Saturday, August 30, 2014

Raya Yang Tak Raya

Assalamualaikum.

Okey, sekarang dah masuk bulan Zulkaedah. Syawal dah berlalu pun. Masa Syawal dulu aku tak ada mood nak tulis blog. Sekarang baru mood tu datang. Maka, inilah entri raya yang tertangguh.


Aku beraya di Johor. Tapi macam tajuk di atas, tak raya sangat pun. Sebabnya peperiksaan akhir bermula beberapa hari saja lepas raya. Aku balik kampung awal. Nak seronok pun tetiba ingat nak kena stadi. Memang terganggu mental dan fizikal. Masa sanak saudara buat persiapan raya, aku kena curi masa untuk ulang kaji. Terpaksa.


Alhamdulillah, pengorbanan itu berbaloi. I survived first year. Kita bukak buku baru, cerita baru.....


...dan sepupu baru. Ni sepupu paling kecik, Akim.


Aku balik awal dari famili. Aku terus ke KL untuk meneruskan perjuangan menaiki bas. Inilah kisah ringkas raya 2014, yang diceritakan sebulan selepasnya. ^_^




Putrajaya With Love

Assalamualaikum.

Susah jugak ada kawan yang gila-gila. Jumaat, 1 Ogos. Tiga hari sebelum peperiksaan akhir semester yang penting bermula. Sepatutnya kami semua ulang kaji dengan nota yang bertimbun.

Mulanya kami ke Masjid Putra untuk solat Jumaat. Sempat ulang kaji sekejap sementara tunggu masuk waktu Asar. Gerak ke Masjid Besi sebab bebudak ni nak solat kat sana. Hasilnya?

Lepas tu, bebudak ni nak tadabbur alam. Kami ke Taman Botani pulak.


Seterusnya, jadi model bunga.


Sempat jugaklah pusing-pusing Putrajaya. Itulah cara bebudak medik release tension.




Friday, August 29, 2014

Juara Kembali

Assalamualaikum.
 
Liga Juara-Juara kembali lagi. Selepas Real Madrid dari Sepanyol menjuarai pertandingan ini musim lepas, edisi kali ini akan menyaksikan ketiadaan gergasi bola sepak Eropah, Manchester United dan juga kemunculan semula Liverpool di pentas berprestij bola sepak benua ini.
 
Undian semalam menyaksikan tiada kumpulan yang benar-benar 'maut'. Tetapi ada dua kumpulan terbuka tanpa sebarang pilihan.
 
-------------------------------------
 
KUMPULAN A
 
Atletico Madrid (Sepanyol)
Juventus (Itali)
Olympiakos (Greece)
Malmo (Sweden)
 
Naib juara musim lepas, Atletico dan gergasi Serie A, Juventus, pastinya pilihan untuk melangkah jauh.
 
----------------
 
KUMPULAN B
 
Real Madrid (Sepanyol)
Basel (Switzerland)
Liverpool (England)
Ludogorets (Bulgaria)
 
Liverpool yang membuat kemunculan pertama akan menghadapi juara bertahan. Ludogorets pastinya bukan cabaran tetapi Basel mungkin menjadi penghalang Liverpool untuk mara.
 
---------------------
 
KUMPULAN C
 
Benfica (Portugal)
Zenit (Rusia)
Bayer Leverkusen (Jerman)
Monaco (Perancis)
 
Bukan 'Kumpulan Maut', tetapi semua pasukan mempunyai peluang sama rata untuk ke pusingan seterusnya. Mungkin Leverkusen dengan kemungkinan paling tipis. 
 
---------------------
 
KUMPULAN D
 
Arsenal (England)
Borussia Dortmund (Jerman)
Galatasaray (Turki)
Anderlecht (Belgium)
 
Dortmund sudah tidak sekuat musim-musim sebelum ini. Arsenal dengan peluang keemasan untuk menjuarai kumpulan.
 
---------------------------
 
KUMPULAN E
 
Bayern Munich (Jerman)
Manchester City (England)
CSKA Moscow (Rusia)
AS Roma (Itali)
 
Paling layak dilabel 'Kumpulan Maut'. City terpaksa menghadapi Bayern sekali lagi. AS Roma mungkin menjadi pencabar terkuat untuk dua pilihan utama.
 
-------------------------
 
KUMPULAN F
 
Barcelona (Sepanyol)
PSG (Perancis)
Ajax Amsterdam (Belanda)
APOEL (Cyprus)
 
Kumpulan yang melibatkan tiga pasukan (dan bekas pasukan) Zlatan Ibrahimovic (Barca dan Ajax). PSG (pasukan terkini Ibra) dijangka mengiringi Barca untuk mara.
 
------------------------
KUMPULAN G
 
Chelsea (England)
Schalke 04 (Jerman)
Sporting (Portugal)
Maribor (Slovenia)
 
Chelsea sekali lagi mendapat kumpulan yang mudah. Seharusnya memenangi kumpulan.
 
-----------------------------
 
KUMPULAN H
FC Porto (Portugal)
Shakhtar Donetsk (Ukraine)
Athletic Bilbao (Sepanyol)
BATE (Belarus)
Satu lagi kumpulan yang agak terbuka. 
 
--------------------------------
 
Begitulah undian peringkat kumpulan yang akan bermula 16 September ini. Beberapa perlawanan tumpuan akan menyerikan peringkat kumpulan selain kejutan yang pasti akan berlaku. 

Monday, August 25, 2014

Tapah to Anson Bay - Journey to Remember

Assalamualaikum.
 
Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk melawat bumi Perak Darul Ridzuan hujung minggu lepas. Ada rumah terbuka keluarga rakan serumah aku di Vista Komanwel. Kami bergerak ke sana pada tengah hari Sabtu. 
 
Sememangnya hancur leburlah diet aku pada hari tersebut. Dua pinggan lemang dan rendang. Satu mangkuk bihun sup. Kuih raya lagi. Dapat pulak kacang gajus kegemaran. 
 
Bergambar depan rumah terbuka.

Petang tu, dari Tapah, kami bergerak pula ke Teluk Anson. Tumpang kereta kawan kepada kakak rakan serumah yang di Tapah ni. Ingat nak jalan-jalan malam tu. Tapi tak ada rezeki. Hujan lebat. Terus ke rumah rakan serumah yang sorang lagi, Ilham. (kiri sekali gambar atas).

Kenyang masih terasa. Tapi makanan yang dijamu tetap disantap. Lazat sekali masakan bapa saudara Ilham yang ada katering. Aku tidur lepas menonton perlawanan Pulau Pinang vs JDT dengan ayah si Ilham.


Bergambar sebelum balik. Kami bergerak ke pekan pada tengah hari Ahad.


Masa untuk menara condong!


Bergambar lagi dan lagi.



Belum. Belum selesai lagi!



Kenangan di Teluk Anson.


This is Menara Condong Teluk Intan!

Saturday, August 23, 2014

First Week

Assalamualaikum.

Minggu pertama, tahun kedua, semester tiga.

Alhamdulillah, i still survive. It has been a very long week. Difficult i could say. Tough and challenging.

Selepas tamat peperiksaan akhir semester kedua yang menandakan tamatnya tahun pertama ijazah perubatan ni, aku hanya cuti sem selama seminggu. Memulakan tahun kedua pada hari Isnin tanpa mengetahui keputusan lagi. Sama ada lulus atau gagal. Aku mesti lulus. Duit biasiswa sem 3 dah guna untuk beli baju dan sebagainya.

Keputusan dikeluarkan pada hari Selasa. Kelas macam biasa hari tu. Memang gila debaran dari pagi. Rasa takut, gementar semua ada. Macam-macam bayangan terlintas di fikiran. Memang mintak simpang. Tak nak repeat.

Keputusan boleh diambil jam 5 petang. Ada sesi Problem-Based Learning jam 4 petang. Tak boleh fokus langsung masa PBL. Fikiran dah melayang fikir apalah keputusan nak dapat. 

Group PBL aku yang terakhir tamatkan sesi hari tu. Allah je yang tahu geramnya dengan fasilitator yang tak sensitif. Kami semua ni berdebar nak tahu keputusan, mana boleh tumpukan perhatian lagi. Masa beratur nak ambik keputusan tu, macam nak luruh jantung. Hanya Allah yang tahu.

Masa nak bukak keputusan tu, memang pasrah. Aku tahu tahap persembahan aku masa peperiksaan amali. Terfikir sekejap, 'kalau tulis gagal macam mana?' Rasa nak breakdown.

Alhamdulillah, lulus. Teori hampir dapat gred A. Amali cukup-cukup makan. Atas urat. Balik tu memang nak celebrate kat Texas Chicken. Housemate sorang dah janji nak belanja. Tapi tak berapa meriah sebab dua orang housemates tak lepas. Dua-dua sangkut peperiksaan amali.

Salah sorang tu, sepatutnya program berkembar ke luar negara dengan aku. Dia kena ulang setahun. Aku pun terfikir. Apa nak dibuat dalam setahun ni? Memang ada hikmahnya. Tapi.. kalau aku... ulang setahun tu macam mula semula dari awal. Allahu....

Apa pun, aku dah lepasi minggu pertama untuk Gastrointestinal System. Tugasan Assigned Independent Reading pun dah keluar. Setakat ni untuk tiga tugasan AIR, aku dapat gred A untuk semua. Mesti kekalkan rekod bersih.

Kalau minggu pertama dah susah, minggu kedua macam mana?




Wednesday, August 13, 2014

Sahabat

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, selepas sekian lama, akhirnya diizinkan Allah untuk meluangkan masa dengan sahabat zaman sekolah dulu. Main futsal. Rancangan dibuat pun secara mengejut. Aku terjumpa mereka masa beli tomyam makanan laut (baca: seafood) di kedai. Masa tu aku baru balik dari pasar. Beli ayam mentah.

Duduk saja, terus idea diutarakan untuk kami adakan permainan futsal persahabatan 'kita-kita ja'. Aku mulanya menolak. Mana nak cari orang secara masa tu jugak (baca: on the spot). Itu kerja gila. Dah tu disuruhnya aku yang cari orang. Lagi gila.

Mengenangkan mereka pujuk jugak nak main, aku turutkan. Masa tu jugak calling sana sini ajak orang.  Tak cukup orang lagi. Tapi terus tempah gelanggang dan sahkan masa permainan. Budak-budak ni bukan boleh kira sangat. Sebut saja kerja gila, semua jalan. 

Lama dah tak main futsal dengan Ik-ram, Ai-ma, Su-hai-ri, Az-wan, dan lain-lain. Kali terakhir kami main sama-sama dulu, aku masih panas baran. Cukup pantang rakan sepasukan buat silap, kira nak marah saja. Lagi-lagi bila ketinggalan, aku akan jadi sangat agresif dan ganas. Semua nak dilanggar. 

Tapi semalam.. alhamdulillah. Aku semakin berjaya mengawal amarah aku. Aku bermain dengan sangat tenang. Walaupun ketinggalan, aku tetap cool dan tak jadi agresif. Aku hanya tumpukan perhatian pada permainan aku. 

Walaupun cuma sejam lebih, aku puas dapat bermain dengan mereka lagi. Lepas tu, kami lepak di kedai makan. Minum-minum. Berbual tentang perkembangan terbaru masing-masing. Mengusik tentang kisah lama. Mesra. Macam dulu-dulu.

Walau jarak beribu batu, kami buddyz. Takkan terpisah!



OSCE II

Assalamualaikum.

Hari kedua. Persembahan mesti terbaik. Aku mesti tebus semula kesilapan hari pertama.

-------------------------

STESEN 1: AORTIC STENOSIS

Stesen pemeriksaan fizikal. Sistem kardiovaskular, semester dua. Ada empat masalah injap jantung. Soalan ni dah pernah keluar dua batch sebelum aku. Jadi aku kurang buat latihan untuk masalah injap ni. Mujur ada jugak buat.

Alhamdulillah, stesen ni jugak lancar walaupun aku periksa jugak tangan SP. Soalan dah terang-terang cakap, periksa bahagian dada SAHAJA. Kelakar. Nasib baik pemeriksa tu suruh abaikan pemeriksaan tangan dan teruskan ke bahagian dada.

Aku sempat habiskan semua pemeriksaan walaupun ada benda yang tak perlu dibuat sebenarnya, tapi aku buat jugak. Aku sempat ucapkan terima kasih kepada SP, basuh tangan, dan jawab satu soalan pemeriksa sebelum buzer berbunyi.

-----------------------------


STESEN 2: ELECTROCARDIOGRAM (ECG)

Agak terkejut kerana aku tak menjangka ada lagi stesen prosedur selepas stesen pertama aku untuk hari kedua (stesen 6). Tapi aku memang dah bersedia dengan skrip untuk menjalankan prosedur ECG ni.

Ternyata skrip saja tak mencukupi. Skil dan kemahiran teknikal datang dengan latihan. Masa peperiksaan OSCE olok-olok anjuran Persatuan Muslim IMU ada soalan ni tapi bukan dengan mesin sebenar. Aku tahu mana letaknya semua klip-klip tu tapi nak pasangnya kurang arif.

Akhirnya, satu klip di kaki kiri SP terbalik. Tak dapat masukkan wayar. Pemeriksa yang mulanya duduk, bingkas bangun melihat apa sebabnya aku bergelut nak pasang wayar di klip berwarna hijau.

Yang lain, semua lancar. Pelik jugak stesen ni tak perlu baca kertas ECG yang aku dah berlatih.

------------------------------------

STESEN 3: BATUK

Stesen Hx. Sistem pernafasan, semester kedua. Memang aku dah jangka soalan ni akan keluar. Aku dah berlatih semaksima mungkin untuk kebarangkalian muncul soalan ni. Aku ternampak soalan di stesen rehat dan dengan tenangnya menyusun rangka soalan yang nak ditanya.

Aku tahu hanya ada tiga stesen Hx, dan dua sudah berlalu di hari pertama. Ini stesen Hx terakhir. Dan semuanya lancar. Alhamdulillah. Aku sempat dapatkan semua maklumat yang aku perlu tahu. Aku jugak dapat habiskan semua rangka sehingga rumusan.

Kalau pun tak dapat markah penuh, aku puas hati dan yakin aku lakukan dengan cemerlang.

----------------------------------------


STESEN 4: BLOOD PRESSURE (BP)

Stesen terakhir aku untuk peperiksaan skil klinikal kali ni. Sangat mengecewakan. Stesen prosedur (lagi!). Modul asasi, semester pertama. Stesen paling hancus. Lebih menyakitkan, stesen ni aku lakukan dengan cemerlang semasa peperiksaan OSCE di hujung semester pertama.

Ini satu lagi stesen yang memerlukan kemahiran teknikal dan ketenangan. Stesen ni sepatutnya mudah dan khabarnya, markah untuk lulus agak tinggi. Akibat terlalu yakin, aku membuat persiapan ala kadar untuk stesen ni kerana menjangkakan soalan ni tak akan keluar. Semasa membaca soalan, aku terkejut tapi merasakan persediaan aku cukup.

Semuanya lancar dari pengenalan diri sehinggalah aku nak memulakan sesi mengambil bacaan tekanan darah. Aku melakukan kesilapan dan mula panik. Selepas itu, aku cuba nampak cool walaupun hakikatnya tidak. Aku ternampak sphygmomanometer kedua di atas meja satu lagi dan merasakan aku telah terperangkap dengan alat yang rosak yang mungkin sengaja dijadikan ujian untuk pelajar. Sewajarnya aku memeriksa dulu sebelum memasang cuff di tangan SP.

Malangnya, alat kedua juga tak berfungsi (bagi aku). Aku memandang pemeriksa untuk meminta kepastian apa sebenarnya masalah yang berlaku. Cemas. Hilang punca. 'It's working' kata pemeriksa menambahkan serabut aku.

Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk memberitahu pemeriksa langkah seterusnya yang akan aku lakukan. Tak sampai seminit, buzer berbunyi. Masa untuk keluar.

------------------------------------

[Stesen 5: REHAT]

Stesen terakhir untuk peperiksaan OSCE tahun pertama. Masa untuk muhasabah diri. Sangat kecewa dengan prestasi aku dalam stesen yang sepatutnya paling mudah! Tak dapat tidak, aku membayangkan kegagalan di stesen tu dan memikirkan apakah kesannya gagal di stesen mudah hari ini dan semalam.

Hanya lima minit saja masa untuk berduka. Tamat saja lima minit.... it's over! Final exam finished. Time to enjoy. Lupakan apa yang dah berlaku..

-----------------------------------------

 
STESEN 6: PEAK FLOW METER

Aku senyum masa baca soalan. Aku dah berlatih banyak kali untuk ajar SP bagaimana menggunakan alat tu (peak flow meter). Stesen prosedur. Sistem pernafasan, semester dua. Alat ni digunakan untuk memeriksa sama ada salur pernafasan tersekat dan juga menilai keberkesanan ubat yang diberikan untuk pesakit lelah.

Aku masuk je stesen ni terus dapat keyakinan sebab bekas fasilitator PBL aku untuk semester satu yang jadi pemeriksa. Doktor ni sangat baik hati orangnya. Fuhh, lega. Terus aku hilang gemuruh.

Stesen ni lancar dengan adanya doktor tu. Alhamdulillah.

---------------------------------------------

[Stesen 7: REHAT]

Masa ni aku kira-kira semula ramalan aku selepas hari pertama. Soalan prosedur di stesen pertama (stesen 6) melengkapkan tiga soalan selepas dua stesen di hari pertama. Aku menjangkakan soalan seterusnya, dan itu satu lagi kesilapan untuk tidak menduga sesuatu di luar jangkaan.

------------------------------------------
     
 Ternyata ada dua lagi stesen prosedur selepas aku rehat di stesen 7. ECG di stesen 2. Blood pressure di stesen 4. Mengejutkan. Itu bermakna ada lima stesen prosedur dan hanya dua pemeriksaan fizikal untuk peperiksaan OSCE kali ini. Nisbah biasa adalah empat untuk pemeriksaan fizikal dan tiga stesen prosedur (seperti dua batch sebelum aku).

Keseluruhan, hanya dua stesen yang mengecewakan aku. Venepuncture (ambil darah hari pertama) dan blood pressure (tekanan darah hari kedua). Dua stesen yang paling mudah tetapi aku bergelut untuk sempurnakan tugasan. Mungkin gagal dua stesen ni. Kalau dua stesen ni tak menjejaskan, insyaAllah markah keseluruhan aku cukup untuk lulus peperiksaan amali ni.

What an experience. 



Tuesday, August 12, 2014

OSCE I

Assalamualaikum.

Aku memulakan peperiksaan Objective Structured Clinical Examinations di stesen 6 diikuti stesen 7 dan seterusnya stesen 1. Stesen 5 (rehat) adalah stesen terakhir aku untuk dua hari peperiksaan.

------------------------------

STESEN 1: BODY MASS INDEX (BMI)

Stesen ketiga sejak buzer permulaan dibunyikan. Terkejut jugak stesen ni keluar dari modul 'Asasi' (Foundation) [sem 1]. Stesen ni sepatunya sangat mudah. Tapi yang mudah jangan disangka boleh ambil ringan. Aku memang ada bersedia untuk stesen ni dan syukur alhamdulillah, semuanya lancar.

Aku kena ukur tinggi dan berat pesakit simulasi (SP). Aku masuk dan melihat pesakit memakai topi. Topi itu tak boleh dipakai semasa mengukur ketinggian. Pengenalan diberikan, dan sesi mengukur tiada gangguan. SP tu mempunyai BMI 29. Kategori pre-obese. Soalan yang diajukan pemeriksa adalah untuk aku memberi cadangan kepada pesakit bagaimana merendahkan BMI.

Mudah. Lakukan senaman, kurangkan garam dan kolesterol dalam makanan.

--------------------------------------------


STESEN 2: JANGKITAN PERNAFASAN 

Soalan dibaca. Pesakit datang dengan jangkitan pernafasan. Sistem pernafasan (semester dua). Soalan pemeriksaan fizikal.

Eh, aku tak faham soalan. Masa tu jugak nak risau dengan perkataan omputeh 'elicit'. Tertulis di kertas tu tentang 'vocal resonance'. Nak buat ke tak perlu ni?? Gelabah. Aku hampir nak tanya sister (jururawat). Masa seminit saja untuk meneliti soalan. Buzer berbunyi. Masa untuk masuk!

Aku cuba bertenang. Pengenalan diri dan mendapat kebenaran pesakit. Aku basuh tangan dengan alcohol rub. Aku masih gusar. Soalan kepada pemeriksa, 'apa maksud elicit?'. Arahan diberikan untuk aku meneruskan tugasan.

Ketika aku nak ambik kadar denyutan nadi (tugasan yang ada di kertas soalan), pemeriksa menunjukkan kertas soalan lagi, aku hairan. 'Kenapa dia ni?' Rupanya ada perkataan 'do not'. Jangan buat.

Aku mula tenang dan meneruskan pemeriksaan sampai habis dengan lancar.

--------------------------------------


STESEN 3: DEMAM 

Stesen history taking (Hx). Masa untuk menyoal SP yang datang dengan demam. Aku belum tahu sistem apa. Demam ni macam-macam sebab boleh jadi.

Tapi stesen Hx aku tak kisah sangat. Sebab diagnosis hanya satu markah. Masalah dan sebab musabab SP datang perlu digali sedalam mungkin. Aku ada rangka soalan yang aku pegang kukuh. Memudahkan aku untuk mengajukan soalan dengan lancar. Dari history of present illness, kemudian ke systemic review, seterusnya past medical history, family history, social history, idea concern expectation (ICE), dan rumusan.

Ada satu masalah di stesen ni yang aku sedari. SP seperti sengaja tak memberikan maklumat yang banyak. Hanya sepatah dua dijawab untuk setiap soalan. Sekadar perlu. Kedekut jawapan. Aku risau. Ini bermakna aku perlu mencari soalan yang lebih spesifik.

Pada akhirnya, aku tak dapat jugak diagnosis. Aku habis awal di stesen ni. Tak sampai empat minit. Aku ada masa untuk tengok pemeriksa isi kertas markah (aku tak nampak markah yang diberikan).

[Semasa diskusi, baru aku sedar yang kes dalam soalan ni adalah demam denggi. Bermakna ini sistem darah semester dua. SP tak selsema dan batuk. SP ada sakit badan. Ada sorang kawan aku dapat maklumat SP tinggal dengan kawasan pembinaan yang ada air bertakung. Dan dari perbincangan dengan rakan-rakan, aku juga dimaklumkan semua SP memang diarahkan untuk memberi jawapan seminima mungkin kepada pelajar.]

---------------------------------------------


STESEN 4: VENEPUNCTURE
 
Teruk. Sangat teruk. Stesen yang membuatkan aku kecewa.

Aku tak berlatih sangat stesen ni sebab peralatan lengkap hanya ada di Unit Skil Klinikal. Aku resah juga baca soalan. Tapi aku ada membuat persediaan. Aku tahu aliran stesen prosedur ini. Sistem darah semester dua. Masa untuk ambik darah. Dari tangan patung. Soalan mengarahkan aku memberi pengenalan kepada doktor yang menjadi pemeriksa.

Pengenalan lancar. Basuh tangan. Barang-barang diisi. Masa untuk pakai sarung tangan. Eh, tak boleh. Aduh, tak boleh lagi. Aku mengambil masa untuk memakai sarung tangan [kesilapan pertama].

Bila dah berjaya, aku teruskan dengan langkah-langkah seterusnya. Masukkan jarum. 'Darah, tolonglah keluar!'. Malangnya, darah tu degil. Aku cuba dua kali lagi. Jarum tak keluar dari kulit. Hanya ditarik sehingga hampir keluar dan cuba disuntik lagi. [kesilapan kedua].

Buzer dibunyikan. Tamat. Aku tak sempat buat langkah-langkah seterusnya yang ada markah.

[Sepatutnya aku elakkan dua kesilapan yang memakan masa tu. Lain kali aku tak nak pakai sarung tangan kalau susah sangat. Dan kalau darah tak nak keluar, seharusnya aku teruskan dengan langkah-langkah melabel tabung darah dan membuang alatan yang digunakan. Stesen ni hanya gagal kalau tangan pelajar terluka. Nampaknya, markah aku macam tak cukup untuk lulus stesen ni.]

----------------------------------

[Stesen 5: REHAT]

Stesen terakhir. Masa muhasabah diri.. Masa ni aku sedar. Dan berkira-kira. Hari ni persembahan aku tak memuaskan. Aku mungkin gagal stesen ambik darah.

Aku bertekad. Aku ada satu hari lagi untuk melakukan persembahan. Esok aku mesti memberikan yang terbaik. 

--------------------------------------


STESEN 6: SAKIT DADA

Stesen pertama aku untuk peperiksaan OSCE. Pesakit datang dengan sakit dada sejak enam jam lepas. Aku perlu mengambil maklumat. Stesen Hx. Sistem kardiovaskular, semester dua.

Masa ni lagi aku dah kena aplikasikan rangka untuk history taking. Stesen ni tak teruk. Tapi aku tetap tak puas hati. Aku sempat membuat rumusan dan menutup perbualan dengan sempurna. Cuma aku rasa aku boleh melakukan lebih baik, dan seharusnya tampak lebih yakin.

Mungkin ini stesen pertama, aku jadi cuak. Sebelum nak masuk tu, berlari degupan jantung. Mana tidaknya. Peperiksaan amali ni stand alone. Bermakna mesti lulus bersama peperiksaan teori.

----------------------------------

[Stesen 7: REHAT]

Bagus jugak bermula dengan stesen pertama yang aktif diikuti stesen rehat. Bermakna aku boleh menilai prestasi aku sebentar tadi dan bersedia untuk empat stesen aktif berturut-turut dengan salah satunya, history taking. Aku tarik nafas dalam-dalam dan cuba bertenang.

Tak guna resah dan berfikiran negatif. Stesen yang dah lepas pun tak guna difikirkan semula. Stesen lepas ni aktif. Masa untuk beraksi lagi!

------------------------

-BERSAMBUNG-



Thursday, August 7, 2014

Tamat

Assalamualaikum.


Selamat tinggal tahun pertama perubatan. Moga kita tak bertemu lagi lepas ni (baca: tak nak repeat)

Alhamdulillah, dah berakhir peperiksaan akhir semester kedua tengah hari tadi untuk Objective Structured Clinical Examination (OSCE). Sempurna sudah 60 soalan objektif One Best Answer (OBA), 20 stesen Objective Structured Physical Examination (OSPE) dan 10 stesen OSCE.

Penat. Sangat penat. Dah berapa hari tidur lewat sebab cuba untuk melakukan persiapan terbaik. Lega sangat-sangat cuti dah bermula. 

Malam ni balik Kedah. InsyaAllah. Keputusan 19 Ogos. Moga Allah permudah. ^_^


Sri Petaling
07/08/2014



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif