Sejak cerita Who Am I dan Rush Hour. Sebelum ini Chinese Zodiac. Ada dua orang rakan serumah pula pilih nak tengok cerita Ronin 47

Rating? 4/5 bintang. Kalau yang menonton dan mengharapkan satu filem penuh aksi, anda akan kecewa. Tapi bagi aku, aksi dalam filem ni tak kurang hebatnya. Cuma filem ni agak kompleks. Jalan cerita yang rumit. Plot yang memerlukan penonton berfikir.

Satu demi satu jalan cerita dirungkaikan. Ini yang menarik. Aku memang suka cerita yang 'bijak'. Yang membuatkan otak aku bekerja. Ligat memikirkan 'apa' dan 'kenapa'. Selepas tamat tayangan, kami jalan-jalan di Low Yat sebelum bergerak pulang.

Satu lagi hari dihabiskan bersama rakan-rakan. Ya, sudah tahun baru. Masa untuk bergerak lebih pantas. Peperiksaan semakin hampir. Harga barang pun dah naik. Semangat mana boleh TURUN!


Bukit Jalil
2111
01/01/2014



New Year di Ampang

Assalamualaikum.

Bismillah. Entri pertama tahun baru. 

2014. Secara tak rasminya, aku dah berusia 21 tahun walaupun Ogos nanti baru sambut ulang tahun kelahiran. InsyaAllah.

Sambut di mana? Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk meluangkan masa bersama kawan-kawan di Ampang Lookout Point. Satu tempat dengan pemandangan yang sangat cantik. 

Petang tadi, aku tak rasa nak pergi mana-mana. Nak lepak depan Tosheen (netbook kesayangan). Fikir punya fikir, best jugak buang masa dengan kawan. Malam tahun baru kan. Semangat. Kami bersebelas orang konvoi. Tiga bijik motor. Dan sebijik kereta.

Jam 10:40 malam baru nak gerak. Budak-budak tu sibuk main game FIFA. Akibatnya? Sesak teruk. Nak naik bukit tu memang seksa. Kereta tak gerak. Terpaksa parking jauh. Nasib baik aku naik motor. Alhamdulillah, syukur sangat-sangat. 

Dapat tengok mercun seluruh bandar. Dan macam-macam yang aku dapat tengok tadi. Pasangan kekasih memang wajiblah. Tanpa perasaan malu. Memualkan. Yang bertudungnya sama saja. Akal cuba hadam. Tak boleh terima. Geleng kepala. Ini anak muda masa depan negara? Hancur. Ranap!

Lepas makan nasik lemak sambil tunggu lalu lintas reda, kami gerak kira-kira jam 1:30 pagi. Penat jugak balik lambat. Tapi puas hati. Memang pengalaman yang menyeronokkan. Gelak dengan kawan-kawan. Bergambar dan bergembira. Riang dan ceria. Seperti tak pernah berduka.

Esok budak-budak ni cadang nak tengok wayang. Ada yang nak tengok 'Tokan' (cerita Melayu). Ada yang nak tengok 'Frozen' (housemates aku). Dan ada jugak yang nak tengok 'Police Story' lakonan Jackie Chan. Aku nak tengok cerita polis tu, tapi ikutlah rakan serumah nak tengok animasi.

Selamat tahun baru masihi. Moga tahun baru ini lebih bererti.



Bukit Jalil
0241
01012014



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif