Welcome To My Life...

Sunday, May 28, 2017

Piala Sudirman #3

Assalamualaikum.

Seperti biasa sejak tahun 1995, China akan beraksi lagi di perlawanan akhir kejohanan utama berpasukan campuran dalam sukan badminton, merebut Piala Sudirman. Edisi 2017 berlangsung di Australia. Korea menamatkan cabaran Thailand 3-1 di peringkat separuh akhir sementara China berjaya mengelak kejutan, menang tipis 3-2 ke atas Jepun.

Final edisi 2017 adalah kali kelima Korea-China beradu kekuatan di perlawanan akhir, dengan China memegang rekod 3-1. Kali pertama pada tahun 1997 di Glasgow (Scotland), China muncul juara. Korea membalas kekalahan itu pada tahun 2003 di Eindhoven (Belanda). Dua pertemuan terakhir berpihak kepada China. Pada tahun 2009 di Guangzhou (China), dan edisi 2013 di Kuala Lumpur (Malaysia), China menang mudah tanpa melepaskan sebarang mata. 

Untuk rekod juga, sejak edisi 2005 di Beijing (China), skuad China telah menang aksi final enam kali berturut-turut dengan kemenangan bersih dan mutlak 3-0. Mampukah armada China menjuarai Piala Sudirman buat kali kesebelas secara keseluruhan dan ketujuh berturut-turut? Atau Korea akan berjaya menyekat dominasi China dari terus berpanjangan?

CHINA 2-3 KOREA
MD: Fu Haifeng/Zhang Nan v Choi Sol Gyu/Seo Seung Jae 2-0
WS: He Bingjiao v Sung Ji Hyun 0-2
MS: Chen Long v Jeon Hyeok Jin 2-0
WD: Chen Qingchen/Jia Yifan v Chang Ye Na/Lee So Hee 0-2
XD: Lu Kai/Huang Yaqiong v Choi Sol Gyu/Chae Yoo Jung 0-2

Semuanya berlaku seperti yang dijangka (sebaik melihat senarai pemain).

Pengalaman Fu Haifeng dan Zhang Nan ternyata terlalu unggul bagi pasangan muda Korea, Choi Sol Gyu/Seo Seung Jae, dalam acara beregu lelaki yang memulakan aksi final. Kemenangan straight game Fu/Zhang membuka laluan untuk China mempertahankan kejuaraan dari edisi 2015. Perlawanan beralih ke aksi perseorangan wanita. Tiba masa dua ratu beradu kekuatan.

Inilah kunci perlawanan ini. Pemenang perseorangan wanita akan muncul juara. Selepas menggunakan pemain muda seperti Sun Yu dan Chen Yufei dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, percaturan kem China menggunakan He Bingjiao ternyata salah besar apabila tewas kepada ratu badminton Korea straight game. Chen Long kembali meletakkan China di depan dengan kemenangan mudah menentang perseorangan lelaki muda dari Korea, Jeon Hyeok Jin.

China 2-1 Korea. Gandingan muda berbisa Chen Qingchen/Jia Yifan diharapkan dapat menyumbang mata kemenangan sekali lagi selepas menyelamatkan maruah China dengan menundukkan juara Olimpik dari Jepun dalam aksi separuh akhir. Kali ini, Chen/Jia tidak bernasib baik dan tewas straight game Chang Ye Na/Lee So Hee walaupun jeritan Chen Qingchen sentiasa menggegar arena Gold Coast.

Terikat 2-2, permainan berlarutan ke aksi penentuan. Dua beregu muda yang sedang meningkat naik dengan kelebihan kepada pasangan China yang menang semua aksi Siri Super yang mereka sertai tahun ini. Namun aksi garang dan agresif dari Choi Sol Gyu/Chae Yoo Jung seperti ini adalah perlawanan terakhir dalam karier mereka. Tenaga dan semangat Choi/Chae nyata menggoyahkan kehebatan Lu Kai/Huang Yaqiong yang tewas straight game.

Choi Sol Gyu ialah karakter penting dalam kejayaan Korea menyekat kemenangan ketujuh berturut-turut untuk China. Beraksi dalam dua acara di final ini, Sol Gyu tidak goyah. Dia tidak patah semangat walau tewas mudah dalam perlawanan pertama berdepan juara Olimpik Rio 2016, Fu dan Zhang. Beraksi dalam perlawanan paling penting dalam hidupnya, Sol Gyu mempamer permainan kemas dan agresif sekali gus menjadi wira.

Akhirnya, Korea muncul juara selepas menanti 14 tahun. Satu kisah inspirasi untuk skuad Malaysia jika bermimpi sama untuk berada di persada dunia dalam pertandingan berpasukan campuran. 



Saturday, May 27, 2017

Piala Sudirman 2017 #2

Assalamualaikum.

Peringkat kumpulan berlalu tanpa banyak kejutan. Pasukan-pasukan pilihan utama mara seperti dijangka ke pusingan suku akhir. Hanya Indonesia yang tersingkir, tempat mereka digantikan oleh pasukan India.

Berikut adalah keputusan penuh pusingan suku akhir.

CHINA 3-0 INDIA
XD: Lu Kai/Huang Yaqiong v Satwiksairaj Rankireddy/Ashwini Ponnappa 2-1
MS: Chen Long v Srikanth Kidambi 2-0
MD: Fu Haifeng/Zhang Nan v Satwiksairaj Rankireddy/Chirag Shetty 2-0

JEPUN 3-1 MALAYSIA
MD: Takeshi Kamura/Keigo Sonoda v Goh V Shem/Tan Wee Kiong 2-1
WS: Nozomi Okuhara v Sonia Cheah 2-0
MS: Kenta Nishimoto v Lee Chong Wei 0-2
WD: Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi v Vivian Hoo/Woon Khe Wei 2-0

KOREA 3-1 TAIWAN
MD: Choi Sol Gyu/Seo Seung Jae v Lee Jhe Huei/Lee Yang 2-1
WS: Sung Ji Hyun v Tai Tzu Ying 0-2
MS: Son Wan Ho v Chou Tien Chen 2-1
WD: Chang Ye Na/Lee So Hee v Hsu Ya Ching/Wu Ti Jung 2-0

THAILAND 3-2 DENMARK
XD: Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattanachai v Mathias Christiansen/Sara Thygesen 2-0
MS: Tanongsak Saensomboonsuk v Viktor Axelsen 0-2
MD: Bodin Isara/Nipitphon Phuangphuapet v Mads Conrad/Mads Pieler 1-2
WS: Ratchanok Intanon v Line Kjaersfeldt 2-0
WD: Jongkolphan Kititharakul/Sapsiree Taerattanachai v Kamilla Rytter/Christinna Pedersen 2-0

China menang mudah seperti dijangka, dua perlawanan terakhir tidak perlu dilangsungkan. Pertemuan ulangan Jepun dan Malaysia pula berlangsung sama seperti dalam Kumpulan B. Goh V Shem/Tan Wee Kiong sekali lagi menghampakan para peminat badminton Malaysia apabila tewas kepada Takeshi Kamura/Keigo Sonoda buat kali kedua berturut-turut dalam Piala Sudirman kali ini. Hanya Lee Chong Wei menyumbang mata seperti biasa.

Pertemuan ulangan dari Kumpulan C pula diterbalikkan. Korea kali ini tidak memberi peluang kepada Taiwan mengejutkan mereka buat kali kedua. Hanya satu mata dilepaskan kepada ratu badminton dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying. Thailand pula menyingkirkan pilihan kedua, Denmark. Beregu campuran adalah kunci perlawanan kerana jika Denmark menang acara ini, mereka akan menang mudah 3-0. Sebaliknya, mereka menyerahkan acara beregu campuran kepada Thailand. Walaupun dua acara lelaki dimenangi Denmark, dua acara wanita berikutnya dimenangi Thailand untuk menghantar Denmark pulang.

----------------------------

Pusingan separuh akhir tidak akan melibatkan pasukan Eropah. Empat pasukan dari benua Asia akan menentukan finalis yang akan berentap dalam perlawanan akhir. China yang tidak pernah hilang dari pentas final sejak 1993 akan terus cuba mempertahankan kejuaraan 2015 yang dimenangi di tempat sendiri.

KOREA 3-1 THAILAND
XD: Choi Sol Gyu/Chae Yoo Jung v Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattanachai 0-2
MS: Son Wan Ho v Suppanyu Avihingsanon 2-1 
MD: Choi Sol Gyu/Seo Seung Jae v Bodin Isara/Dechapol Puavaranukroh 2-0 
WS: Sung Ji Hyun v Ratchanok Intanon 2-0

CHINA 3-2 JEPUN
XD: Zheng Siwei/Chen Qingchen v Yuta Watanabe/Arisa Higashino 1-2
MS: Lin Dan v Kenta Nishimoto 2-0
MD: Li Junhui/Liu Yuchen v Takeshi Kamura/Keigo Sonoda 2-0
WS: Sun Yu v Akane Yamaguchi 0-2
WD: Chen Qingchen/Jia Yifan v Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi 2-0

Satu-satunya wakil Asia Tenggara iaitu Thailand gagal menandingi kehebatan kuasa besar Asia, Korea. Walaupun Dechapol Puavaranukroh dan gandingannya Sapsiree Taerattanachai berjaya mencuri mata melalui acara beregu campuran, namun tiga mata berikutnya memberi kemenangan mutlak kepada Korea. Perseorangan wanita Korea, Sung Ji Hyun menyumbang mata kemenangan setelah membenam ratu badminton Thailand, Ratchanok Intanon.

Pertemuan dua kuasa besar ketika ini pula dimenangi oleh juara bertahan. Jepun begitu hampir dan amat sangat hampir untuk menyingkirkan China buat kali pertama dari pentas final sejak tahun 1993. Namun, hari bersejarah itu gagal berlaku. Yuta Watanabe/Arisa Higashino memberikan mata penting untuk Jepun apabila menundukkan beregu muda hebat China, Chen Qingchen/Jia Yifan. Lin Dan menyamakan kedudukan apabila menumbangkan Kenta Nishimoto yang memberikan saingan sengit walaupun kurang pengalaman.

Kunci perlawanan ini adalah beregu lelaki yang diharapkan dapat dimenangi Jepun. Gandingan Takeshi Kamura/Keigo Sonoda yang mantap sepanjang edisi kali ini akur tewas kepada gandingan muda China. Pemain muda berbakat besar Jepun, Akane Yamaguchi, menangguh kemenangan China dengan aksi memukau dan bertenaga. Pemain rendah ini menang straight game. Terserah kepada acara beregu wanita. Gandingan muda China yang kedua-duanya berusia 19 tahun menentang beregu nombor satu dunia dan juara Olimpik Rio 2016.

Kelebihan untuk Jepun. Peluang untuk Chen Qingchen menebus kekalahannya dalam acara beregu campuran. Walaupun Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi mencuba segala-galanya, tetapi tuah bukan milik mereka hari ini. Kesungguhan dan tenaga Chen Qingchen serta Jia Yifan terlalu unggul untuk dihadapi Misaki/Ayaka yang menyerah selepas dua set. Kejayaan Chen Qingchen menebus kekalahannya bermakna China terus beraksi di final sekali lagi untuk mempertahankan kejuaraan dua tahun lalu.

Jepun sangat hampir, terlalu hampir sebenarnya, tetapi terpaksa akur lagi. Jika Kamura/Sonoda menang dalam acara beregu lelaki, perlawanan tidak perlu dipanjangkan ke permainan terakhir (beregu wanita). Namun, sebenarnya di hari yang lain, Matsutomo/Takahashi pasti menang mudah mengatasi Qingchen/Yifan. Hari ini bukan milik Jepun. 

Final: Korea vs China. Esok, jam 11 pagi waktu Malaysia. 



Piala Sudirman 2017 #1

Assalamualaikum.

Pertandingan badminton berpasukan campuran kembali lagi untuk kali ke-15, kali ini dilangsungkan di Gold Coast, Australia. China adalah juara bertahan selepas menewaskan Jepun 3-0 dalam final edisi 2015 di Dongguan, China.

Pasukan Malaysia tersenarai antara 12 pasukan terbaik dalam Kumpulan 1 yang akan merebut trofi utama. Senarai ranking pasukan adalah berdasarkan ranking dunia para pemain sesebuah negara dalam lima acara individu.

Berikut adalah keputusan penuh peringkat kumpulan.

---------------

KUMPULAN A

(1) China 4-1 Hong Kong [9-2]
MD: Fu Haifeng/Zhang Nan v Lau Cheuk Him/Reginald Lee 2-0
WS: Sun Yu v Fan Ka Yan 2-0
MS: Lin Dan v Hu Yun 2-0
WD: Bao Yixin/Tang Jinhua v Ng Tsz Yau/Yeung Nga Ting 2-0
XD: Chen Qingchen/Zheng Siwei v Tang Chun Man/Tse Ying Suet 1-2

(2) Thailand 3-2 Hong Kong [7-5]
MD: Bodin Isara/Nipitphon Phuangphuatpet v Or Chin Chung/Tang Chun Man 2-1
WS: Ratchanok Intanon v Yip Pui Yin 2-0
MS: Tanongsak Saensomboonsuk v Angus Ng Ka Long 0-2
WD: Jongkolphan Kititharakul/Rawinda Prajongjai v Poon Lok Yan/Tse Ying Suet 1-2
XD: Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattanachai v Reginald Lee/Chau Hoi Wah 2-0

(3) China 5-0 Thailand [10-0]
MD: Li Junhui/Liu Yuchen v Kittinupong Kedren/Dechapol Puavaranukroh 2-0
WS: Chen Yufei v Pornpawee Chochuwong 2-0
MS: Chen Long v Khosit Phetpradab 2-0
WD: Chen Qingchen/Jia Yifan v Jongkolphan Kititharakul/Sapsiree Taerattanachai 2-0
XD: Lu Kai/Huang Yaqiong v Bodin Isara/Savitree Amitrapai 2-0

*Kedudukan: China (9-1); Thailand (3-7); Hong Kong (3-7)

-------

KUMPULAN B

(1) Korea 4-1 Rusia [8-2]
MD: Kim Won Ho/Seo Seung Jae vs Vladimir Ivanov/Ivan Sozonov 0-2
WS: Sung Ji Hyun v Evgeniya Kosetskaya 2-0
MS: Jeon Hyeok Jin v Sergey Sirant 2-0
WD: Jung Kyung Eun/Kim Ha Na v Ekaterina Bolotova/Alina Davletova 2-0
XD: Chae Yoo Jung/Choi Sol Gyu v Evgenia Dimova/Evgenij Dremin 2-0

(2) Taiwan 4-1 Rusia [9-3]
XD: Lee Chia Hsin/Wang Chi Lin v Ekaterina Bolotova/Vladimir Ivanov 2-0
MS: Chou Tien Chen v Sergey Sirant 2-1
MD: Lee Jhe Huei/Lee Yang v Vladimir Ivanov/Ivan Sozonov 1-2
WS: Tai Tzu Ying v Evgeniya Kosetskaya 2-0
WD: Hsu Ya Ching/Wu Ti Jung v Ekaterina Bolotova/Alina Davletova 2-0

(3) Korea 2-3 Taiwan [6-6]
MD: Kim Duk Young/Park Kyung Hoon v Chen Hung Ling/Wang Chi Lin 0-2
WS: Sung Ji Hyun v Tai Tzu Ying 1-2
MS: Son Wan Ho v Chou Tien Chen 2-0
WD: Chang Ye Na/Lee So Hee v Hsu Ya Ching/Wu Ti Jung 2-0
XD: Choi Sol Gyu/Chae Yoo Jung v Wang Chi Lin/Lee Chia Hsin 1-2

*Kedudukan: Taiwan (7-3), Korea (6-4), Rusia (2-8)

--------

KUMPULAN C

(1) Jepun 4-1 Jerman [8-3]
MD: Takeshi Kamura/Keigo Sonoda v Mark Lamsfuss/Marvin Seidel 2-0
WS: Nozomi Okuhara v Yvonne Li 2-0
MS: Kenta Nishimoto v Marc Zwiebler 0-2
WD: Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi v Linda Efler/Lara Kapplein 2-0
XD: Kenta Kazuno/Ayane Kurihara v Mark Lamsfuss/Isabel Herttrich 2-1

(2) Malaysia 5-0 Jerman [10-0]
XD: Tan Kian Meng/Lai Pei Jing v Mark Lamsfuss/Isabel Herttrich 2-0
MS: Lee Chong Wei v Fabian Roth 2-0
MD: Goh V Shem/Tan Wee Kiong v Jones Jansen/Josche Zurwonne 2-0
WS: Goh Jin Wei v Fabienne Deprez 2-0
WD: Vivian Hoo/Woon Khe Wei v Johanna Goliszewski/Isabel Herttrich 2-0

(3) Jepun 3-2 Malaysia [7-5]
MD: Takeshi Kamura/Keigo Sonoda v Goh V Shem/Tan Wee Kiong 2-1
WS: Akane Yamaguchi v Goh Jin Wei 2-0
MS: Yu Igarashi v Lee Chong Wei 0-2
WD: Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi v Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean 2-0
XD: Yuta Watanabe/Arisa Higashino v Tan Kian Meng/Lai Pei Jing 1-2

*Kedudukan: Jepun (7-3), Malaysia (7-3), Jerman (1-9)

---------

KUMPULAN D

(1) Denmark 4-1 India [8-4]
XD: Joachim Nielsen/Christinna Pedersen v Satwiksairaj Rankireddy/Ashwini Ponnappa 2-1
MS: Viktor Axelsen v Ajay Jayaram 2-0
MD: Mathias Boe/Carsten Mogensen v Manu Attri/Sumeeth Reddy 2-0
WS: Line Kjaersfeldt v P.V. Sindhu 0-2
WD: Kamilla Rytter/Christinna Pedersen v Ashwini Ponnappa/Sikki Reddy 2-1

(2) Indonesia 1-4 India [3-8]
XD: Tontowi Ahmad/Gloria Widjaja v Satwiksairaj Rankireddy/Ashwini Ponnappa 1-2
MS: Jonatan Christie v Srikanth Kidambi 0-2
MD: Marcus Gideon/Kevin Sanjaya v Satwiksairaj Rankireddy/Chirag Shetty 2-0
WS: Fitriani v P.V. Sindhu 0-2
WD: Della Haris/Rosyita Eka v Ashwini Ponnappa/Sikki Reddy 0-2

(3) Denmark 2-3 Indonesia [6-8]
XD: Joachim Nielsen/Christinna Pedersen v Praveen Jordan/Debby Susanto 0-2
MS: Viktor Axelsen v Anthony Ginting 1-2
MD: Mathias Boe/Carsten Mogensen v Marcus Gideon/Kevin Sanjaya 2-1
WS: Mia Blichfeldt v Fitriani 1-2
WD: Kamilla Rytter/Christinna Pedersen v Greysia Polii/Apriani Rahayu 2-1

*Kedudukan: Denmark (6-4), India (5-5), Indonesia (4-6)

--------

China seperti dijangka mudah menjuarai Kumpulan A. Turun selaku juara bertahan, armada China juga menunjukkan kekuatan mereka dengan menampilkan dua barisan berbeza sama sekali ketika menentang Thailand dan Hong Kong, dan mereka menang dengan mudah. Kejutan berlaku di Kumpulan B apabila Taiwan muncul pemenang mengejutkan Korea Selatan yang membariskan ramai pemain muda.

Malaysia seperti dijangka terpaksa akur kepada Jepun yang memenangi Kumpulan C. Dalam perlawanan penentuan, acara beregu lelaki adalah kunci untuk memenangi pertarungan dan gandingan Takeshi Kamura/Keigo Sonoda memberikan mata penting itu. Berlaku 'ribut' dalam Kumpulan D apabila setiap pasukan masing-masing menang satu perlawanan. Denmark mudah membenam India, tetapi India bangkit mengejutkan Indonesia selaku pilihan kedua kumpulan. Indonesia pula mengejutkan Denmark dalam perlawanan terakhir, tetapi tetap tersingkir kerana pungutan mata yang paling sedikit.

Berikut adalah undian pusingan suku akhir:
China vs India
Jepun vs Malaysia
Korea vs Taiwan
Thailand vs Denmark

Sangat aneh sekali melihat keputusan undian. Tiada masalah bagi juara yang tidak akan bertembung sesama sendiri. Tetapi berlaku pertemuan ulangan antara Jepun dan Malaysia dari Kumpulan C, serta Korea dan Taiwan dari Kumpulan B.

Adakah kejutan akan berlaku?



Piala Malaysia 2017

Assalamualaikum.

Selepas berakhir aksi Piala FA 2017 di Stadium Shah Alam yang menyaksikan pasukan Kedah muncul juara dengan menewaskan Pahang 3-2, tumpuan para peminat bola sepak tempatan kini ke arah Liga Super, dan piala keramat bola sepak negara, Piala Malaysia.

Undian peringkat kumpulan telah dilangsungkan dan 16 pasukan telah dibahagikan.



KUMPULAN A

Naib juara Piala FA, Pahang, akan mengetuai kumpulan. Pahang dilihat sebagai pilihan utama dalam kumpulan ini. T-Team adalah pilihan seterusnya untuk mara dari kumpulan A. Tetapi, Negeri Sembilan yang beraksi di separuh akhir Piala FA mempunyai peluang untuk melakukan kejutan. Begitu juga kelab PKNP yang telah menarik perhatian sepanjang aksi mereka musim ini.

------

KUMPULAN B

Peluang pasukan dalam kumpulan ini agak seimbang. Hanya satu pasukan dari Liga Perdana iaitu Kuala Lumpur dengan peluang tipis kerana berdepan dengan tiga pasukan Liga Super. Tiada yang benar-benar meyakinkan untuk menjadi pilihan utama. Felda United yang beraksi di Piala AFC musim ini mungkin sedikit kuat. Mana-mana pasukan dalam kumpulan ini boleh mara jauh jika beraksi dengan cemerlang.

------

KUMPULAN C

Juara Piala FA 2017 yang baru ditabalkan, Kedah akan mengetuai kumpulan ini selaku pilihan utama untuk mara. Kelantan yang baru saja menjual penggempur hebat mereka, Ghaddar ke Johor Darul Takzim dan membeli dua pemain import baru sudah pasti menjadi pilihan untuk mengiringi Kedah. Melaka United dan UiTM FC dilihat hanya sekadar melengkapkan kumpulan.

-----

KUMPULAN D

Pendahulu dan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim akan mengetuai 'kumpulan maut' ini. Selepas dua tahun berturut-turut terlepas Piala Malaysia kepada pasukan Kedah, JDT pastinya mahu merampas piala tersebut kali ini. Selangor dilihat lebih berpeluang jika dibandingkan dengan Sarawak dan Terengganu tetapi kejutan boleh berlaku.

------

Ramalan pasukan ke suku akhir: Pahang, Negeri Sembilan, Felda United, PKNS, Kedah, Kelantan, JDT, Selangor

Kedah mempunyai misi besar untuk melengkapkan kejuaraan berganda (atau mungkin juga treble) selepas menjuarai Piala FA. Jika menang edisi kali ini juga, bermakna Kedah akan mempertahankan kejuaraan selepas muncul juara Piala Malaysia 2016. Kedah adalah pasukan yang sedang meningkat naik dan sedang mengejar JDT selaku penanda aras bola sepak Malaysia ketika ini. 

Mampukah Kedah? Forza Kedah!



Thursday, May 25, 2017

Akhirnya Sempurna

Assalamualaikum.

Puassss, Sangat puas. Begitulah yang aku rasakan ketika ini sebagai peminat tegar kelab paling popular dan mempunyai jumlah pengikut paling ramai di atas muka bumi.

AJAX 0-2 MANCHESTER UNITED

Keputusan akhir perlawanan di Stockholm, Sweden, itu bermakna Manchester United kini layak secara automatik untuk menempah tempat khas dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim 2017/2018. United menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini di tangga keenam. Ini bermakna kejayaan di final Liga Europa ini saja adalah satu-satunya jalan untuk United ke pentas tertinggi benua Eropah mengiringi Chelsea, Tottenham Hotspurs, Manchester City (dan mungkin Liverpool). Jumlah kelab England akan menjadi lima sekiranya Liverpool melepasi pusingan play-off sebelum pertandingan utama bermula.

Kita juara

Kejuaraan Liga Europa ini juga bermakna besar bagi kelab penuh tradisi ini yang kini telah melengkapkan kabinet trofi mereka dengan satu-satunya piala yang tidak pernah dimenangi. Akhirnya sempurna. Dan, kemenangan ini telah melayakkan Manchester United untuk bertemu pemenang Liga Juara-Juara Eropah, sama ada Real Madrid (Sepanyol) atau Juventus (Itali) untuk merebut Piala Super UEFA pada Ogos nanti.

Pakar piala 

Memulakan permainan dengan formasi lazim baginya (4-2-3-1), Mourinho memilih Sergio Romero untuk mengawal gawang. Satu sebab adalah aksi cemerlang Romero sepanjang kempen Liga Europa dalam penggiliran dengan David De Gea. Sebab kedua pula tentang hakikat minda De Gea ketika ini sedang berada di Santiago Bernabeu dalam hasratnya untuk kembali ke negara asalnya, Sepanyol, untuk beraksi bersama Real Madrid. Mourinho menyenaraikan kesebelasan utama yang dirasakannya adalah terbaik selepas melihat prestasi mereka dalam musim yang panjang dengan aksi yang padat. Pasukan ini diketuai Antonio Valencia dan kapten pasukan, Wayne Rooney, bermula di bangku simpanan.

Pemain terbaik pertandingan

United selesa membiarkan para pemain muda Ajax Amsterdam menguasai bola dan menggunakan pendekatan menyerang hanya apabila perlu. Taktik Mourinho berhasil apabila satu serangan pintar membawa gol pendahuluan yang diidamkan dengan rembatan kencang kaki kiri pemain termahal dunia, Paul Pogba, terbias pertahanan lawan sekali gus memperdayakan penjaga gawang Ajax yang kurang bernasib baik. Pogba mendedikasikan gol ini buat mendiang ayahnya yang baru saja meninggal dunia.

United terus bertahan dengan kental ketika Ajax mengatur hantaran demi hantaran tetapi gagal menembusi kubu kebal United. Gol kedua United hadir apabila sepakan penjuru ditanduk oleh Chris Smalling kepada Henrikh Mkhitaryan yang membuat penyudah bijak untuk menjadikan kedudukan selesa. Misi United seterusnya mudah dan dijangka: mempertahankan defisit dua gol sehingga ke wisel akhir. Walaupun sedikit cemas di hujung permainan, namun status juara tidak pernah diragui, memang selayaknya milik Manchester United.

Sayang sekali Zlatan Ibrahimovic cedera dan tidak dapat beraksi di stadium final yang dilangsungkan di negaranya (Sweden). Namun, Zlatan turut sama meraikan kejuaraan ini yang merupakan kejuaraan Eropah pertama dalam kariernya selama 18 tahun. Tahniah Zlatan! Sumbangan Zlatan mungkin sudah berakhir kerana faktor usianya, Zlatan mungkin menamatkan karier di liga negara lain.

Teka-teki juga mengenai status Wayne Rooney apabila musim depan bermula. Rooney hanya dimasukkan Mourinho ketika mencecah detik akhir masa perlawanan sebenar dan terus diberikan lilitan kapten oleh Valencia. Selaku kapten pasukan, Wayne Rooney diberikan penghormatan untuk menjulang Liga Europa yang melengkapkan karier kelabnya selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Manchester United dan England. Tahniah legenda!

David De Gea pula, jika dilihat cara pengurusan Mourinho, bermakna statusnya kini sudah 70% milik Real Madrid. De Gea mungkin sudah bermain perlawanan terakhir bersama United. Aku kira sumbangan De Gea terlalu banyak selaku pemain terbaik tahunan United untuk beberapa musim terakhir. Jika hati De Gea sudah berada di Sepanyol, relakanlah dia pergi untuk mengembangkan kariernya seperti Cristiano Ronaldo yang berpindah secara profesional. De Gea punya impian, dan dia tidak boleh dihalang lagi.

Musim panas ini sangat penting bagi Mourinho untuk membeli pemain yang akan memperkuatkan pasukan ketika Chelsea, Tottenham, dan Manchester City mempunyai skuad yang semakin kuat. Mourinho tidak boleh ketinggalan terlalu jauh. Tiket ke Liga Juara-Juara Eropah bermakna nama-nama besar seperti Antoine Griezmann (yang sedang diburu) akan sukar untuk menolak.

Walaupun berada di kedudukan keenam liga, United sudah memenangi tiga trofi musim ini, sekali gus jauh lebih baik dari Tottenham, Manchester City, Liverpool, dan Arsenal yang tiada apa yang dapat dibanggakan selain menamatkan musim di atas Manchester United.

Akhirnya sempurna

Sekian dulu, salam sayang.




Monday, May 22, 2017

Nasib Berbeza


Lewat malam tadi waktu Malaysia, berakhirlah saingan liga domestik di Eropah untuk beberapa negara. Juara sudah ditabalkan dan persiapan untuk musim baru kini sudah bermula. 

Perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris hampir tidak membawa sebarang makna. Chelsea sudah sah bergelar juara sebelum perlawanan terakhir lagi, dan Tottenham Hotspurs kecewa lagi di tempat kedua. Tiga pasukan yang tersingkir dari liga utama juga sudah awal diketahui: Hull City, Middlesbrough, dan Sunderland. Satu-satunya keputusan yang dinantikan adalah sama ada Arsenal berjaya memintas Liverpool di tangga keempat. Berikut adalah keputusan terpilih:

Arsenal 3-1 Everton
Chelsea 5-1 Sunderland
Hull City 1-7 Tottenham Hotspurs
Liverpool 3-0 Middlesbrough
Manchester United 2-0 Crystal palace
Watford 0-5 Manchester City

Semua pasukan dalam kelompok enam terbaik memenangi perlawanan terakhir masing-masing. Kemenangan Arsenal tidak bererti lagi kerana kemenangan Liverpool dan Manchester City bermaksud Manchester City layak automatik ke Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool terpaksa mengharungi play-off Liga Juara-Juara, dan Arsenal dihumban terus ke Liga Europa. 

Perlawanan terakhir ini juga menyaksikan beberapa fakta diketahui: Chelsea mencatat sejarah dengan jumlah kemenangan liga terbanyak dalam satu musim (30 kali daripada 38 perlawanan); Harry Kane muncul pemenang Kasut Emas (penjaring gol terbanyak) untuk dua musim berturut-turut; dan N'golo Kante memenangi liga dua kali berturut-turut dengan dua pasukan berbeza (Leicester City dan Chelsea). Tujuh gol yang diledak Harry Kane menyaksikan dia berjaya memintas Romelu Lukaku (Everton) di selekoh penamat.

Manchester United pula, dengan tiada apa lagi yang dipertaruhkan, menyaksikan Jose Mourinho menyenaraikan pemain-pemain muda untuk diberikan pengalaman. Joel Pereira (penjaga gol), Timothy Fosu-Mensah (bek kanan), Demetri Mitchell (bek kiri), Axel Tuanzebe (pemain tengah), Scott McTominay (pemain tengah), Josh Harrop (penyerang), dan Angel Gomes (pemain tengah) ialah para pemain Akademi yang diberikan kesempatan untuk mempersembahkan bakat mereka dan mereka tidak mengecewakan.

Tuanzebe terus membuktikan kewibawaannya selaku pemain versatil yang kukuh dalam perancangan Mourinho. Mitchell memukau di sebelah kiri sehingga mengagumkan para penonton. Harrop tidak mensia-siakan peluang dengan menjaringkan gol pertama dalam debutnya. Gomes yang belum berusia 17 tahun pula menjadi pemain pertama yang lahir selepas tahun 2000 untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris.  

----------------------------------------------

La Liga juga melabuhkan tirainya. Selepas akur dengan kestabilan Barcelona (dalam masa sama Real Madrid menang Liga Juara-Juara Eropah dua kali dalam tiga musim), pasukan gergasi dari ibu kota Sepanyol itu akhirnya ditabalkan juara buat kali pertama sejak tahun 2012. Perseteruan yang membawa ke perlawanan terakhir untuk pengesahan. Real Madrid hanya perlu keputusan seri.

Barcelona 4-2 Eibar
Malaga 0-2 Real Madrid

Pasukan kesayangan hamba muncul juara selepas jaringan Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema sudah cukup untuk memastikan kemenangan Barcelona di tempat sendiri tidak membawa sebarang makna. Real Madrid selaku juara bertahan Liga Juara-Juara juga berpeluang mempertahankan kejuaraan benua Eropah apabila berdepan Juventus dalam aksi final nanti.

Glory glory Manchester United. Forza Madrid!



Sunday, May 21, 2017

Kedah 3-2 Pahang: Final Impian

Assalamualaikum.

Menang kami bangga, kalah kami setia.

21 Mei 2017, Kedah 3-2 Pahang.

Seperti dijangka dan diramalkan, pasukan Kedah bimbingan Nizam Adha menakluk satu lagi kejuaraan. Tahniah pasukan kesayangan hamba. Walaupun tak dilahirkan di Kedah, aku membesar di negeri Darul Aman ini dan sangat bangga dengan kejayaan terbaru di sebalik duka kehilangan jurulatih. Final ini diharapkan akan menjadi perlawanan yang diingati kerana aksi lebih dari kontroversi. Dan ia benar-benar menjadi satu final impian.

Perlawanan bermula keras apabila seawal minit kedua, pemain import baru pasukan Tok Gajah, Yamil Romero, telah membentes kaki pemain Kedah dengan sengaja. Dia dilepaskan tanpa diberi sebarang amaran. Intensiti perlawanan ini tinggi, tetapi sudah dijangka kerana melibatkan satu piala yang menjadi rebutan.

Gol pertama pasukan Kedah tiba apabila Syazwan Zainon bijak bermain hantaran satu dua dengan Liridon Krasniqi yang membebaskan Syazwan untuk melintangkan bola ke kawasan enam ela, dan hantaran itu pantas disambar Ken Ilso untuk menceriakan penyokong skuad Hijau Kuning. Gol kedua menyusul apabila ketangkasan Syazwan sekali lagi gagal dikekang, menggempur dari sayap kiri, dia memecah masuk ke kawasan penalti dan melepaskan bola. Baddrol Bakhtiar yang dikenali sebagai 'Sniper' tenang dengan rembatan leret kaki kiri untuk kedudukan selesa 2-0.

Gol kedua ini hadir selepas Pahang terpaksa bermain dengan 10 orang pemain kerana Kiko Insa dibuang padang. Bek kanan Kedah, Rizal Ghazali, pernah dibuang padang kerana bertindak balas terhadap terjahan keras kepadanya. Kali ini, tindakan Rizal melanggar Kiko tidak disenangi pemain naturalisasi Pahang yang panas baran itu lantas bertindak melakukan serangan balas. Reaksi Kiko dilihat pengadil yang tanpa teragak-agak melayangkan kad merah dan menunjukkan jalan keluar padang kepada Kiko.

Aksi terakhir babak pertama berpihak kepada Pahang yang mendapat sepakan penjuru dan pemain import dari Korea Selatan, Jae Won, menceriakan Dollah Salleh dengan sepakan yang terbias pemain Kedah dan memerangkap Ifwat di gawang. Pahang bagaikan mendapat talian hayat dengan kedudukan 1-2. Kembali di babak kedua, Pahang lebih garang dan tidak seperti pasukan yang beraksi dengan kekurangan seorang pemain. Kedah pula gagal memanfaatkan kelebihan yang ada dengan membiarkan Pahang mengasak bertali arus.

Memasuki minit ke-70, Baddrol Bakhtiar meledak gol kedua peribadi apabila bijak menyempurnakan hantaran silang dari sebelah kiri. Ketenangan penyudah itu sangat indah dalam situasi yang amat menekan. Malang buat Kedah apabila Liridon Krasniqi gagal menyudahkan serangan kilat walaupun tidak ofsaid dan berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Pahang. Percubaan lemah Liridon mudah ditangkap untuk mengecewakan peminat Kedah yang mengharapkan kedudukan menjadi 4-1. 

Malang bertimpa buat Kedah apabila hantaran silang dari sayap kiri ditanduk kencang Mohamadou Sumareh menewaskan Ifwat. Kedudukan 3-2 sangat getir buat pemain Kedah kerana gol penyamaan akan menjatuhkan moral mereka. Empat minit masa kecederaan diberikan, tetapi berlarutan sehingga enam minit dengan dua sepakan penjuru di akhir permainan mencemaskan penyokong Kedah namun para pemain teguh bertahan untuk menjulang kejuaraan Piala FA yang sudah lama tidak dimenangi.

--------------------------------------------------

KEDAH STABIL

Barisan pemain Kedah stabil walaupun berdepan kesukaran sepanjang perlawanan. Ifwat kurang bernasib baik dengan gol pertama tetapi melakukan kesilapan apabila dibolosi gol kedua kerana posisi terlalu jauh. Rizal Ghazali keras di bek kanan. Khairul Helmi dan Syawal Nordin masih perlu meningkatkan permainan untuk beraksi di pentas lebih tinggi. Fitri Omar berdepan mimpi ngeri sepanjang malam kerana terpaksa mengawasi Sumareh. Akram Mahinan dan Liridon membentuk double pivot di tengah padang dan banyak membantu pertahanan. Trio Sandro, Syazwan Zainon dan Baddrol Bakhtiar nyata menjadi igauan Pahang selain bisa Ken Ilso yang berkesan walaupun tidak terlalu berbahaya.

Serangan Syazwan dan Baddrol dari sayap kiri dan kanan gagal disekat pemain Pahang ketika Ken Ilso menjalankan tanggungjawab yang digalas di bahunya. Hantaran-hantaran pendek yang kemas dan tersusun antara pemain Kedah menjadi kunci kemenangan. Namun, sikap profesional Liridon dipersoalkan kerana sering melengahkan permainan apabila dia dikasari. 

PAHANG MELAWAN

Semangat melawan Pahang walaupun terpaksa beraksi kurang seorang pemain untuk sebahagian besar perlawanan. Sayap kanan menjadi kekuatan utama Pahang dengan kelincahan Sumareh menjadi masalah besar buat bek kiri Kedah. Dua orang pemain dilayangkan kad kuning kerana terpaksa mengasari Sumareh dari memecah masuk kubu. Fitri Omar dan kemudian Syafiq Ahmad melakukan kekasaran profesional. Walau bagaimanapun, Sumareh tetap berbahaya dengan beberapa kali berjaya membawa bola ke kotak penalti, dan turut menanduk masuk gol kedua Pahang.

Beberapa pemain lain wajar disebut kerana sumbangan mereka. Shamim Yahya di tengah padang begitu menjadi walaupun tanpa gandingan Norazam Azih. Jae Won sekali lagi menjaringkan gol selepas aksi separuh akhir di Paroi. 

----------------------------------

Benar, Pahang kalah bermaruah dengan semangat melawan yang wajar dipuji, Namun, kekalahan walau satu gol sekali pun tidak akan diingati dalam jangka masa panjang. Peminat hanya akan ingat sang juara dan dalam situasi kali ini: Kedah.

Teori bahawa Pahang boleh menang jika bermain dengan 11 orang pemain tidak wajar diterima kerana kewujudan Kiko Insa nyata membuatkan permainan Pahang tidak stabil, kerana mereka dilihat lebih meyakinkan tanpa Kiko.

Sikap profesional Liridon wajar dipertikaikan tetapi kekasaran pemain Pahang tidak dapat dinafikan, sengaja melanggar Liridon dan Sandro dalam beberapa situasi. Kekasaran demi kekasaran terhadapnya semakin menyakitkan dan Liridon terpaksa bertahan sehingga tamat permainan. Pahang boleh dikira bernasib baik kerana Yamil Romero tidak dibuang padang bersama Kiko. 

Akhir kata, kemenangan ini sudah dijangka. Kedah selaku juara Piala FA 2017 layak secara automatik ke Piala AFC 2018 dan mereka akan mendapat lesen AFC tidak lama lagi. Forza Kedah!




Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif