Welcome To My Life...

Monday, February 4, 2019

Juara + Juara = Juara

Assalamualaikum.

Apabila dua bekas juara bergabung dalam lagu duet, maka hasilnya adalah juara baru Anugerah Juara Lagu ke-33 untuk tahun 2018 yang diadakan di Axiata Arena pada 3 Februari 2019.

Selepas 12 persembahan yang hebat-hebat belaka, akhirnya pemenang terpaksa ditentukan. Semua artis memberikan yang terbaik tetapi adat pertandingan, ada yang mesti pulang hampa.

Persembahan Terbaik

Secara peribadi, penulis memilih persembahan bertenaga Syamel dengan lagu hits-nya, 'Kau Pun Sama'. Malah kedua-dua pengacara Alif Satar dan Sherry sendiri mendedahkan Syamel 'tak belanja' (baca: menyimpan) aura persembahan hebat itu. Ternyata Syamel boleh menari. Permainan vokal Syamel juga mengagumkan untuk lagu yang santai dan ringan ini.

Pun begitu, penulis setuju anugerah ini diberikan kepada Sufian Suhaimi. Mood kecewa dan patah hati Sufian begitu menjadi. Kudos kepada pasukan yang menjadi penasihatnya dalam hal persiapan pentas. Meniru background majlis perkahwinan bekas tunangnya bukan kerja yang mudah. Kerja gila yang dilaksanakan dengan sangat cemerlang. 

Dan ending persembahan itu di atas 'pelamin anganku musnah' pasti diingati dalam sejarah.

Vokal Terbaik

Dalam entri yang lepas, penulis menjangkakan vokal terbaik akan direbut tiga bekas pemenang: Misha Omar, Jaclyn Victor, dan Dayang Nurfaizah. Selepas dua kali berturut-turut memenangi kategori ini dengan lagu 'Bunga-Bunga Cinta' dan 'Pulangkan', Misha akhirnya melengkapkan hatrik untuk menyamai rekod Hafiz Suip dan Dayang Nurfaizah sendiri.

Persembahan Misha juga mungkin diingati sebagai antara persembahan terbaik malam tadi. Mengutamakan penghayatan, grafik di belakang Misha begitu bermakna. Wajah Misha sendiri yang diilustrasikan seperti lautan pada mulanya. Kemudian grafik ini bertukar menjadi 'terbakar'. Terasa mood lagu ini dalam persembahan hebatnya.

Top Three

Kejayaan lagu 'Sampai Bila' dendangan Misha Omar berada dalam kelompok tiga terbaik mungkin sudah dijangka. Tetapi tempat ketiga itu mungkin di luar jangkaan. Tempat kedua menjadi milik 'Bunga' yang dinyanyikan oleh Ara Johari.

Hael Husaini pastinya bangga mencipta sejarah selaku artis pertama menjadi juara AJL dua tahun berturut-turut, walaupun kali ini dengan lagu duet. Lagu solonya, Hajat, sekadar finalis. Sangat menarik sekali kerana pasangan duet Hael ialah bekas juara AJL pada tahun sebelum Hael. Maksudnya, juara AJL 31 (Dayang - Lelaki Teragung) dan AJL 32 (Hael - Jampi) bergabung untuk menjadi juara AJL 33!

Konsep persembahan Hael-Dayang juga begitu mantap. Mereka berpayung di bawah 'hujan'. How on Earth they make rain on the stage?? Insane!

------

Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Kemenangan Ara Johari dikritik ramai kerana beberapa lagu lain dirasakan lebih layak. Contohnya, 'Semakin' yang dikuatkan oleh vokal Siti Sarah. 

Kredibiliti 'Haram' selaku juara juga dipertikaikan. Penulis tidak hairan langsung dengan kejayaan kombinasi Hael-Dayang. Saat pertama kali mendengar lagu ini di radio, penulis tertanya-tanya siapakah yang menyanyikan lagu catchy ini. 

Dan apabila mengetahui lagu ini dinyanyikan oleh Hael dan Dayang, hati penulis tidak hairan. No wonder. Hael mula mencipta nama selaku komposer dengan melodi yang indah dan mudah 'menangkap'. Selepas kejayaan Jampi, Hajat dan Haram, adakah Hael akan kembali lagi ke pentas AJL 34 dengan misi memburu kejuaraan hatrik?

Atau sekurang-kurangnya penulis rasa lagu ciptaan Hael, 'Anta Permana' dendangan Siti Nurhaliza mungkin berada di pentas final AJL 34 tahun depan!  




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif