Welcome To My Life...

Monday, February 4, 2019

MSL 2019 #1

Assalamualaikum.

Nama baru, import baru, pasukan baru dan bermacam-macam lagi yang baru. Juaranya masih sama, sekurangnya untuk lima musim terakhir. Johor Darul Takzim (JDT) di bawah naungan Tunku Mahkota Johor telah memenangi Liga Super lima tahun berturut-turut untuk menjadi pasukan yang mahu dikalahkan oleh pasukan-pasukan lain.

Enam perlawanan pertama berlangsung untuk musim baru Liga Super Malaysia. 

Keputusan penuh:

Terengganu 1-1 PKNS
Kuala Lumpur 1-3 Pahang
Johor Darul Takzim 1-0 Perak (Piala Sumbangsih)
Melaka United 2-1 PJ City
PKNP 0-2 Kedah
Selangor 1-1 Felda United

----------

Menjadi perhatian utama pastinya pertembungan di Larkin untuk merebut Piala Sumbangsih antara juara Liga Super menentang juara Piala Malaysia. Tanpa kelibat Gilmar, Perak gagal menyaingi kekuatan JDT yang menampilkan para pemain import baru. Namun, gol tunggal JDT dijaringkan oleh pemain import lama iaitu Gonzalo Cabrera.

Di Terengganu, tuan rumah terpaksa bangkit dari ketinggalan untuk mengutip satu mata. Permulaan yang pastinya mengecewakan para penyokong mereka. Malik Ariff menyelamatkan maruah naib juara Piala Malaysia ini dengan jaringan penyamaan ketika masa sebenar permainan berbaki satu minit.

Pahang pula menang bergaya di gelanggang lawan. Pemain muda Indonesia yang juga pemain import baru musim ini, Saddil Ramdani, meledak gol pertama. Bekas pemain import Pahang yang kembali menyertai pasukan musim ini, Dickson Nwakaeme, menjaringkan dua gol untuk meletakkan Pahang di puncak liga.

Melaka United yang merombak pasukan besar-besaran pula menang tipis di tempat sendiri. Diperkuatkan Safiq Rahim dan Liridon Krasniqi, Melaka membawa cabaran untuk sekurang-kurangnya kekal di zon pertengahan liga. Jaringan cantik Liridon dengan sepakan gunting sudah tentu menceriakan penyokong Melaka.

Kedah meneruskan rentak cemerlang di bawah jurulatih baru dengan mencatat kemenangan sulung. Pemain import dari Singapura, Shakir Hamzah, menjaringkan gol pertama berpunca daripada sepakan sudut. Rembatan padu Jonathan Bauman memastikan tiga mata penuh untuk Kedah.

Hadin Azman menyelamatkan satu mata untuk pelawat di Selangor selepas Antonio German meletakkan tuan rumah di depan dalam perlawanan terakhir untuk minggu ini.

-----

Pahang mendahului liga selepas satu perlawanan. Antara perlawanan menarik hujung minggu ini adalah pertembungan Perak menentang Kedah. Kedah memenangi Unity Shield sewaktu pra-musim dengan menewaskan Perak. Satu lagi perlawanan menarik adalah Pahang-Terengganu di Stadium Darul Makmur.

JDT akan memburu kemenangan kedua menentang Kuala Lumpur.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif