Welcome To My Life...

Thursday, January 2, 2014

Kalah

Assalamualaikum.

Pasukan kegemaran aku kalah lagi, di tempat sendiri.

Manchester United 1-2 Tottenham Hotspurs.

Penyokong pasukan lain yang membenci United selama ini berpesta dengan kekalahan terbaru ini. United kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal yang menang semalam. Pencabar terdekat kejuaraan iaitu Manchester City dan Chelsea juga menang. 

Arsenal menumbangkan Cardiff City 2-0 dengan dua gol lewat permainan. Manchester City mengatasi Swansea City 3-2 di tempat lawan. Manakala Chelsea menang bergaya 3-0 menumpaskan Southampton. Liverpool juga menang 2-0 ke atas Hull City. 

Dengan situasi terkini, aku kira peluang United untuk mempertahankan kejuaraan semakin tipis. United perlu menang malam tadi dan barisan pemain tidak menampakkan masalah. Begitu juga dominasi bola. United menguasai bola hampir sepanjang perlawanan.

Jika penguasaan bola adalah penentu kemenangan, Barcelona dan Bayern Munich pasti tiada tandingan. Tetapi kemenangan dalam perlawanan bola sepak ditentukan oleh jaringan gol. Tottenham memanfaatkan peluang yang mereka miliki melalui serangan kilat yang memerangkap pertahanan United.

Gol pertama Spurs dijaringkan selepas hantaran silang Christian Eriksen ditanduk oleh Emmanuel Adebayor tanpa dicabar Chris Smalling. Gol kedua pula dijaringkan oleh Eriksen sendiri apabila dia memintas Antonio Valencia yang gagal mengesan pergerakan Eriksen di belakangnya. Tandukan lemah Eriksen gagal ditangkap David De Gea untuk kedudukan menjadi 2-0.

United membalas serta-merta apabila Danny Welbeck melambungkan bola melepasi Hugo Lloris. Tetapi kebangkitan yang diharapkan gagal disempurnakan walaupun United mengasak bertubi-tubi pada masa kecederaan. Lloris beraksi cemerlang tetapi sepatutnya dibuang padang.

United sangat bertuah dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Dan mereka sudah kehabisan tuah apabila Howard Webb tidak memberikan sepakan penalti walaupun Lloris mengasari Ashley Young di hujung kotak penalti. Mungkin Webb tidak mahu dilihat menyebelahi United, lalu memberikan keputusan yang tidak berpihak kepada United.

Namun kesalahan itu sangat jelas. Young sudah memenangi bola dan Lloris merempuh tanpa sebarang niat untuk merebut bola. Ini menimbulkan kemarahan pengurus United, David Moyes, yang menyatakan ketidakpuasan hatinya dalam temu ramah pasca perlawanan. Moyes tetap teguh dengan pendiriannya bahawa Lloris sepatutnya dilayangkan kad merah dan sepakan penalti seharusnya diberi.

Apa yang pasti, penguasaan United malam tadi bukan bermakna mereka menyerang gawang lawan selesa. United dilihat menghadapi masalah menembusi pertahanan Spurs walaupun tenang mengawal permainan. United perlu membeli seorang pemain tengah yang kreatif dalam jendela perpindahan yang baru dibuka selama sebulan.

Pemain United yang menyerlah malam tadi ialah Welbeck, Wayne Rooney, dan Adnan Januzaj. Walaupun masih muda, Januzaj begitu lincah menggempur kubu lawan dengan larian kencang yang merbahaya. Setiap kali Januzaj membawa bola, sesuatu kelihatan akan berlaku. Malangnya, tiada pemain United lain dapat menyudahkan hantarannya.

Perlawanan liga seterusnya pada hujung minggu depan. United akan beraksi dalam tiga perlawanan minggu depan. Menentang Swansea (Piala FA - 5 Januari dan liga - 11 Januari)  dan Sunderland (Piala Liga - 7 Januari). Kekuatan mental dan skuad United akan dicabar.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif