Welcome To My Life...

Wednesday, January 29, 2014

Eh Dah Empat Tahun

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, selepas sekian lama memendam hasrat untuk melangkah semula di sekolah tempat aku menimba ilmu pendidikan menengah, akhirnya Allah memberi kesempatan itu hari ini. Aku sudah tak ingat bila kali terakhir aku menjejakkan kaki di sekolah tersebut. Kerana terlalu lama itulah aku sampai tak boleh ingat tarikhnya.

Baru je sampai meja cikgu yang mengajar Matematik Tambahan dulu, terjumpa sesuatu selepas membelek-belek apa yang ada. ^_^


Sempat tangkap gambar tu.... Bukan nak bangga diri. Sebenarnya kalau di sekolah lain ranking bawah je. Memang sengaja aku tolak tawaran ke sekolah berasrama penuh sebab bagi aku, rezeki ada di mana-mana dan bukan sekolah asrama yang menjanjikan masa depan aku. Alhamdulillah, dengan izin Allah aku berada di mana aku berpijak sekarang.

Perpustakaan sekolah pun dah berubah. Dah ada nama. Pusat Sumber al-Falah. Comelnya nama. ^_^ Itulah tempatnya aku mula berkenalan dengan si dia yang masih lagi menghuni ruang istimewa hati ini. Jumpa guru pusat sumber. Soalan dia? "Junior kamu tak datang?" Wahh, straight to the face.

Jumpa ramai cikgu-cikgu yang mengajar aku dulu selain cikgu-cikgu baru yang tak dikenali. Nampak sungguh mereka dah berusia. Mana taknya. Dah empat tahun berlalu sejak aku meninggalkan sekolah. Aku mengambil SPM pada tahun 2010. Sekarang tahun 2014. Terlalu cepat masa berlalu. Usia aku dah bertambah empat tahun. Kini aku telah dewasa(lah sangat). 

Aku datang cuma nak melawat sekolah. Tak semena-mena diminta untuk bercakap di depan para pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima untuk memberikan sedikit motivasi. Dengan tiada persediaan, sempatlah aku berucap tiga minit. 

Lepas siap program, pergi solat di surau. Allahu. Lamanya tak jenguk kawasan tu. Padang pun dah ada pagar. Dulu sepak bola pun masuk longkang besar. Surau pun dihias sangat indah. Baru nampak rupa surau. Moga ramai insan yang memakmurkannya.

Ada juga permintaan untuk aku menjadi guru Matematik sepanjang cuti sebulan ni. Masya Allah. Sudah lama benar aku tinggalkan ilmu hisab peringkat SPM. Nanti saya pertimbangkan ya, cikgu. Bukan apa. Takut terajar subjek Sejarah dalam waktu Matematik. ^_^

Alhamdulillah, sangat bersyukur dengan kesempatan hari ini. Maha Suci Allah.



Changloon
1925
29/01/2014



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif