Welcome To My Life...

Sunday, July 26, 2015

Menang Lagi

Assalamualaikum.

Tahniah kepada pasukan kegemaranku, Manchester United, yang berjaya mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam jelajah Amerika Syarikat untuk mengekalkan rekod bersih kemenangan seratus peratus. Selepas menewaskan Club America 1-0, United mengalahkan San Jose Earthquakes 3-1. Awal pagi tadi (waktu Malaysia), United mengatasi juara bertahan kelab Eropah, Barcelona 3-1. 

Kesemua gol Manchester United dijaringkan oleh pemain yang berbeza. Selepas Morgan Schneiderlin dalam perlawanan pertama, diikuti Juan Mata, Memphis Depay, dan Andreas Pereira dalam perlawanan kedua, tiba giliran Wayne Rooney, Jesse Lingard dan Adnan Januzaj awal pagi tadi. 

Louis Van Gaal memberi kesebelasan bayangan untuk bertemu Tottenham Hotspurs dalam perlawanan pertama musim baru Liga Perdana Inggeris awal bulan depan. David De Gea mengawal gawang di belakang benteng pertahanan dibarisi Matteo Darmian, Phil Jones, Daley Blind, dan Luke Shaw dalam formasi 4-2-3-1. Michael Carrick dan Morgan Scheiderlin berada di depan kubu pertahanan. Ashley Young, Memphis Depay, dan Juan Mata berada di belakang penyerang tunggal, Wayne Rooney.

Rooney menanduk masuk gol pertama United selepas menyambut kemas sepakan penjuru Young. Satu jam pertama perlawanan menyaksikan tiada lagi tambahan jaringan. Selepas detik sejam, Van Gaal menukar kesemua sebelas pemain dengan barisan yang lebih muda. Aksi pemain muda ini sangat bertenaga. Hanya beberapa minit beraksi, hantaran lintang Tyler Blackett mudah dirembat masuk Lingard untuk meletakkan United selesa di depan.

Rafinha menjaringkan gol sagu hati buat Barca apabila sepakan voli cantiknya menewaskan penjaga gol gantian, Sam Johnstones. Tak lama selepas itu, Januzaj memusingkan badannya kemas di dalam kotak penalti lawan untuk memperdaya pertahanan dan menewaskan penjaga gol untuk memastikan kemenangan selesa untuk United.

Peminat Barca terus memberikan alasan ketiadaan Lionel Messi dan Neymar menjadi punca kekalahan pasukan itu. Alasan itu sekadar menggambarkan betapa Barca hanya mengharapkan Messi dan Neymar walaupun Luis Suarez tetap memberikan ancaman tanpa dua orang rakan sepasukannya. Jika Barca menang, sudah tentu peminat mereka mengkritik United. Murah pula memberikan alasan apabila pasukan mereka gagal mencatat kemenangan. 

Selepas perlawanan terakhir jelajah menentang Paris Saint-Germain, tumpuan pasukan United beralih sepenuhnya kepada perlawanan pertama liga sebelum pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah. Glory glory Manchester United!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif