Welcome To My Life...

Sunday, July 26, 2015

Menang Lagi

Assalamualaikum.

Tahniah kepada pasukan kegemaranku, Manchester United, yang berjaya mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam jelajah Amerika Syarikat untuk mengekalkan rekod bersih kemenangan seratus peratus. Selepas menewaskan Club America 1-0, United mengalahkan San Jose Earthquakes 3-1. Awal pagi tadi (waktu Malaysia), United mengatasi juara bertahan kelab Eropah, Barcelona 3-1. 

Kesemua gol Manchester United dijaringkan oleh pemain yang berbeza. Selepas Morgan Schneiderlin dalam perlawanan pertama, diikuti Juan Mata, Memphis Depay, dan Andreas Pereira dalam perlawanan kedua, tiba giliran Wayne Rooney, Jesse Lingard dan Adnan Januzaj awal pagi tadi. 

Louis Van Gaal memberi kesebelasan bayangan untuk bertemu Tottenham Hotspurs dalam perlawanan pertama musim baru Liga Perdana Inggeris awal bulan depan. David De Gea mengawal gawang di belakang benteng pertahanan dibarisi Matteo Darmian, Phil Jones, Daley Blind, dan Luke Shaw dalam formasi 4-2-3-1. Michael Carrick dan Morgan Scheiderlin berada di depan kubu pertahanan. Ashley Young, Memphis Depay, dan Juan Mata berada di belakang penyerang tunggal, Wayne Rooney.

Rooney menanduk masuk gol pertama United selepas menyambut kemas sepakan penjuru Young. Satu jam pertama perlawanan menyaksikan tiada lagi tambahan jaringan. Selepas detik sejam, Van Gaal menukar kesemua sebelas pemain dengan barisan yang lebih muda. Aksi pemain muda ini sangat bertenaga. Hanya beberapa minit beraksi, hantaran lintang Tyler Blackett mudah dirembat masuk Lingard untuk meletakkan United selesa di depan.

Rafinha menjaringkan gol sagu hati buat Barca apabila sepakan voli cantiknya menewaskan penjaga gol gantian, Sam Johnstones. Tak lama selepas itu, Januzaj memusingkan badannya kemas di dalam kotak penalti lawan untuk memperdaya pertahanan dan menewaskan penjaga gol untuk memastikan kemenangan selesa untuk United.

Peminat Barca terus memberikan alasan ketiadaan Lionel Messi dan Neymar menjadi punca kekalahan pasukan itu. Alasan itu sekadar menggambarkan betapa Barca hanya mengharapkan Messi dan Neymar walaupun Luis Suarez tetap memberikan ancaman tanpa dua orang rakan sepasukannya. Jika Barca menang, sudah tentu peminat mereka mengkritik United. Murah pula memberikan alasan apabila pasukan mereka gagal mencatat kemenangan. 

Selepas perlawanan terakhir jelajah menentang Paris Saint-Germain, tumpuan pasukan United beralih sepenuhnya kepada perlawanan pertama liga sebelum pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah. Glory glory Manchester United!



Sunday, July 12, 2015

Pemain Baru

Assalamualaikum.

Selepas membeli penyerang, Memphis Depay, dari PSV Eindhoven (Belanda), aktiviti pembelian pemain baru kelab Manchester United sangat perlahan. Nama demi nama bertukar ganti dikaitkan dengan kelab terbesar bola sepak dunia. Jika dihimpunkan semua pemain yang dikaitkan dengan United, cukuplah untuk mereka semua beraksi dalam Liga Perdana Inggeris. Malangnya, itu sekadar khabar angin yang tidak benar. Semuanya memberi harapan palsu.

DEPAY

DARMIAN

Tapi semalam (Jumaat), khabar gembira buat para peminat Manchester United di seluruh dunia. Laman web rasmi kelab itu membuat dua pengumuman dalam sehari. Paling awal adalah berita persetujuan bersama antara Bayern Munich (Jerman) dan United untuk menyaksikan perpindahan pemain tengah berpengalaman, Bastian Schweinsteiger.

Seterusnya, bek kanan, Matteo Darmian, pula disahkan telah menjadi pemain baru Manchester United selepas berpindah dari kelab Torino (Itali). Kehadiran tiga pemain ini mengukuhkan lagi pasukan United yang baru kembali bersaing dalam kejuaraan berprestij Liga Juara-Juara Eropah. 

Namun, United perlu terus menambah kekuatan untuk bersaing dengan Chelsea dan Manchester City untuk kembali merajai liga domestik. Dua pemain yang dikaitkan hampir pasti menjadi milik United adalah Nicolas Otamendi (bek tengah Valencia) dan Morgan Schneiderlin (pemain tengah Southampton). Kehadiran kedua-dua pemain ini akan menjadikan United pencabar kejuaraan liga. 

Gandingan Schneiderlin dan Schweinsteiger akan mendominasi bahagian tengah, salah satu kelemahan United musim lepas. Begitu juga kehadiran Depay yang akan menambah sengat di bahagian serangan. Namun, pembelian Otamendi dan Scheiderlin masih khabar angin. Aku hanya akan gembira apabila melihat berita pengumuman di laman web rasmi kelab.

Tapi dengan tiga pemain baru yang sudah sah akan menguatkan cabaran United, aku sudah boleh memasang impian untuk melihat kelab kesayangan ini kembali mencabar di persada liga.




Thursday, July 2, 2015

Puasa di Ampangan

Assalamualaikum.

Hari ni berpuasa sambil melakukan soal selidik di Negeri Sembilan. Para pelajar semester lima ijazah perubatan bergerak ke enam lokasi klinik kesihatan berbeza untuk mengkaji beberapa tajuk dalam populasi yang berbeza. Aku dan rakan-rakan dalam satu bas menuju ke Klinik Kesihatan Ampangan. Tak pernah sampai ke sana. Aku tidur saja dalam bas memandangkan perjalanan kami seawal jam 7.30 pagi.


Ada dua kisah menarik yang nak diceritakan hari ni. Nak membebel kat buah hati pun dia sibuk sangat dengan praktikal. 

Kisah pertama, seorang pak cik berusia 76 tahun yang baru menghantar darahnya untuk diperiksa di makmal. Namanya Pak Cik Sulung, seorang yang sangat peramah. Sebaik dia memulakan bicara, celotehnya sangat sukar dihentikan. Aku yang kebosanan sekadar melayan. Pak cik ni berasal dari Temerloh, Pahang. Yang menariknya, dia tahu tempat tinggal aku di Changlun, Kedah. Aku sebut Sintok. Biasanya orang luar lebih lazim dengan Sintok kerana adanya Universiti Utara Malaysia.

Rupa-rupanya, pak cik ni dulu kerja bidang topografi di Changlun. Zaman Changlun ni masih hutan lagi. Bersungguh dia bercerita. Aku pun jadi seronok menceritakan kemajuan Changlun sekarang yang pesat membangun. 'Dah ada pasaraya' kataku. Siap cakap Siam pak cik ni dengan aku. Maaflah pok cik, saya ni tak reti bahasa Siam.


Kisah kedua, budak kecik berbaju Ultraman. Budak lelaki yang namanya Nik. Umurnya tiga tahun, tapi yang ditunjuknya dua jari saja. Comel budaknya ^_^ Aku dan rakan-rakan yang lain sibuk mengusik budak ni ketika emaknya mengisi borang soal selidik. Budak ni kelakar. Dia gigit air tin milo yang dipegangnya tanpa diminum lagi. Berlari ke sana sini. Tak reti duduk diam.

Yang lagi comel, bila kawan aku mintak air milo yang dia pegang. Dia senyum sambil memeluk kemas air tin milo tersebut. Kawan aku pun umpan. 'Abang ada air nescafe, kita tukar' sambil menunjukkan beg. Sebenarnya tak ada pun. Saja acah budak kecik. Dia tak layan. 'Abang ada Ultraman'.

Reaksi dia? Mata bersinar. Tanda minatnya pada Ultraman bukan sekadar pada baju yang dipakai. Seronok tengok telatah budak tu. Hai lah adik. ^_^


Kesimpulannya, hari ni memang memenatkan. Tidur lagi dalam bas sepanjang perjalanan balik. Kawan-kawan aku dah tidur lagi kat klinik tu. Tidur di kerusi. Macam-macam hal. Walaupun rasa tak bermaya, tanggungjawab sebagai pelajar perlu ditunaikan. Puasa tak membuatkan kita lemah. Kami menunjukkan teladan kepada rakan-rakan not-yet-Muslim. InsyaAllah, moga Allah berikan hidayah kepada mereka.


Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif