Welcome To My Life...

Monday, December 13, 2021

Undian 16

Assalamualaikum.

Walaupun pusingan 16 terbaik tidak akan berlangsung sehingga bulan Februari, debaran untuk mengetahui siapa lawan siapa sudah berakhir.

Lapan slot ke suku akhir menjadi rebutan.

Berlaku kesilapan teknikal di Switzerland sehingga menyebabkan undian yang telah selesai terpaksa diadakan semula kerana beberapa pasukan melakukan bantahan.

Semasa undian kali pertama, Manchester United telah diundi menentang Villarreal di awal proses undian. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana exception rule di pusingan 16 terbaik ini tidak membenarkan pasukan yang layak dari kumpulan yang sama untuk bertarung. 

Manchester United diundi bertemu PSG pada kali pertama. Keputusan ini sangat tidak menyenangkan penulis apabila melihat Liverpool bertemu Salzburg, dan Chelsea diundi menentang Lille. Lawan yang mudah bagi Liverpool dan Chelsea.

------

Usai proses undian kali kedua, inilah lapan pertembungan yang dihasilkan.

RB Salzburg (Austria) vs Bayern Munich (Jerman)
Sporting CP (Portugal) vs Manchester City (England)
Benfica (Portugal) vs Ajax Amsterdam (Belanda)
Chelsea (England) vs Lille (Perancis)
Atletico Madrid (Sepanyol) vs Manchester United (England)
Villarreal (Sepanyol) vs Juventus (Itali)
Inter Milan (Itali) vs Liverpool (England)
Paris Saint-Germain (Perancis) vs Real Madrid (Sepanyol)

Hanya Chelsea vs Lille sahaja yang sama seperti keputusan undian kali pertama.

Nampaknya, hanya perlawanan PSG menentang Real Madrid saja yang gah dan menarik. Undian mudah untuk Bayern Munich, Manchester City dan juga Chelsea.

Liverpool mendapat RB Salzburg di undian pertama, jadi Inter Milan ialah lawan yang sedikit sukar. 

Benfica menentang Ajax, dan Villarreal menentang Juventus agak seimbang, walaupun Ajax dan Juventus memiliki kelebihan di atas kertas.

-------

Tuntasnya, penulis gembira Manchester United akan menentang Atletico Madrid, dan bukannya PSG! Tak kisah lawan siapa pun, asalkan prosesnya adil dan telus.

Bak kata orang, kalau nak jadi juara, kena kalahkan siapa pun lawan.

Sekian dulu.


Saturday, December 11, 2021

Menuju Kalah Mati

Assalamualaikum.

Lama benar penulis tidak mencoret di ruangan ini. Sibuk dengan urusan kerja. Bagi para peminat bola sepak yang mengikuti perkembangan bola sepak Eropah, pastinya maklum tentang berakhir sudah peringkat kumpulan untuk Liga Juara-Juara Eropah. 

Tidaklah terlalu mengejutkan, tetapi pasukan ternama seperti Borussia Dortmund (Jerman) dan Barcelona (Sepanyol) menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan masing-masing sekali gus tersingkir ke Liga Europa. 

Peringkat kalah mati akan menyusul.

APA SETERUSNYA?

Undian untuk pusingan 16 belas terbaik akan diadakan di ibu pejabat UEFA di Switzerland pada 13 Disember ini, jam 7 petang waktu Malaysia.

FORMAT

Seperti biasa, juara dan naib juara setiap 8 kumpulan akan bersaing untuk merebut 8 tempat ke pusingan suku akhir.

Mereka akan bertanding dengan format timbal balas di mana pasukan pilihan (juara-juara kumpulan) akan menentang pasukan bukan pilihan (naib juara kumpulan). Pasukan pilihan akan beraksi di tempat lawan pada perlawanan pertama, sebelum menyambut pasukan bukan pilihan di gelanggang sendiri.

Untuk rekod, peraturan di pusingan 16 belas terbaik ini menyatakan pasukan-pasukan dari negara yang sama tidak akan bertemu sesama sendiri. Juara dan naib juara kumpulan sama juga tidak boleh bertemu lagi di pusingan ini. Peraturan pengecualian ini hanya terpakai di pusingan 16 belas terbaik.

TARIKH 

Perlawanan pertama untuk pusingan 16 belas terbaik dijadualkan pada separuh kedua bulan Februari 2022, diikuti perlawanan kedua pula pada awal bulan Mac 2022.

PASUKAN YANG LAYAK

1. Manchester City (England) - pemenang Kumpulan A
2. Liverpool (England) - pemenang Kumpulan B
3. Ajax Amsterdam (Belanda) - pemenang Kumpulan C
4. Real Madrid (Sepanyol) - pemenang Kumpulan D
5. Bayern Munich (Jerman) - pemenang Kumpulan E
6. Manchester United (England) - pemenang Kumpulan F
7. Lille (Perancis) - pemenang Kumpulan G
8. Juventus (Itali) - pemenang Kumpulan H

9. Paris Saint-Germain (Perancis) - naib juara Kumpulan A
10. Atletico Madrid (Sepanyol) - naib juara Kumpulan B
11. Sporting Lisbon (Portugal) - naib juara Kumpulan C
12. Inter Milan (Itali) - naib juara Kumpulan D
13. Benfica (Portugal) - naib juara Kumpulan E
14. Villarreal (Sepanyol) - naib juara Kumpulan F
15. RB Salzburg (Austria) - naib juara Kumpulan G
16. Chelsea (England) - naib juara Kumpulan H

England memikili wakil terbanyak (4) diikuti oleh Sepanyol (3). 

Perancis, Itali dan Portugal masing-masing akan diwakili oleh 2 kelab. Belanda, Jerman dan Austria pula memiliki wakil tunggal. 

Agak menggentarkan bagi pasukan pilihan bukan Perancis kerana PSG berada di posisi bukan pilihan. PSG menamatkan aksi Kumpulan A di belakang Manchester City. Begitu juga pasukan pilihan bukan England akan goyang kerana gergasi Liga Perdana Inggeris dan juara bertahan kelab Eropah, Chelsea menamatkan saingan Kumpulan H di belakang Juventus. 

SIAPA LAWAN SIAPA?

1. Manchester City 
Ada 6 lawan yang mungkin bagi City, iaitu selain PSG (kedua Kumpulan A), dan Chelsea (England).

2. Liverpool
6 juga lawan yang mungkin bagi Liverpool, selain Atletico Madrid (kedua Kumpulan B), dan Chelsea (England).

3. Ajax Amsterdam
Selaku wakil tunggal Belanda, lawan yang tidak mungkin bagi Ajax hanyalah Sporting Lisbon (kedua Kumpulan C)

4. Real Madrid 
Lawan yang tidak akan diundi bagi Real ialah Inter Milan (kedua Kumpulan D) dan juga 2 kelab Sepanyol (Atletico Madrid & Villarreal).

5. Bayern Munich 
Situasi Bayern sama seperti Ajax sebagai wakil tunggal Jerman. Hanya Benfica (kedua Kumpulan E) tidak mungkin diundi sebagai lawan. 

6. Manchester United
Situasi sama seperti Manchester City dan Liverpool. United pasti tidak akan menentang Chelsea (England), dan juga Villarreal (kedua Kumpulan F)

7. Lille
Pasti tidak perlu menentang PSG (Perancis) dan Salzburg (kedua Kumpulan G). Masih ada 6 lawan yang mungkin termasuk Chelsea. 

8. Juventus
Dapat mengelak Chelsea (kedua Kumpulan H) dan Inter Milan (Itali) untuk psuingan ini. Masih ada kemungkinan Juventus berdepan PSG.

----

9. Paris Saint-Germain
Sebagai gergasi di kelompok bukan pilihan, pastinya PSG tidak gentar berdepan sesiapa pun. Hanya tidak mungkin berdepan Lille (Perancis) dan Manchester City (pemenang Kumpulan A).

10. Atletico Madrid
Atletico tidak mungkin berdepan Liverpool (pemenang Kumpulan B) atau Real Madrid (Sepanyol).

11. Sporting Lisbon
Sporting boleh menentang salah satu daripada 7 pasukan selain Ajax (pemenang Kumpulan C). 

12. Inter Milan 
Inter hanya tidak boleh menentang Juventus (Itali) dan Real Madrid (pemenang Kumpulan D).

13. Benfica 
Situasi sama dengan Sporting. Hanya Bayern Munich (pemenang Kumpulan E) tidak mungkin diundi sebagai lawan.

14. Villarreal
Dua lawan yang pasti tidak diundi menjadi lawan ialah Manchester United (pemenang Kumpulan F) dan Real Madrid (Sepanyol).

15. Salzburg
Situasi wakil tunggal. Ada 7 pasukan yang berkemungkinan menjadi lawan selain Lille (pemenang Kumpulan G).

16. Chelsea
Seperti juga PSG, sebagai gergasi yang tersesat dalam kalangan bukan pilihan, juara bertahan ini menjadi lawan yang mahu dielak semua pasukan pilihan. 

Chelsea hanya mempunyai 4 lawan yang mungkin kerana mereka tidak boleh berdepan dengan 3 pemenang kumpulan dari England serta Juventus (pemenang Kumpulan H).

HARAPAN

Sebagai peminat bola sepak yang neutral, sudah tentu saya mahu menyaksikan perlawanan hebat di pusingan 16 terbaik lagi.

Perlawanan terbesar yang bakal menarik perhatian adalah kemungkinan Liverpool atau Bayern Munich berdepan PSG!

Saya juga teruja untuk mengetahui lawan Chelsea. Selain Lille, tiga lagi lawan yang mungkin bagi Chelsea ialah Real Madrid, Bayern Munich, dan Ajax Amsterdam. Satu perlawanan yang terlalu hebat untuk pusingan kedua tetapi boleh berlaku!

Sebagai peminat setia Manchester United pula, sudah tentu saya mengharapkan lawan yang paling mudah bagi United di antara 6 pasukan selain Chelsea / Villarreal. Lawan yang ideal pastinya Salzburg atau Benfica. 

------

Sekian dulu untuk kali ini. 

Glory glory Manchester United!  



Wednesday, October 6, 2021

Piala Sudirman 2021: Malaysia vs Indonesia

Assalamualaikum.

Walaupun sudah beberapa hari berlalu, namun api perjuangan menentang Indonesia masih membara. Pertandingan berpasukan campuran ini dilangsungkan di Vantaa, Finland.

Entri ini adalah tentang pertembungan musuh tradisi dalam sukan badminton, Malaysia dan Indonesia. 

Indonesia selaku pilihan 3/4 pertandingan muncul pemenang Kumpulan C dengan membantai pasukan badminton Rusia 5-0, sebelum menang tipis 3-2 ke atas Kanada. Mereka menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan mengatasi Denmark (pilihan 5/8) juga dengan keputusan 3-2.

Malaysia (pilihan 5/8) pula mara sebagai naib juara Kumpulan D dengan 2 kemenangan dan 1 kekalahan. Malaysia memulakan aksi dengan menang tipis 3-2 mengatasi England (pilihan 9/16). Malaysia menurunkan barisan simpanan dalam perlawanan kedua dan menang bergaya 5-0 ke atas Mesir. 

Dalam perlawanan penentuan juara kumpulan, barisan utama Malaysia yang direhatkan tumbang 1-4 kepada pilihan kedua kejohanan, Jepun. Hanya beregu lelaki, Aaron Chia/Soh Wooi Yik berjaya menyumbangkan mata selepas mengharungi 3 set. Kapten, Lee Zii Jia tewas straight set kepada perseorangan lelaki nombor 1 dunia, Kento Momota.

----------

Pusingan suku akhir Piala Sudirman 2021
MALAYSIA vs INDONESIA

Di atas kertas, peluang Malaysia adalah tipis. Indonesia turun dengan barisan yang lebih seimbang. Para pemain Indonesia memiliki reputasi hebat dengan berada di ranking 10 terbaik dunia. Kekuatan barisan pemain wanita Indonesia adalah jauh lebih baik berbanding Malaysia. Hal ini memainkan peranan penting dalam pertandingan berpasukan campuran. Hakikat ini tidak dapat dinafikan.

Adat pertandingan, rekod di atas kertas tak lagi penting.

Aksi suku akhir dimulakan dengan pertembungan beregu lelaki. Aaron Chia/Soh Wooi Yik di ranking ke-8 dunia menentang jaguh Indonesia dan beregu lelaki nombor 1 dunia, Marcus Gideon/Kevin Sukamuljo yang digelar Minions oleh para peminat fanatik badminton Indonesia. 

Untuk rekod, gandingan Aaron/Soh menewaskan Minions di peringkat suku akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam laluan mereka memenangi pingat gangsa. Minions turun dengan misi untuk membalas dendam. Bagi kem Malaysia pula, harapan tinggi untuk Aaron/Soh menyumbangkan mata pertama kerana Indonesia memiliki kelebihan besar dalam acara wanita.

Aaron/Soh tidak mengecewakan! Mereka membawa A game mereka untuk membenam Minions dengan keputusan straight set 21-12, 21-15. Pertahanan Aaron/Soh sangat ampuh dan serangan mereka pula memaksa Minions melakukan kesilapan. Kemenangan penting ini menaikkan semangat di kem Malaysia.

Malaysia 1-0 Indonesia

-----

Seterusnya, acara perseorangan wanita. S. Kisona di ranking ke-53 dunia menentang Gregoria Mariska Tunjung di ranking ke-21 dunia. Perbezaan ranking lebih 30 tangga. Untuk rekod, Kisona pernah menewaskan Mariska dalam permainan tiga set dalam laluannya memenangi pingat emas perseorangan wanita di Sukan SEA Filipina 2019.

Kisona menampilkan semangat juang tinggi walaupun Mariska turun dengan reputasi lebih baik. Malang buat Kisona apabila tewas 20-22 dalam set pertama walaupun dia mendahului sejak dari awal permainan. Kisona menang 21-18 dalam set kedua untuk mengheret permainan ke set penentuan. 

Kedua-dua pemain selesa dengan permainan rali demi rali panjang yang memenatkan. Selepas berhempas pulas selama sejam, Mariska muncul pemenang dengan hanya menang tipis 21-19 dalam set ketiga. Kisona sepatutnya boleh menang straight set jika dia lebih fokus ketika mendahului di hujung permainan set pertama.

Malaysia 1-1 Indonesia

-----

Tiba masa untuk kapten pasukan menggalas cabaran. Seperti juga Aaron/Soh, perlawanan ini penting kerana jika Zii Jia tewas, Malaysia kemungkinan besar akan kalah.

Lee Zii Jia di ranking kelapan dunia. Lawannya Anthony Ginting yang merupakan pemain di ranking kelima dunia dan juga pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Untuk rekod, Zii Jia pernah bertemu Ginting 3 kali sebelum perlawanan ini, dan tewas kesemuanya.

Mujurlah seperti Aaron/Soh, Zii Jia juga membawa A game di hari perlawanan. Zii Jia bukan saja menang menentang pemain yang tidak pernah dikalahkannya dan berada 3 ranking di atasnya. Malah Zii Jia menang straight set 21-11, 21-16. Ginting tidak ada jawapan kepada peningkatan permainan Zii Jia.

Kemenangan kapten yang membakar semangat rakan sepasukan.

Malaysia 2-1 Indonesia

-----

Kita tahu sukar untuk kita mengharapkan kemenangan daripada acara beregu wanita. Dan kita juga menjangka akan tewas straight set. Sebaliknya yang berlaku.

Pearly Tan/M. Thinaah merupakan beregu yang sedang meningkat naik dan berada di ranking ke-19 dunia. Lawan mereka pula, Greysia Polii/Apriyani Rahayu di ranking ke-6 dunia. Malah beregu Indonesia ini ialah pemenang pingat emas beregu wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020!

Dalam set pertama, Pearly dan Thinaah mengejutkan Polii/Rahayu dengan menyelamatkan 5 set point, bangkit dari ketinggalan 15-20 untuk mengikat kedudukan 20-20, malangnya tewas juga 20-22. Pearly/Thinaah menang set kedua 21-17 sebelum tumbang 18-21 dalam set penentuan. 

Di set ketiga ini juga Pearly/Thinaah menunjukkan semangat melawan yang sangat tinggi, mengutip enam mata berturut-turut ketika ketinggalan 12-20. Akhirnya Polii/Rahayu berjaya menamatkan perlawanan di match point ke-7 mereka, dan Pearly/Thinaah rebah kepenatan.

Semangat juang Pearly/Thinaah sangat menakjubkan. Pasangan Malaysia ini mempamerkan pertahanan ampuh ketika diasak serangan bertubi-tubi Polii/Rahayu. Pergerakan mereka juga lincah sehingga memaksa lawan melakukan kesilapan.

Malaysia 2-2 Indonesia

-----

Perlawanan penentuan. Indonesia masih memiliki kelebihan dalam acara beregu campuran.

Wakil Malaysia, Hoo Pang Ron dan Cheah Yee See di ranking ke-27 dunia. Mereka berdepan Praveen Jordan/Melati Oktavianti yang berada di ranking ke-4 dunia. Berbeza 23 tangga. 

Dengan semangat membara melihat perjuangan rakan sepasukan yang lain, Hoo/Cheah mengejutkan Praveen/Melati apabila menang set pertama walaupun tipis. Hoo/Cheah menguasai sebahagian besar set pertama sebelum menang 21-19.

Praveen/Melati yang memiliki reputasi lebih gah bangkit lebih garang di set kedua. Mereka mendahului pada satu ketika 6-1, 12-2, dan 18-3. Ketika ini, tumpuan Hoo/Cheah sudah bertukar ke arah set ketiga. Tiada guna lagi menghabiskan tenaga untuk mengejar. Hoo/Cheah tumbang di set kedua 9-21.

Perlawanan penentuan memasuki set penentuan!

Hoo/Cheah mendahului dari awal sehingga akhir di set terakhir ini. Gandingan Praveen/Melati tidak pernah langsung berada di depan. Hanya sempat menyamakan kedudukan dua kali pada mata 10-10 dan 11-11. Semangat Hoo/Cheah yang menyala telah membakar lawan mereka. 

Kunci kemenangan di set penentuan ini adalah selepas Praveen/Melati merapatkan kedudukan kepada 12-13. Hoo/Cheah mengutip 7 mata berturut-turut untuk berada di mata akhir 20-12! Ketika ini rakan-rakan sepasukan sudah bangkit untuk meraikan kejayaan.

Tetapi mereka terpaksa menunggu sedikit. Praveen/Melati mencipta suasana tegang di hujung permainan apabila menyelamatkan 4 match point sebelum akhirnya Hoo/Cheah menyempurnakan match point ke-5, itu pun selepas detik mendebarkan.

Pukulan pemain lawan ke belakang gelanggang dikatakan keluar oleh penjaga garisan. Keputusan ini dicabar oleh Praveen/Melati. Apabila review menunjukkan "OUT" bermakna Hoo/Cheah telah mengejutkan beregu nombor 4 dunia, rakan-rakan sepasukan menyerbu beregu campuran ini.

Tepat 2.50 pagi waktu Malaysia,

Malaysia 3-2 Indonesia

----------

Di atas kertas, semua pemain Indonesia memiliki ranking lebih baik dalam semua 5 acara.

Satu pujian yang tinggi wajar diberikan kepada para wira dan wirawati negara kerana menampilkan semangat juang luar biasa dan bermain habis-habisan.

Memang semangat lain macam sikit apabila kita menentang Indonesia. Rakan serantau tapi musuh tradisi di gelanggang. Macam mana pun kita jangan kalah dengan Indonesia! Apa pun yang berlaku, kita tak boleh kalah dengan Indonesia! Itu prinsip utama.

Tahniah. Satu memori yang akan kekal lama dalam ingatan saya.


Monday, July 12, 2021

Final EURO: Malam Yang Aneh 1

Assalamualaikum.

Final EURO: Bahagian 1

Awal pagi tadi waktu Malaysia (malam di Stadium Wembley, England), dua pasukan terbaik dalam edisi Kejohanan Eropah (EURO) 2020 berentap untuk menentukan juara yang akan menjulang piala keagungan bola sepak Eropah.

Selepas pasukan nombor 1 dunia, Belgium, menyingkirkan juara bertahan, Portugal, di pusingan kedua (enam belas terbaik), hakikat yang mudah adalah para peminat bola sepak neutral akan dapat melihat juara baru ditabalkan. Soalannya: pasukan yang mana?

Ada sejarah penantian panjang bagi kedua-dua finalis.

Itali hanya pernah memenangi EURO sekali iaitu pada 53 tahun yang lalu (1968). England pula tidak pernah memenangi EURO dan layak buat kali pertama ke final EURO! England juga menanti 55 tahun untuk layak ke final kejohanan utama (major tournament) selepas melakukannya di halaman sendiri pada tahun 1966 ketika mereka menjulang Piala Dunia buat kali pertama dan terakhir.

Mungkin Belgium atau Perancis adalah pilihan utama ketika bermula EURO 2020, tetapi memasuki final, boleh dikatakan Itali dan England adalah dua pasukan yang paling layak.

Untuk rekod, Itali memasuki perlawanan akhir dengan rekod tanpa kalah sepanjang 33 perlawanan terakhir. Hanya dua pasukan memegang rekod tanpa kalah lebih panjang (35 perlawanan). Itali tidak bolos sebarang gol di peringkat kumpulan, tetapi bolos sekali kepada Austria (pusingan kedua), Belgium (suku akhir) dan Sepanyol (separuh akhir).

Rekod pertahanan England lebih ampuh. England mara ke final dengan hanya dibolosi satu gol ketika menentang Denmark di peringkat separuh akhir! England menjadi pasukan pertama yang memulakan kempen EURO dengan 5 clean sheet (tanpa bolos) berturut-turut. Memang dahsyat!

Itali layak ke pusingan kalah mati selaku pemenang Kumpulan A, dan England pula memenangi Kumpulan D.

Boleh dikatakan, ini adalah final idaman yang dinanti-nantikan para peminat bola sepak neutral.

Laungan peminat England sebelum perlawanan: "Football is coming home!"

Laungan balas peminat Itali: "It's coming to Rome!"


-bersambung-




Monday, June 28, 2021

Kejutan

Assalamualaikum.

Sekarang adalah musim EURO 2020. Musim bola sepak yang menjangkiti para peminat bola sepak di seluruh dunia menyaksikan satu pertandingan bola sepak negara-negara Eropah yang berlangsung sekali dalam tempoh masa 4 tahun. Kali terakhir dalam edisi 2016, Portugal ditabalkan menjadi juara.

Bagi pasangan peminat bola sepak, hadapilah sebulan ini dengan sabar dan tabah. Moga kebaikan untuk anda semua yang memahami musim ini.

24 pasukan dibahagikan dalam 6 kumpulan. 36 perlawanan peringkat kumpulan telah berakhir dengan 94 jaringan diledak oleh semua pasukan.

Ketika ini, pertandingan sudah memasuki pusingan 16 pasukan terbaik. Semua pemenang dan pasukan di tempat kedua setiap kumpulan layak, dan dilengkapkan oleh 4 pasukan terbaik di tempat ketiga setiap kumpulan.

Separuh perlawanan untuk pusingan Round of 16 ini sudah berakhir.

Wales 0-4 Denmark
Itali 2-1 Austria (masa tambahan)
Belanda 0-2 Republik Czech
Belgium 1-0 Portugal

Denmark dengan kemenangan paling bergaya. Itali-Austria menjadi satu-satunya perlawanan setakat ini yang terpaksa diheret ke masa tambahan selepas permainan tamat 0-0 dalam 90 minit masa permainan sebenar.

Republik Czech mengejutkan pemenang Kumpulan C yang telah menjaringkan sekurang-kurangnya 2 gol dalam 10 perlawanan terakhir mereka. Republik Czech akan berdepan Denmark dalam pusingan suku akhir, bermakna salah satu pasukan bukan pilihan ini akan beraksi di separuh akhir!

Belgium di ranking pertama dunia menyingkirkan juara bertahan EURO dengan satu-satunya percubaan mereka yang tepat ke sasaran. Satu gol yang indah daripada Thorgan Hazard.

---

Dua lagi perlawanan akan berlangsung malam ini melibatkan Croatia, Sepanyol dan Perancis.

Dua lagi perlawanan berlangsung malam esok melibatkan England dan Jerman akan melengkapkan pusingan kedua ini.

Jumpa lagi di entri seterusnya!

Ciao.



Sunday, May 2, 2021

Kebangkitan

Assalamualaikum.

Kebangkitan adalah perkara yang indah untuk disaksikan dalam bola sepak. Terutamanya jika ia dilakukan oleh pasukan yang kita minati. 

Awal pagi Jumaat (30 Mac), Manchester United mempersembahkan kepada dunia satu kebangkitan agung dalam sejarah bola sepak Eropah. Satu kisah kebangkitan yang akan dikenang oleh generasi ini untuk satu tempoh yang panjang, mungkin sehingga puluhan tahun. 

Antara kisah kebangkitan termasyhur yang setanding dengan ceritera kebangkitan terhebat yang lain.

----------

Beraksi di gelanggang sendiri, pengurus Ole Gunnar Solksjaer pasti mahu pasukannya tidak dibolosi sebelum bertandang ke kubu musuh nanti. Ole menurunkan kesebelasan terbaik. David De Gea menjaga gawang menggantikan penjaga gawang utama (ketika ini) Dean Henderson. 

Aaron Wan-Bissaka, Harry Maguire, Victor Lindelof, dan Luke Shaw membentuk rangkaian pertahanan berempat yang menjadi benteng kukuh Ole hampir untuk sepanjang musim. Fred dan Scott Mctominay menjadi pilihan Ole seperti biasa untuk fungsi double pivot dalam formasi asas yang digemarinya iaitu 4-2-3-1.

Barisan serangan berempat di hadapan kubu ini adalah antara yang terbaik yang dapat dihimpunkan setakat ini apabila semua cergas. Marcus Rashford, Bruno Fernandes dan Paul Pogba membentuk jentera ampuh tiga serangkai yang menyokong penyerang tengah tunggal, Edinson Cavani aka El Matador.

Dan gol pertama United adalah contoh klasik apabila barisan serangan United berada pada tahap terbaik. Pogba membelah pertahanan dari sayap kiri. Hantarannya kepada Cavani disambut dengan satu sentuhan yang terus melorongkan bola kepada Bruno. Pemain tengah sensasi Portugal itu bijak melakukan penyudah chip kaki kanan untuk meledak gol pertama.

Tidak sampai sepuluh minit pun United mendahului, Roma menyamakan kedudukan. Malang bagi Pogba yang memberikan sepakan penalti apabila cubaannya menghalang hantaran lintang secara meluncur menyaksikan bola terkena tangannya. Kapten Roma, Lorenzo Pellegrini tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Dan selepas detik setengah jam, Roma mengejutkan United dengan menjaringkan gol kedua. Serangan di sayap kiri yang gagal dipatahkan menyaksikan hantaran silang Pellegrini disambar penyerang Edin Dzeko. Gol itu menjadi rekod bagi Dzeko apabila meledak gol menentang United dalam tiga dekad berbeza bersama tiga pasukan yang berbeza! 

Memasuki bilik persalinan di waktu rehat, United ketinggalan 1-2 dalam pusingan separuh akhir dengan format timbal balas. Jika kedudukan ini kekal, masalah bagi United kerana Roma sedang memiliki kelebihan dua gol di tempat lawan.

Situasi ketika ini: United sudah tersingkir dari Piala Liga dan juga Piala FA. Berada di kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris dengan 10 mata di belakang Manchester City (berbaki 5 perlawanan), kejuaraan liga juga seperti bukan milik United musim ini. Maka kejuaraan Liga Europa adalah satu-satunya yang masih boleh digenggam.

Separuh masa: Manchester United 1-2 AS Roma

-------

Memulakan babak kedua, Ole tidak melakukan sebarang pertukaran walaupun sedang ketinggalan kepada pihak pelawat. Ole percaya barisan para pemainnya boleh bangkit. Kata kunci di sini adalah kepercayaan. Ole tidak rakus atau gelojoh untuk menukar pemain semata-mata untuk membuat pertukaran kerana sedang ketinggalan.

Dan kepercayaan itu berbalas ketika hanya tiga minit usia babak kedua. Satu serangan balas pantas menyaksikan United menyamakan kedudukan. Hantaran Pogba tepat kepada Cavani yang menolak kepada Bruno. Menanti beberapa detik, Bruno melorongkan semula bola kepada Cavani yang merembat kencang ke penjuru atas kiri gawang. Satu penyudah klasik daripada seorang penyerang tengah! Bantuan gol Bruno itu sekali gus membalas bantuan Cavani untuk gol peribadinya tadi.

Selepas detik sejam permainan, United menjarakkan diri daripada kedudukan seri 2-2 apabila menjaringkan tiga gol dalam masa 11 minit saja. Satu tempoh menyerang yang begitu sensasi. 

Pogba dan Bruno bergandingan lagi. Pogba menolak kepada Bruno yang meleretkan bola kepada Wan-Bissaka di sayap kanan. Hantaran silang Wan-Bissaka berjaya ditepis oleh penjaga gol tetapi singgah tepat di depan Cavani yang mudah merembat bola muntah tersebut untuk meledak gol kedua peribadinya. Cavani berada di tempat yang sempurna pada detik yang sempurna.

Beberapa minit kemudian, keadaan menjadi semakin parah buat Roma. Satu hantaran silang Rashford dari sayap kanan gagal disambut oleh Cavani. Tetapi Chris Smalling melanggar Cavani dengan lewat dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti. Bruno Fernandes tenang menjaringkan gol kedua peribadinya pula.

Dan ketika mencecah tiga suku permainan, Pogba mengambil giliran sebagai penjaring. Satu sepakan sudut terus kepada Bruno yang melakukan hantaran lintang sempurna tepat kepada Pogba. Satu lonjakan dan Pogba menanduk kencang menewaskan penjaga gol. Hantaran itu begitu sempurna, sepertinya Pogba dan Bruno sudah bermain bersama untuk bertahun lamanya sehingga Bruno tahu di mana Pogba berada. 

United hanya melakukan pertukaran pemain pertama selepas gol kelima tersebut dengan Mason Greenwood menggantikan Rashford. Dan sepuluh minit kemudian, Greenwood sendiri meledak gol keenam United yang menambah luka parah Roma.

Ia sekali lagi berpunca daripada serangan balas pantas. Hantaran Bruno menemui Cavani. Ketika itu, masih banyak yang perlu dilakukan Cavani. Tetapi dengan hanya satu sentuhan ajaib (outside of the boot) dengan kaki kanan, Cavani berjaya melakukan hantaran membelah pertahanan dan tepat kepada Greenwood.

Greenwood mengambil sedikit masa untuk mengumpul kekuatan sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kanan untuk menyempurnakan malam indah bagi Manchester United.

Masa penuh: Manchester United 6-2 AS Roma

----------

Satu kebangkitan ajaib. Ketinggalan 1-2 di separuh masa dan menang 6-2 di akhirnya. Lima gol tanpa balas di separuh masa kedua. Kata orang, "a game of two halves". Separuh masa kedua menjadi milik Manchester United sepenuhnya.

Dua pemain yang berjaya mencatat dua gol dan dua bantuan gol dalam satu perlawanan. Bruno Fernandes dan Edinson Cavani. Pemain terbaik perlawanan yang diundi ialah Cavani. Tetapi impak Bruno sejak dibeli oleh United tidak dapat dinafikan.

Masih ada satu lagi perlawanan, masih ada 90 minit harapan untuk Roma pula membalas kebangkitan. United sudah meletakkan sebelah kaki di final. Perjuangan belum selesai. Sisa-sisa harapan Roma masih menyala.

Dua gol di tempat lawan adalah bekalan yang baik. Tetapi untuk menewaskan United dengan margin lebih empat gol, dan melihat prestasi gemilang United ketika ini. Kebangkitan itu hampir mustahil untuk Roma. 

Kata orang, Roma ada "a mountain to climb".

Mampukah Roma melakukannya? Atau Manchester United akan mencatat kemenangan kedua di bumi Itali?

Sama-sama kita nantikan. Menarik juga untuk disaksikan jika Ole berani memberi minit permainan kepada pemain muda seperti Amad Diallo dan Shola Shoretire memandangkan kelebihan selesa yang dimiliki ketika ini.

Ciao!




Thursday, April 29, 2021

Sebelah Kaki Di Final

Assalamualaikum.

Tamat perlawanan pertama untuk peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2020/2021. Maka boleh dikatakan, sebelah kaki sudah berada di final. 

Untuk rekod, keempat-empat pasukan berjaya menjaringkan gol. Bukan separuh akhir yang berat sebelah.

----------------

REAL MADRID 1-1 CHELSEA

Tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan apabila Christian Pulisic tenang menggelecek penjaga gol Thibaut Courtois sebelum melepaskan ledakan yang membelah pertahanan. Gol di tempat lawan yang sangatlah berharga.

Real Madrid berjaya membalas menerusi penyerang sensasi mereka, Karim Benzema. 

Tiada pemenang di ibu kota Sepanyol tetapi Chelsea memiliki kelebihan.

-------

PARIS SAINT-GERMAIN 1-2 MANCHESTER CITY

Kapten PSG, Marquinhos meletakkan pasukannya di depan apabila menanduk kemas sepakan penjuru oleh Angel Di Maria. Marquinhos menjadi pemain ketiga yang menjaringkan gol dalam perlawanan suku akhir dan separuh akhir untuk dua musim berturut-turut. 

Ketika detik sejam, PSG masih di depan. Tidak lama kemudian, kedudukan berubah. Satu hantaran lintang dari Kevin De Bruyne kelihatan tidak membahayakan tetapi sebaliknya berlaku. 

Hantaran itu tidak disambar oleh mana-mana pemain Manchester City. Namun, ia berjaya memperdaya Keylor Navas di gawang PSG. Bola itu sepatutnya boleh diselamatkan, tetapi Navas tidak fokus.

Satu lagi situasi yang malang menghancurkan terus kubu PSG. Sepakan percuma Riyad Mahrez menuju ke arah benteng PSG. Malang sekali, ia tembus antara dua pemain PSG dan sekali lagi menewaskan Navas. Tidak sepatutnya berlaku tetapi ia tetap terjadi.

-----------------

Melihat situasi ketika ini, final antara dua kelab Inggeris masih ada potensi yang besar. Chelsea dengan satu gol di tempat lawan. Manchester City menang dengan memiliki kelebihan dua gol di tempat lawan.

Belum masanya untuk memadam harapan Real Madrid dan PSG. 

Jika ada satu pasukan yang boleh melakukan kebangkitan, pastilah PSG pasukan itu. Awal pagi tadi, Neymar dan Kylian Mbappe telah disenyapkan.

Adakah kita dapat melihat dua lagi perlawanan epik nanti?

Ciao!



Friday, April 16, 2021

Mari Ke Itali

Assalamualaikum.

Awal pagi tadi, Manchester United melangkah semakin hampir dengan kejuaraan Liga Europa. 

Berbekalkan kemenangan 2-0 di Sepanyol, United hanya perlu mengelak kekalahan untuk mara. Dan gol awal adalah sesuatu yang sangat membantu.

Edinson Cavani yang melakukan tandukan terbang menentang Spurs dalam perlawanan liga domestik, sekali lagi menemui sentuhan emasnya. Tandukan Paul Pogba disambut Cavani dengan sepakan kaki kiri yang tepat ke sasaran di awal permainan.

Harapan Granada untuk memadam defisit tiga gol menemui jalan buntu. Sebaliknya, United menambah derita pelawat. Hantaran lintang Alex Telles di akhir babak kedua ditanduk pertahanan lawan ke gawang sendiri.

Agregat 4-0, dan clean sheet (tidak dibolosi) dalam perlawanan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Europa.

---------

Sekitar perlawanan suku akhir yang lain, AS Roma diikat oleh Ajax Amsterdam di gelanggang sendiri. Jaringan Brian Brobbey di awal babak kedua memberi sedikit sinar harapan untuk pasukan pelawat.

Namun detik kebangkitan tidak menjelma, sebaliknya sisa-sisa harapan dipadamkan terus oleh jaringan penyamaan daripada Edin Dzeko. AS Roma layak dengan agregat 3-2.

Arsenal pula membedil kelab Republik Czech, Slavia Prague 4-0 tanpa belas kasihan. Selepas terikat 1-1 dalam perlawanan pertama, Arsenal mara gagah dengan agregat selesa 5-1.

Kelab Sepanyol, Villarreal membenam wakil Croatia, Dinamo Zagreb 2-1 di tempat sendiri. Kemenangan di kedua-dua gelanggang memberikan kejayaan agregat 3-1.

---------

Dua perlawanan separuh akhir dengan format timbal balas sudah disahkan:

Manchester United vs AS Roma
Villarreal vs Arsenal

Terdapat kemungkinan final Liga Europa nanti akan ditentukan oleh Manchester United dan Arsenal. Dan ketika Manchester City dan Chelsea tidak bertembung sesama sendiri dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, terdapat satu kebarangkalian yang menarik.

Manchester City dan Chelsea akan berentap di perlawanan akhir Liga Juara-Juara, manakala Manchester United dan Arsenal pula merebut trofi Liga Europa.

Ini bermakna kelab Liga Perdana Inggeris mendominasi pentas akhir peringkat benua Eropah!

Dan lebih gila: jika kedua-kedua kelab Manchester menjadi juara!

Gila, memang gila.

Ciao!



Thursday, April 15, 2021

Kutubkhanah

Assalamualaikum.

Adalah menjadi impian besar saya untuk memiliki satu bilik di rumah saya sendiri nanti untuk dijadikan ruang membaca yang penuh dengan buku-buku.

Perpustakaan. Library. Kutubkhanah.

Panggillah ia apa saja. Satu ruang yang dapat melepaskan hormon endorfin dalam tubuh saya. 



Inilah kutubkhanah kecil saya pada hari ini bertarikh 15 April 2021.

Disusun mengikut penerbit atau genre (lebih kepada komik dan puisi). Inilah penerbit-penerbit yang menerbitkan buku yang menjadi minat saya.

FIXI dengan novel-novel fiksyen indie dengan majoritinya bergenre thriller, seram dan misteri. Ada juga yang ditulis dengan unsur komedi. 

KOMRAD dengan buku-buku yang menghimpunkan anekdot dan juga kisah-kisah hidup. Pengalaman dari orang-orang seperti kadi, pegawai bank, pelajar perubatan, pegawai sumber manusia (HR). Juga ada kompilasi fiksyen seram daripada Puaka Bersekutu.

BUKU PRIMA dengan novel-novel fiksyen seram dan buku-buku PROJEK SERAM mereka.

PATRIOTS PUBLISHING dengan buku-buku sejarah dan pengetahuan am yang disampaikan dengan santai secara pop ilmiah. Terbaru, Patriots sudah menerbitkan karya fiksyen di bawah imprin mereka, MAHAKARYA.

HIJJAZ RECORDS PUBLISHING dengan buku-buku sejarah dan juga biografi tokoh.

IMAN PUBLICATION dengan buku-buku agama dan motivasi.

PROLOG MEDIA dengan novel-novel fiksyen yang lain dari kebiasaan.

KATA-PILAR dengan koleksi anekdot, dan yang paling saya suka, buku-buku puisi. 

Ada lagi buku-buku lain fiksyen dan bukan fiksyen dari rumah penerbitan lain.

Baru-baru ini saya membeli sejumlah 23 buah buku puisi terbitan INSTITUT TERJEMAHAN & BUKU MALAYSIA ketika jualan mega di Shopee. 

Puisi sangat dekat dengan saya. Saya suka membaca puisi-puisi yang disusun indah. Dan untuk menghiburkan hati yang lara, saya juga membaca komik sebagai hiburan.

Dan, memang sikit novel-novel cinta dalam kutubkhanah saya. Tak berapa minat nak baca novel-novel cinta di pasaran yang klise, fantasi (tak realistik), dan tebal. Novel-novel cinta yang banyak diadaptasi menjadi drama televisyen. Kata orang, 'drama pukul 7'!

Alhamdulillah, judul-judul dalam koleksi saya semakin mekar mewangi. 

Ciao!



Lengkap Empat

Assalamualaikum.

Sempurnalah sudah senarai empat pasukan yang akan berentap di separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Mereka akan merebut trofi kebanggaan bola sepak Eropah. 

Awal pagi tadi, dua lagi pasukan menyertai Paris Saint-Germain dan Chelsea yang layak semalam.

----------

BORUSSIA DORTMUND 1-2 MANCHESTER CITY
(agregat 2-4)

Kisah dongeng sudah berakhir untuk Erling Haaland dan Borussia Dortmund. Akhirnya mereka tumbang kepada gergasi bola sepak Inggeris. 

Pemain muda England sendiri yang meledak lebih awal untuk Dortmund. Jude Bellingham menjadi pemain Inggeris termuda yang menjaringkan gol dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah. Rembatan kaki kanan Bellingham gagal diselamatkan oleh Ederson walaupun berjaya ditepis.

Dortmund akan layak jika menang 1-0 kerana menjaringkan dua gol di kubu City, tetapi hal itu tidak terjadi. City menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Riyad Mahrez. Dan seorang lagi pemain muda England memadamkan terus harapan Dortmund.

Ledakan kaki kiri dari luar kotak penalti bermakna Foden menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan suku akhir ini. Ketika di England, Foden menjaringkan gol kemenangan di lewat permainan.

-------

LIVERPOOL 0-0 REAL MADRID
(agregat 1-3)

Tiada kisah kebangkitan agung yang mampu dilakar di Anfield. Turun dengan defisit dua gol, Liverpool perlu sekurang-kurangnya menjaringkan gol untuk menekan Real tetapi hal itu juga tidak berlaku. Penguasaan bola agak seimbang. Percubaan tepat sedikit memihak Liverpool dengan 5 berbalas 3. Trio Mane-Firmino-Salah gagal mencetuskan sebarang magis.

Selepas gagal mempertahankan takhta Liga Perdana Inggeris, kegagalan di peringkat benua ini pasti memberikan tekanan kepada pengurus Jurgen Klopp.

----------

Dua pasukan dari England, masing-masing satu dari Perancis dan Sepanyol.



Dua perlawanan separuh akhir yang pastinya menarik:

PSG vs Manchester City
Real Madrid vs Chelsea 

Saya lebih teruja dengan pertembungan PSG dan City yang sudah ibarat perlawanan akhir. Pertembungan semula Mauricio Pochettino dan Pep Guardiola. 

Untuk rekod, pasukan Spurs bimbingan Pochettino menyingkirkan City yang dipimpin oleh Guardiola dalam saingan ini pada musim 2018/2019. Terikat dengan agregat 4-4, Spurs layak dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Mungkinkah tragedi itu berulang untuk Pep Guardiola dan Manchester City?

Ketika ini terdapat kemungkinan dua pasukan Liga Perdana Inggeris bertemu sesama sendiri jika menewaskan lawan masing-masing, mengulangi final musim 2018/2019 antara Spurs dan Liverpool.

Dan ada juga kemungkinan kedua-dua pasukan dari England ini tersingkir jika jalan takdir menentukan PSG akan menentang Real Madrid.

Ciao!


Wednesday, April 14, 2021

Juara Baru

Assalamualaikum.

Ada satu hal yang pasti daripada aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi. Para peminat akan menyaksikan juara baru ditabalkan pada aksi final nanti. 

Dua perlawanan peringkat suku akhir berlangsung dan dua pasukan mengesahkan tempat di separuh akhir.

----------

CHELSEA 0-1 PORTO
(agregat 2-1)

Apabila Porto tewas di Portugal dalam perlawanan pertama, saya menyangka perlawanan ini akan menjadi mudah bagi Chelsea. Ternyata Porto membuktikan mengapa mereka layak berada di peringkat ini dan setanding dengan pasukan-pasukan gergasi yang lain. 

Chelsea di bawah bimbingan Thomas Tuchel terkenal dengan penguasaan bola. Namun, malam tadi 55% penguasaan didomnasi oleh pasukan pelawat. Porto hadir dengan misi mesti menang dan memerlukan dua gol tanpa balas untuk mengheret Chelsea ke masa tambahan.

Porto berjaya menang! Namun malang sekali, hanya satu gol yang berjaya dijaringkan oleh pemain gantian, Mehdi Taremi lewat di hujung permainan. 

-------

PARIS SAINT-GERMAIN 0-1 BAYERN MUNICH
(agregat 3-3)

Bayern membuktikan mengapa mereka adalah juara bertahan benua Eropah. Dimalukan di gelanggang sendiri, Bayern membalas balik dengan melakukan perkara yang sama di gelanggang sama. Bayern juga mendominasi penguasaan bola dengan 54%. 

Eric Maxim Choupo-Moting menjaringkan gol tunggal perlawanan di hujung babak pertama. Untuk rekod, Choupo-Moting meledak dalam kedua-dua perlawanan bertemu PSG. 

Skor yang sama dengan final Liga Juara-Juara Eropah musim lepas di mana Bayern Munich menjulang trofi. Bezanya kali ini, ada dua perlawanan dengan format timbal balas. Peraturan gol di tempat lawan memberikan kelebihan kepada PSG dengan 3 gol berbalas 1.

Misi balas dendam telah sempurna.

-----------

Satu dari England, dan satu dari Perancis. Dua perlawanan lagi akan berlangsung esok.

Borussia Dortmund v Manchester City
Liverpool v Real Madrid

Adakah England akan memiliki tiga wakil di separuh akhir? Atau Jerman dan Sepanyol akan memastikan setiap negara hanya ada satu wakil di separuh akhir?

Semuanya akan terjawab tak lama lagi.

Ciao!



Monday, April 12, 2021

Kemenangan Bermakna

Assalamualaikum.

Manchester United menewaskan Tottenham Hotspurs malam tadi dengan bergaya. Ada beberapa sebab kemenangan 3-1 malam tadi sangat bermakna:

1. Dilakukan di gelanggang lawan.
2. Membalas dendam kekalahan 6-1 di Old Trafford awal musim ini.
3. Berjaya bangkit dari ketinggalan satu gol.
4. Membuktikan Ole Gunnar Solksjaer mempunyai taktikal yang dapat menandingi Jose Mourinho.
5. Memalukan bekas pengurus, Jose Mourinho (yang terkenal angkuh).

Ole menurunkan kesebelasan utama yang boleh dikatakan antara yang terkuat musim ini. Dean Henderson menjaga gawang di hadapan Aaron Wan-Bissaka, Harry Maguire, Victor Lindelof, dan Luke Shaw. Fred dan Scott Mctominay melindungi benteng pertahanan. Tiga pemain tengah iaitu Marcus Rashford, Paul Pogba dan Bruno Fernandes menyokong penyerang tunggal Edinson Cavani.

Manchester United sepatutnya berada lebih awal di depan jika gol Cavani tidak dibatalkan. Cavani menggempur lorongan cantik daripada Pogba menewaskan Hugo Lloris di gawang Spurs. 

Malangnya, gol itu dibatalkan pengadil selepas meneliti video VAR. Mctominay dipersalahkan kerana mengasari Son Heung Min ketika membina gol tersebut. Kekasaran itu bolehlah dikatakan agak lembut dan bukannya disengajakan. Keputusan yang aneh.

Tidak lama kemudian, Son dan Spurs menjaringkan gol pula di hujung berlawanan. Hantaran Harry Kane membelah pertahanan untuk Lucas Moura melintangkan bola kepada Son yang mudah menewaskan Henderson.

Ketinggalan satu gol di separuh masa, kemungkinan untuk kalah dua kali berturut-turut dalam satu musim kepada Spurs menghantui pemain United. Namun, mereka bangkit lebih gagah di separuh masa kedua. 

Fred yang tidak menjaringkan gol dalam Liga Perdana Inggeris sejak kali terakhir pada tahun 2018, akhirnya meledak. Fred bermain hantaran satu-dua yang cantik dengan Bruno dan Rashford sebelum melorongkan bola kepada Cavani. Rembatan Cavani ditepis Lloris tepat di hadapan Fred yang tidak mensia-siakan peluang terhidang.

Keputusan Ole untuk menggantikan Rashford dengan Mason Greenwood membuahkan hasil. Greenwood bijak melakukan hantaran lintang dari sayap kanan yang disambut oleh Cavani dengan tandukan terbang menewaskan Lloris. 

Dan Greenwood sendiri menjaringkan gol pada minit terakhir masa kecederaan. Menyambut hantaran Pogba, Greenwood memperdaya pertahanan dengan gerak badan lincah sebelum merembat deras menewaskan Lloris yang berjaya menyentuh bola tetapi tidak cukup untuk menepis keluar.

--------

Satu gol untuk Cavani (dua jika golnya pada separuh masa pertama dikira). Satu bantuan gol untuk Pogba (dua jika gol Cavani tak dibatalkan). Dan satu gol serta satu bantuan gol untuk Greenwood sebagai pemain gantian. 

Satu misi balas dendam yang berjaya disempurnakan. Pogba, Fred, dan Shaw secara peribadi membalas kritikan Mourinho terhadap mereka ketika menjadi pengurus United dahulu. Mereka yang dulu bukanlah yang sekarang.

Dalam perlawanan yang lain, pemain United yang dipinjamkan ke West Ham terus cemerlang dengan meledak dua lagi gol. Dalam dua perlawanan liga sebelum ini, Lingard menjaringkan gol dan juga mencipta bantuan gol. Nampaknya Lingard sedang mencipta fenomena di West Ham. Pemain yang sedang berada di tahap keyakinan sangat tinggi.

-------

Situasi ketika ini: United tujuh mata di depan Leicester City di tangga ketiga. Namun, ketinggalan 11 mata di belakang pasukan setempat, Manchester City. United beraksi kurang satu perlawanan berbanding City dan boleh merapatkan jurang kepada 8 mata jika menang perlawanan dalam tangan tersebut (dengan baki enam perlawanan). 

Manchester United perlu menang semua baki 7 perlawanan liga untuk menekan Manchester City.

Salam Ramadhan. Ciao!



Thursday, April 8, 2021

Dendam Terbalas

Assalamualaikum.

Jika semalam, dua pasukan tuan rumah mencatat kemenangan di gelanggang masing-masing dalam perlawanan pertama saingan suku akhir yang berformat timbal balas. Awal pagi tadi pula, dua pasukan pelawat yang menunjukkan taring mereka.

Dan lebih penting, misi balas dendam gergasi Paris tercapai!

----------

BAYERN MUNICH 2-3 PARIS SAINT-GERMAIN

Perlawanan ulangan final musim lepas. Tiada balas dendam yang lebih indah daripada melakukannya di stadium musuh sendiri. Itulah misi yang berjaya disempurnakan oleh PSG.

Neymar menjadi arkitek yang mencipta dua gol awal PSG. Tolakannya kepada Kylian Mbappe disudahkan dengan rembatan kencang kaki kanan. Kemudian, hantaran lambung Neymar menemui Marquinhos yang tenang menewaskan Manuel Neuer. 

Ketinggalan 0-2 tidak melemahkan semangat juara bertahan. Eric Maxim Choupo-Moting menanduk masuk gol yang merapatkan jurang. Sepakan percuma Joshua Kimmich berjaya ditanduk oleh Thomas Muller untuk menyamakan kedudukan.

Mbappe sekali lagi menjadi pemusnah Bayern. Menyambut lorongan cantik Angel Di Maria, Mbappe tenang memperdaya pertahanan lawan sebelum sepakan leretnya mengelirukan Neuer untuk gol kedua peribadinya.

------

PORTO 0-2 CHELSEA

Porto turun selaku pasukan paling underdog antara semua lapan pasukan yang bersaing di pusingan suku akhir ini. Turun berdepan pasukan bimbingan Thomas Tuchel, Porto tiada jawapan.

Hantaran Jorginho disambut kemas oleh Mason Mount yang memusingkan badannya sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol. Ben Chilwell kemudiannya mengambil kesempatan atas kesilapan pertahanan untuk melakukan larian pintar membelah pertahanan. Chilwell tenang melepasi penjaga gol untuk menolak bola ke gawang terbuka. 

----------

Peraturan gol di tempat lawan adalah satu peraturan yang penting dalam saingan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah. Dua pasukan pelawat yang menang awal pagi tadi membawa bekalan penting untuk kembali ke kubu mereka.

PSG mempunyai tiga gol di tempat lawan. Walaupun hanya membawa kelebihan satu gol, PSG mempunyai banyak pilihan keputusan di Paris nanti. Selain mengelak kekalahan yang memastikan mereka layak, mereka juga boleh kalah 0-1 atau 1-2 dan masih lagi boleh mara. 

Begitu juga dengan Chelsea. Dua gol tanpa balas dan dua gol di tempat lawan. Beraksi di gelanggang sendiri nanti, Chelsea boleh tewas 0-1 dan 1-2 dan masih meneruskan langkah ke separuh akhir. Secara realistik, peluang Porto untuk bangkit dan menyingkirkan Chelsea adalah sangat tipis.

Ciao!




Wednesday, April 7, 2021

Kenduri Gol

Assalamualaikum.

Perlawanan pertama untuk pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, dengan format timbal balas. Dua pasukan tuan rumah menang.

----------

MANCHESTER CITY 2-1 BORUSSIA DORTMUND

Impian City untuk memenangi quadruple musim ini terus menyala. Dortmund ditunjangi penyerang muda sensasi bukanlah lawan yang boleh dipandang enteng. Namun, penguasaan bola 60% membantu misi City.

Hantaran lintang Riyad Mahrez disempurnakan oleh kapten Kevin De Bruyne untuk meletakkan City di depan. Dortmund menyangka mereka berjaya merentap semangat City apabila lorongan cantik Haaland berjaya disudahkan oleh Marco Reus untuk 'gol di tempat lawan' yang sangat berharga ketika permainan berbaki enam minit saja mengikut masa sebenar.

Seorang lagi penyerang muda sensasi ketika ini, Phil Foden memastikan City membawa kelebihan untuk beraksi di Jerman nanti apabila menjaringkan gol kemenangan di lewat permainan. 

-----

REAL MADRID 3-1 LIVERPOOL

Ulangan final Liga Juara-Juara Eropah musim 2017/2018 yang dimenangi oleh Real Madrid dengan keputusan akhir yang sama (3-1). Penguasaan bola seimbang, tetapi Real Madrid mempunyai lebih banyak percubaan tepat ke arah gol yang berjaya diterjemahkan kepada kemenangan.

Bintang muda, Vinicius Junior menyambut kemas hantaran lambung jarak jauh daripada Toni Kroos sebelum merembat kencang melepasi penjaga gol, Alisson. Kesilapan Trent-Alexander Arnold sembilan minit kemudian membawa padah apabila tandukannya tepat ke arah Marco Asensio yang bijak menewaskan Alisson.

Mohamed Salah merapatkan kedudukan apabila berada di kedudukan yang sempurna untuk menjaringkan 'gol di tempat lawan'. Vinicius memastikan Real Madrid mendapat bekalan selesa untuk dibawa ke England dengan gol kedua peribadi dengan menyempurnakan tolakan daripada Luka Modric.

-----------

Masih ada satu lagi perlawanan untuk kedua-dua pasukan. Kelebihan yang dibawa tidak cukup besar untuk Manchester City dan Liverpool. Tambahan pula, Dortmund dan Liverpool masing-masing menjaringkan gol di tempat lawan yang penting jika kedudukan agregat terikat. 

Contohnya, kemenangan 1-0 di Jerman nanti sudah cukup untuk Dortmund layak ke separuh akhir walaupun keputusan itu hanya akan mengikat agregat 2-2. 

Dua lagi perlawanan pertama untuk suku akhir akan berlangsung awal pagi esok.

Bayern Munich vs PSG
Porto vs Chelsea 

Saya teruja untuk melihat pemenang antara Bayern menentang PSG. Ini akan menjadi ulangan final musim lepas yang menyaksikan Bayern muncul juara dan masih mengekalkan status sebagai juara bertahan. PSG turun dengan misi balas dendam!

Ciao,



Thursday, March 18, 2021

Masih Terbuka

Assalamualaikum.

Baru empat perlawanan ditamatkan, masih terlalu awal saingan Liga Super Malaysia musim baru.

Selangor bertandang ke stadium juara bertahan dan berjaya menjadi pasukan pertama yang mencuri mata. Selangor berjaya mencalarkan ego tuan rumah dan mencuri satu mata untuk dibawa pulang. Rekod 100% JDT hancur berkecai.

Satu lagi pasukan pendahulu yang sebelum ini memiliki rekod 100% iaitu Terengganu juga menemui jalan buntu. Melaka United berjaya mencuri satu mata dari gelanggang lawan. Hanya JDT, Terengganu dan Melaka United yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah. Namun bagi Melaka United, mereka boleh digelar pakar seri kerana sudah mencatat empat keputusan seri berturut-turut!

Sekitar perlawanan lain, Kedah Darul Aman FC memungut tiga mata penuh di gelanggang sendiri. Kedah bangkit daripada ketinggalan untuk membenam PJ City 3-1. Kuala Lumpur City FC juga mengutip tiga mata dengan menumbangkan Perak 3-0 di ibu negara. 

JDT dan Terengganu kekal di puncak liga dengan 10 mata, tiga mata di depan dua pasukan iaitu Kuala Lumpur City dan Kedah Darul Aman.

Masih jauh lagi perjalanan liga, berbaki 18 perlawanan. JDT masih calon utama untuk mempertahankan kejuaraan dengan barisan pemain handalan yang mereka ada serta fasiliti latihan yang bertaraf dunia. 

Ciao!



Lengkap Sudah

Assalamualaikum.

Sempurna sudah lapan pasukan yang membentuk pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2020/2021. Awal pagi tadi, Bayern Munich dan Chelsea menjadi dua pasukan terakhir yang mengesahkan tiket mereka. Selangkah lebih dekat untuk merebut trofi keagungan bola sepak Eropah.

----------

BAYERN MUNICH 2-1 LAZIO
(agregat 6-2)

Satu lagi kemenangan, dan jurang semakin besar.
 
Sepakan penalti penyerang sensasi, Robert Lewandowski, meletakkan kedudukan Bayern semakin tidak dapat dicabar. Gol kedua daripada Eric Maxim Choupo-Moting menamatkan terus impian Lazio. 
 
Marco Parolo meledak gol sagu hati untuk Lazio. Tetapi dalam kedua-dua perlawanan, pasukan Itali itu tidak mampu menyaingi juara bertahan yang akan terus dengan misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan. 

-------

CHELSEA 2-0 ATLETICO MADRID
(agregat 3-0)

Seperti juga Bayern, Chelsea mencatat dua kemenangan sempurna dalam pusingan enam belas terbaik ini. Ternyata Chelsea di bawah bimbingan pengurus Thomas Tuchel jauh berbeza berbanding ketika dilatih oleh Frank Lampard. Tuchel mengekalkan rekod tanpa kalah terpanjang untuk pengurus baru Chelsea yang kini sudah mencapai 13 perlawanan. 9 kemenangan dan 4 kali seri. Malah lebih menakjubkan, Chelsea tidak dibolosi (clean sheet) dalam 11 daripada 13 perlawanan itu. Memang gila!

Hakim Ziyech mengukuhkan kedudukan agregat Chelsea dengan gol dalam separuh masa pertama. Kad merah yang dilayangkan kepada Stefan Savic di hujung permainan tidak membantu cubaan Atletico Madrid untuk mencipta kebangkitan.

Dua gol yang diperlukan Atletico tidak berjaya dicari. Chelsea pula yang menjaringkan satu lagi gol menerusi Emerson sebelum perlawanan tamat.

----------

Tiga pasukan dari England, dua pasukan dari Jerman. Dan masing-masing satu pasukan dari Portugal, Perancis dan Sepanyol.

Empat perlawanan dan laluan ke final akan ditentukan dalam majlis undian nanti. Hebat juga nama-nama yang akan merebut tempat ke separuh akhir. Jika disusun ranking lapan pasukan ini, Porto mungkin berada di tangga terakhir.

Tiada lagi sekatan untuk dua kelab dari persatuan/negara yang sama untuk bertembung. Jadi kemungkinan Manchester City, Liverpool dan Chelsea bertemu sesama sendiri itu ada. 

Pasukan manakah antara gergasi ini semua yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan berprestij ini? Sama-sama kita nantikan. Pertembungan suku akhir yang paling saya nantikan? Manchester City vs Bayern Munich! Ibarat perlawanan akhir.

Ciao!



Wednesday, March 17, 2021

Terlalu Ampuh

Assalamualaikum.

Untuk dua pasukan yang cuba mencabar gergasi bola sepak Eropah, awal pagi tadi (waktu Malaysia) bukanlah waktu yang baik. Mereka gagal dalam misi untuk mara ke peringkat suku akhir, bukan kerana mereka tidak mencuba. Tetapi pasukan gergasi yang dilawan terlalu ampuh.

----------

MANCHESTER CITY 2-0 BORUSSIA MONCHENGLADBACH
(agregat 4-0)
 
Dua kali kemenangan dengan skor yang sama. Satu lagi clean sheet (tidak bolos) direkodkan. Kemenangan agregat yang bergaya. 

Pep Guardiola mungkin telah menemui ramuan kejayaan sebagai pengurus Manchester City. Selain kekukuhan benteng pertahanan, jentera serangan City juga sentiasa berjaya memecah kebuntuan, jarang menghampakan. 

Walaupun mereka hanya menang tipis 1-0 atau 2-0, bagi peminat neutral bola sepak, kemenangan dengan skor berapa pun tidak penting. Jika mereka menang dengan setengah gol sekalipun, kemenangan tetap kemenangan. 

Jaringan oleh dua pemain tengah, Kevin De Bruyne dan Ilkay Gundogan meletakkan City selangkah lebih dekat untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah, yang tidak pernah dimenangi oleh Pep sepanjang mengurus City.
 
-------
 
REAL MADRID 3-1 ATALANTA
(agregat 4-1)
 
Dengan defisit satu gol daripada perlawanan pertama, Atalanta seperti mempunyai peluang. Namun api harapan mereka pun tidaklah menyala terang. Gol lewat Ferland Mendy di Itali menjadi gol di tempat lawan yang berharga.

Atalanta perlu mendapatkan satu gol juga di gelanggang Madrid. Dan mereka berjaya mendapatkan gol itu, tetapi sudah terlewat. Ketika saingan hampir dinoktahkan. Real Madrid lebih dulu mendapat dua gol hasil jaringan Karim Benzema dan Sergio Ramos yang meletakkan mereka dalam kedudukan agregat selesa. 

Di hujung permainan, Luis Muriel menghadiahkan gol sagu hati untuk pelawat. Marco Asensio memadamkan terus sisa-sisa harapan Atalanta untuk sebarang keajaiban dengan gol balas hanya berselang dua minit.
 
----------
 
Borussia Dortmund, Porto, Liverpool, PSG, Manchester City, Real Madrid.
 
Bukan calang-calang enam pasukan yang telah melayakkan diri ke suku akhir.
 
Bayern Munich vs Lazio
Chelsea vs Atletico Madrid
 
Bayern Munich dan Chelsea memiliki kelebihan daripada perlawanan pertama. Kelebihan Bayern lebih selesa berbanding Chelsea. Atletico Madrid masih mempunyai peluang cerah untuk melakukan kebangkitan. 
 
Adakah Sepanyol akan mempunyai wakil kedua di pusingan suku akhir atau England yang berpesta dengan wakil ketiga? Persoalan itu akan terjawab awal pagi esok.
 
Ciao!
 
 


Tuesday, March 16, 2021

Selepas Black?

Assalamualaikum.

Amaran: entri ini bukanlah tentang Black Hanifah!

Ya, benar. 'Black' yang saya maksudkan ialah drama dari Korea Selatan. Sehingga baru-baru ini, 'Black' adalah satu-satunya drama Korea yang saya pernah tonton. Saya lupa bila saya menontonnya, tapi mungkin ketika masih belajar di universiti, sudah lama dahulu.
 
Satu drama yang sangat membuatkan saya terkesan. Penamatnya mungkin indah bagi sesetengah orang tapi bagi saya, penutup drama itu sangat tragis dan membuatkan saya tidak mahu menonton lagi drama Korea walaupun manusia lain di atas muka bumi ini terjebak dengan demam K-drama.

Namun, memandangkan saya sedang berehat di rumah ketika ini kerana dalam fasa pemulihan daripada kemalangan yang menimpa, saya terjebak juga. Menonton K-drama dengan adik-adik di Netflix. 

Sudah dua siri drama 20 episod yang saya habiskan dalam tempoh seminggu lebih. 

Salah satunya bertajuk 'Pinocchio'. Tentang seorang wartawan perempuan bernama Choi In-Ha yang menghidap satu sindrom (tak pernah wujud) iaitu sindrom Pinocchio. Penghidap sindrom ini tidak boleh bercakap bohong kerana mereka akan tersedu. Berbeza dengan cerita dongeng 'Pinocchio' yang kita dengar di mana hidungnya akan menjadi panjang bila berbohong.

Hero dan kekasih In-Ha pula ialah Ki Ha-Myeong (aka Choi Dal-Po) yang berkait rapat dengan keluarga In-Ha. Keluarga Ha-Myeong hancur musnah kerana emak In-Ha iaitu Song Cha-Ok. Drama ini sangat hebat mengisahkan perihal kewartawanan dan persoalan wartawan seharusnya menyampaikan berita yang benar. 

Saya suka falsafah yang cuba disampaikan oleh drama 'Pinocchio' ini. Bahawa kebenaran akan tetap didedahkan walaupun apa cara yang cuba digunakan untuk menyekat atau menutupnya. Dan betapa kebenaran itu tetaplah kebenaran walaupun sejuta orang mengatakan kebenaran itu dusta. 

Drama seterusnya yang saya tonton ialah 'Doctors'. Mula-mula nak tengok suka-suka saja, tapi sekali lagi saya terjerumus begitu dalam. Tenggelam dalam kedalaman falsafah drama ini. Bukan saja percintaan Hong Ji-Jong dan Yoo Hye-Jeong yang membuatkan saya teruja. Tapi juga watak-watak di samping mereka seperti Jung Yun-Do, Jin Seo-U, Choi Gang-Su, dan Pi Yeong-Guk. Malah cerita-cerita kecil yang lain juga ada kepentingannya.

Falsafah tentang cinta, keluarga dan sekali lagi tentang kebenaran. Saya juga suka persoalan yang ditekankan tentang betapa pentingnya menikmati hidup. Heroin Hye-Jeong yang terlalu fokus untuk membalas dendam kematian neneknya sehingga menghabiskan umurnya hanya untuk tujuan itu. Membazir usianya yang seharusnya dinikmati.

Jika ada masa lapang, saya akan mengulas lebih panjang tentang kedua-dua drama ini. Ketika ini saya sedang menonton drama 'While You Were Sleeping' yang dilakonkan oleh hero daripada drama 'Pinocchio' iaitu Lee Jong-Suk. 

Now playing: "While You Were Sleeping"

Ciao!



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif