Welcome To My Life...

Friday, February 1, 2019

Finale Piala Asia

Assalamualaikum.

Siapa pun yang menang hari ini, satu hakikat yang pasti adalah juara baru akan ditabalkan kerana juara bertahan (Australia) sudah disingkirkan di suku akhir. Dua pasukan paling kuat dalam edisi kali ini akan berentap untuk menjulang piala di bumi Emiriah Arab Bersatu.

Secara adil, dua pemenang kumpulan akan bertemu dan beradu kekuatan.

---

JEPUN 
suku akhir edisi 2015
Juara Kumpulan F

menang vs Turkmenistan 3-2 (Kumpulan F)
menang vs Oman 1-0 (Kumpulan F)
menang vs Uzbekistan 2-1 (Kumpulan F)
menang vs Arab Saudi 1-0 (pusingan kedua)
menang vs Vietnam 1-0 (suku akhir)
menang vs Iran 3-0 (separuh akhir)

Secara keseluruhan, anak-anak buah Hajime Moriyasu sudah menjaringkan 11 gol dan dibolosi hanya 3 gol (perbezaan gol 8). Setakat ini, Jepun masih mengekalkan rekod 100% dengan memenangi kesemua perlawanan. Selain membariskan pemain-pemain yang berusia dan berpengalaman, dua pemain muda Jepun mencuri tumpuan iaitu bek tengah Takehiro Tomiyasu dan sayap kanan Ritsu Doan yang menjadi tonggak pasukan. 

Sebelum perlawanan separuh akhir, Jepun hanya menang tipis kesemua perlawanan (perbezaan satu gol). Jepun menghadapi dua perlawanan bertemu rakan-rakan wakil benua Asia di Piala Dunia 2018 (Arab Saudi dan Iran) dalam laluan mereka. Paling mencuri tumpuan, pastinya kemenangan bergaya Jepun mengatasi Iran. Ini pastinya satu amaran kepada Qatar bahawa Jepun mahu menjadi yang terbaik di benua ini.

Untuk rekod, Jepun tersingkir di suku akhir edisi 2015 selepas ditewaskan UAE dalam penentuan sepakan penalti.

---

QATAR
peringkat kumpulan edisi 2015
Juara Kumpulan E

menang vs Lubnan 2-0 (Kumpulan E)
menang vs Korea Utara 6-0 (Kumpulan E)
menang vs Arab Saudi 2-0 (Kumpulan E)
menang vs Iraq 1-0 (pusingan kedua)
menang vs Korea Selatan 1-0 (suku akhir)
menang vs UAE 4-0 (separuh akhir)

Memang gila! Gawang gol Saad Al Sheeb masih kebal dan tidak dibolosi! Jentera serangan Qatar tidak kurang hebatnya dengan sudah meledak 16 gol (perbezaan gol 16). Seperti juga Jepun, Qatar masih mengekalkan rekod kemenangan 100%.

Selepas melepasi peringkat kumpulan dengan tiga kemenangan sempurna dengan margin tidak kurang daripada dua gol, anak-anak buah Felix Sanchez menghadapi dua rintangan berikutnya di pusingan kalah mati dengan dua kemenangan tipis yang membuktikan kekuatan mental mereka. 

Qatar menewaskan pasukan Piala Dunia 2018, Arab Saudi, untuk menjuarai Kumpulan E. Menarik juga apabila Qatar menewaskan tiga pasukan yang beraksi di peringkat separuh akhir edisi 2015 dalam pusingan kalah mati kali ini. Iraq di tempat keempat, Korea Selatan ialah naib juara, dan UAE pula ketiga terbaik dalam edisi yang lepas. 

Jika Jepun memberikan amaran dengan membelasah Iran, Qatar juga turut sama membelasah tuan rumah edisi kali ini dengan jumlah jaringan yang lebih besar. What you can do, I can do better!

-------

Untuk rekod, Jepun ialah pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Asia dengan 4 kejuaraan (kali terakhir dalam edisi 2011). Maka tidak hairanlah jika Jepun menjadi pasukan pilihan untuk menjulang piala berprestij ini buat kali kelima.

Atau mungkin Qatar ada skrip lain untuk muncul juara kali pertama. Tuan rumah Piala Dunia 2022 ini cukup mengagumkan. Selepas tewas kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan dalam edisi 2-15, kebangkitan Qatar menuju Piala Dunia di bumi mereka sangat menarik perhatian.

Penyerang handalan Qatar, Almoez Ali, mempunyai misi peribadi dalam perlawanan akhir nanti. Satu gol menentang UAE di peringkat separuh akhir, Almoez sudah menyamai pencapaian legenda Iran, dengan menjaringkan jumlah gol terbanyak dalam satu edisi Piala Asia (8 gol). Satu gol menentang Jepun dan Almoez akan mengukir namanya dalam lembaran sejarah.

Untuk mara ke final sudah satu pencapaian yang hebat. Untuk melakukannya dengan rekod kemenangan 100% adalah satu lagi tahap yang wajar diberikan pujian. Dan untuk melakukannya dengan menjaringkan 16 gol tanpa dibolosi sebarang gol, ianya satu tahap yang lebih tinggi.  

Ramalan penulis: Jepun 0-2 Qatar

Pastinya Qatar ialah underdog terhebat yang akan dihadapi Jepun!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif