Welcome To My Life...

Thursday, February 7, 2019

Sufian Suhaimi, Di Matamu & Kisah Cinta Tidak Kesampaian Yang Menghidupkan

Assalamualaikum.

Selepas tamat Anugerah Juara Lagu ke-33 untuk tahun 2018 yang berlangsung di Axiata Arena pada hari Ahad lepas (3 Februari 2019), persembahan Sufian Suhaimi yang memenangi anugerah Persembahan Terbaik masih diperkatakan.

Dengan jumlah tontonan video tertinggi untuk artis Malaysia untuk video muzik lagu 'Di Matamu' (melebihi 52.6 juta views ketika entri ini ditulis), 'Di Matamu' menjadi fenomena kerana melodi dan kisah di sebaliknya yang telah menghidupkan lagu ini. Kisah cinta yang tidak kesampaian.

Benar, jodoh di tangan Tuhan. Namun, bukan mudah bagi seorang lelaki untuk ditinggalkan oleh tunang ketika persiapan perkahwinan sudah dijalankan. I am not writing this to point who's the victim and what not. 

Kembali ke persembahan Sufian di AJL 33 yang sehingga entri ini ditulis, telah mencecah 4.4 juta tontonan di saluran Youtube TV3. Mari kita bicarakan Persembahan Terbaik ini.

--------

Sufian memilih pembukaan lagu dengan konsep syair. Satu pilihan yang unik. Ketika ini Sufian 'terperangkap' di dalam chandelier. Perlahan-lahan chandelier ini diangkat dan Sufian digambarkan bebas daripada jerat ini ketika dia habis menyanyikan verse yang kedua.

Penghayatan Sufian dari awal persembahan begitu kemas dan seperti dirasuk satu semangat yang berkobar-kobar di dadanya.


Inilah riak wajah Sufian sebaik saja menghabiskan korus kali pertama. Seperti baru mencapai kemerdekaan daripada cinta yang tambah menyakitkan apabila digenggam. Air mukanya menunjukkan kepuasan. He enjoyed the show!


Para penonton di Axiata Arena menyalakan flashlight untuk menandakan sokongan terhadap insan terluka yang ditinggalkan. Sokongan ini membakar semangat Sufian.



Pelamin di belakang Sufian yang awalnya sempurna dan kemudian 'terbelah' menunjukkan simbolik impiannya yang telah hancur. 

-------


Persembahan hebat Sufian telah menarik perhatian bekas tunangnya yang berada di Tanah Suci Mekah. Elfira dikritik hebat oleh netizen kerana sempat menyindir Sufian walaupun berada di tempat ibadat. Tingkah lakunya yang sudah menjadi isteri orang dianggap tidak sopan dan tidak perlu.

-------



Konsep persembahan Sufian nyata menarik perhatian netizen kerana hiasan pentas yang jelas hampir sama dengan majlis perkahwinan Elfira. Disoal wartawan selepas persembahan, Sufian menyatakan idea ini diberikan oleh orang di sekelilingnya dan dia mendapat bantuan daripada wedding planner yang membuahkan hasil seperti gambar di atas.

-------


Pereka baju Sufian, Hatta Dolmat, di Instagram-nya mendedahkan satu lagi hal betapa baju yang dipakai Sufian semasa persembahan diinspirasikan daripada hati yang hancur dan percikan 'darah' di atas baju dapat dilihat. Satu hasil yang menarik.

-------

Cara Sufian menamatkan persembahannya dengan epik pasti akan diperkatakan untuk satu tempoh masa yang panjang. 


Sufian melangkah ke pelamin dengan latar belakang grafik bunga (yang akan pecah).


Latar belakang bunga tadi pecah ketika Sufian ingin duduk (dan sebenarnya turut menjadi grafik wang kertas yang berterbangan).


Cara Sufian mengakhiri persembahan menarik perhatian netizen. Superbly beautiful performance daripada Sufian telah membuatkan penonton di Axiata Arena dan juga di rumah hanyut dalam kekecewaan dan kesakitannya. Music arrangement yang diubah menambah mood sedih dan membuatkan ada penonton yang menangis.

Sufian telah berjaya dengan persembahannya dan layak mendapat anugerah tersebut. Walaupun penulis lebih suka dengan persembahan bertenaga Syamel menyanyikan lagu 'Kau Pun Sama', persembahan Sufian lebih 'hidup' dengan kisah cinta yang tak kesampaian.

-------





Monday, February 4, 2019

MSL 2019 #1

Assalamualaikum.

Nama baru, import baru, pasukan baru dan bermacam-macam lagi yang baru. Juaranya masih sama, sekurangnya untuk lima musim terakhir. Johor Darul Takzim (JDT) di bawah naungan Tunku Mahkota Johor telah memenangi Liga Super lima tahun berturut-turut untuk menjadi pasukan yang mahu dikalahkan oleh pasukan-pasukan lain.

Enam perlawanan pertama berlangsung untuk musim baru Liga Super Malaysia. 

Keputusan penuh:

Terengganu 1-1 PKNS
Kuala Lumpur 1-3 Pahang
Johor Darul Takzim 1-0 Perak (Piala Sumbangsih)
Melaka United 2-1 PJ City
PKNP 0-2 Kedah
Selangor 1-1 Felda United

----------

Menjadi perhatian utama pastinya pertembungan di Larkin untuk merebut Piala Sumbangsih antara juara Liga Super menentang juara Piala Malaysia. Tanpa kelibat Gilmar, Perak gagal menyaingi kekuatan JDT yang menampilkan para pemain import baru. Namun, gol tunggal JDT dijaringkan oleh pemain import lama iaitu Gonzalo Cabrera.

Di Terengganu, tuan rumah terpaksa bangkit dari ketinggalan untuk mengutip satu mata. Permulaan yang pastinya mengecewakan para penyokong mereka. Malik Ariff menyelamatkan maruah naib juara Piala Malaysia ini dengan jaringan penyamaan ketika masa sebenar permainan berbaki satu minit.

Pahang pula menang bergaya di gelanggang lawan. Pemain muda Indonesia yang juga pemain import baru musim ini, Saddil Ramdani, meledak gol pertama. Bekas pemain import Pahang yang kembali menyertai pasukan musim ini, Dickson Nwakaeme, menjaringkan dua gol untuk meletakkan Pahang di puncak liga.

Melaka United yang merombak pasukan besar-besaran pula menang tipis di tempat sendiri. Diperkuatkan Safiq Rahim dan Liridon Krasniqi, Melaka membawa cabaran untuk sekurang-kurangnya kekal di zon pertengahan liga. Jaringan cantik Liridon dengan sepakan gunting sudah tentu menceriakan penyokong Melaka.

Kedah meneruskan rentak cemerlang di bawah jurulatih baru dengan mencatat kemenangan sulung. Pemain import dari Singapura, Shakir Hamzah, menjaringkan gol pertama berpunca daripada sepakan sudut. Rembatan padu Jonathan Bauman memastikan tiga mata penuh untuk Kedah.

Hadin Azman menyelamatkan satu mata untuk pelawat di Selangor selepas Antonio German meletakkan tuan rumah di depan dalam perlawanan terakhir untuk minggu ini.

-----

Pahang mendahului liga selepas satu perlawanan. Antara perlawanan menarik hujung minggu ini adalah pertembungan Perak menentang Kedah. Kedah memenangi Unity Shield sewaktu pra-musim dengan menewaskan Perak. Satu lagi perlawanan menarik adalah Pahang-Terengganu di Stadium Darul Makmur.

JDT akan memburu kemenangan kedua menentang Kuala Lumpur.




Juara + Juara = Juara

Assalamualaikum.

Apabila dua bekas juara bergabung dalam lagu duet, maka hasilnya adalah juara baru Anugerah Juara Lagu ke-33 untuk tahun 2018 yang diadakan di Axiata Arena pada 3 Februari 2019.

Selepas 12 persembahan yang hebat-hebat belaka, akhirnya pemenang terpaksa ditentukan. Semua artis memberikan yang terbaik tetapi adat pertandingan, ada yang mesti pulang hampa.

Persembahan Terbaik

Secara peribadi, penulis memilih persembahan bertenaga Syamel dengan lagu hits-nya, 'Kau Pun Sama'. Malah kedua-dua pengacara Alif Satar dan Sherry sendiri mendedahkan Syamel 'tak belanja' (baca: menyimpan) aura persembahan hebat itu. Ternyata Syamel boleh menari. Permainan vokal Syamel juga mengagumkan untuk lagu yang santai dan ringan ini.

Pun begitu, penulis setuju anugerah ini diberikan kepada Sufian Suhaimi. Mood kecewa dan patah hati Sufian begitu menjadi. Kudos kepada pasukan yang menjadi penasihatnya dalam hal persiapan pentas. Meniru background majlis perkahwinan bekas tunangnya bukan kerja yang mudah. Kerja gila yang dilaksanakan dengan sangat cemerlang. 

Dan ending persembahan itu di atas 'pelamin anganku musnah' pasti diingati dalam sejarah.

Vokal Terbaik

Dalam entri yang lepas, penulis menjangkakan vokal terbaik akan direbut tiga bekas pemenang: Misha Omar, Jaclyn Victor, dan Dayang Nurfaizah. Selepas dua kali berturut-turut memenangi kategori ini dengan lagu 'Bunga-Bunga Cinta' dan 'Pulangkan', Misha akhirnya melengkapkan hatrik untuk menyamai rekod Hafiz Suip dan Dayang Nurfaizah sendiri.

Persembahan Misha juga mungkin diingati sebagai antara persembahan terbaik malam tadi. Mengutamakan penghayatan, grafik di belakang Misha begitu bermakna. Wajah Misha sendiri yang diilustrasikan seperti lautan pada mulanya. Kemudian grafik ini bertukar menjadi 'terbakar'. Terasa mood lagu ini dalam persembahan hebatnya.

Top Three

Kejayaan lagu 'Sampai Bila' dendangan Misha Omar berada dalam kelompok tiga terbaik mungkin sudah dijangka. Tetapi tempat ketiga itu mungkin di luar jangkaan. Tempat kedua menjadi milik 'Bunga' yang dinyanyikan oleh Ara Johari.

Hael Husaini pastinya bangga mencipta sejarah selaku artis pertama menjadi juara AJL dua tahun berturut-turut, walaupun kali ini dengan lagu duet. Lagu solonya, Hajat, sekadar finalis. Sangat menarik sekali kerana pasangan duet Hael ialah bekas juara AJL pada tahun sebelum Hael. Maksudnya, juara AJL 31 (Dayang - Lelaki Teragung) dan AJL 32 (Hael - Jampi) bergabung untuk menjadi juara AJL 33!

Konsep persembahan Hael-Dayang juga begitu mantap. Mereka berpayung di bawah 'hujan'. How on Earth they make rain on the stage?? Insane!

------

Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Kemenangan Ara Johari dikritik ramai kerana beberapa lagu lain dirasakan lebih layak. Contohnya, 'Semakin' yang dikuatkan oleh vokal Siti Sarah. 

Kredibiliti 'Haram' selaku juara juga dipertikaikan. Penulis tidak hairan langsung dengan kejayaan kombinasi Hael-Dayang. Saat pertama kali mendengar lagu ini di radio, penulis tertanya-tanya siapakah yang menyanyikan lagu catchy ini. 

Dan apabila mengetahui lagu ini dinyanyikan oleh Hael dan Dayang, hati penulis tidak hairan. No wonder. Hael mula mencipta nama selaku komposer dengan melodi yang indah dan mudah 'menangkap'. Selepas kejayaan Jampi, Hajat dan Haram, adakah Hael akan kembali lagi ke pentas AJL 34 dengan misi memburu kejuaraan hatrik?

Atau sekurang-kurangnya penulis rasa lagu ciptaan Hael, 'Anta Permana' dendangan Siti Nurhaliza mungkin berada di pentas final AJL 34 tahun depan!  




Sunday, February 3, 2019

Vokal Terbaik

Assalamualaikum.

Selain juara lagu itu sendiri, kategori Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik sering menarik perhatian peminat. Sukar untuk memuaskan hati semua orang. Kemenangan seorang artis dalam kategori Vokal Terbaik basanya akan disokong oleh para peminatnya dan dikeji pula oleh armada haters

Tahukah anda, kategori Vokal Terbaik ini tidak bermula selari dengan permulaan Anugerah Juara Lagu sendiri iaitu pada tahun 1986? Sebaliknya, kategori ini pertama kali diumumkan pada tahun 2002 untuk AJL ke-17. Siapakah pemenang pertama? Tak lain dan tak bukan. Liza Hanim dengan suara emasnya.

Dan siapakah para pemenang lain?

AJL 17 (2002) -- Liza Hanim | Gelisah Mimpi
AJL 18 (2003) -- Misha Omar | Bunga-Bunga Cinta (juara lagu)
AJL 19 (2004) -- Misha Omar | Pulangkan 
AJL 20 (2005) -- Hazami | Kata 
-----
AJL 21 (2006) -- Adibah Noor | Terlalu Istimewa (juara lagu)
AJL 22 (2007) -- Jaclyn Victor & Lah Ahmad | Ceritera Cinta
AJL 23 (2008) -- Faizal Tahir | Sampai Syurga
AJL 24 (2009) -- Black | Aku Rindu Sayang Kamu
AJL 25 (2010) -- Hafiz | Noktah Cinta
AJL 26 (2011) -- Hafiz | Awan Nano (juara lagu)
AJL 27 (2012) -- Hafiz | Ku Akui
AJL 28 (2013) -- Jaclyn Victor | Ikut Rentakku
AJL 29 (2014) -- Dayang Nurfaizah | Di Pintu Syurga
AJL 30 (2015) -- Dayang Nurfaizah | Tak Pernah Menyerah
-----
AJL 31 (2016) -- Dayang Nurfaizah | Lelaki Teragung (juara lagu)
AJL 32 (2017) -- Syamel & Ernie Zakri | Aku Cinta

----------

Fakta:

-- Liza Hanim sebagai pemenang pertama dalam sejarah AJL (2002).
-- Kemudian, Misha Omar menjadi artis pertama memenangi anugerah sama dua tahun berturut-turut (2003 & 2004).
-- Hazami menjadi penyanyi lelaki pertama memenangi kategori itu (2005) dalam tahun yang sama Jaclyn Victor menjuarai AJL dengan lagu 'Gemilang'.
-- Jaclyn Victor dan Lah Ahmad menjadi pasangan duet pertama memenangi kategori ini (2007).
-- Hafiz Suip menjadi artis pertama memenangi kategori ini tiga tahun berturut-turut (2010 - 2012).
-- Dayang Nurfaizah mengulangi rekod hatrik Hafiz sekali gus menjadi artis wanita pertama berjaya melakukannya tiga tahun berturut-turut (2014 - 2016).
-- Selepas 16 kali dipertandingkan, hanya empat kali pemenang kategori ini mencipta double dengan turut menjuarai AJL tahun yang sama (Misha - 2003 / Adibah Noor - 2006 / Hafiz Suip - 2011 / Dayang Nurfaizah - 2016).

-----

Malam ini, kategori ini akan menyaksikan saingan sengit kerana terdapat tiga bekas pemenang yang ketiga-tiga mereka telah memenanginya lebih daripada sekali. Dayang dengan hatrik akan memburu kemenangan kali keempat dengan mempertaruhkan lagu duet berjudul 'Haram' bersama pemenang AJL tahun lalu, Hael Husaini (yang akan turut menyanyikan satu lagi lagu solo, 'Hajat'). 

Misha Omar dan Jaclyn Victor yang masing-masing pernah menang dua kali akan memberikan cabaran hebat. Tapi jangan dilupakan vokal Siti Sarah yang akan mendendangkan lagu yang lirik lagu tersebut ditulis oleh suaminya, Shuib.

Penulis menjangka pemenang kategori ini untuk AJL 33 adalah daripada empat artis ini.



Friday, February 1, 2019

Finale Piala Asia

Assalamualaikum.

Siapa pun yang menang hari ini, satu hakikat yang pasti adalah juara baru akan ditabalkan kerana juara bertahan (Australia) sudah disingkirkan di suku akhir. Dua pasukan paling kuat dalam edisi kali ini akan berentap untuk menjulang piala di bumi Emiriah Arab Bersatu.

Secara adil, dua pemenang kumpulan akan bertemu dan beradu kekuatan.

---

JEPUN 
suku akhir edisi 2015
Juara Kumpulan F

menang vs Turkmenistan 3-2 (Kumpulan F)
menang vs Oman 1-0 (Kumpulan F)
menang vs Uzbekistan 2-1 (Kumpulan F)
menang vs Arab Saudi 1-0 (pusingan kedua)
menang vs Vietnam 1-0 (suku akhir)
menang vs Iran 3-0 (separuh akhir)

Secara keseluruhan, anak-anak buah Hajime Moriyasu sudah menjaringkan 11 gol dan dibolosi hanya 3 gol (perbezaan gol 8). Setakat ini, Jepun masih mengekalkan rekod 100% dengan memenangi kesemua perlawanan. Selain membariskan pemain-pemain yang berusia dan berpengalaman, dua pemain muda Jepun mencuri tumpuan iaitu bek tengah Takehiro Tomiyasu dan sayap kanan Ritsu Doan yang menjadi tonggak pasukan. 

Sebelum perlawanan separuh akhir, Jepun hanya menang tipis kesemua perlawanan (perbezaan satu gol). Jepun menghadapi dua perlawanan bertemu rakan-rakan wakil benua Asia di Piala Dunia 2018 (Arab Saudi dan Iran) dalam laluan mereka. Paling mencuri tumpuan, pastinya kemenangan bergaya Jepun mengatasi Iran. Ini pastinya satu amaran kepada Qatar bahawa Jepun mahu menjadi yang terbaik di benua ini.

Untuk rekod, Jepun tersingkir di suku akhir edisi 2015 selepas ditewaskan UAE dalam penentuan sepakan penalti.

---

QATAR
peringkat kumpulan edisi 2015
Juara Kumpulan E

menang vs Lubnan 2-0 (Kumpulan E)
menang vs Korea Utara 6-0 (Kumpulan E)
menang vs Arab Saudi 2-0 (Kumpulan E)
menang vs Iraq 1-0 (pusingan kedua)
menang vs Korea Selatan 1-0 (suku akhir)
menang vs UAE 4-0 (separuh akhir)

Memang gila! Gawang gol Saad Al Sheeb masih kebal dan tidak dibolosi! Jentera serangan Qatar tidak kurang hebatnya dengan sudah meledak 16 gol (perbezaan gol 16). Seperti juga Jepun, Qatar masih mengekalkan rekod kemenangan 100%.

Selepas melepasi peringkat kumpulan dengan tiga kemenangan sempurna dengan margin tidak kurang daripada dua gol, anak-anak buah Felix Sanchez menghadapi dua rintangan berikutnya di pusingan kalah mati dengan dua kemenangan tipis yang membuktikan kekuatan mental mereka. 

Qatar menewaskan pasukan Piala Dunia 2018, Arab Saudi, untuk menjuarai Kumpulan E. Menarik juga apabila Qatar menewaskan tiga pasukan yang beraksi di peringkat separuh akhir edisi 2015 dalam pusingan kalah mati kali ini. Iraq di tempat keempat, Korea Selatan ialah naib juara, dan UAE pula ketiga terbaik dalam edisi yang lepas. 

Jika Jepun memberikan amaran dengan membelasah Iran, Qatar juga turut sama membelasah tuan rumah edisi kali ini dengan jumlah jaringan yang lebih besar. What you can do, I can do better!

-------

Untuk rekod, Jepun ialah pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Asia dengan 4 kejuaraan (kali terakhir dalam edisi 2011). Maka tidak hairanlah jika Jepun menjadi pasukan pilihan untuk menjulang piala berprestij ini buat kali kelima.

Atau mungkin Qatar ada skrip lain untuk muncul juara kali pertama. Tuan rumah Piala Dunia 2022 ini cukup mengagumkan. Selepas tewas kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan dalam edisi 2-15, kebangkitan Qatar menuju Piala Dunia di bumi mereka sangat menarik perhatian.

Penyerang handalan Qatar, Almoez Ali, mempunyai misi peribadi dalam perlawanan akhir nanti. Satu gol menentang UAE di peringkat separuh akhir, Almoez sudah menyamai pencapaian legenda Iran, dengan menjaringkan jumlah gol terbanyak dalam satu edisi Piala Asia (8 gol). Satu gol menentang Jepun dan Almoez akan mengukir namanya dalam lembaran sejarah.

Untuk mara ke final sudah satu pencapaian yang hebat. Untuk melakukannya dengan rekod kemenangan 100% adalah satu lagi tahap yang wajar diberikan pujian. Dan untuk melakukannya dengan menjaringkan 16 gol tanpa dibolosi sebarang gol, ianya satu tahap yang lebih tinggi.  

Ramalan penulis: Jepun 0-2 Qatar

Pastinya Qatar ialah underdog terhebat yang akan dihadapi Jepun!



Juara-Juara Lagu

Assalamualaikum.

Debaran semakin terasa. Lagu manakah yang bakal ditabalkan sebagai Juara Lagu ke-33? Anugerah Juara Lagu (AJL) 33 akan diadakan pada hari Ahad ini, 3 Februari 2019.

Berikut adalah lagu-lagu yang pernah menjadi Juara Lagu dalam lembaran sejarah pertandingan ini yang bermula pada tahun 1986.

AJL 1 (1986) -- Sekadar Di Pinggiran (Francissca Peter)
AJL 2 (1987) -- Menaruh Harapan (Zaiton Sameon)
AJL 3 (1988) -- Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu (Ramlah Ram)
AJL 4 (1989) -- Isabella (Search)
AJL 5 (1990) -- Janji Manismu (Aishah)
AJL 6 (1991) -- Takdir Dan Waktu (Mega)
AJL 7 (1992) -- Pada Syurga Di Wajahmu (Nash)
AJL 8 (1993) -- Teratai Layu Di Tasik Madu (Fauziah Latiff)
AJL 9 (1994) -- Tanya Sama Itu Hud Hud (M. Nasir)
AJL 10 (1995) -- Cinta Beralih Arah (Aishah)
-----
AJL 11 (1996) -- Jerat Percintaan (Siti Nurhaliza) 
AJL 12 (1997) -- Ghazal Untuk Rabiah (M. Nasir & Jamal Abdillah)
AJL 13 (1998) -- Cindai (Siti Nurhaliza)
AJL 14 (1999) -- Andalusia (M. Nasir)
AJL 15 (2000) -- Balqis (Siti Nurhaliza)
AJL 16 (2001) -- Mimpi Laila (Yasin)
AJL 17 (2002) -- Keliru (Nurul & Ajai)
AJL 18 (2003) -- Bunga-Bunga Cinta (Misha Omar)
AJL 19 (2004) -- Rela Ku Pujuk (Spider)
AJL 20 (2005) -- Gemilang (Jaclyn Victor)
-----
AJL 21 (2006) -- Terlalu Istimewa (Adibah Noor)
AJL 22 (2007) -- Itu Kamu (Estranged)
AJL 23 (2008) -- Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain)
AJL 24 (2009) -- Pergi (Aizat)
AJL 25 (2010) -- Tolong Ingatkan Aku (Ana Raffali)
AJL 26 (2011) -- Awan Nano (Hafiz)
AJL 27 (2012) -- Terukir Di Bintang (Aizat)
AJL 28 (2013) -- Bahagiamu Deritaku (Hafiz)
AJL 29 (2014) -- Apa Khabar (Joe Flizzow & SonaOne)
AJL 30 (2015) -- Potret (Akim & The Majistret)
-----
AJL 31 (2016) -- Lelaki Teragung (Dayang Nurfaizah)
AJL 32 (2017) -- Jampi (Hael Husaini)

----------

Francissca Peter ialah juara sulung pertandingan dengan lagu legendanya, Sekadar Di Pinggiran. Juara terkini pula ialah Hael Husaini dengan lagu sensasinya, Jampi, yang telah menjampi rakyat Malaysia khasnya.

Berikut ialah senarai finalis AJL 33 dan juga angka giliran mereka untuk beraksi di malam final:

1. Luluh (Khai Bahar)
2. Jatuh Bangun (Haqiem Rusli ft. Aman RA)
3. Kau Pun Sama (Syamel)
4. Tak Pernah Hilang (Amylea & Kaer)
5. Hajat (Hael Husaini)
6. Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor)
7. Di Matamu (Sufian Suhaimi)
8. Bunga (De Fam)
9. Semakin (Siti Sarah)
10. Bunga (Ara Johari)
11. Haram (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah)
12. Sampai Bila (Misha Omar)

Lagu 'Bunga' dendangan asal Altimet akan menjadi satu-satunya lagu yang tidak akan menampilkan penyanyi asal. Altimet telah memilih De Fam sebagai wakil kerana memegang prinsipnya untuk bersara selepas kali terakhir beraksi di final AJL 32 dengan lagu 'Amboi' (yang memenangi Persembahan Terbaik). 

Dalam kalangan semua peserta kali ini, terdapat empat bekas juara AJL -- Misha Omar (2003); Jaclyn Victor (2005); Dayang Nurfaizah (2016); dan Hael Husaini (2017). Malah, fakta yang lebih menarik adalah hakikat juara dua edisi yang paling terkini (Dayang dan Hael) akan bergandingan mendendangkan lagu bertajuk 'Haram'.

Terdapat beberapa lagu antara semua finalis yang mempunyai lebih 'kekuatan' dan 'aura'. Misalnya 'Tak Pernah Hilang' menampilkan dua artis dengan vokal yang mantap dalam diri Amylea dan Kaer. Begitu juga kekuatan vokal Nana dan Jaclyn dalam lagu 'Nisan Cinta'. Tidak kurang hebatnya, lagu 'Semakin' (Siti Sarah) dan 'Sampai Bila' (Misha Omar) yang akan disampaikan oleh dua orang penyanyi dengan vokal yang berada dalam kelas tersendiri. 

Special mention to Ara Johari. Juga beraksi di pentas akhir AJL 32 dengan lagu hits sulungnya 'Warkah Untukku', lagu 'Bunga' turut menjadi kegemaran penulis. Malah Ara sudah muncul dengan lagu baru bertajuk 'Paku' yang juga catchy. Mungkin bakal layak ke final AJL 34 tahun depan!

Secara peribadi, pilihan penulis adalah lagu 'Di Matamu' nyanyian Sufian Suhaimi. Kejujuran lagu ini tidak perlu dipertikaikan kerana Sufian menulis lagu ini ketika menghadapi masalah dengan percintaannya. Malah, penulis sudah jatuh cinta dengan lagu ini sebelum versi muzik video rasminya dikeluarkan lagi! Fenomena lagu 'Di Matamu' tidak dapat dinafikan kerana video lagu ini di Youtube baru saja menjadi video yang mendapat tontonan paling tinggi untuk artis Malaysia (melebihi 51 juta tontonan).

Seperti mana fenomena lagu Jampi yang menjadi siulan sebelum memenangi AJL 32, 'Di Matamu' juga menjadi satu lagu yang mudah diingati. Lirik "dan tak..... seharusnya aku, bertemu dirimu di dunia ini" begitu menusuk kalbu. Mudah bagi penulis untuk mengatakan lagu ini sangat jujur dan cukup 'kuat' untuk bergelar juara.

Namun penulis tidak hairan jika Hael Husaini akan menjadi individu pertama memenangi AJL dua tahun berturut-turut. Faktor 'Hael' begitu terserlah apabila dua lagu dendangannya layak ke pentas akhir. Kemampuan Hael bukan saja sebagai penyanyi malah sebagai komposer dengan menghasilkan lagu yang sangat catchy. Pada mulanya penulis tidak suka dengan lagu Hajat tetapi kemudian jatuh cinta juga. Lagu 'Haram' juga tidak kurang hebatnya.

--------

Adakah salah seorang daripada bekas juara AJL akan kembali bergelar juara dalam edisi ke-33 ini? Semuanya akan terjawab hari Ahad nanti!



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif