Welcome To My Life...

Wednesday, August 13, 2014

OSCE II

Assalamualaikum.

Hari kedua. Persembahan mesti terbaik. Aku mesti tebus semula kesilapan hari pertama.

-------------------------

STESEN 1: AORTIC STENOSIS

Stesen pemeriksaan fizikal. Sistem kardiovaskular, semester dua. Ada empat masalah injap jantung. Soalan ni dah pernah keluar dua batch sebelum aku. Jadi aku kurang buat latihan untuk masalah injap ni. Mujur ada jugak buat.

Alhamdulillah, stesen ni jugak lancar walaupun aku periksa jugak tangan SP. Soalan dah terang-terang cakap, periksa bahagian dada SAHAJA. Kelakar. Nasib baik pemeriksa tu suruh abaikan pemeriksaan tangan dan teruskan ke bahagian dada.

Aku sempat habiskan semua pemeriksaan walaupun ada benda yang tak perlu dibuat sebenarnya, tapi aku buat jugak. Aku sempat ucapkan terima kasih kepada SP, basuh tangan, dan jawab satu soalan pemeriksa sebelum buzer berbunyi.

-----------------------------


STESEN 2: ELECTROCARDIOGRAM (ECG)

Agak terkejut kerana aku tak menjangka ada lagi stesen prosedur selepas stesen pertama aku untuk hari kedua (stesen 6). Tapi aku memang dah bersedia dengan skrip untuk menjalankan prosedur ECG ni.

Ternyata skrip saja tak mencukupi. Skil dan kemahiran teknikal datang dengan latihan. Masa peperiksaan OSCE olok-olok anjuran Persatuan Muslim IMU ada soalan ni tapi bukan dengan mesin sebenar. Aku tahu mana letaknya semua klip-klip tu tapi nak pasangnya kurang arif.

Akhirnya, satu klip di kaki kiri SP terbalik. Tak dapat masukkan wayar. Pemeriksa yang mulanya duduk, bingkas bangun melihat apa sebabnya aku bergelut nak pasang wayar di klip berwarna hijau.

Yang lain, semua lancar. Pelik jugak stesen ni tak perlu baca kertas ECG yang aku dah berlatih.

------------------------------------

STESEN 3: BATUK

Stesen Hx. Sistem pernafasan, semester kedua. Memang aku dah jangka soalan ni akan keluar. Aku dah berlatih semaksima mungkin untuk kebarangkalian muncul soalan ni. Aku ternampak soalan di stesen rehat dan dengan tenangnya menyusun rangka soalan yang nak ditanya.

Aku tahu hanya ada tiga stesen Hx, dan dua sudah berlalu di hari pertama. Ini stesen Hx terakhir. Dan semuanya lancar. Alhamdulillah. Aku sempat dapatkan semua maklumat yang aku perlu tahu. Aku jugak dapat habiskan semua rangka sehingga rumusan.

Kalau pun tak dapat markah penuh, aku puas hati dan yakin aku lakukan dengan cemerlang.

----------------------------------------


STESEN 4: BLOOD PRESSURE (BP)

Stesen terakhir aku untuk peperiksaan skil klinikal kali ni. Sangat mengecewakan. Stesen prosedur (lagi!). Modul asasi, semester pertama. Stesen paling hancus. Lebih menyakitkan, stesen ni aku lakukan dengan cemerlang semasa peperiksaan OSCE di hujung semester pertama.

Ini satu lagi stesen yang memerlukan kemahiran teknikal dan ketenangan. Stesen ni sepatutnya mudah dan khabarnya, markah untuk lulus agak tinggi. Akibat terlalu yakin, aku membuat persiapan ala kadar untuk stesen ni kerana menjangkakan soalan ni tak akan keluar. Semasa membaca soalan, aku terkejut tapi merasakan persediaan aku cukup.

Semuanya lancar dari pengenalan diri sehinggalah aku nak memulakan sesi mengambil bacaan tekanan darah. Aku melakukan kesilapan dan mula panik. Selepas itu, aku cuba nampak cool walaupun hakikatnya tidak. Aku ternampak sphygmomanometer kedua di atas meja satu lagi dan merasakan aku telah terperangkap dengan alat yang rosak yang mungkin sengaja dijadikan ujian untuk pelajar. Sewajarnya aku memeriksa dulu sebelum memasang cuff di tangan SP.

Malangnya, alat kedua juga tak berfungsi (bagi aku). Aku memandang pemeriksa untuk meminta kepastian apa sebenarnya masalah yang berlaku. Cemas. Hilang punca. 'It's working' kata pemeriksa menambahkan serabut aku.

Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk memberitahu pemeriksa langkah seterusnya yang akan aku lakukan. Tak sampai seminit, buzer berbunyi. Masa untuk keluar.

------------------------------------

[Stesen 5: REHAT]

Stesen terakhir untuk peperiksaan OSCE tahun pertama. Masa untuk muhasabah diri. Sangat kecewa dengan prestasi aku dalam stesen yang sepatutnya paling mudah! Tak dapat tidak, aku membayangkan kegagalan di stesen tu dan memikirkan apakah kesannya gagal di stesen mudah hari ini dan semalam.

Hanya lima minit saja masa untuk berduka. Tamat saja lima minit.... it's over! Final exam finished. Time to enjoy. Lupakan apa yang dah berlaku..

-----------------------------------------

 
STESEN 6: PEAK FLOW METER

Aku senyum masa baca soalan. Aku dah berlatih banyak kali untuk ajar SP bagaimana menggunakan alat tu (peak flow meter). Stesen prosedur. Sistem pernafasan, semester dua. Alat ni digunakan untuk memeriksa sama ada salur pernafasan tersekat dan juga menilai keberkesanan ubat yang diberikan untuk pesakit lelah.

Aku masuk je stesen ni terus dapat keyakinan sebab bekas fasilitator PBL aku untuk semester satu yang jadi pemeriksa. Doktor ni sangat baik hati orangnya. Fuhh, lega. Terus aku hilang gemuruh.

Stesen ni lancar dengan adanya doktor tu. Alhamdulillah.

---------------------------------------------

[Stesen 7: REHAT]

Masa ni aku kira-kira semula ramalan aku selepas hari pertama. Soalan prosedur di stesen pertama (stesen 6) melengkapkan tiga soalan selepas dua stesen di hari pertama. Aku menjangkakan soalan seterusnya, dan itu satu lagi kesilapan untuk tidak menduga sesuatu di luar jangkaan.

------------------------------------------
     
 Ternyata ada dua lagi stesen prosedur selepas aku rehat di stesen 7. ECG di stesen 2. Blood pressure di stesen 4. Mengejutkan. Itu bermakna ada lima stesen prosedur dan hanya dua pemeriksaan fizikal untuk peperiksaan OSCE kali ini. Nisbah biasa adalah empat untuk pemeriksaan fizikal dan tiga stesen prosedur (seperti dua batch sebelum aku).

Keseluruhan, hanya dua stesen yang mengecewakan aku. Venepuncture (ambil darah hari pertama) dan blood pressure (tekanan darah hari kedua). Dua stesen yang paling mudah tetapi aku bergelut untuk sempurnakan tugasan. Mungkin gagal dua stesen ni. Kalau dua stesen ni tak menjejaskan, insyaAllah markah keseluruhan aku cukup untuk lulus peperiksaan amali ni.

What an experience. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif